Friday, October 4, 2013

Masolih atau Kemaslahatan yang diambil kira dan dii'tiraf Syariat Islam (Bhg. 3-akhir)

sambungan daripada (Bhg. 2)

i.        Ad-Daruriyat (الضروريات)

Perkara-perkara yang diberikan perhatian kepadanya oleh asy-Syara‘, iaitu 5 perkara yang Syara‘ pelihara bagi kemaslahatan manusia; pemeliharaan agama, nyawa, akal, nasab dan harta mereka  (حفظ الدين و النفس و العقل و النسب و المال). Ad-Daruriyat adalah amalan-amalan dan perlakuan serta kemaslahatan-kemaslahatan yang diberikan perhatian kepadanya oleh Syara‘, yang mana ia amat diperlukan untuk menjamin dengan pasti, tercapainya kemaslahatan keagamaan dan  keduniaan serta pemeliharaan Maqasid asy-Syarie‘ah (matlamat-matalamat atau tujuan-tujuan Syara‘), yang mana jika satu daripadanya tidak ada, maka kemaslahatan tidak akan dapat dicapai, malah kehidupan manusia menjadi serba kurang dan tidak lengkap, binasa dan hancur.


Ia dicapai dengan rukun-rukunnya ditegakkan dan dikukuhkan dasar-dasarnya dengan mantap sebagaimana juga sekaligus dengan segala bentuk keburukan terhindar dan keadaan semasa terpelihara dari segala kekurangan serta yang diandaikan boleh berlaku juga dielakkan.

Lantaran itu, disyari‘atkan pemeliharaan agama kaum Muslimien, jiwa raga mereka, akal mereka, nasab mereka dan harta mereka dan inilah yang digelarkan “Ad-Daruriyat al-Khamsah – 5 perkara daruri/terutama/paling genting atau penting” [1] yang sedia diketahui.  

Contoh-contoh Ad-Daruriyat: 

Demi pemeliharaan Agama:

Sesungguhnya Allah telah mensyari‘atkan (menentukan hukum Syar‘ie) demi Pemeliharaan Agama perkara-perkara berikut; “pembunuhan orang kafir yang menyesatkan orang lain dari agama ini”, “Pembunuhan orang murtad yang menjadi penyebab kepada gejala murtad”, “hukuman terhadap mubtadi‘ yakni ahli bid‘ah, yang menyeru orang kepada bid‘ahnya” dan juga “pensyari‘atan Jihad”. Sementara untuk Pemeliharaan Nyawa pula; disyari‘atkan “Hukum al-Qisas”, “Denda Diyah – pampasan ganti nyawa” dan “kewajipan makan, minum, berpakaian dan bertempat tinggal yang diperlukan menurut kadar asas keperluan manusia untuk kekal hidup dan terpelihara tubuh dari kebinasaan”. Manakala untuk Pemeliharaan Akal pula; disyari‘atkan “Hukuman bagi peminum arak”, “kewajipan makan dan minum yang diperlukan sebagai penerus kehidupan dan penjamin kewarasan akal” dan seumpamanya. Demi Pemeliharaan Keturunan dan Nasab (serta Maruah), disyari‘atkan “Hukum ke atas penzina” dan ditetapkan “Hukum-hukum dan hak-hak penjagaan anak dan tanggungan nafkah” serta “dilarang pembunuhan anak-anak kerana khuatir miskin” dan sebagainya. Adapun untuk Pemeliharaan Harta, ditentukan “hukuman ke atas jenayah pencurian”, “peraturan urusniaga di antara sesama manusia demi menjaga hak-hak sesama mereka dan penjaminannya”.

Tidak mungkin diabaikan 5 perkara dasar ini, bilamana ia merupakan rukun-rukun atau paksi-paksi kehidupan baik dan sempurna bagi manusia, yang menjadi matlamat asas  kepada amalan-amalan dan tindak-tanduk (yang manusia lakukan) demi kemaslahatan yang bersifat daruri (kemestian), yang tidak dapat tercapai, tidak dikecapi kecuali dengan memberi tumpuan perhatian kepada kelima-lima tersebut.  
Perhatian:  Hukum-hukum yang disyari‘atkan untuk pemeliharaan ad-Daruriyat adalah hukum-hukum yang terpenting, yang terutama untuk diberikan perhatian dan peringkat yang menyusul adalah hukum-hukum yang disyari‘atkan dengan bermatlamatkan “al-Hajiyat” dan kemudian barulah yang disyari‘atkan untuk “at-Tahsiniyat”. Wallahu  a‘lam.
9.3.4 Dalil bagi yang berhujjah dengan “al-Maslahah ad-Daruriyah al-Mursalah”   

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, lagipun kita tentu ingat bahawa kita sedang membicarakan sumber-sumber hukum atau dalil-dalil yang diperselisihkan oleh ‘ulama’ samada layak dijadikan dalil ataupun tidak, berhukum dengan “al-Maslahah ad-Daruriyah al-Mursalah” sebagai sumber hukum Syari‘at adalah perkara yang dipertikaikan oleh ‘ulama’. Namun kita perjelaskan pada kesempatan ini, dalil-dalil yang dijadikan sandaran oleh ‘ulama’ yang berhujjah dengan “al-Maslahah ad-Daruriyah al-Mursalah” dan mereka adalah Imam Malik dan ‘ulama’ Madzhab asy-Syafi‘iyah yang berhujjah dengannya dengan beberapa ketentuan.

Hujjah mereka: Kita telah sedia mengetahui bahawa Syara‘ ini datang dengan adanya sudut tujuannya atau matlamatnya yang merupakan kemaslahatan bagi manusia. Maka al-Fiqh al-Islamiy (Perundangan Islam dan hukum-hukumnya) pada hakikatnya berdiri tegak (atau dasar perlaksanaannya adalah) dengan perhatiannya terhadap kemaslahatan manusia, sehinggakan setiap yang merupakan al-Maslahah, pasti ada dalil-dalil yang menuntutnya dan setiap yang berupa Mafsadah (keburukan dan kebinasaan pada manusia), pasti ada dalil-dalil yang mencegahnya dan ini menjadi satu dasar yang ‘ulama’ kaum Muslimien berhukum dengannya, sebagaimana mereka juga bersepakat bahawa keseluruhan hukum-hukumNya adalah untuk menjamin kemaslahatan para hamba di Dunia dan Akhirat dan Maqasid asy-Syarie‘ah (Matlamat-matlamat Syari‘at) hanyalah untuk mencapaikan kesejahteraan dan kebahagiaan hakiki bagi mereka.

Dengan erti kata lain, hukum-hukum disyari‘atkan demi kemaslahatan manusia. Lantaran itu, ia adalah kemaslahatan yang dapat dijangkau akal manusia, pada sudut ia tidak membuat tuntutan kecuali pada apa yang bermanfaat dan demi kemaslahatan manusia serta tidak pula ia mencegah dan melarang melainkan daripada apa yang buruk, yang dapat diketahui akal manusia pada sudut itu. Allah memerintahkan kita pada apa yang akal kita dapat fahami bahawa ia semata-mata bermanfaat kepada kita dan untuk kemaslahatan kita. Sebaliknya Allah melarang kita daripada apa yang memudaratkan kita, pada tahap yang mana fikiran kita dapat menjangkau kemudaratannya itu. Maka ketikamana berlaku atau timbul sesuatu yang tiada hukum Syara‘ menjelaskannya, lalu seorang ahli ijtihad melandaskan hukum, yang dikeluarkannya, kepada apa yang akalnya dapat menjangkaunya dari sudut manfaat atau mudarat yang ada pada perkara atau kejadian tersebut, kerana Syara‘ telah mengizinkan pada apa yang bersekitar pada kemaslahatan, maka tentunya hukum yang dikeluarkannya telah tegak atas dasar yang sah dan benar di sisi Syara‘.

Seandainya dikatakan: Mengapa dinamakan “al-Maslahah al-Mursalah” dan tidak dinamakan Qiyas sahaja?

Jawapannya: Ia tidak dinamakan Qiyas sebab al- Qiyas semestinya dirujukkan kepada “Asal” yang tertentu iaitu “al-Maqies ‘alaih”, yang asal yang dijadikan bahan sandaran al-Qiyas, berbeza dengan “al-Maslahah al-Mursalah”  sebab ia tidak dikembalikan kepada “Asal” tertentu, malah ia telah diambil kira dan diberikan perhatian oleh Syara‘ dalam banyak perkara daripada Syari‘at iaitu al-Maqasid asy-Syar‘iyah. Wallahu a‘lam.

۞ ۞ ۞ ۞ ۞




[1] Asy-Syeikh Muhammad al-Amien asy-Syingqiti menyebutkan yang ke-enam iaitu “حفظ العرض – pemeliharaan maruah” – al-Mudzakkirah: hlm. 202 
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts