Saturday, August 31, 2013

Bentuk Tafsiran Menyeleweng Pada Zaman Ini (Bhg.3)

2.3  Contoh Tafsiran Menyeleweng #1

Kami dapati di antara mereka ini, seorang penulis yang didorong oleh rasa cinta kepada pembaharuan yang menyimpang, menuruti roh penyelewengan yang bersekongkol dengan golongan yang mendakwa bahawa agama Islam terlalu keras di dalam hukum-hukum dan penetapan hududnya. Maka beliau pun mentakwilkan ayat-ayat berkenaan hukum hudud mengikut apa yang sesuai dengan hawa nafsunya dan hawa nafsu kumpulannya, iaitu dengan mentakwilkan segala yang berupa perintah atau suruhan yang wajib dilaksanakan kepada makna “al-Ibahah”, yakni keharusan atau hukum Mubah. Adapun perintah itu, di dalam takwilannya, adalah dikembalikan hak keputusannya kepada Pihak Berkuasa sesebuah negeri sahaja.

Meskipun, beliau menggunakan uslub (metode/approach) seolah-olah berupa pertanyaan yang menginginkan kebenaran di dalam masalah tersebut, namun apa yang diutarakannya jelas menunjukkan niatnya, bahawa beliau bermaksud mentakwilkan ayat-ayat berkenaan hukum hudud yang ditegaskan sebagai suatu kewajipan, kepada maksud Harus (yakni tidak wajib dilaksanakan dan ada pilihan untuk tidak melaksanakannya). Seterusnya, kami kemukakan apa yang telah beliau nyatakan agar pembaca melihat sendiri hakikatnya dan agar niat si penulis serta tujuannya menjadi nyata…


Kata beliau di dalam tulisannya “at-Tasyrie‘ al-Misriy wa Silatuhu bi al-Fiqh al-Islami – التشريع المصري و صلته بالفقه الإسلامي ” (Perlembagaan Negeri Mesir dan hubungannya dengan Perundangan/Fiqh Islam):
Saya telah membaca di dalam (majalah) “as-Siyasah al-Usbu‘iyah”…yang menjadikan saya berfikir dengan mendalam namun saya tidak mahu mengemukakannya sehinggalah suatu masa, sebab jiwa manusia belum bersedia untuk menerima bahawa pintu Ijtihad masih terbuka, sehinggakan bilamana timbul seseorang mujtahid pada zaman ini dengan satu pendapat yang baru, yang seiras dan sesuai dengan pendapat yang dikeluarkan para Imam Ahli Ijtihad pada zaman-zaman berleluasanya Ijtihad, manusia akan menerimanya dengan tenang dan tenteram sepertimana mereka menerima pendapat-pendapat yang terdahulu itu.[1]  
Tetapi jika ia mengeluarkan pendapat yang agak ganjil dan berlainan, berbeza dengan keadaan masyarakat terdahulu yang telah terbiasa dengan ijtihad, yang menjadikan mereka tidak menentangnya, masyarakat zaman sekarang, kerana telah jauh daripada zaman ijtihad, menganggap setiap yang baru sebagai ganjil, walaupun sebenarnya ia adalah satu pendapat yang betul dan tepat dan lumrahnya, dengan segera mereka mengecam dan mengutuk di dalam hal keagamaan, sehingga orang yang mempunyai pendapat yang berbeza, merahsiakan pendapatnya dan mengutarakannya hanya di kalangan kumpulannya yang diketahui tidak akan menimbulkan keburukan terhadap dirinya. Dengan itu, banyak pandangan bermanfaat buat umat ini, baik di dalam urusan keagamaan mahupun keduniaan, yang disia-siakan. [2]  
Walaubagaimanapun, saya akan mengemukakan apa yang asalnya ingin saya simpannya sehingga satu masa tertentu dan saya akan berijtihad sedaya upaya yang ada sehingga saya tidak meninggalkan ruang bagi seseorang pun untuk mengecamnya seperti yang biasanya berlaku sejurus selepas timbulnya setiap sesuatu yang baru.  

Kemudian beliau menyokong apa yang disebutkan di dalam artikel tersebut lalu menyatakan berikut:
Akan tetapi, selepas perbahasan ini, tinggal perbahasan mengenai hudud yang merupakan perkara yang ingin kami buat kritikan berkenaan dengannya dan biarlah ia dikaji dengan tenang dan tenteram. Kemungkinan kita akan sampai kepada kesimpulan yang memudahkan jalan yang sukar di dalam perlaksanaan at-Tasyrie‘ al-Islami daripada segi hukum hududnya, dengan cara yang baru dan berbeza…yang demikian dengan cara menilai semula nas-nas yang membicarakan tentang hukum hudud, agar dikaji semula setelah timbulnya kejadian-kejadian genting tersebut dan saya akan hanya mendatangkan – pada ketika ini – nas-nas al-Qur’an yang menyebutkan tentang hukum hudud sahaja, iaitu Firman Allah  mengenai had (hukum hudud) terhadap jenayah mencuri:



Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amalnya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”  [3] 

Begitu juga FirmanNya mengenai hudud zina:

Maksudnya: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” [4] 
Apakah tidak boleh, kita berijtihad di dalam persoalan perintah (al-Amar=perintah) yang disebutkan berkenaan hukum hudud kerana kesalahan jenayah mencuri iaitu Firman Allah: فَاقْطَعُوا [maka (hukumnya) potonglah] begitu juga hukum hudud atas kesalahan zina, iaitu:  فَاجْلِدُوا [hendaklah kamu sebat], dengan kita menjadikan maksud kedua-dua perintah tersebut adalah “Keharusan/Mubah”[5] bukan kewajipan. Dengan itu, perintah yang ada di dalam kedua-dua ayat tadi adalah sama dengan perintah di dalam Firman Allah:

 يَابَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ 
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” [6]  
Justeru itu, pemotongan tangan pencuri tidak menjadi had (hukum hudud) yang diwajibkan, namun tidak seharusnya dipukul rata di dalam hal ini bagi setiap keadaan pencurian, bahkan pemotongan tangan dilaksanakan sebagai hukuman yang paling berat (maksima), manakala dalam sebahagian pencurian tertentu, hanya dikenakan hukuman-hukuman yang lebih ringan. Dengan demikian, perlaksanaannya adalah seumpama perlaksanaan setiap hukuman yang bersifat mubah atau harus yang menuruti pengendalian pihak berkuasa serta bersifat fleksibel bergantung kepada keadaan zaman dan tempat. 
Begitu jugalah dengan hukum hudud kesalahan zina, samada rejam atau sebat, dengan mengambil kira bahawa Ahli Fiqh kalangan al-Khawarij tidak menerima hukum tersebut, kerana ketiadaan nas (yang menjelaskan hukum tersebut) di dalam al-Qur’an. Tidakkah boleh, dengan cara demikian, kita menjadikan kesukaran untuk melaksanakan Perundangan Islam sesuatu yang mudah, sedangkan kita masih tetap tidak mengabaikan satu pun daripada hukum-hukum hudud dan tidak pula membatalkan walau satu pun daripada tuntutan nas. 
Malahan, kita semata-mata memperluaskan perkara ini dengan keluasaan yang bersesuaian dengan keistimewaan Syari‘at Islam daripada sudut sifatnya yang fleksibel dan yang mendatangkan kemaslahatan yang sesuai untuk setiap zaman dan tempat serta apa yang diketahui ada padanya daripada sifat mengutamakan “yang mudah daripada yang sukar”, “keringanan daripada ketegasan/kekerasan”[7]

Maka anda mampu melihat daripada petikan ini, sejauh mana si penulis tega menentang Kitab Allah, bilamana beliau mentakwilkan ayat mengenai hukum hudud atas kesalahan mencuri dan berzina dengan bentuk takwilan yang tidak dapat diterima dalam apa jua keadaan dan cara. Sesiapa sahaja yang mengamati ayat berkenaan hudud pencurian dan zina, tidak memahami maksud kedua-duanya kecuali dengan makna bahawasanya perintah yang terkandung di dalam kedua-duanya adalah perintah wajib dan tidak layak bagi sesiapa pun untuk mengubah maksudnya tersebut, iaitu perintah yang terkandung di dalam FirmanNya:  فَاقْطَعُوا  [maka potonglah] dan begitu juga FirmanNya:  فَاجْلِدُوا  [hendaklah kamu sebat], adalah bermaksud wajib dengan pasti dan penuh meyakinkan.

Sebab, perintah pemotongan tangan di dalam ayat hukum mencuri, dibina atas[8] FirmanNya: وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ [Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri] dan perintah sebat di dalam ayat hukum zina pula dibina atas FirmanNya: الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي [orang perempuan yang berzina dan orang lelaki yang berzina], jelas menunjukkan hukum wajib dan sekaligus menolak kemungkinan bahawa ia bermaksud “Harus” atau “Mubah”, kerana hukum itu dikaitkan dengan peribadi (yang bersalah), yang disifatkan dengan sifat yang diajukan kepada peribadi yang melakukannya.

Bilamana sifat itu adalah jenayah seperti pencurian dan perzinaan dan Penggubal Syari‘at (Allah) telah menetapkan bagi kedua-duanya hukuman dalam bentuk perintah dan tidak menyebutkan hukuman selain itu, maka adalah tidak sah untuk dikatakan: Bahawasanya perintah ini kemungkinan bermaksud Harus sepertimana perintah yang terkandung di dalam FirmanNya:  خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ  [Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)].

Mentelah lagi, Firman Allah  di dalam ayat hukum hudud mencuri yang menegaskan:  جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنْ اللَّهِ  [sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan (kerjakan) (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah] dan di dalam ayat hukum hudud zina: وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ  [dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah] serta FirmanNya:  وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ [dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman] adalah berupa penegasan bahawa perintah yang terkandung di dalam kedua-dua ayat bermaksud wajib.

Tambahan pula, ada daripada Sunnah Rasulullah, baik ucapan mahupun perbuatan, yang menekankan lagi, bahawasanya maksud perintah di dalam kedua ayat tersebut adalah perintah wajib. [9] 

Apakah dibolehkan bagi si penulis selepas segala keterangan ini, untuk bermain-main dengan ayat-ayat perintah perlaksanaan hukum hudud, dengan takwilannya yang tertolak daripada sudut bahasa serta tidak akur dengan as-Sunnah lagi tidak bersesuaian dengan Hikmah Pensyari‘atan Syari‘at? Demi Allah, ini adalah suatu bentuk takwilan yang tidak dibolehkan. 

Lantaran itulah, ia tidak sepi daripada kecaman dan teguran ramai ‘ulama’, yang telah banyak menulis tulisan untuk membidas dan menyanggah kenyataan penulis. Begitu juga, beberapa orang ‘ulama’ al-Azhar telah membuat keputusan mengeluarkan hukuman ke atas penulis tersebut, yang mana walaupun hukuman tersebut boleh dikatakan ringan, namun ia memadai untuk membuktikan betapa fahaman si penulis tidak mendapat sambutan di kalangan ‘ulama’.

Contoh-contoh selebihnya ada dalam buku berikut:




[1] Benar, pintu Ijtihad, iaitu persoalan “apakah masih dibuka ruang dan diperbolehkan mengeluarkan hukum agama Islam daripada sumber-sumbernya yang asal; al-Qur’an dan as-Sunnah, seperti yang dilakukan ‘ulama’ terdahulu yang menguasai keseluruhan bidang ilmu agama yang berkenaan penghasilan hukum?”. 
Sebahagian menyatakan “pintu ijtihad” sudah tertutup kerana umat tidak lagi mempunyai ‘ulama’ yang cukup kelayakan daripada sudut ilmu seperti zaman silam. Namun yang tepat, masih ada ruang untuk ‘ulama zaman sekarang berijtihad, dengan menggandingkan kepakaran bidang masing-masing, setiap yang dijadikan rujukan dalam bidangnya oleh umat sedunia, baik Fiqh, Usul, Hadis, Tafsir dsbgnya, berhimpun untuk membincangkan isu-isu baru yang tiada pada zaman terdahulu, untuk ditentukan hukum ke atasnya. Begitu juga ‘ulama’ terdahulu, mereka memperjelaskan hukum-hukum yang diperlukan umat, sedangkan hukum-hukum yang sudah jelas difahami dengan nas, mereka hanya tegaskan (secara ulangan) hukumnya kerana mereka bersepakat, tiada ruang ijtihad pada perkara yang yang telah ada penjelasan hukumnya dengan nas. Persoalannya, apakah penulis “at-Tasyrie‘ al-Misriy wa Silatuhu bi al-Fiqh al-Islami” ini seorang yang layak berijtihad? Mentelah lagi yang kita lihat, ijtihadnya adalah berkenaan isu-isu yang telah dengan jelas tegas ditentukan Syari‘at samada dengan nas (text) mahupun yang difahami dengan kesepakatan ‘ulama’ terbilang zaman terdahulu. Maka kita lihat, beliau yang tidak berkelayakan cuba-cuba melakukan ijtihad. –penterjemah

[2] Jika benar  ia bermanfaat dan penentunya adalah keterangan Syara ‘. Namun yang dikemukakan olehnya adalah untuk meninggalkan hukum Syara‘, hukum hudud yang telah disepakati umat dengan adanya nas jelas tegas.  

[3] al-Qur’an, Surah al-Ma-idah: 5:38-39

[4] al-Qur’an, Surah an-Nur: 24:2

[5] Perintah bersifat Harus/Mubah yakni lafaznya perintah tetapi maksudnya bukan wajib sekadar Harus/Mubah sahaja. Dengan ertikata lain: “Boleh kamu potong tangannya dan  boleh juga jika kamu tidak mahu potong” dan “Diizinkan bagi kamu untuk menyebat penzina dan diizinkan juga bagi kamu untuk tidak melakukan demikian”. Itulah kesimpulan menyeleweng yang beliau buat.

[6] al-Qur’an, Surah al-A‘raf: 7:31

[7] as-Siyasah al-Usbu‘iyah hlm: 6 bil (siri/edisi) ke-6 Tahun ke-6  -  Februari 1937. Benar, ada keluasan dan kelonggaran dalam Syari‘at Islam tetapi dengan batas ketentuan Syara‘ dan bukannya tanpa batas. Misalnya bab Solat; disyari‘atkan Solat Jama‘ pada saat keperluan, namun tidak diperbolehkan untuk Jama‘kan Solat Asar dengan Maghrib atau Isyak dan Subuh atau Subuh dan Zohor. Begitu juga beralih ke Tayammum hanya bila tidak mampu berwudu’ Segalanya dikembalikan kepada Ilmu Wahyu dan yang bersandarkan kepadanya daripada Ilmu Usul Fiqh, Qawa‘id Fiqhiyah dan Maqasid Syarie’ah – penterjemah.

[8] Perintah itu datang berkaitan dan bersabit dengan penjenayah dan jenayah yang dilakukannya.

[9] Sabda Nabi: “Demi Allah, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti aku telah potong tangannya”. Nabi juga telah melaksanakan hukum rejam ke atas Ma‘iz bin Malik al-Aslami dan riwayat lainnya yang begitu banyak yang ada dalam kitabSahih al-Bukhariy, kitab al-Hudud, Fath al-Bari: jil.12.  

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts