Sunday, September 22, 2013

Masolih atau Kemaslahatan yang diambil kira dan di-i'tiraf Syariat Islam (Bhg.1)




Assalaamu 'alaikum wa rahmatullaah,

الحمد لله وحدة و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه
أما بعد

Sidang pembaca yang budiman semoga Allah merahmati kita sentiasa,
Seringkali berbagai pihak mempergunakan dasar ini, "kemaslahatan", pada perkara yang mereka ingin buktikan sebagai sesuatu yang diterima Islam, untuk dijadikan sebagai kononnya sebahagian ajaran Islam. Ataupun atas nama "kemaslahatan" sesuatu perkara itu, yang tiada asalnya dalam ajaran Islam, dianggap sebagai baik dan dianjurkan Islam. Kemaslahatan dijadikan seperti satu dalil seperti satu nas; ayat al-Quran atau Hadis Sahih atau Ijma', yang didakwakan sebagai suatu sandaran yang wajib diterima dan layak diterima sebagaimana kedudukan al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijma' mahupun al-Qiyas.

Dalam tulisan kali ini, dengan mengembalikan perbahasan "Kemaslahatan" sebagaimana yang ada dalam Kitab-kitab Usul Fiqh, ajaran ulama' terdahulu, yang telah menetapkan dasar-dasarnya, perkara ini kita kehadapankan kepada sidang pembaca agar jelas dan tidak terkeliru, Insyaa Allah dan kepada Allah jualah dan sahajalah kita memohon PetunjukNya.

Akan saya kaitkan, setelah pembentangan ini, kekeliruan pihak yang mengatakan:
  1. Berdoa dengan "Tawassul kepada Nabi" ada kemaslahatannya. Jawapannya: Perkara Syrik dan yang menjadi penyebab kepada Syirik adalah di antara perkara yang utama dilarang Syari'at, maka, tiada kemaslahatan, malah mudarat semata-mata pada penilaian agama Islam.
  2. Melakukan Zikir dengan bergoyang-goyang ada kemaslahatannya iaitu "bersenam" dan "cergaskan diri" ketika Zikir adalah daripada tatacara ibadat Kaum Yahudi yang tercela dan tiada daripada ajaran Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam dan para Sahabat mahupun para Imam. Sila lihat artikel berkenaan: majlis zikir dan zikru Allah Bah.5 (Haram bergoyang dlm Zikir), serta kebohongan pihak yang mendakwa Imam Nawawi mentafsirkannya sebagai tarian_lihat nota kaki, maka tidak diterima Syari'at Islam. 
  3. Menyambut Maulid ada kemaslahatannya agar umat diperingatkan akan hak Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam. Perkara Bid'ah adalah Penentang Utama kepada as-Sunnah, maka bagaimana mungkin memperingati diri Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam tetapi membuang jauh Ajaran Nabi lagi menentangnya dikatakan ada kemaslahatan??? Jika benar kita cintai Nabi Muhammad shallallaahu 'alayhi wasallaam ikutilah ajaran baginda dan tinggalkan Bid'ah yang telah dicemuh oleh baginda. Ada berbagai cara lain untuk umat diperingatkan akan hak baginda.
  4. Meninggalkan Solat Jumu'at dan Solat Fardhu lainnya demi kemaslahatan pekerjaan, bagaimana mungkin perkara yang Allah wajibkan, ditinggalkan dan diabaikan lalu dikatakan padanya ada kemaslahatan??? 


al-Istislah atau al-Maslahah/al-Masalih al-Mursalah (الإستـصلاح أو المصلحة/المصالح المرسلة) [1]
1. Pengertiannya;

a. Bahasa: Menuntut atau mencari kemaslahatan – mencari-cari “al-Maslahah al-Mursalah” dan akan dijelaskan maksud “al-Maslahah al-Mursalah”

b. Makna:

   Maslahah dari sudut bahasa sama makna dengan manfaat dari perkataan “صَلاح” yakni kebaikan, kemaslahatan dan kemanfaatan. Menurut Ibn Manzur ia juga adalah bilangan satu bagi “المصالح” misalnya jika ada satu kemaslahatan pada sesuatu daripada beberapa kemaslahatannya yang lain, yang banyak.

Apa sahaja yang ada kemanfaatan padanya, samada ada dengan didapatkan (daripada apa yang telah sedia ada) atau terhasil (dengan usaha mewujudkannya) seperti mengecapi suatu faedah atau kelazatan ataupun dengan penolakan dan menghindarkan diri seperti menjauhi kemudaratan dan kesakitan atau keburukan, maka ia layak digelarkan “Maslahah” (manfaat atau kemaslahatan). 
Ringkasnya: Maslahah itu adalah “جلب المنفعة أو دفع المضرة” ertinya: mendapatkan manfaat atau menghindari mudarat.

c. Istilah:

     al-Istislah adalah:
"ترتيب الحكم الشرعي في واقعة لا نص فيها و لا إجماع ، بناء على مراعاة مصلحة مرسلة "
  Ertinya: “Mengenakan/aplikasi hukum Syara‘ pada suatu kejadian/perkara semasa, berdasarkan kemaslahatannya (مصلحة مرسلة) yang diambil kira (sebagai penentu), yang mana, tiada nas dan tidak pula Ijma‘ berkenaan dengan (hukum) perkara itu”

     Maslahah pula adalah:
Manfaat yang dimaksudkan atau yang menjadi matlamat asy-Syari‘ al-Hakiem (Allah Yang Maha Bijaksana selaku Penentu Syari‘at) bagi para hambaNya adalah manfaat dari sudut Pemeliharaan Agama, Nyawa, Akal, Keturunan/Maruah dan Harta mereka. Justeru itu, apa yang menjamin dan mencapaikan 5 perkara pokok/utama ini maka ia adalah Maslahah dan apa sahaja yang menghilangkan atau menyelisihi 5 perkara ini dinilai sebagai mafsadah (keburukan dan lawan kepada Maslahah) serta penghindaran daripadanya, yakni mafsadah itu, adalah satu Maslahah juga. Kelima-lima ini adalah daripada tingkatan “ad-Daruriyat”.
2. Pembahagian “al-Masalih” dari segi ia dinilai di sisi Syara‘ atau tidak dii‘tiraf
“al-Masalih” apabila dinilaikan di sisi Syara‘, iaitu adanya dalil daripada Syara‘ yang menyokongnya atau tidak diambil kira di sisi Syara‘ kerana ketiadaan dalil penyokong, terbagi kepada 3 bahagian: 

i.        Kemaslahatan yang diterima/dii‘tiraf Syara‘ (المصالح الْمُعْتَبرة).

Syara‘ menyokong dan mengambil kira “kemaslahatannya” misalnya (menghindari apa yang) “memabukkan”, sebab ia adalah sifat yang nyata menjadi penyebab diharamkan arak, demi menjamin pemeliharaan akal manusia. Ia telah dinyatakan dengan jelas tegas di dalam Syara‘ sebagai punca pengharamannya[2]. Misal lainnya “kelalaian dan kesibukan daripada mengingati Allah” iaitu pada peringatan Allah perihal Solat Jumu‘at[3]. Maka sebagaimana “jual beli” dinyatakan Syara‘ sebagai “kelalaian dan kesibukan daripada mengingati Allah” pada ketika itu, maka “sewa-menyewa”, “tempahan” dan lainnya dikira sama sahaja hukumnya. 

Contoh daripada as-Sunnah pula, sabda baginda
 “القاتل لا يرثpembunuh (untuk dapatkan warisan) tidak (dibenarkan untuk) mewarisi
yang mana lafaznya telah memberi petunjuk yang jelas bahawa pembunuh itu terhalang dari perwarisan orang yang dibunuh, puncanya ia haloba untuk segera dapatkan harta yang belum tiba masanya untuk ia perolehinya. Maka diqiyaskan perihal penerima harta wasiat yang membunuh pembuat wasiat kerana persamaan sebabnya, iaitu “sifat haloba mendapatkan sesuatu sebelum tiba masanya”.

ii.      Kemaslahatan yang dibatalkan atau tidak dii‘tiraf di sisi Syara‘ (المصالح الْمُلْغاة)

Kemaslahatan yang tidak disokong Syara‘ dan tiada dalil untuk menjadikannya sebagai sandaran malah Syara‘ menunjukkan bahawa ia tertolak, tidak sah untuk dijadikan sandaran/hujjah. Bilamana Syara‘ telah menyebutkan nas bagi suatu hukum pada suatu perkara, yang pada dasarnya, kemaslahatannya tidak dapat diketahui ilmu manusiawi, maka ada pihak yang menyangka bahawa hukum itu terkait ‘illah/punca/sebab yang disangkanya terkandung padanya kemaslahatan, lalu dijadikan sandaran untuk merubah ketentuannya (hukum itu), dengan sangkaan bahawa yang demikian itu mencapaikan suatu kemanfaatan atau dapat menolak suatu kemudaratan, kesimpulan dan penilaian kemaslahatan sebegini adalah tertolak. Sebab, kemaslahatan yang disangkanya ada pada perubahan penentuan hukum itu, tidak dii‘tiraf Syara‘ dan ia mencanggahi tujuan Syara‘ maka tidak sah untuk dijadikan “penentu hukum”.
Misalnya, ketua negara bernama ‘Abdur Rahman bin al-Hakam telah menggauli (kesatuan tubuh) hamba sahayanya pada siang hari Ramadan, maka Yahya bin Yahya al-Laytsi al-Maliki memfatwakan bahawa beliau (‘Abdur Rahman) diwajibkan berpuasa 60 hari sebagai penebusannya[4].  Beliau beralasan bahawa fatwanya itu berdasarkan penilaiannya bahawa “kaffarah” ditetapkan dengan kemaslahatannya adalah untuk menjadi suatu penghindaran dan denda yang menjadikan pelakunya serik. Yang mana jika pembebasan hamba sahaya yang diwajibkan ke atasnya sebagai kaffarah, selaku ketua negara, denda seperti itu tidak berkesan, kerana kekayaannya yang mampu membebaskan hamba sahaya yang ramai dan akan menjadikannya tidak serik, malah mudah untuk berterusan melakukan hubungan jenis pada siang hari Ramadan, jika dibandingkan dengan denda puasa 60 hari berturut-turut ke atasnya. Walhal perkara itu mencanggahi nas hadis Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam. Namun beliau bertanggapan bahawa pada yang demikian itu ada kemaslahatannya (untuk kes ketua negara ini).
Kemaslahatan seperti ini tertolak dan tidak sah dijadikan sandaran berhukum, sebab ia bertentangan dengan nas Syar‘ie, iaitu hadis orang badwi yang menghadap Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam sambil berkata: 
Aku telah binasa dan membinasakan” lalu tanya Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam: “Apa yang telah anda lakukan?” Jawabnya: “aku telah menyetubuhi isteriku pada siang hari Ramadan.”. Lantas Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam mengarahkannya: “Merdekakanlah seorang hamba.” Jawabnya: “Saya tidak mampu”. Maka Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam arahkan: “Berpuasalah 60 hari berturut-turut” Jawabnya: “Aku tidak berupaya”. Sabda Nabi shallallaahu 'alayhi wasallaam lagi: “Beri makan 60 orang miskin”.
(HR al-Bukhariy dan Muslim daripada Abi Hurairah).
Dalam permasalahan ini, Syara‘ telah mendahulukan penebusan dengan “memerdekakan hamba” demi kemaslahatan para hamba, tetapi ‘alim tersebut telah mengutamakan puasa dengan meninggalkan kaffarah yang utama dan pertama iaitu memerdekakan hamba, dengan sangkaannya yang demikian itu ada kemaslahatannya, namun ia tertolak sebab mencanggahi nas Syara‘ (Syara‘ mendahulukan memerdekakan hamba).
Contoh lainnya: Membahagikan harta peninggalan secara sama rata kepada anak-anak lelaki dan perempuan, yang ditimbulkan oleh golongan yang tidak berilmu, disebabkan suatu kemaslahatan, yang timbul kerana kekeliruan mereka. Ini juga daripada maslahah yang tertolak yang mencanggahi Firman Allah dalam pembahagian harta warisan[5].
Kesimpulannya:  kedua-dua kemaslahatan dalam contoh-contoh itu tadi, tertolak dan tidak dii‘tiraf Syara‘ kerana 2 perkara:
  1. Ia mencanggahi nas Syara‘ dengan percanggahan yang nyata.
  2. Jika dibukakan ruang untuk “penilaian kemaslahatan” seperti ini, maka akan diterima apa yang dikelirukan sebagai maslahat dan tentunya ia menjadi pemangkin kepada perubahan batas-batas ketentuan Syara‘, yang semata-mata kembali kepada perubahan keadaan.
iii.    al-Masalih al-Mursalah (المصالح المرسلة) iaitu Kemaslahatan yang tiada pernyataan jelas samada ia dii‘tiraf atau ditolak Syara‘

...bersambung ke Bhg.2




[1] It-haf Dzawi al-Basa-ir – Dr. ‘Abdul Kariem an-Namlah: 4/306, Atsar al-Adillah al-Mukhtalaf fieha – Dr. Mustafa al-Bugha: hlm. 28, Mudzakkirah fie Usul al-Fiqh – Syaikh Muhammad al-Amien asy-Syingqieti: hlm. 200. 
[2] Surah an-Nisa’: 4: 43 – ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman janganlah dekati solat sedang kamu dalam keadaan mabuk…” dan antara hadis: “Setiap yang memabukkan adalah haram” HR al-Bukhariy dan Muslim; Sahih al-Jami‘ as-Saghier: 4550 dan “Setiap yang memabukkan adalah khamr/arakSahih al-Jami‘ as-Saghier: 4553.
[3] Surah al-Jumu‘ah: 62: 9 – ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman apabila telah diserukan untuk Solat Hari Jumu‘at maka segeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkan segala jual beli …”.
[4] Jika menurut tertib kaffarah (penebusan kesalahan) jima‘ pada siang hari Ramadan,  yang pertama adalah memerdekakan hamba, jika tidak mampu, baru beralih kepada puasa 60 hari.
[5] Surah an-Nisa’: 4: 11 – ertinya: “Allah mewasiatkan kepada kamu (dalam pembahagian harta warisan) bagi anak-anak kamu, yang lelaki mendapat bahagian 2 anak perempuan.”



 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts