Monday, September 2, 2013

Erti kelonggaran dalam hal Aurat Wanita yang telah lanjut usia

Soalan: 
Apakah benar wanita yang telah lanjut usia, diperbolehkan untuk tidak menutup auratnya, misalnya tidak perlu bertudung ketika keluar rumahnya? Mohon penjelasannya.

Jawapan:

Bismillah walhamdulillaah wassolaatu was salaam 'alaa Rasuulillaah, wa ba'd,

Adapun berkenaan “aurat” wanita yang telah lanjut usia, apakah batasnya? Maka kita merujuk keterangannya yang disebutkan sebahagian kitab Tafsir mengenai Firman Allah dalam Surah an-Nur ayat 60:

Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu, perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu), adalah lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Kata asy-Syeikh ‘Abdur Rahman bin Nasir as-Sa‘diy (wafat: 1376H): “و القواعد من النساء” adalah wanita-wanita yang telah berhenti daripada mempunyai dorongan nafsu dan syahwat.

“اللتي لا يرجون نكاحا” yakni, yang tiada kemahuan untuk bernikah dan orang pun tiada yang berkeinginan untuk menikahinya disebabkan keadaan dirinya yang telah tua dan lemah, tiada lagi keinginan terhadap kaum lelaki dan tidak pula kaum lelaki yang berkeinginan terhadapnya ataupun keadaan tubuh badannya telah menampakkan ketuaan yang menjadikannya tiada tarikan lagi bagi kaum lelaki.

“فليس عليهن جناح” yakni (maka tiada atas diri mereka) rasa bersalah, keberatan atau dosa.

“أن يضعن ثيابهن” yakni (melepaskan/menanggalkan/tidak memakai) pakaian yang tampak dan zahir (pakaian luaran), seperti tudung labuh yang menutupi dari kepala ke dada dan yang sepertinya, sebagaimana yang disebutkan Allah mengenai kaum wanita:

dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka...[1]

Maka mereka ini, diperbolehkan bagi mereka untuk mendedahkan wajah mereka, kerana amannya mereka ini daripada perkara yang perlu diwaspadai atas diri mereka dan daripada diri mereka (iaitu fitnah atas diri mereka berupa tarikan syahwat kepada diri mereka atas kaum lelaki yang melihat mereka dan mereka sendiri masih punya keinginan pada diri mereka sendiri yang daripadanya mengundang tarikan yang menarik perhatian dan keinginan orang pada mereka) dan bilamana dinyatakan “maka tiada rasa bersalah, keberatan atau dosa atas diri mereka” untuk melepaskan pakaian luaran mereka. 
Kemungkinan ada yang jadi keliru bahawa mereka ini diperbolehkan untuk mengenakan apa sahaja, maka kekeliruan ini dilenyapkan dengan pengecualian atau syarat, “غير متبرجات بزينة” iaitu tidak menampakkan kepada manusia, perhiasan berupa berhias diri dengan pakaian luaran dan menutup wajahnya dan daripada menghentakkan kakinya di bumi agar diketahui apa yang terselindung daripada perhiasan pada kakinya sebab semata-mata adanya berhias dirinya seorang wanita sahaja, walaupun dengan menutupinya, meskipun tiada keinginan kaum lelaki padanya lagi, sudah cukup untuk menjadi suatu fitnah atas dirinya dan mengundang perhatian terhadap dirinya dengan sesuatu yang menyusahkan dirinya sendiri, “و أن يستعففن خير لهن ” dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka – iaitu dengan bernikah dan meninggalkan apa sahaja yang dikhuatiri mengundang fitnah.[2]

Wallahu a'lam.

____________________________

[1] Al-Qur’an; Surah an-Nur: 24:31

[2] Taysier al-Kariem ar-Rahman fie Tafsier Kalam al-Mannan: 523 karangan asy-Syeikh ‘Abdur Rahman bin Nasir as-Sa‘diy (wafat: 1376H)
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts