Monday, September 30, 2013

Persoalan Fikrah dan Manhaj (Bhg.7c) No:1 (Ujian dan Hikmahnya 2)

Kedua: (Kesan baiknya "ujian" ini dan sikap Salaf)

Bismillah walhamdulillaah, selawat dan Salam buat junjungan, Rasulullah, dan ke atas para Sahabat serta para pengikut baginda, amma ba'd,

Sidang pembaca yang budiman, walhamdulillaah, ada teman-teman memberitahu saya, betapa segeranya tulisan saya yang lalu dibaca. Segala pujian bagi Allah.

Kini saya sambung bicara berkenaan Sikap Salaf dan kesan baiknya ujian dengan Sikap mereka.



Kisah Fitnah Terhadap Imam al-Bukhariy

Imam al-Bukhariy (Pengarang kitab Sahih al-Bukhariy; 194-256H) pernah difitnah sebagai berfahaman Qadariyah, terkait masalah "lafaz al-Quran makhluq" sewaktu beliau baru tiba di Naisabur. Dalam sebahagian riwayat, ada Syeikh (orang alim) yang irihati terhadap beliau kerana kelas beliau dipenuhi murid-murid dan para murid meninggalkan sebahagian kelas-kelas yang lain sehingga ketara kurangnya hadirin pada kelas-kelas lain.


(Teringat saya sewaktu di Madinah dahulu, bila asy-Syeikh al-'Utsaimien rahimahullah ziarah Madinah, beliau diminta mengadakan penyampaian, apabila beliau terima, Masyayikh yang lain menutup/membatalkan kelas mereka sebagai penghormatan kepada beliau dan agar para pelajar semuanya dapat menghadiri penyampaian beliau, baik Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, Syeikh 'Atiyyah, Syeikh 'Abdul Muhsin al-'Abbaad, Syeikh al-Waa-ili dan lainnya - sungguh indahnya masa-masa fitnah belum berlaku yang mana "Syeikh mengata Syeikh" belum berleluasa, malah seperti tiada langsung, Wallahu a'lam)

Imam al-Bukhariy, semoga dirahmati Allah sentiasa, bertenang, menjawabnya secara langsung, secara lisan, memperjelaskan aqidah pegangan beliau, namun tidak membalas fitnah dengan fitnah atau cercaan atau mengata pihak yang lain. Sebaliknya, beliau kemudiannya meluangkan sedikit masa, menulis Kitab 'Khalq Af'aal al-'Ibaad" yang memuatkan riwayat-riwayat yang menjelaskan ajaran Salaf dalam permasalahan "Perbuatan hamba/manusia adalah bahagian daripada Ciptaan Allah". Dengan karangan beliau itu, yang sehingga kini Allah lestarikan, telah menangkis fitnah tersebut daripada diri beliau. Jelas kepada masyarakat zaman beliau, bagaimana bersihnya aqiedah beliau daripada fahaman menyeleweng yang difitnah atau ditohmahkan terhadap diri beliau. Malah kesan baiknya, umat mendapatkan satu lagi kitab yang menjadi rujukan dalam permasalahan aqiedah, karangan Imam Besar Ahli Sunnah.

Sidang pembaca budiman, fitnah tetap berlaku, satu ujian dari Allah, namun ia mendatangkan akibat yang baik, bagi golongan yang bersabar dan kembali kepada batas-batas Allah dan RasulNya. Seandainya tidak berlaku fitnah itu, mungkin kita terlepas dari manfaat besar hasil karya Imam Agung al-Bukhariy. [Sila lihat   Hadyus Saari; Muqaddimah Fathul Baari: 684-686]

Tauladan lainnya, Fitnah Khalq al-Qur'an tajaan Mu'tazilah pada zaman Imam Ahmad bin Hambal, Imam Ahli Sunnah (164-241H). Setelah sekian lama Khalifah demi Khalifah yang menganut fahaman Mu'tazilah, yang menjadi satu fitnah besar terhadap umat Islam pada masa itu, sehingga sebahagian Imam ada yang dibunuh dan ada pula yang dipenjara. Imam Ahmad adalah salah seorang yang dipenjara hampir seumur hidup beliau semenjak tercetusnya fitnah tersebut. Namun pada akhir hayat beliau, dengan Kehendak Allah, setelah jelas kesabaran kaum Muslimien, mengikuti panduan Salaf, Allah mengembalikan kemenangan kepada Ahlis Sunnah.

Kesan baiknya daripada fitnah ini, 'ulama semakin ramai yang menulis, mengarang berbagai tulisan berkenaan 'Aqiedah Salafussolih. Imam Ahmad sendiri, anak beliau 'Abdullah, para Imam Ahli Hadis, al-Bukhariy, Abu Dawud dan lainnya, Imam al-Muzaniy, Imam at-Tohaawiy, at-Thobariy, Ibn Abie 'Asim dengan Usul as-Sunnah, Syarh as-Sunnah, Shorieh as-Sunnah dan berbagai lagi. Kesedaran mereka serta kekhuatiran mereka jika umat tidak mengetahui 'Aqiedah asal ajaran Nabi dan para Sahabat serta umumnya Salafussolih, setelah "episod" Fitnah Mu'tazilah tersebut. Beruntungnya kita umat Islam dengan rujukan-rujukan tersebut yang menjelaskan 'Aqiedah Ahli Sunnah wal Jama'ah yang sebenar, yang Allah abadikan, sehingga akhir zaman, tiada sesiapa sewenangnya, mengaku diri Ahli Sunnah wal Jama'ah atau pengikut Salafussolih, kecuali yang 'Aqiedahnya bersesuaian dengan apa yang ada dalam tulisan-tulisan monumental tersebut.

Demikianlah kesan ujian dan kesabaran Salafussolih dan tindakbalas mereka yang penuh hikmah, yang bermanfaat kepada umat, bukan sahaja umat zaman mereka, malah sehingga Hari Kiamat dan usaha mereka itu menjadi amalan solih yang berterusan bagi mereka.

Oleh itu, usahlah kita diperdaya dengan laungan-laungan atau "ngauman" (kalau perumpamaannya singa yang tidak bertaring, tidak pula berkuku, lagi ditambat dan dalam kurungan kandang) mana-mana pihak dengan dakwaan sebagai Ahli Sunnah wal Jama'ah sebenar ataupun pengikut sejati Salaf, bilamana ilmu, amal dan akhlaq serta sikap tidak mencontohi apa yang ada dalam rujukan-rujukan tersebut. Ibarat "tin kosong" yang hanya ada seketul batu, bila digoncangkan, memang bising, padahal hanya ada seketul batu. Berbeza dengan "tin" yang sudah penuh, hampir tiada bunyi bila digoyangkan. "Hal yastawilladziena ya'lamuun wal ladziena laa ya'lamuun?" Lihatlah dan bandingkan dengan penjelasan selanjutnya.

Kiriman saya, video yang mengandungi nasihat Syeikh al-Fawzaan agar para penuntut ilmu jangan masuk campur perbalahan antara 'ulama/Masyayikh, memihak yang ini atau yang itu, adalah memadai. Itu adalah nasihat selepas siri perbalahan antara kedua Syeikh. Begitu juga "kesabaran" 7 tahun Syeikh Rabee' terhadap Syeikh Yahya, tapi "dimansukhkan" pengiktirafan itu, namun bukankah telah dii'tiraf?

Jemaah yang mentahdzier hanya baca terjemahan, tengok video youtube pun dengan transcription terjemahan bahasa Inggeris, yang adakalanya distorted/diputarbelitkan, saya walhamdulillaah, membaca dan melihat dari berbagai websites, weblog forum yang ada dalam Bahasa Arab dan kesimpulannya, tinggal kita ikuti nasihat Syeikh al-Fawzaan tersebut. Itu adalah nasihat dari seorang Kabier dari Kibaar 'Ulama', yang bukan sahaja mengetahui apa yang berlaku, malah kesan dan sikap yang sepatutnya diambil agar bermanfaat. Itu bukan nasihat budak-budak. Melainkan kalau budak-budak sudah rasa diri Kabier berbanding Syeikh al-Fawzaan.

Nasihat dan Dakwah Jemaah Tahdzier seperti ini (bukan yang di sg. sahaja, umum) adalah berdasarkan "zhonn" semata-mata, assumptions, "assume" itu dan ini, jika anda teliti dari awal "episod". Assume orang ini berfahaman sekian, assume orang itu tidak tahu, "assume" orang da'i sekian telah bersekongkol, "assume" dakwah sekian disokong dan menyokong aliran menyeleweng sekian, bagaimana mungkin mereka ini, Jemaah Tahdzier, akan menepati sifat Salafusoolih, jika dari awal ayat al-Quran ini tidak diamalkan?:

 ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya."

Semoga Allah beri PetunjukNya kepada kita semua untuk patuh kepadaNya.

Pernah baca ke "kulalsalafiyeen.com", "alathariyah.net",  dll...apatah lagi forum2 yang berbagai? Tak habis cerita saling mentahdzier dan ada yang cuba mendamaikan dan sebenarnya, panduan 'Alim Kabier seperti Syeikh al-Fawzaan memadai bagi kita. Mudah-mudahan mereka tidak kutuk dan cela Syeikh al-Fawzaan pula. Who has not been slandered by them? Local Asaztizah, International Speakers/Du'aat, Masyayikh who disagree with their Masyayikh. Akhirnya, nanti, mereka akan saling mentahdzier dan mentabdie' satu sama lain. Yang mengikuti Salaf sebenar, akan sentiasa berkasih sayang, tegur menegur, bantu membantu antara satu sama lain, menurut batas-batas Allah dan RasulNya, mengikuti Salafussolih yang asli. Semoga Allah kurniakan Rahmat dan TaufiqNya.

Akan saya jelaskan sekali lagi berkenaan Radio Hang, Radio Rodja dan Ihya' at-Turots, yang dipersoalkan dan dikutuk teruk oleh seorang bergelar Abu Da_ _ _ l@Omar, yang secara peribadi selalu menelefon bertanya secara "live" kepada sebahagian Asatizah yang menyampaikan di Radio Hang (saya dengar sendiri). Sungguh  pelik...mereka tahdzier (beri amaran agar berwaspada dan menjauhi), tapi mereka tekun mengikuti/follow??? Allah Maha Kaya.

Justeru itu, sidang pembaca yang budiman ambillah dari sumber suci ajaran Salafussolih yang asal, yang asli tulen dan berwaspadalah daripada yang lain.

"Episod" ini yakni timbulnya "Jemaah Tahdzier", semoga membantu kita semua lebih bersungguh-sungguh mendapatkan ilmu daripada sandaran-sandarannya, rujukan-rujukannya bukan sekadar bergantung pada terjemahan-terjemahan di internet, demi kesejahteraan kita dunia akhirat dan ikutan kita kepada teladan Salafussolih.

Wallahu Waliyut Taufieq.

Bersambung dengan No: 2 (Insyaa Allah)    

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts