Wednesday, October 2, 2013

Masolih atau Kemaslahatan yang diambil kira dan dii'tiraf Syariat Islam (Bhg. 2)

sambungan daripada (Bhg. 1)



iii.     al-Masalih al-Mursalah (المصالح المرسلة) iaitu Kemaslahatan yang tiada pernyataan jelas samada ia dii‘tiraf atau ditolak Syara‘

Dalam erti kata lain; ia adalah kemaslahatan-kemaslahatan yang tiada dalil daripada Syara‘ yang menyokongnya sebagai sesuatu yang diambil kira dan tidak pula sebagai sesuatu yang ditolak. Apabila ada suatu perkara atau berlaku suatu kejadian, yang tidak ditentukan hukumnya di dalam Syara‘ dan tidak pula dikenalpasti adanya ‘illah/punca/sebab yang dapat dijadikan sandaran kepada satu hukum daripada hukum-hukum Syara‘ dan didapati padanya ada sesuatu yang bersesuaian untuk ditentukan baginya ketentuan hukum, iaitu ketentuan hukum pada dasarnya bersekitar pada penolakan kemudaratan atau meraih manfaat, maka perkara yang bersesuaian pada kejadian/hal ini dinamakan “al-Masalih al-Mursalah”.
Ia dinamakan “Maslahah” dari sudut yang mana hukum didasarkan di atasnya pada penolakan kemudaratan ataupun pencapaian kemanfaatan (yakni kemaslahatan manusia).

Ia digelarkan “Mursalah” pula dari sudut yang mana, Syara‘ telah membebaskannya (mursal) tanpa keterikatan samada diambil kira atau ditolak, iaitu tiada dalil daripada dalil-dalil Syara‘ yang membatalkannya, menolaknya dan tiada pula dalil-dalil Syara‘ yang menyokongnya dan mengi‘tirafnya.

Kesimpulannya, yang sebenarnya, al-Masalih al-Mursalah adalah setiap kemanfaatan yang terangkum/termasuk dalam Maqasid (tujuan-tujuan atau matlamat-matlamat) Syara‘, yang tiada baginya dalil sokongan yang menunjukkan bahawa ia diambil kira ataupun sebaliknya, tertolak.

9.3.3 Pembahagian “al-Masalih al-Mursalah”

“al-Masalih al-Mursalah” terbagi kepada 3 bahagian:

i.        Yang digelarkan sebagai “al-Hajiyat”  (الحـاجـيات)
Ia adalah amalan-amalan dan perbuatan atau tindak tanduk serta kemaslahatan-kemaslahatan yang mana kehidupan manusia dapat diteruskan seperti biasa, tidak bergantung kepadanya, jika seandainya ia ditinggalkan atau tidak dapat dilakukan atau tidak diwujudkan, tidak akan menjejas atau membinasakan kehidupan manusia. Kehidupan dapat diteruskan meski tanpa perkara-perkara “al-Hajiyat” ini, hanyasanya mereka merasakan adanya kesempitan, maka dengan itu, ia adalah amalan-amalan dan kelakuan/perlakuan yang diizinkan Syara‘ kerana keperluan/hajat manusia kepadanya demi melenyapkan kesempitan yang lumrahnya mempersempit dan menyukarkan mereka agar mereka tidak mengalami kesusahan sehingga kehilangan atau terlepas dari sebahagian yang mereka mahukan.

Contoh-contohnya: Berlebihan pada sebahagian mu‘amalat seperti as-Salam. Demikian juga “berbuka ketika dalam perjalanan bermusafir”, “berbagai keringanan disebabkan sakit” dan seumpamanya. Segalanya itu tadi, manusia berhajatkan kepadanya, meskipun jika mereka tidak mendapatkannya, kehidupan mereka masih tidak terjejas walau ada sedikit kesempitan.

ii.      Yang dirumpunkan dalam bahagian “at-Tahsiniyat” (التحسينيات)  
Ia adalah amalan-amalan dan perlakuan serta kemaslahatan-kemaslahatan yang mana kehidupan manusia tidak menghadapi kesusahan, sekiranya ia tiada atau tidak dilakukan atau tidak didapatkan, maka ia daripada perkara-perkara yang boleh dikatakan “perhiasan” atau “kelengkapan lebihan” yang lebih memudahkan dan indah dipandang mata. Yang mana secara naluri dan lumrahnya hukum akal, manusia suka pada yang indah, menawan pada pandangan mata dan tidak suka sesuatu yang tidak tertib, tidak teratur atau keadaan mahupun pemandangan yang jelek.

Contoh-contohnya: Daripada “at-Tahsiniyat” adalah keberadaan wali di dalam pernikahan yang disyaratkan oleh asy-Syari‘, yang mana Rasulullah telah menyatakan:
"أيما امرأة نكحت نفسها بغير إذن وليها فنكاحها باطل... " 
Ertinya: “Mana-mana sahaja wanita yang menikahkan dirinya sendiri tanpa izin dari walinya maka pernikahannya batil (tidak sah)… [1] dan sabda baginda: “لا نكاح إلا بولي و شاهدي عدل” ertinya: “Tiada nikah yang sah kecuali dengan adanya wali dan dua orang saksi yang dipercayai [2]

Namun contoh ini sebenarnya bersesuaian untuk “al-Hajiyat” dan juga “at-Tahsiniyat”. Ia bersesuaian dengan “at-Tahsiniyat” dari sudut yang mana Syara‘ mensyaratkan wali, agar seseorang wanita tidak menikahkan dirinya sendiri, demi memelihara ketinggian maruah wanita, yang dengannya, tidak menampakkan dirinya seolah-olah “kurang sifat malu”, “menyerahkan dirinya sendiri” kepada seorang lelaki, malah walinya yang mewakilinya. Dengan walinya yang melakukan “penyerahan diri wanita” itu, maka terserlah kesopanan dan keindahan diri wanita itu, yang punya harga diri. Daripada sudut ini, ia suatu daripada “at-Tahsiniyat”.

Jika diambil daripada sudut penilaian bahawa ia adalah “al-Hajiyat”, maka ia adalah keperluan bagi si wali untuk menentukan pilihan pasangan hidup bagi wanita yang ingin bernikah demi kemaslahatannya, kerana gadis itu mungkin tidak dapat membuat penilaian yang teliti dan tepat dengan pilihannya sendiri. Namun yang demikian itu, tetap dengan kemahuan gadis itu sendiri, tidak dipaksakan ke atas dirinya.

Daripada “at-Tahsiniyat” juga adalah Adab-adab ketika makan dan minum, menghindari apa yang jijik dan jelek daripada makanan, mengelakkan pembaziran, larangan menjual barangan najis, larangan menjual air lebihan dan benih haiwan dan seumpamanya. 

Perhatian: Tidak diperbolehkan berpegang atau bersandarkan kepada “al-Hajiyat” dan “at-Tahsiniyat” tanpa adanya dalil[3].

Seorang ahli Ijtihad tidak boleh berpegang atau bersandarkan dengan Masalih “al-Hajiyat” dan “at-Tahsiniyat” tanpa ada dalil atau dasar Syara‘ yang dijadikan sebagai asasnya dan ini adalah satu perkara yang disepakati ‘ulama’.

Dalam erti kata lainnya: Seorang mujtahid tidak akan memutuskan suatu hukum Syar‘ie pun berdasarkan sesuatu daripada Masalih “al-Hajiyat” dan “at-Tahsiniyat” tanpa ada dalil Syar‘ie yang sah. ‘Ulama’ menyatakan demikian berpandukan dalil-dalil berikut:

  1. Jika yang demikian itu diperbolehkan, maka jadinya asal penetapan hukum itu berlaku dengan pendapat (dengan penialaian akal semata) – penjelasannya: Hukum Syara‘ amat bergantung pada dalil daripada dalil-dalil Syara‘, seperti al-Qur’an atau as-Sunnah atau al-Ijma‘ ataupun al-Qiyas. Seandainya diperbolehkan bergantung pada Masalih “al-Hajiyat” dan “at-Tahsiniyat” tanpa ada dalil Syar‘ie atau dasar Syara‘ yang dijadikan sebagai asasnya, seperti yang telah disebutkan tadi, tentunya penetapan hukum Syara‘ itu hanya bergantung pada pendapat dan ini adalah batil.
  2. Dengan itu juga bererti, kita tidak perlukan perutusan para rasul – betapa tidak, kerana manusia boleh tentukan hukum Syara‘ dengan akalnya semata-mata, yang dengan itu tiada faedahnya para Nabi dan Rasul diutuskan untuk menjelaskan hukum-hukum Allah. Jika demikian bermakna manusia cukup menggunakan akalnya untuk menentukan yang baik dan yang buruk, padahal akal tiada peranan dalam ketentuan asal Syari‘at ini. Justeru setiap hukum mesti berlandaskan Syara‘ yang dijadikan sebagai asasnya.
  3. Semestinya jadinya, orang awam yang tidak berilmu sama sahaja dengan orang ‘alim kerana masing-masing dapat menggunakan akal masing-masing untuk menentukan hukum berdasarkan kemaslahatan diri peribadinya – Sungguh nyata perbezaan antara seorang ‘alim yang mengetahui dalil-dalil Syar‘iyah, urutan dalam berhujjah dengannya, selok-belok pengeluaran hukum daripadanya serta mana yang kuat dan mana pula yang lemah untuk dijadikan sandaran, sedangkan seorang awam yang bukan ‘alim tidak mengetahui semuanya itu tadi. Sekiranya dibenarkan untuk bersandarkan pada Masalih “al-Hajiyat” dan “at-Tahsiniyat” tanpa ada dalil Syar‘ie atau dasar Syara‘ yang dijadikan sebagai asasnya, semestinya jadinya tiada beza dan sama sahaja antara seorang ‘alim dan orang awam, sebab setiap diri mengetahui kemaslahatan untuk dirinya pada perkara-perkara “perhiasan” atau “kelengkapan lebihan” yang menyenangkan dan indah (at-Tahsiniyat) dan juga perkara-perkara berupa hajat keperluannya (al-Hajiyat).

iii.    Ad-Daruriyat (الضروريات)

bersambung (Bhg. 3) terakhir.




[1] HR Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmidzi, Ibn Majah dan al-Hakim daripada ‘A-isyah – Sahih al-Jami‘ as-Saghier: 2709
[2] HR al-Baihaqiy daripada ‘Imran bin Husayn dan ‘A-isyah; no:  (7557) dan tanpa lafaz “2 orang saksi” adalah riwayat Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasa-i dan Ibn Majah serta al-Hakim daripada Abi Musa dan Ibn Majah sendirian daripada Ibn ‘Abbas – Sahih al-Jami‘ as-Saghier: (7555)
[3] Asy-Syeikh Muhammad al-Amien asy-Syingqiti menyatakan bahawa Imam Malik mengambil kira “al-Hajiyat” dan dalil Imam Malik antaranya, yang diamalkan para Sahabat, kesepakatan mereka ketika Abu Bakar melantik ‘Umar, ‘Umar membina penjara, pendaftaran askar, ‘Utsman mengadakan Azan Jumu‘ah dan lainnya banyak  – al-Mudzakkirah: hlm. 202-203 
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts