Friday, September 13, 2013

Kedudukan Solat Tasbih



Soalan:

Assalamaualaikum akhi,
Muga usaha akhi di berkati Allah.
Ana ada satu lagi soalan;
Apakah kedudukan salat sunnat tasbih. Adakah ia sahih dan tolong berikan syarahnya sekali.
Maasalama

- Kamal AK (melalui FB)


Jawapan:

Wa 'alaiykumussalaam wa rahmatullaah,

Bismillah walhamdulillaah wassolaatu was salaam 'alaa Rasuulillaah, wa ba'd.

Solat ini dinamakan Tasbih kerana adanya ucapan tasbih yang khas yang diulang-ulang di dalamnya. Tasbih tersebut ialah :

"سُبْحَانَ اللهِ وَ الْحَمْدُ لِله وَ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ اللهُ أَكْبَرُ"
           
Adapun mengenai hukum solat Tasbih ini, maka ulama telah berselisih pendapat. Ada yang mengatakan bahawa ia disyari’atkan yakni sunnat dilakukan dan ada pula yang mengatakan ia tidak disyari’atkan, yakni tidak boleh diamalkan. Perselisihan mereka  ini berpunca dari perselisihan mereka terhadap derajat hadits yang meriwayatkan tentang solat Tasbih. [1]


Para Ulama' Yang Berpendapat Solat Tasbih Disyari'atkan
                       
Di antara mereka yang menghukumkannya shohih dan dengan hukum tersebut, berpendapat bahawa Solat Tasbih adalah masyru’ (disyari’atkan/boleh diamalkan), ialah  Imam-imam:

  1. Ibn Mubaarak, 
  2. Al-Haafizh Al-Mundziri [2]
  3. As-Suyuthi, 
  4. Abu Bakar Al-Aajuri, 
  5. Ibn Khuzaimah dan lain-lain lagi.


Para Ulama' Yang Berpendapat Solat Tasbih Tidak Disyari'atkan
                       
Adapun ulama yang menghukumkan ia tidak disyari’atkan, maka mereka bukannya menurut hawa nafsu tetapi berpandukan kepada ilmu mereka. Sebagaimana ulama berselisihan di dalam masalah hukum, maka begitu jugalah di dalam ilmu hadits, ada perselisihannya. Kita perlu kepada ilmu Mushtolah, Al-Jarh wat Ta’diel dan yang sepertinya untuk memahami perkara ini.

Di antara mereka yang menghukumkan Solat Tasbih ghairu masyru’ yakni tidak disyari’atkan dan tidak boleh diamalkan ialah Imam-imam:

  1. Ahmad, 
  2. At-Tirmidzi, 
  3. Al-’Uqailiy, 
  4. Abu Bakar ibnul ‘Arabiy, 
  5. An-Nawawi dan lainnya.[3] 

Yang penting ialah sikap kita, menghormati para ulama sebagaimana mereka saling menghormati walaupun mereka berselisih. Bagi mereka yang berkeyakinan ianya tidak disyari'atkan, mereka tidak dipaksa untuk melaksanakannya dan dalam masa yang sama, mereka  perlu sedar bahawa ilmu mereka jauh lebih cetek dari ulama yang telah membahaskan perkara ini dan menghukumkannya sebagai disyari’atkan. Demikian pula mereka yang beranggapan bahawa ia disyari’atkan maka mereka tidak lebih alim dari ulama yang telah menghukumkannya tidak disyari’atkan.

Kedudukan Solat Tasbih Secara Berjemaah
                       
Namun demikian, persoalan melakukan Solat Tasbih secara berjemaah, inilah yang perlu dielakkan kerana tiada dalil yang membolehkan solat Tasbih dilakukan secara berjemaah. Bahkan Qiyamullail juga diperselisihkan ulama, samada dibolehkan berjemaah atau tidak, selain pada bulan Ramadhan. Wallahu a’lam.
                       
Berikut adalah hadits-hadits yang meriwayatkan tentang Solat Tasbih dan tatacara perlaksanaannya. Dengan berpandukan hadits-hadits ini, kita akan dapat menilai sendiri, mengapa ulama tidak membenarkan kita melakukannya secara berjemaah. Hadits-hadits yang menjelaskan cara melakukan Solat Tasbih adalah berikut; 

(Sabda-sabda Nabi صلى الله عليه و سلم )

< يا عباس ! يا عماه! ألا أعطيك ؟ ألا أمنحك ألا أحبوك ؟ ألا أفعل بك عشر خصال إذا أنت فعلت ذلك غفر الله ذنبك أوله  و آخره ، قديمه و حديثه ، خطأه و عمده ، صغيره و كبيره ، سره و علانيته ؟

عشر خصال : أن تصلي أربع ركعات تقرأ في كل ركعة فاتحة الكتاب و سورة ، فإذا فرغت من القراءة في أول ركعة و أنت  قائم قلت : سبحان الله و الحمد لله و لا إله إلا الله و الله أكبر ، خمس عشرة مرة ،

ثم تركع ، فتقولها و أنت راكع  عشرا   ثم  ترفع  رأسك  من  الركوع ، فتقولها عشرا ثم تهوي ساجدا فتقولها و أنت ساجد عشرا ، ثم ترفع رأسك من السجود فتقولها عشرا  ثم تسجد فتقولها عشرا ، ثم ترفع رأسك ، فتقولها عشرا ، فذلك خمس و سبعون في كل ركعة ، تفعل ذلك في أربع ركعات .

فلو كانت ذنوبك  مثل زبد البحر ، أو رمل عالج ، غفر ها الله لك. إن استطعت أن تصليها في كل يوم مرة فافعل ، فإن لم تفعل ففي كل جمعة مرة ، فإن لم تفعل ، ففي كل شهر مرة ، فإن لم تفعل ففي كل سنة مرة ، فإن لم تفعل ففي عمرك مرة > 

Maksudnya:
“Wahai Abbas! Wahai paman ku! Sukakah paman aku berikan sesuatu? Ku hadiahkan? Tidakkah paman mahu aku tunjukkan buat paman 10 perkara yang jika paman lakukannya, Allah akan mengampunkan dosa paman yang dahulu mahupun yang kemudian, yang baru mahupun yang lama, baik yang disengajakan atau yang tersilap, yang kecil mahupun yang besar, yang nyata begitu pula yang tersembunyi ?  
10 perkara itu ialah : Paman solat 4 rakaat dan membaca Al-Fatihah kemudian membaca surah, sebaik sahaja paman selesai dari bacaan tadi pada rakaat pertama di dalam keadaan masih berdiri, paman ucapkan : ‘SubhaanaLlah wal hamdulillaah wa laa ilaa ha illaLlah waLlahu akbar’ (Maha suci Allah, segala pujian bagi Allah dan tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar) sebanyak 15x.  
Setelah itu paman ruku’ dan mengucapkannya ketika ruku’ 10x. Kemudian paman beri’tidal dan mengucapkannya 10x . Lantas paman sujud dan mengucapkannya ketika sujud 10x. Kemudian paman duduk di antara dua sujud dan mengucapkannya 10x. Lalu paman sujud lagi dan mengucapkannya 10x lagi. Setelah itu, paman duduk (seperti tahiyat awal) sebelum bangun untuk rakaat kedua. Dengan itu jumlahnya 75x di dalam setiap rakaat. Paman lakukan itu sebanyak 4 rakaat.
Seandainya, dosa paman seperti buih di lautan atau pasir di pantai sekalipun, Allah akan mengampunkan paman. Sekiranya paman mampu untuk melaksanakannya setiap hari sekali maka lakukanlah, jika tidak mampu, maka sekali pada setiap minggu, jikalau tidak mampu, maka sebulan sekali dan jika tidak mampu, setahun sekali dan jika tidak mampu juga maka seumur hidup sekali.”
 (Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud, An-Nasaa-i, Ibnu Maajah, Ibnu Khuzaimah dan Al-Haakim dari Abdullah bin ‘Abbas - hadits shohih sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Al-Albaaniy dan Imam As-Suyuthi dan lainnya)

Di dalam riwayat lain yang maksudnya:
“Wahai pamanku, sukakah paman aku jalini ikatan, aku berikan hadiah, aku tunjukkan sesuatu yang bermanfaat?  
Solatlah wahai paman ku 4 rakaat. Paman baca di dalam setiap rakaat Al-Fatihah dan surah. Apabila paman telah berhenti membaca bacaan tadi, ucapkanlah : " الله أكبر و الحمد لله و سبحان الله و لا إله إلا الله"‘Allahu akbar, wal hamdu lillaah wa subhaa naLlah wa laa ilaaha illaLlaah’ ( Allah Maha Besar, segala pujian bagi Allah dan Maha Suci Allah dan tiada Tuhan selain Allah) 15x sebelum paman  ruku’.  
Kemudian paman ruku’ dan mengucapkannya 10x sebelum paman bangkit berdiri tegak (i’tidal). Setelah itu paman bangkit (i’tidal) dan mengucapkannya 10x sebelum paman sujud. Lantas paman sujud dan mengucapkannya 10x. sebelum paman duduk di antara 2 sujud.   
Kemudian paman duduk dan mengucapkannya 10x. Kemudian paman sujud lagi dan ucapkannya 10x. Setelah itu, paman duduk dan mengucapkannya 10x sebelum paman berdiri (untuk rakaat kedua). Demikianlah jumlahnya 75x di dalam setiap rakaat, 300 di dalam 4 rakaat.  
Sekiranya dosa paman sebanyak buih di lautan atau butiran pasir halus, Allah akan mengampunkannya. Seandainya paman tidak mampu melakukannya setiap hari, maka lakukanlah setiap Jumu’at (yakni setiap minggu) [4] dan jikalau tidak mampu juga, maka lakukanlah setiap bulan dan kalau tidak mampu juga, maka laksanakanlah setiap setahun.
 (Diriwayatkan oleh Imam-imam At-Tirmidzi dan Ibnu Maajah dari Abi Raafi’ - hadits ini, hadits shohih, sebagaimana yang dihukumkan oleh segolongan ulama, antaranya Imam As-Suyuthi dan Syeikh Al-Albaaniy)

Kesimpulannya, para pembaca yang dirahmati Allah, bagi mereka yang beri’tikad bahawa solat Tasbih tidak disyari’atkan, maka mereka tidak melakukannya. Manakala mereka yang beri’tikad bahawa ia disyari’atkan, maka mereka  melakukannya. Yang penting kedua-dua pihak membina i’tikad mereka itu atas dasar taqwa dan ilmu. Selain itu, ia tidak disyari’atkan berjemaah. Untuk kita sama-sama menilai sebagaimana yang disebutkan para imam, inilah sebab-sebabnya mengapa ia tidak dilakukan secara berjemaah :

1.        Nabi صلى الله عليه و سلم mengajarkan bahawa solat berjemaah adalah lebih afdhal dari solat sendirian bagi solat fardhu 5 waktu. Tetapi Nabi  صلى الله عليه و سلم sewaktu mengajarkan paman baginda solat Tasbih, Nabi صلى الله عليه و سلم menghadiahkan sebaik-baik hadiah, namun, Nabi tidak ajak Abbas melakukannya dengan berjemaah. Sekiranya berjemaah itu disyari’atkan pasti Nabi صلى الله عليه و سلم    telah mengatakan : Marilah paman solat bersama ku, sebagai contoh. 

2.        Sekiranya kita perhatikan, kebanyakan solat sunnat yang disyari’atkan adalah dilakukan secara sendirian kerana keadaan hukumnya yang kembali kepada kehendak seseorang kerana ia tidak wajib. Ada yang ingin laksanakannya dan ada pula yang tidak. Di antara mereka yang melaksanakannya pula,  ada yang suka memperpanjangkan solatnya. Oleh itu, secara sifatnya, solat sunnat itu lebih sesuai dilakukan secara sendirian. Ini dapat juga diteliti melalui sebab  mengapa Rasulullah صلى الله عليه و سلم  meninggalkan Qiyam secara berjemaah iaitu kerana tidak mahu memberatkan umatnya.

3.        Solat-solat sunnat seperti qabliyah dan ba’diyah juga, tidak disyari’atkan secara berjemaah walaupun berjemaah itu secara umum adalah afdhal.

4.         Sepertimana solat Qiyam Ramadhan, seandainya Solat Tasbih digalakkan berjemaah, tentunya Nabi صلى الله عليه و سلم telah mengumpulkan para Sahabat, ahli keluarga baginda untuk melakukannya.

5.         Demikian juga, kita tidak menerima apa-apa riwayat dari para Sahabat bahawa Nabi صلى الله عليه و سلم menyuruh atau menggalakkan mereka melakukannya secara berjemaah sepertimana Nabi telah menggalakkan berjemaah untuk solat fardhu dan solat Jumu’at.

6.         Sekiranya ada orang menyanggah apa yang disebutkan pada noktah ke-5, sebagai qiyas ma’al faariq (iaitu qiyas yang tidak tepat), itu untuk solat wajib, sedangkan solat kedua Hari Raya, Istisqaa dan Khusuf yang merupakan solat-solat sunnat, telah dilaksanakan oleh Nabi secara berjemaah. Maka penjelasannya ialah; solat-solat sunnat tersebut ada ‘illahnya dilakukan secara berjemaah. Antaranya sebagai pengisytiharaan kemenangan, sebagai permintaan dan taubat seluruh masyarakat, memperbetulkan i’tikad, mengingatkan tentang azab dan sebagainya. Adapun Solat Tasbih, maka ia tidak mengandungi illah atau sebab perlu berjemaah.
                       
Maka sikap kita yang sebaik-baiknya ialah menuruti Nabi صلى الله عليه و سلم   seberapa mampu. Jika warid berasal dari Nabi صلى الله عليه و سلم bahawa baginda lakukan secara berjemaah maka kita lakukan secara berjemaah, manakala yang kita tidak dapatkan keterangannya bahawa Nabi صلى الله عليه و سلم telah melakukan secara berjemaah, maka usahlah kita melampaui batas petunjuk Nabi صلى الله عليه و سلم .

Wallahu a’lam.

_____________________________________

[1] Al-Majmuu’ : 4/59-60, Al-Mughniy : 2/552, Fiqhus Sunnah : 1/200, Al-Fiqh Al-Islaami : 2/63 (Terjemahannya : Fiqh & Perundangan) pada nota kaki.

[2] Bukan Al-Haafizh Ibn Hajar (kesilapan yang dihormati Ustadz Sayid Saabiq di dalam Fiqhus Sunnahnya kerana tidak menjelaskan siapa yang dimaksudkan dengan “Al-Haafizh”) - sila rujuk Tamaamul Minnah fit Ta’lieq ‘alaa Fiqhis Sunnah : 260. Menurut Asy-Syeikh Al-Albaaniy, kata-kata Al-Mundziri tersebut ditukil dari At-Targhieb : 1/238.

[3] Al-Majmuu’ : 4/59, Al-Mughniy: 2/551, Al-Fiqhul Islaami : 2/63. Solat Tasbih tidak disebutkan langsung di dalam beberapa kitab Fiqh yang utama, antaranya; Badaa-i’ Ash-Shonaa-i’(Madzhab Hanafi), Al-Ma'uunah dan At-Talqien (Fiqh Maaliki) Al-Haawi Al-Kabier. Bahkan kitab-kitab yang menjelaskan perkara yang telah diijma’kan atau diperselisihkan oleh para ulama juga tidak menyebutnya; Maraatibul Ijmaa’ (Ibn Hazm) Al-Ijmaa’ (Ibnul Mundzir) dan Bidayaatul Mujtahid.. Kemungkinan mereka juga berpendapat ia tidak masyru’, wallahu a’lam.

[4] Sekiranya kita amati, Nabi صلى الله عليه و سلم membilang satu minggu dengan sebutan satu jumu’ah (jumaat) dan inilah yang selaras dengan Syara’ yang telah menjadikan Jumu’ah sebagai penghulu hari semingguan umat Islam. Malangnya, kita telah lebih dipengaruhi oleh anasir Barat sehingga membilangnya menurut hari cuti Barat, hari ibadat Nasrani - hari minggu, sebab itu kita kata “seminggu”. Walaupun mungkin ini perkara remeh di sisi sebahagian umat Islam, namun mungkin inilah di antara perkara yang diberitakan oleh Nabi صلى الله عليه و سلم :
“Kamu akan mengikuti Sunnah (dari sudut bahasa - adat dan tatasusila) mereka yang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, hasta demi hasta, sehingga jika mereka masuk ke lubang (dhobb) biawak gurun pun kamu akan menyusul. Tanya Sahabat : Yahudi dan Nasrani ? Sabda baginda صلى الله عليه و سلم: Lalu siapa lagi (kalau bukan mereka)?” 
Wallahu a’lam.- maksud hadits shohih yang diriwayatkan Imam-imam Al-Bukhaariy, Muslim, Ahmad dan lain-lain rahimahumullah.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts