Saturday, November 23, 2013

Siapakah Mahram?




بسم الله  و الحمد لله و الصلاة و السلام على رسول الله و على آله و صحبه و من اتبعه ، أما بعد

Baru-baru ini, saya menerima banyak pertanyaan sekitar "Mahram" bagi seorang lelaki atau seorang perempuan. Ini kemungkinan berpunca daripada satu imej (image) "whatsapp" yang dikirim secara berangkai. Imej itu menerangkan secara ringkas dan mudah siapa mahram seseorang dan ia telah ditulis dalam Bahasa Inggeris/English.

Permasalahannya ialah pada perkataan "foster" yang digunakan. Sebagai usaha membantu memperjelaskan hukum Mahram, berikut ini saya kemukakan keterangannya, semoga bermanfaat:

Firman Allah 'azza wa jalla:


maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.[1]

Mahram bagi seseorang wanita adalah suaminya dan sesiapa yang haram untuk dinikahinya buat selama-lamanya samada kerana faktor nasab (talian persaudaraan/kekeluargaan) seperti adik beradik lelakinya ataupun faktor yang mubah/harus hukumnya seperti adik-beradik lelaki susuannya ataupun persemendaan seperti suami kepada ibunya (yang telah menggauli ibunya)

Mereka adalah:

a. 7 daripada NASAB – hubungan kekeluargaan/keturunan (haram menikahinya, halal bersentuhan pada bahagian yang bukan aurat, halal ikhtilat/khulwah yang sesuai batas Syara‘, pendedahan aurat – yakni pada bahagian betis ke bawah dan leher ke atas – dan sah menjadi mahram yang menemaninya ketika bermusafir):
1. Bapa,
2. anak-anak lelaki
3. adik-beradik lelaki (seibu sebapa/seibu sahaja/sebapa sahaja) – berbeza dengan adik-beradik anjing (saudara anjing[2])
4. bapa saudara (adik beradik bapa) dan
5. pakcik-pakcik (adik-beradik ibu)
6. anak saudara (anak daripada adik beradik lelaki) dan
7. keponakan (anak daripada adik-beradik perempuan).

b. 6 daripada SUSUAN (haram nikah & halal ikhtilat/khulwah yang sesuai batas Syara‘, pendedahan aurat – yakni pada bahagian betis ke bawah dan leher ke atas – dan sah menjadi mahram yang menemaninya ketika bermusafir. Namun tiada hak perwarisan & tiada hak nafkah):
1. Suami kepada ibu susuannya – kewujudan susu dengan pergaulannya (berbeza dengan bekas suami kepada ibu susuan),
2. adik beradik susuannya (anak2 ibu susuan & anak2 suami ibu susuan yakni sebapa berbeza dengan anak-anak suami lain)
3. bapa kepada ibu susuannya
4. Bapa mertua ibu susuan (beza dengan mertua, yang merupakan suami kepada ibu susuan)
5. adik-beradik lelaki seibu kepada ibu susuan dan
6. adik beradik lelaki sebapa kepada ibu susuan.

c. SEMENDAAN:
1. Bapa mertua (ke atas) selama-lamanya haram menikahinya,
2. anak menantu (ke bawah) selama-lamanya haram menikahinya.
3. Ipar; mahram sementara yakni haram dinikahi buat sementara kerana halangan Syar‘i (apabila kakak/adik perempuannya meninggal, iparnya yakni suami kepada kakak/adik perempuannya ini halal menikahinya – ganti tikar[3]), begitu juga pakcik ipar (suami kepada makcik/ibu saudaranya) dan mereka ini tidak sah menjadi teman musafir dan tidak halal ikhtilat atau khulwah dengannya serta tidak pula diperbolehkan sentuhan dengannya atau pendedahan aurat di hadapannya, yakni sama sahaja seperti bukan mahram.



Demikian yang disimpulkan dan diperjelaskan oleh ‘ulama berpandukan ayat yang menerangkan Mahram (wanita yang haram dinikahi) bagi seseorang lelaki.


FirmanNya Subhaanahu wa Ta‘aala:



Ertinya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[4]


Syarat sahnya mahram untuk menjadi teman bermusafir seseorang wanita adalah Islam, maka seorang kafir tidak sah menjadi mahram (biarpun haram menikahinya – misalnya; adik beradiknya kafir) dan begitu juga semestinya mahram itu adalah seorang yang akil baligh (berakal dan sampai umur baligh) sebab seseorang yang masih kecil dan juga orang gila tidak akan tercapai penjagaan dan pemeliharaan kehormatan wanita itu serta tiada kelayakan padanya.

Diambil kira keperluan mahram adalah bagi mereka yang telah ada hukum aurat baginya, iaitu apabila gadis telah berusia 7 tahun ke atas sebab ia dikira telah sampai umur yang mengundang syahwat. [5]

Pembatasan umur 7 tahun ini disebutkan oleh ‘ulama’ berdasarkan hadis berikut:

"مُرُّوا صِبْياَنَكُمْ بِالصَّلاةِ لِسَبْعِ سِنِيْنَ ، وَاضْرِبُو هُمْ عَلَيْهاَ لِعَشْرِ سِنِيْنَ، وَ فَرِّقُواْ بَيْنَهُمْ فيِ الْمَضَاجِعِ"

Maknanya: “Suruhlah anak-anak kalian solat pada usia 7 tahun dan didiklah mereka dengan pukulan (jika masih tidak solat) pada usia 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (anak lelaki dan anak perempuan).”

[ HR Ahmad, Abu Dawud, al-Hakim, at-Tirmidzi and ad-Daraqutniy – Nayl al-Autar: 1/298. Hadis Hasan di dalam al-Jami’ as-Saghier no: 5868]

Lagipun, yang diketahui, ada sebahagian gadis telah mencapai umur baligh pada seawal usia 9 tahun, maka tidak sepatutnya disimpulkan ia dipisahkan tempat tidurnya pada usia 10 tahun dan sekaligus penutupan auratnya juga begitu, sebagaimana yang disimpulkan oleh sebahagian ‘ulama, yang memahami bahagian akhir hadis ini, yakni pemisahan tempat tidur adalah pada usia 10 tahun, sedangkan yang lebih tepat adalah 7 tahun.

Wallahu a‘lam.

_____________________

[1] al-Qur’an; Surah al-Ahzab: 33: 36

[2] 18. Saudara Anjing; Maksud: Adik-beradik seibu berlainan ayah. Contoh Ayat: Setelah ibunya berkahwin lain, Mariah memperoleh seorang saudara anjing bernama Mariana. –http://www.seribahasa.com/2009/12/simpulan-bahasa-s.html , ~ anjing saudara (adik-beradik) seibu tetapi berlainan bapa http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=adik-beradik

[3] http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=berganti&d=11 - Kahwin dengan saudara atau keluarga isteri yang sudah meninggal

[4] al-Qur’an; Surah an-Nisa’: 4: 23

[5] Tawdieh al-Ahkam: 3/266-269, Fathul Qadier: 1/668, Adwa’ al-Bayan: 1/238


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts