Sunday, September 8, 2013

Benarkah ulama' telah bersepakat diperbolehkan untuk beramal dengan hadis lemah dalam Fada’il al-A‘mal?



Soalan:

Assalamualaikum,

Semoga ustaz dan keluarga sentiasa di dalam rahmat Allah s.w.t. 

Saya mendapati video ini yang membincangkan tentang beramal dengan hadith lemah. Betul ke kita boleh beramal dengan hadith lemah jika hanya dalam masalah fadhilat dan bukan tentang haram/ halal ataupun aqidah ? Ada gangguan teknikal bila ustaz ni mengemukakan hadith lemah yang dimaksudkan tetapi dari penjelasan lanjut ada bersangkut paut tentang amalan di bulan puasa.....

“Bahagian pertama bulan Ramadan adalah Rahmah, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya (iaitu bahagian sepertiga terakhirnya) adalah pelepasan daripada Neraka” 

Saya sedar ustaz ada penjelasan tentang amalan ini di blog al-Jamaah, cuma minta kepastian.

Terima kasih, harap ustaz dapat melihat video yang disertakan.

- Mohamed F.

[*Ustaz di dalam video tersebut berhujjah dengan nukilan dari al-Arba‘ien Imam an-Nawawi bahawa terdapat kesepakatan ulama' yang membolehkan beramal dengan hadis lemah di dalam perkara Fada’il al-A‘mal.]


Jawapan:

Wa 'alaiykumussalaam wa rahmatullaah,

Sila lihat keterangan berikut:

Kata al-Imam an-Nawawi dalam Muqaddimah “al-Arba‘ien – Hadis 40”:
" …para Huffaz (ahli hadis terkemuka) telah bersepakat bahawa hadis ini da‘ief meskipun ada begitu banyak jalan periwayatannya…Sungguh ‘ulama’ telah bersepakat bahawa diperbolehkan untuk beramal dengan hadis lemah di dalam perkara Fada’il al-A‘mal, namun demikian, bukan itu yang menjadi sandaran ku…"
Qawa‘id wa Fawa-id min al-Arba ‘ien an-Nawawiyah: hlm. 14 dan Bahasa Melayu: Hadis 40 – Terjemahan dan Syarahnya – Mustafa ‘Abdul Rahman: hlm.52-53. Dewan Pustaka Fajar – cetakan Ketiga Julai 1996. 

Adapun dakwaan al-Imam an-Nawawi - “Sungguh ‘ulama’ telah bersepakat bahawa diperbolehkan untuk beramal dengan hadis lemah di dalam perkara Fada’il al-A‘mal” adalah suatu dakwaan yang kurang tepat. Pernyataan beliau itu terbantah kerana perselisihan dalam hal ini ma’ruf. 

Sebahagian besar para muhaqiq (peneliti) berpendapat bahawa hadits da‘ief tidak boleh diamalkan secara mutlak, baik dalam perkara-perkara hukum mahupun keutamaan-keutamaan (Fada’il al-A‘mal). 

Syaikh al-Qasimi dalam kitab Qawaid at-Tahdiets, hlm: 94 mengatakan bahwa pendapat tersebut diceritakan oleh Ibnu Sayyidin Nas dalam ‘Uyunul Atsar dari Yahya bin Ma‘ien dan Fathul Mughits beliau menyandarkannya kepada Abu Bakr bin al-‘Arabi. 

Pendapat ini (tidak boleh beramal dengan hadis lemah secara mutlak, tidak hukum, aqidah mahupun fadail) juga merupakan pendapat Bukhari, Muslim dan Ibnu Hajr al-'Asqalaniy. 

Kata Syaikh Al-Albani:  
"Inilah yang benar menurutku, tidak ada keraguan padanya kerana beberapa perkara; 
Pertama: Hadits da‘ief hanya mendatangkan sangkaan yang salah (zon al-marjuh). Tidak boleh beramal dengannya berdasarkan kesepakatan. Barangsiapa mengecualikan boleh beramal dengan hadits da‘ief dalam keutamaan amal, hendaknya dia mendatangkan bukti, sungguh sangat jauh! 
Kedua: Yang aku pahami dari ucapan mereka tentang keutamaan amal yaitu amal-amal yang telah disyari‘atkan berdasarkan hadits shahih, kemudian ada hadits lemah yang menyertainya yang menyebutkan pahala khusus bagi orang yang mengamalkannya. Maka hadits da‘ief dalam keadaan semacam ini boleh diamalkan dalam keutamaan amal, kerana hal itu bukan pensyari‘atan amal itu tetapi semata-mata sebagai keterangan tentang pahala khusus yang diharapkan oleh pelakunya.  
Oleh kerana itu ucapan sebahagian ulama dimasukkan seperti ini. Seperti Syaikh Ali al-Qari dalam al-Murqah: 2/381 mengatakan bahwa hadits lemah diamalkan dalam perkara keutamaan amal walaupun tidak didukung secara ijma’ sebagaimana keterangan Imam An-Nawawi, yaitu pada amal yang shahih berdasarkan Al-Kitab dan As-Sunnah. 
Imam an-Nawawi sendiri telah menyatakan berkenaan hadis da'ief: 
Kata Al-Imaam An-Nawawi semoga Allah merahmati beliau di dalam “Al-Majmuu’ Syarh Al-Muhadzdzab 1/60” secara ringkasnya:  
“Kata ulamaa muhaqqiquun (penganalisa yang teliti) dari kalangan Ahli Hadits dan lainnya: Jika sebuah hadits itu dho’ief maka tidak layak dikatakan: Rasulullah telah bersabda, atau melakukan atau memerintahkan atau melarang sekian dan sebagainya dari bentuk frasa yang membawa maksud dengan tegas dan pasti, bahkan selayaknya disebutkan untuknya (hadits dho’ief) begini: diriwayatkan/dikatakan bahawa baginda telah bersabda, dan yang seperti itu dengan frasa membayangkan ketidakpastian." 
Kata mereka (para ulama) bentuk frasa/lafaz yang menggambarkan kepastian dan tegas adalah untuk hadits-hadits yang shohih dan hasan sahaja manakala selainnya dengan lafaz yang membayangkan kesangsian/ ketidakpastian. Sebab, lafaz berbentuk kepastian membawa erti bahawa ia benar dan tulen dari sumbernya/sandarannya yang disebutkan, maka tidak layak ia disebutkan secara rambang begitu kecuali pada yang telah dipastikan ketulenannya.  
Maka jika tidak, seseorang itu dikira telah berdusta dengan nama baginda dan adab/etika ini ditinggalkan oleh pengarang (Al-Muhadzdzab) dan kebanyakan Fuqahaa dari kalangan Ash-haab kami (pendokong Madzhab Asy-Syaafi’ee) dan lainnya, malah ramai Ahli Ilmu secara umumnya, kecuali Muhadditsien yang bistari dan sungguh ia suatu kecuaian atau sikap mempermudah/menganggap remeh yang buruk. Sebab mereka seringkali menyebutkan – diriwayatkan/dikatakan pada riwayat ayang shohih dan sebaliknya denganlafaz yang tegas pada riwayat yang dho’ief (lemah) dan ini amat jauh dari kebenaran. 
Kata al-Hafiz as-Sakhawiy di dalam kitab beliau: al-Qaul al-Badie‘ fie Salat ‘ala al-Habieb al-Syafie‘: halaman 115:  
Aku telah mendengar guru kami (al-Hafiz IbnHajar al-‘Asqalaniy) berulang kali beliau nyatakan dan beliau telah menulis kepada ku dengan tulisan tangan beliau sendiri: 
“Sesungguhnya syarat-syarat beramal dengan hadis yang lemah ada 3: 
1. Disepakati (oleh para Ahli Hadis): semestinya “lemah”nya tidak terlalu lemah. Maka dengannya terkeluarlah (tidak layak beramal dengan hadis yang diriwayatkan dengan) periwayatan tersendiri para pereka hadis, pendusta, yang disyaki/dipercayai sebagai pendusta dan golongan perawi yang kekeliruannya dalam periwayatannya amat buruk. 
2. Ia masih terangkum di bawah satu dasar umum, maka terkeluarlah apa yang pada asalnya rekaan yang tidak punya asal – (tiada satu nas al-Quran atau hadis sahih yang menyokongnya – penterjemah) 
3. Tidak boleh dii‘tikadkan ketika beramal dengannya bahawa ia sesuatu yang sabit (pasti diperolehi) agar tidak disandarkan kepada Nabi shallallahu 'alayhi wasallam apa yang tidak pernah Nabi shallallahu 'alayhi wasallam ucapkan/lakukan.

[Hukum al-‘Amal bi al-Hadiets ad-Da‘ief fie Fada-il al-A‘mal: hlm.36-37]


Imam Muslim rahimahullah di dalam Muqaddimah Sahih Muslim telah memberikan judul:
بَاب وُجُوبِ الرِّوَايَةِ عَنِ الثِّقَاتِ وَ تَرْكِ الْكَذَّابِينَ وَ التَّحْذِيرِ مِنَ الْكَذِبِ عَلَى رَسُولِ الله

Ertinya: Kewajipan meriwayatkan daripada para perawi yang terjamin periwayatannya dan meninggalkan riwayat pendusta serta berwaspada daripada berdusta dengan memperguna nama Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam. 
Kemudian beliau menyambung:
Ketahuilah, semoga Allah Ta‘ala memberi petunjukNya kepada anda, bahawasanya adalah wajib atas setiap peribadi untuk mengetahui perbezaan antara yang benar daripada riwayat dan yang berpenyakit (lemah), antara para perawi yang dipercayai terjamin periwayatannya dan yang tidak dipercayai, serta ia tidak meriwayatkan kecuali apa yang ia telah jelas pasti kesahihannya…

[Sahih Muslim; Muqaddimah Sahih Muslim Bab: 5]


Semoga tiada keraguan lagi kepada kita bahawa insan seperti Ustaz ini tidak menukilkan semua, jika dengan sengaja sungguh beliau telah berlaku tidak amanah, jika beliau hanya menukil daripada pihak lain, beliau tertipu dan jadinya menyampaikan penipuan atas nama para imam yang jujur, dan jika tidak sengaja, semoga Allah mengampunkan beliau jika beliau bertaubat. 

Namun yang menjadi persoalan utamanya...mengapakah beliau menyibukkan diri menegakkan "perkara yang dipertikai malah diragui ulama", berbanding mendorong manusia mengambil sikap sungguh-sungguh amalkan apa yang telah jelas sahih daripada 'ulama, yg begitu banyak masih tidak teramal atau belum diamal oleh masyarakat???

Minumlah air yang jernih...mengapa menagguk di air yang keruh, lagi bukan ahlinya untuk menapis sehingga dapat hanya yang jernih.

Berani menyampaikan sehingga mencela 'ulama bukan bererti orang itu hebat dan cukup 'alim.

Wallahu a'lam.

Baarakallaah fiekum

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts