Monday, November 11, 2013

Hukum al-Ihdaad (berkabungnya seorang wanita) Atas Kematian Suami




بسم الله  و الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول الله و على آله و صحبه و من اتبعه ، أما بعد

Sidang pembaca yang budiman, semoga Allah merahmati kita semua dengan RahmatNya yang Maha Luas.

Kebelakangan ini, saya telah ditanya beberapa pihak berkenaan "al-Ihdaad" yakni menahan dirinya seorang isteri, selepas kematian suaminya, selama 4 bulan 10 hari daripada bernikah dan ia "berkabung" dengan mengelakkan segala perkara yang perlu/wajib dielakkannya sebagai memelihara hak suaminya, yang baru meninggal dunia. Maka saya merasakan ada manfaatnya saya siarkan penjelasan saya di sini untuk manfaat kaum muslimin, setelah menjelaskannya, secara lisan, kepada pihak-pihak yang bertanyakan hal ini. Semoga bermanfaat.

Firman Allah:


Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.

Adapun wanita hamil (balu yang hamil) maka ‘iddahnya dan tempoh berkabungnya adalah selama tempoh ia hamil, tidak kira panjang atau singkat masanya, sehinggalah ia melahirkan. Firman Allah:


Maksudnya: Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.

عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  قَالَ لَا تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلَا تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ وَلَا تَكْتَحِلُ وَلَا تَمَسُّ طِيبًا إِلَّا إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ

Daripada Ummu ‘Atiyah (semoga Allah meredhai beliau): Bahawasanya Rasulullah (sollallaah 'alaihi wa sallam) telah bersabda:
Tidak dibenarkan bagi seorang wanita untuk berkabung atas kematian seseorang lebih daripada 3 hari kecuali atas kematian suaminya iaitu selama 4 bulan 10 hari. (Selama tempoh itu) Ia tidak mengenakan pakaian yang beraneka warna kecuali jika pakaian itu kain putih coraknya sekadar garis-garis (belang) (sejenis kain buatan Yaman pada zaman Nabi), ia juga tidak mengenakan celak dan tidak pula berwangi-wangian melainkan ketika ia bersih (daripada haid) maka (diperbolehkan) ia mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain (untuk menghilangkan bau tidak enak pada bahagian sumber haidnya) .
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Lafaz ini menurut periwayatan Imam Muslim. Imam Abu Dawud dan Imam an-Nasa-i pula meriwayatkannya dengan lafaz tambahan: Ia juga tidak mengenakan inai, sementara di sisi an-Nasa-i dengan lafaz: Tidak menyisir dan mendandankan rambutnya.

Berkabung, sebagaimana yang telah dijelaskan tadi, adalah seseorang balu itu bertetap tinggal dan berada di dalam rumah di mana suaminya meninggal dunia dan rumah itu juga merupakan tempat tinggalnya bersama suaminya serta meninggalkan segala apa yang menjadi tarikan pada dirinya untuk dinikahi orang lain, baik pada pakaian mahupun tubuhnya. Ia berkewajipan meninggalkan perbuatan berpakaian indah dan menarik ataupun berhias, sebagaimana ia juga dituntut meninggalkan perhiasan pada tubuhnya iaitu dengan tidak mengenakan wangi-wangian, berinai, bercelak ataupun apa jua bentuk dandanan dan perhiasan pada wajah, rambut dan keseluruhan tubuhnya, yang sedia diketahui kaum wanita. Demikian keadaannya berkabung dengan tidak keluar rumah dan menjauhkan diri daripada berhias sehinggalah tempoh ‘iddahnya berakhir, samada dengan tamatnya jangka masanya ataupun dengan kelahiran anak yang dikandungnya sekiranya ia hamil. [Tawdieh al-Ahkam min Bulugh al-Maram: 5/76-81]

Kata Imam Ibn Qudamah[1]: 1365 – Permasalahan: Sekiranya wanita itu (yang kematian suami) itu telah pun bermusafir dalam perjalanannya menunaikan Haji, pada ketika itu ia kematian suaminya, sedang ia masih berada dekat (dengan tempat tinggalnya) hendaklah ia pulang ke rumahnya (membatalkan hajinya) untuk melaksanakan tuntutan ‘Iddah (dan berkabung). Adapun jika ia telah berada jauh daripada tempat tinggalnya, ia terpaksa meneruskan perjalanannya dan jika sekembalinya daripada Haji, masih ada lagi baki tempoh ‘Iddah, maka semestinya ia duduk tetap di rumahnya, melaksanakan tuntutan ‘iddahnya.

Kesimpulannya, seorang wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah kematian suami, tidak diperbolehkan untuk keluar menunaikan Ibadah Haji dan tidak pula diharuskan ke tempat lain. Demikian yang diriwayatkan daripada (para Sahabat) ‘Umar dan ‘Utsman. Begitu juga pendapat (para Tabi‘ien – Imam-imam) Sa‘ied bin al-Musaiyib, al-Qasim[2], (dan daripada atba‘ at-Tabi‘ien – Imam-imam) Malik, asy-Syafi‘ie, Abu ‘Ubayd, (golongan) As-hab ar-Ra’yi dan ats-Tsauri. Seandainya wanita itu telah pun keluar bermusafir, lalu kematian suaminya sedang ia masih dalam perjalanan, maka ia mesti kembali pulang sekiranya masih dekat, sebab dalam keadan demikian ia masih dirangkumkan dalam hukum bermuqiem. Adapun jika telah berada jauh, ia teruskan perjalanannya bermusafir.

Kata (Imam) Malik: 
Hendaklah ia dihantar pulang selama ia belum berihram. Namun yang benar adalah ia tidak dihantar pulang jika telah berada jauh, sebab yang demikian ada mudaratnya dan kesukarannya ke atas wanita tersebut dan lagipun ia terpaksa bermusafir untuk perjalanan pulangnya pula (jika dimestikan dihantar pulang).
Kata al-Qadi: 
Hendaknya ia (pulang untuk) berkabung bagi yang masih berada dekat iaitu pada jarak yang belum diharuskan melakukan solat secara qasar dan yang (dikira berada) jauh adalah jarak yang mana mula diperbolehkan qasar, sebab jarak yang mana qasar belum diharuskan hukumnya sama seperti hukum orang yang hadir (di dalam negeri dan tidak bermusafir). Inilah juga pendapat Imam Abu Haniefah cuma beliau berpendapat qasar hanya diharuskan jika perjalanan itu mengambil masa 3 hari. Maka kata beliau: Selama ia berada kurang daripada jarak perjalanan 3 hari daripada kediamannya, maka ia berkewajipan pulang. Adapun jika telah berada lebih jauh daripada kadar itu, maka hendaklah ia meneruskan perjalanan ke destinasinya…Sekiranya ia berada di suatu tempat (di dalam perjalanan) yang mana ia dapat bermukim, maka hendaklah ia bermukim, namun jika tiada tempat bermukim, ia meneruskan perjalanannya ke tempat tujuannya.
Kata Imam asy-Syafi‘ie: 
Jika ia telah terpisah daripada kawasan kediaman, maka ia ada pilihan samada untuk meneruskan perjalanan ataupun kembali pulang, sebab ia dikira telah berada di suatu tempat yang diizinkan oleh suaminya, iaitu untuk ia bermusafir (ketika suaminya belum meninggal dunia)[3], maka ia lebih mirip dengan keadaan seseorang yang telah bermusafir jauh.
Namun bagi kami, ia berkewajipan kembali pulang jika masih dekat berdasarkan kepada periwayatan Sa‘ied…daripada Sa‘ied bin al-Musaiyib katanya: 
Beberapa orang kaum lelaki yang merupakan suami-suami beberapa orang wanita, meninggal dunia sedang isteri-isteri mereka itu dalam perjalanan menunaikan haji ataupun umrah, maka ‘Umar telah menghantar mereka (balu-balu tersebut) pulang daripada Dzil Hulaifah[4] agar mereka menyempurnakan ‘iddah dan berkabung di rumah-rumah mereka[5]… 
Adapun alasan atau dalil bahawa jika ia telah berada terlalu jauh ia tidak berkewajipan pulang adalah sebabnya ia akan menghadapi kesukaran dan malah memerlukannya untuk bermusafir dalam perjalanan pulang (padahal alasan utama agar ia pulang adalah supaya ia tidak bermusafir), maka ia lebih mirip dengan keadaan seseorang yang telah sampai destinasinya… [6]

Kesimpulannya, seorang wanita yang kematian suami, tidak boleh bermusafir walaupun untuk menunaikan Ibadah Haji wajib, selama dalam tempoh berkabung tersebut, meskipun ia ada mahramnya bersamanya. Begitu pula ada keadaan-keadaan yang dikecualikan baginya misalnya jika telah mendapat izin suami dan berada jauh daripada kediamannya.

Rumusannya:
Seorang wanita yang kematian suaminya mesti:
1. Tetap tinggal di rumahnya selama 4 bulan 10 hari. Dengan itu, ia tidak boleh mengiringi jenazah suaminya ke perkuburan dan tidak pula keluar rumah ke mana-mana tempat lain, misalnya, membeli barangan di kedai/pasar, ke rumah anak atau adik-beradiknya atau jirannya. Ini dikecualikan jika darurat, misalnya, tiada sesiapa yang dapat menyediakan bahan makanan sehariannya. Ia memerlukan penjagaan orang lain kerana terlalu tua atau menghidapi penyakit yang menyebabkannya memerlukan demikian dan mereka yang akan menjaganya pula tidak mampu menemaninya di rumahnya (yang ia tinggal bersama suaminya) sehingga ia terpaksa "berpindah" tinggal di rumah anaknya dan bertetap tinggal selama tempoh 'iddahnya itu. Begitu juga jika ia perlu mendapatkan rawatan di klinik/hospital dan darurat lainnya. Adapun untuk sara hidup, jika ia masih ada bekalan harta simpanan, selayaknya ia tidak keluar rumah. Adapun jika ia tidak keluar rumah, keperluan harian hidupnya tidak dapat dipenuhi, maka atas hukum darurat ia diizinkan untuk mencari rezki asas keperluan keluarganya. Namun bila ia keluar rumah kerana darurat  yang digambarkan tadi, ia tetap perlu menjaga perkara-perkara berikut ini 
2. Ia tidak berdandan (sebahagian riwayat, menyikat rambut juga tidak dibenarkan) mengenakan wangian, tidak pula bercelak dan berinai. Meninggalkan segala dandanan dan solekan mahupun apa sahaja yang mengundang "tarikan" pada dirinya. 
3. Tidak bermusafir selama dalam tempoh iddah dan ihdaadnya, 4 bulan 10 hari, walaupun untuk menunaikan Haji Wajib (pertama kali seumur hidup).
Wallahu a'lam.



[1] Imam Muwaffaq ad-Dien Abu Muhammad ‘Abdullah bin Ahmad bin Qudamah, Imam besar Madzhab Hambali dan salah seorang Imam ahli Tahqieq (Muhaqqiq) lahir tahun 541Hijriah wafat 620 Hijriah. Antara karangan beliau: (Ensaiklopedia Fiqh) al-Mughnie, Raudah an-Nazir dan lain-lain lagi  
[2] al-Qasim bin Muhammad bin Abie Bakar (cucu Abu Bakar as-Siddieq), salah seorang ‘ulama kota Madinah yang terunggul – Fuqaha as-Sab‘ah.
[3] Namun perlu difahami bahawa keadaannya adalah ia bermusafir dengan mahram selain suaminya, cuma permasalahannya ialah ia telah mendapat izin suaminya untuk bermusafir ketika suaminya masih hidup maka seharusnya ia diizinkan setelah kematian suaminya untuk itu sahaja kerana berkabung itu daripada hak suami.
[4] Tempat miqat bagi penduduk Madinah
[5] Riwayat Imam Malik: Bab: Bertempat tinggalnya seorang balu di rumahnya sehingga keadaannya halal, Kitab at-Talaq, al-Muwatta’: 2/591-592, al-Bayhaqi: Bab Tempat tinggal seorang balu, Kitab ‘Iddah, as-Sunan al-Kubro: 7/435 dan ‘Abdur Razzaq serta Ibn Abie Syaibah di dalam Musannaf masing-masing. 
[6] Al-Mughnie: 11/303
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts