Wednesday, January 8, 2014

Hukum membaca al-Quran dan Zikir bergoyang terlarang - Pernyataan 'Ulama

الحمد لله وحدة و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه
أما بعد

Kata al-Imam al-‘Iz bin ‘Abdis Salam[1] di dalam “Qawa‘id al-Ahkam”: 2/186:
“Adapun Tarian dan bertepuk tangan adalah suatu kerendahan dan menyerupai perbuatan kelemahan wanita, tidak akan dilakukan kecuali oleh orang yang kurang akal ataupun seorang pereka cerita pendusta. Betapa tarian yang diiringi irama lagu menguasai hati orang itu dan ingatannya, sedangkan Rasulullah telah bersabda:

Sebaik-baik (manusia/umatku) kurun adalah kurun ku (yang aku hidup padanya) kemudian (kurun) yang menyusulinya, kemudian (kurun) yang datang selepasnya.” 



Dan tidak pernah ada seorang pun di antara mereka, daripada golongan yang dijadikan teladan, melakukan perkara ini (menari dan berirama) dan sebenarnya, Syaitan telah memperdayakan kaum yang menyangka bahawa pukulan dan paluan yang mereka perdengarkan ada kena mengena dengan Allah.

Sungguh mereka telah berdusta dalam tuturkata mereka, berbohong dalam dakwaan mereka, dari sudut yang mana kononnya, mereka ketika mendengarkan paluan-paluan dendangan itu sekaligus mereka mampu mendapatkan kedua-dua bentuk kelazatan (ingat Allah dan nikmati dendangan/tarian).

Segolongan ‘ulama telah mengharamkan “bertepuk tangan” berdasarkan sabda baginda: “Bertepuk tangan itu hanyalah untuk kaum wanita – إنما التصفيق للنساء” dan baginda telah melaknati kaum wanita yang menyerupai kaum lelaki dan kaum lelaki yang menyerupai wanita.  
Maka sesiapa yang takutkan Tuhan, ada pada dirinya pengagunganNya, tidak akan tergambar lahir dari dirinya tarian, tidak pula tepuk tangan dan tidak mungkin dilakukan tarian dan tepuk tangan kecuali oleh seorang yang bodoh jahil cetek akal dan kedua-duanya tidak akan terbit daripada seorang yang berakal yang mulia kedudukannya.

Cukup sebagai bukti kejahilan orang yang melakukannya adalah bahawasanya tiada suatu petunjuk di dalam Syari‘ah, daripada al-Quran dan as-Sunnah dan tidak pernah pula dilakukan oleh seorang pun daripada para Nabi dan tiada pula suatu kisah daripada para pengikut setia para Nabi, maka ia hanya dilakukan golongan jahil dan rendah akal yang keliru lagi tidak dapat membezakan antara kebenaran dan hawa nafsu dan Allah telah berfirman:

Ertinya: …dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu.[2]
Sungguh golongan as-Salaf dan golongan mulia daripada al-Khalaf tidak ada kena mengena dengan perbuatan seperti itu. Lantaran itu, sesiapa yang melakukannya dengan i‘tiqad bahawa ia hanyalah suatu kehendak hawa nafsunya semata-mata, bukannya satu perbuatan mendekatkan diri kepada Allah, seandainya ia daripada golongan yang diikuti orang, akan tetapi para pengikut mengi‘tiqadkan bahawa ia melakukannya sebagai suatu perbuatan mendekatkan diri kepada Allah, maka amat buruklah apa yang dilakukannya, kerana ia menjadikan orang yang keliru bertanggapan bahawa perbuatan itu suatu bentuk ketaatan padahal ia adalah di antara seburuk-buruk perbuatan hina dan sia-sia…”[3]

            Di antara pengajaran kata-kata Imam al-‘Izz adalah: “Ada orang yang dianggap ketua atau guru tetapi tidak layak diikuti kerana ia seorang pengikut hawa nafsu, oleh itu, usah kamu tertipu dan terpedaya dengannya dan mengikutinya pada yang salah”, iaitu kata beliau: “seandainya ia daripada golongan yang diikuti orang,…”. Kaitannya dengan sikap masyarakat masa kini, bila ada yang mengajak kepada jalan yang asal berupa ajaran as-Sunnah dan para Imam, para pengikut seseorang guru agama, terutamanya yang masyhur di kalangan masyarakat, akan menjadikan guru itu sebagai “hujjah ikutan” atau “dalil” dengan alasan mereka: “Eh, dia tu Ustadz/Ustadzah, dia buat begitu, takkan dia tak tahu (maksudnya tentunya ia tahu diperbolehkan atau terlarang, salah atau betul, tepat atau menyeleweng)”. Mereka yang berkata demikian sebagai alasan telah pun difahamkan dengan penjelasan Imam al-‘Izz itu tadi. Lagipun persoalannya: Apakah kita tahu dengan pasti bahawa Ustadz/guru itu tahu atau kita hanya “bersangka baik” dengan berkata: “Takkan dia tak tahu” padahal dengan ucapan itu amat jelas kita sendiri tidak tahu, samada:
i.                    Ustadz/guru itu tahu atau ia tidak berilmu dalam hal itu
ii.                  Atau Ustadz/guru itu tersilap faham ajaran yang betul dan ia terkeliru.
iii.     Atau ia tahu tetapi tidak menuruti ilmunya sebaliknya hawa nafsunya dan kegemaran atau kecenderungannya,
Keseluruhannya bererti orang yang beralasan sedemikian hanya mengikut membuta-tuli tanpa berpanduan dan mengikut tanpa ilmu. Padahal Imam al-‘Izz menjelaskan dengan mudah, yang dapat disimpulkan daripada penerangan beliau itu tadi:
i.          kita ikut panduan, panduan daripada Syari‘at, para Nabi dan para pengikut setia para Nabi. Bermula dengan kata beliau: “Cukup sebagai bukti kejahilan orang yang melakukannya…”.
ii.                  jangan ikut peribadi tertentu tanpa panduan dan keterangan
iii.              Cukup sebagai bukti sesuatu dalam hal agama itu tidak dilakukan kecuali oleh orang-orang jahil, bilamana tiada petunjuk Syari‘at; al-Qur’an, as-Sunnah, amalan Sahabat dan para Imam pewaris ajaran Sahabat terhadap perkara itu. Bukan sebaliknya pandai-pandai direka lalu dikatakan, tiada larangannya dalam al-Qur’an dan hadis. Atau mana kita tahu mungkin Nabi dan Sahabat pernah lakukan dan sebagainya yang semuanya adalah kenyataan dengan “sangkaan”, “mungkin begitu, mungkin begini”. Kenapa tak dikatakan mungkin Nabi pernah solat 6 rakaat Zohor, atau 7 fardu sehari semalam?  

Kata asy-Syeikh Bakr Abu Zayd: ‘Ulama Andalus (Sepanyol) telah melarang dengan keras dan tegas berkenaan: at-Tamayul (bercondong melenggokkan badan), al-Ihtizaz (bergoncang/bergoyang-goyang), at-Taharruk (bergerak-gerak, tidak kira ke kanan-kiri atau depan-belakang) ketika membaca al-Qur’an dan mereka menegaskannya sebagai bid‘ah yang dimulakan oleh kaum Yahudi, yang akhirnya masuk berbaur (ke dalam umat Islam) di bahagian timur Mesir, padahal tiada satu pun daripada perkara-perkara tersebut (at-Tamayul, al-Ihtizaz dan at-Taharruk) kita terima daripada Salih Salaf umat ini.
Nasir as-Sunnah, al-Imam Ibn Abi Zayd al-Qairawani  (w: 386H) telah mengarang sebuah kitab berjudul: “Kitab man Ta’khudzuhu ‘inda Qira’at al-Qur’an Harakah” (Buku yang menegur orang yang pembacaan al-Qur’an menyebabkannya bergoyang), namun kita tidak dapat mengetahui apa-apa tentang kitab ini.[4]
Kata Abu Hayyan ahli Nahu, Muhammad bin Yusuf al-Andalusi  (wafat: 745H) dalam Tafsirnya “al-Bahr al-Muhiet” ketika menjelaskan Firman Allah:
Ertinya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka…[5]
Kata az-Zamakhsyariy dalam “al-Kasysyaf”(2/102): Apabila Nabi Musa telah menyebarkan lembaran-lembaran yang padanya ada Kitab Allah Ta‘ala, tidak ada satu pohon, gunung mahupun batu kecuali ia bergoncang, bergoyang. Lantaran itu anda melihat seorang Yahudi, bilamana ia membaca at-Taurat (yang telah diubah) ia pasti akan bergoyang, bergoncang menunduk-nundukkan kepalanya.
Sungguh perlakuan buruk ini telah menyerap masuk pada anak-anak kaum Muslimien, sebagaimana yang saya lihat di negeri Mesir. Anda melihat mereka di tempat pengajian mereka, ketika membaca al-Qur’an, mereka bergoyang-goyang, menggerakkan kepala mereka. Adapun di negeri kita, di Andalus dan Barat, jika seorang anak kecil bergoyang ketika membaca al-Qur’an, gurunya pasti menegurnya dengan berkata: Jangan goyang-goyang menyerupai kaum Yahudi ketika belajar. (al-Bahr al-Muhiet: 4/42)
Kata ar-Ra‘ie al-Andalusi  (w: 853H) dalam “Intisar al-Faqier as-Salik”: 250: Demikian juga, orang-orang Mesir menyamai kaum Yahudi di dalam bergoyang-goyang ketika belajar dan membuat sesuatu kerja dan ia adalah daripada tingkah laku kaum Yahudi.
Tukilan yang terakhir ini, lebih umum sifatnya, maka hendaknya dijauhi.[6]

Demikian penjelasan Syeikh Bakr Abu Zayd, yang memperincikan bahawa apa yang dilakukan oleh sebahagian orang, terutamanya aliran Tarekat dan Sufi, yang bergoyang-goyang apatah lagi menari ketika berzikir adalah perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam lagi menyerupai kaum Yahudi. Sila lihat bukti perbuatan kaum Yahudi ini ketika mereka membaca bacaan-bacaan mereka di Tembok Ratapan – Wailing Wall – di Masjid Aqsa. Antaranya ia dapat disaksikan melalui penghubung (hyperlink) laman sesawang berikut:

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy, ada menjelaskan tentang perkara yang sama. Kata beliau: Segolongan Ahli Sufi berhujjah dengan hadis ini[7] sebagai dalil yang menunjukkan keharusan nyanyian lagu dan keharusan mendengarkannya dengan disertai alat (gendangan) ataupun tanpa penggunaan apa-apa alat, padahal sebenarnya sudah memadai untuk menyanggah kesimpulan dan hujjah mereka dengan penyebutan ‘A-isyah secara terang di dalam hadis yang ada dalam Bab yang menyusul selepasnya (hadis no: 952), “ليستا بمغنيتين – mereka berdua bukannya penyanyi”, maka beliau (‘A-isyah) telah menafikan pada sudut maknanya apa yang mungkin disalahertikan dengan lafaznya yang beliau sebutkan mengenai mereka berdua[8], sebab “nyanyian” boleh bermaksud “meninggikan suara” secara mutlaq dan boleh juga “at-tarannum – berlenggok dan mendengung dalam sebutan – beralun suara” menyerupai “al-Hida – alunan suara untuk mempercepat langkah unta dsbgnya’, yang mana pelakunya tidak dinamakan “penyanyi” tetapi disebut sebagai “ينشد بالتمطيط و تكسير و تهييج و تشويق” (seperti deklamasi sajak dengan mengalunkan suara) yang lumrahnya mengemukakan secara terselindung perkara-perkara jelek ataupun secara terang-terangan[9].

Kata al-Qurtubiy (wafat: 671H): Ungkapan beliau (‘A-isyah) “ليستا بمغنيتين – mereka berdua bukannya penyanyi” maknanya mereka bukannya orang yang tahu atau mahir menyanyi sebagaimana yang diketahui dengan mahir oleh golongan penyanyi. Kata-kata beliau ini mengeluarkan perbuatan mereka berdua itu daripada nyanyian yang sedia diketahui daripada golongan penyanyi yang masyhur dengannya, yang mampu menggerakkan yang diam, men“cergas”kan yang lesu. Jenis ini, jika ada pada syairnya sebutan sifat-sifat kecantikan wanita ataupun arak dan lainnya daripada perkara-perkara yang haram, tiada yang berselisihan pendapat bahawa ia haram.

Manakala apa yang diperkenalkan oleh golongan Sufi daripada perkara-perkara tersebut berupa bid‘ah rekaan mereka, maka ia juga daripada perkara yang tidak diperselisihkan oleh ‘ulama, bahawa ia haram. Akan tetapi hawa nafsu yang bergelumang syahwat (pada yang haram) telah mempengaruhi dan mengatasi ramai daripada kalangan orang-orang yang menisbahkan diri mereka kepada kebaikan[10], sehingga lahir dan nyata daripada ramai di kalangan mereka tingkah laku kanak-kanak dan orang-orang gila, sehingga mereka menari dengan gerakan bergoyang-goyang yang berentak dan beralunan (seperti ombak). Bahkan lebih dari itu, sehinggakan buruknya tahap kedunguan sebahagian mereka menjadikan mereka menganggapnya sebagai suatu perbuatan mendekatkan diri kepada Allah dan amalan-amalan salih dan dapat membuahkan “سني الأحوال – keadaan/keperibadian yang tertinggi”, padahal ini – jika diamati pada hakikatnya – adalah kesan-kesan peninggalan golongan az-Zanadiqah[11] dan Ahli al-Mukharrafah (pagans – percaya kepada Mitos), walLahul Musta‘an. (akhir tukilan kata-kata Imam al-Qurtubiy yang ditukilkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Sayugianya mereka menterbalikkan maksud mereka dan membacanya dengan “سيء” (dengan “ي”) dan bukan dengan “ن[12][13]        
    
Kesimpulannya, digandingkan dengan apa yang telah ditukil oleh Syeikh Saliem Hilaly daripada peneguran Imam al-‘Izz , begitu juga penjelasan-penjelasan tadi, sebagaimana kita lihat al-Hafiz Ibn Hajar (w: 852) menjelaskan dan membuat tukilan (ilmu warisan) daripada al-Imam al-Qurtubiy, maka kebanyakan majlis zikir yang diadakan hari ini, di merata dunia, lebih mirip kepada Majlis Zikir Yahudi dan bukannya Islam. Para imam terkemuka ini telah menegaskan peneguran mereka, sehingga menyifatkan golongan Sufi yang bergoyang dan bernyanyi apatah kagi berirama dan menari sebagai “melakukan perbuatan anak kecil dan orang gila”. Begitu pula menjadi jelas bagaimana perbuatan bergoyang dan berirama dalam berdzikir, tidak dikira sebagai Majlis Zikir yang betul di sisi al-Hafiz sendiri. Lagipun, mereka lebih banyak menyibukkan diri mereka dengan “Zikir” (kerana mereka tidak sebenar-benarnya ingat Allah, lebih “zouq/syiok/in trance” dalam zikir dan bukannya menitiskan airmata mengenang dosa dan insaf serta rindu kepada Allah dan RasulNya), sehingga tidak mengambil berat tentang ilmu yang berpandukan keterangan Wahyu, al-Qur’an dan as-Sunnah mahupun ajaran para Sahabat.

Mereka melakukannya dengan suara tinggi, berdendangan, suara beralunan yang sebahagiannya diiringi paluan alat-alat nyanyian dan lebih buruk lagi alat muzik serta bergoyang-goyang bahkan menari-nari.
Malah sikap mereka ini, tidak menyukai golongan yang memperbetulkan perkara-perkara tersebut, bahkan adakalanya memusuhi mereka. Bukan itu sahaja, mereka lebih rela bersekongkol dengan orang-orang bukan Islam untuk menjatuhkan dan menganiaya serta melenyapkan saudara-saudara Islam mereka yang mengambil berat terhadap asal ajaran al-Qur’an, as-Sunnah, pemahaman Sahabat dan para Imam yang mewarisi ajaran Nabi dan para Sahabat dengan sebaik-baiknya. Siapakah mereka sebenarnya untuk menolak penjelasan para Imam tersebut, yang telah dikemukakan dengan perbezaan zaman mereka? Hanya manusia yang sombong, angkuh dan takabbur pewaris sifat Syaithan sahaja yang tidak akan tunduk kepada keterangan, yang kemudian tidak akan bertaubat, malah mengajak orang lain terus kepada jalannya, bukan jalan Allah, serta berdengki terhadap sesiapa yang mengajak ke jalan Allah yang lurus.

Oleh itu, sesiapa yang menyatakan “ini amalan ‘ulama’ kita daripada dahulu lagi, orang yang angkuh, cetek ilmu, memperkecil ‘ulama’ sahaja yang akan menolaknya” maka sebaiknya diajukan soalan-soalan berikut kepadanya:
a.             sila buktikan; “dahulu” daripada zaman Nabi atau para Sahabat atau ‘ulama’ zaman Salaf atau Khalaf, siapa sahaja di antara mereka yang ada melakukannya. Jika tidak, maka cukup dengan apa yang telah dinyatakan oleh al-‘Izz beserta perincian itu tadi. Telah diajarkan agar kita mengikuti para Imam dengan ikutan kepada panduan, bukannya sembarangan ikutan. Mereka pasti mengemukakan dalil dan panduannya dalam pada mereka melakukan sesuatu.
b.         Sila nyatakan, siapa “‘Ulama’” yang dimaksudkan. Di dalam tulisan ini, segalanya dibentangkan dengan “ilmu warisan” sesuai ajaran para Imam, seperti an-Nawawi, al-Qadi, Ibn Jarier dan Ibn Hajar. Maka siapakah ‘ulama’ yang dimaksudkan? Apa warisan ilmu mereka? Jika ada, apakah setanding dengan para Imam itu tadi yang Allah pelihara hasil karya mereka hingga ke hari ini. Jika ada keterangannya tentu kita sama-sama mahu mengikutinya dan tidak layak bersikap angkuh. Jika tiada, maka siapakah yang angkuh terhadap keterangan yang nyata dan membina semangat “kekitaan – ‘ulama’ kita” dan bukannya kembali dan tunduk tawadu’ terhadap ilmu warisan dan kebenaran?
c.      ‘Ulama’ yang anda maksudkan itu, apakah ada hasil karyanya yang sehingga kini dipelihara Allah? Apakah terkenal seperti para Imam yang disebutkan kenyataan mereka di dalam tulisan ini? Jika ada warisan ilmu peninggalan “‘ulama’ kita” yang anda sebutkan, sila datangkan buktinya untuk kita sama-sama teliti dan nilaikan. Jika tidak, maka anda hanya mendatangkan “dakwaan” tanpa bukti. Bilamana tiada bukti, hukum yang anda simpulkan adalah batil sebagaimana dalam kehakiman, setiap yang membuat dakwaan mesti mendatangkan bukti. Sama-samalah kita khuatiri nasib kita di Mahkamah Allah kelak, bilamana kita buat dakwaan tanpa bukti untuk mempertahankan amalan yang tiada asalnya daripada Nabi dan as-Salaf. Jika anda sekadar ikut-ikut, maka amatilah ayat ini:
Ertinya: (Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka. Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.[14]

Riwayat berikut ini, lebih meyakinkan kita lagi betapa kita tidak selayaknya duduk dalam Majlis Zikir yang sepertinya dengan caranya. Bukankah solat tidak diterima jika didahulukan sujud sebelum ruku‘. Apakah sah wudu’ yang diambil dengan mendahulukan cuci kaki kemudian baru diusap kepala atau basuh muka? Apakah ada puasa dengan bukan menahan diri daripada makan minum dan syahwat tetapi caranya dengan tidak berbicara atau tidak tidur atau lainnya? Apakah ada Zakat Harta Wajib dikeluarkan dalam bentuk memberi perabot atau perlatan rumah, bukan emas, perak, wang dan lainnya yang menurut ketetapan Syari‘at? Maka bersamalah kita faham dengan sebaik-baiknya, bukan Majlis Zikir itu yang salah, bercanggah dengan asal ajaran Islam, tetapi soal “cara” dan “perlaksanaannya” serta “tujuannya” yang menyimpang.

Riwayat daripada Ibn Mas‘ud , untuk kita amati bersama:
Daripada ‘Amru bin Yahya bin ‘Amru bin Salamah al-Hamdani yang meriwayatkan daripada bapanya, daripada datuknya:
“Suatu ketika kami sedang duduk di pintu rumah ‘Abdullah bin Mas‘ud sebelum solat Ghadah [Di antara waktu terbit Fajar sehingga terbit Matahari – Mu‘jam Lughat al-Fuqaha’: hlm.328 – dijelaskan demikian kerana ada sebahagian pihak terjemahkannya “Zohor”] (Subuh), bila ia keluar, kami akan berjalan bersama ke masjid. Lalu datanglah Abu Musa al-Asy‘ariy seraya bertanya:
[Apakah Abu ‘Abdir Rahman (yakni Ibn Mas‘ud) sudah keluar?] Jawab kami: Belum. Lantas beliau pun duduk bersama kami menunggu sehingga beliau (Ibn Mas‘ud) keluar. Apabila beliau keluar, kami segera bangun, maka berkatalah Abu Musa kepada beliau:  [Wahai Aba ‘Abdir Rahman!  Sesungguhnya aku telah menyaksikan di masjid tadi, suatu perkara yang aku ingkarinya dan pendapat ku ia masih bermaksud baik, walhamdulillah.
Tanya Ibn Mas‘ud: [Apakah perkaranya itu?] Jawab Abu Musa: [Jika anda ke sana anda akan melihatnya sendiri. Aku lihat di dalam masjid, suatu kumpulan, semuanya duduk di dalam beberapa bulatan, menunggu waktu solat. Di dalam setiap bulatan ada seorang ketua dan pada tangan mereka, ada benda buat mengira/menghitung. Ketua itu akan mengatakan: Bertakbirlah 100 kali, mereka semuanya pun bertakbir 100 kali. Ia katakan pula: Bertahlil-lah 100 kali, maka mereka pun bertahlil 100 kali dan katanya lagi: Bertasbihlah 100 kali dan mereka pun bertasbih 100 kali].
Tanya Ibn Mas‘ud: [Apa yang anda katakan kepada mereka?] Jawab Abu Musa: [Aku tidak katakan apa-apa terhadap mereka, semata-mata meminta pendapat mu] Kata Ibn Ibn Mas‘ud: [Mengapa tidak anda suruh mereka agar mengira keburukan-keburukan diri mereka dan jamin mereka bahawa amalan baik mereka tidak akan merugi (sindiran)]?
Kemudian beliau pun berjalan ke masjid bersama kami sehinggalah beliau berhadapan dengan salah satu dari kumpulan-kumpulan itu, memberhentikan mereka seraya berkata: [Apa yang aku lihat kalian sedang lakukan?] Jawab mereka: [Wahai Aba ‘Abdir Rahman, kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih dengan benda ini.]
Maka kata Ibn Mas‘ud: [Hitunglah keburukan-keburukan kamu kerana aku penjamin kalian bahawa amalan baik kalian tidak akan merugi (sindiran)! Tercelanya kalian wahai ummat Muhammad! Betapa cepatnya kalian binasa! Mereka, para Sahabat Nabi kamu, masih ramai lagi di sekeliling kamu, baju peninggalan Nabi belum pun lusuh, wadahnya belum pecah (kiasan kepada ajaran Nabi yang masih baru) dan demi Yang nyawa ku di TanganNya, kamu telah berada di atas suatu agama yang lebih baik dari agama Muhammad ataupun kamu hanya membuka pintu kesesatan?!] 

Jawab mereka: [Demi Allah wahai Aba ‘Abdir Rahman, kami hanya mahukan kebaikan.]
Tambah Ibn Mas‘ud: [Berapa ramai orang yang inginkan kebaikan, tetapi tidak mendapatkannya (kerana salah caranya). Sesungguhnya Rasulullah telah memberitakan kepada kami:


Suatu kaum membaca al-Quran, sedang bacaan mereka tidak sampai ke kerongkongan mereka (rajin baca tetapi tidak memperdalami pemahaman isinya), mereka meluncur keluar dari Islam selaju anak panah meluncur keluar dari busurnya
Demi Allah, aku tidak pasti, mungkin kebanyakan kamu ini adalah dari golongan itu] Lalu beliau pun beredar.


Sungguh aku lihat kebanyakan daripada mereka (ahli kumpulan bulatan Zikir itu) memerangi kami di dalam Peperangan Nahrawan bersama al-Khawarij.”

[Diriwayatkan oleh ad-Darimi (1/68-69), Bah-syal di dalam Tariekh Wasit (hlm.198) dengan dua jalan periwayatan daripada ‘Amru bin Yahya bin ‘Amru bin Salamah al-Hamdani, dengan isnad yang sahih.
Diriwayatkan juga Ibn Abi Hatim di dalam (al-Jarh wa at-Ta‘diel: 3/1/269) dan para perawinya yang beliau sebutkan ialah para perawi terjamin antaranya Ibn ‘Uyainah dan Ibn Ma‘ien (guru Imam al-Bukhariy) menyatakan hadis ini baik.

Demikianlah yang dijelaskan oleh Ibn Ma‘ien mengenai para perawi bapanya ‘Amru yakni Yahya (4/2/176): Yahya bin ‘Amru bin Salamah al-Hamdaniy, dan digelarkan juga al-Kindiy. Beliau telah menerima periwayatan dari bapanya sendiri (yakni ‘Amru bin Salamah) dan ramai yang   telah   menerima   periwayatan daripada beliau (Yahya) iaitu Syu‘bah, ats-Tsauriy, al-Mas ‘udiy, Qais bin ar-Rabie‘ dan anaknya sendiri ‘Amru bin Yahya.

Hadis ini (satu kaum membaca al-Qur’an… - bukan kisahnya) juga ada jalan periwayatannya yang lain di dalam al-Musnad (1/404) dan isnadnya jayid (baik). Begitu juga ia diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada beberapa orang Sahabat (3/109-117).
Riwayat ini mengandungi pengajaran yang mendalam bagi kita semua. Apatah lagi, jika ada di kalangan masyarakat kita yang melakukan sepertimana yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan yang ditegur Ibn Mas‘ud itu, yang melakukan Zikir yang bercanggah dengan as-Sunnah. Adakalanya bila kita nasihatkan dan menegur mereka, mereka akan sebaliknya menuduh kita adalah golongan yang menolak adanya Zikir, benci kepada zikir dan Majlis Zikir atau tidak suka orang berzikir.

Jika ada orang yang menolak adanya dzikir, maka benar ia boleh jatuh kufur - mengharamkan perkara yang diperintahkan oleh Allah. Tentunya tiada seorang muslim tega untuk menghukum begitu. Kalau ada orang tidak suka orang berzikir, itu tanda nifaq – sifat munafik. Tetapi sebenarnya yang kita ingkari, yang ditegah, ialah caranya, ketetapannya dengan bilangan dan hari tertentu, apatah lagi di sisi perkuburan, yang tidak bersesuaian dengan apa yang ada pada zaman Nabi. Kalau bukan kerana itu, maka mengapa, apa gerangannya yang menjadikan Ibn Mas‘ud begitu marah terhadap perbuatan mereka dan mengingkarinya??? Begitu juga Abu Musa al-Asy‘ariy. Bukankah ketua mereka itu, menentukan sesuatu daripada cara, bilangan, waktu tertentu yang tidak ditetapkan oleh Allah dan RasulNya? Seolah-olah ia telah merampas hak Allah menjadi penentu Syari‘at; Firman Allah:
Ertinya: Apakah mereka ada sekutu-sekutu selain Allah (syirikkanNya) yang menentukan (mensyari’atkan) sesuatu dari urusan agama, apa yang tidak diizinkan oleh Allah…[Al-Qur’an: asy-Syura: 42:21]

Tambahan lagi, yang ada di dalam as-Sunnah adalah berzikir dengan menggunakan jari-jemari.
Demikianlah yang telah dijelaskan oleh Ibn Mas‘ud (termasuk Abu Musa) bahawa perkara-perkara seperti ini bukan daripada ajaran Nabi, membawa pelakunya ke kancah kebinasaan. Bersamalah kita waspada, jaga diri dan agama kita sebaik-baiknya dari kancah kebinasaan. Selain itu, perlakuan bid‘ah yang kecil, boleh menjadi pendorong kepada perlakuan bid‘ah yang besar. Misalnya, golongan dalam bulatan zikir tersebut akhirnya memerangi umat Islam. Demikian jugalah, daripada bercanggah dengan as-Sunnah dalam berzikir, boleh akhirnya membawa kepada sikap dan sifat membenci as-Sunnah, bilamana yang jelas dalam as-Sunnah bercanggah dengan amalan dan tingkah laku serta i‘tiqad pegangannya.Wallahu a’lam. [Silsilat Sahihah: 5/11-12; no: 2005; Bab: Akibat melakukan bid’ah dan sikap melampau di dalam agama - dengan olahan]

Sabda Rasulullah: (maksudnya) “Ikutilah dua orang yang datang selepas ku, Abu Bakar dan ‘Umar, berpandukanlah kepada pedoman ‘Ammar dan apa sahaja yang diberitakan kepada kamu oleh Ibn Mas‘ud maka terimalah (dalam lafaz lain:) berpeganglah dengan ajaran Ibn Mas‘ud.” [Riwayat Abu Ya‘la, at-Tirmidzi, ar-Ruyaniy dan Ibn ‘Adiy daripada Hudzaifah, Ibn Mas‘ud sendiri dan Anas. Kemungkinan itu sebabnya Abu Musa meminta Ibn Mas‘ud yang menegur mereka padahal beliau juga seorang Sahabat Nabi yang utama]

Zikir adalah sesuatu yang dianjurkan Islam, tetapi caranya perlu bersesuaian dengan cara yang disyari‘atkan. Sekiranya kita mengajak sebahagian teman-teman kita bertadarus al-Qur’an atau membaca kitab hadis ataupun membaca kitab fiqh berpandukan hadis-hadis yang sahih, ataupun duduk beberapa orang tetapi masing-masing melakukan zikirnya secara senyap-senyap sendirian, maka tiada salahnya dan itulah Majlis Zikir yang ada dalam as-Sunnah dan amalan para Sahabat serta tafsiran para Imam.

Berbeza dengan berkumpul berzikir dengan suara tinggi, atau secara beramai-ramai dengan ada ketua ataupun secara serentak satu suara, atau berdendangan dengan suara beralunan yang sebahagiannya diiringi paluan alat-alat nyanyian dan lebih buruk lagi alat muzik dan segalanya itu bercanggah dengan suruhan al-Qur’an yang bersifat umum yang difahami dengan cara perlaksanaannya menurut Sunnah Nabi, tidak menepati ajaran para Sahabat dan warisan ilmu yang benar daripada para Imam Ahli Sunnah wal Jama‘ah. Lagipun, Zikir dengan Tasbih, Tahmied dan sebagainya adalah amalan sunnat, yang mana hampir keseluruhan amalan sunnat, seperti solat-solat sunnat adalah utama dilakukan sendirian dan yang menjadikan seseorang itu terselamat daripada riya’ dan sum‘ah serta lebih tenteram jiwanya dengan merasakan ia adalah “urusan” di antara dirinya dengan Allah sahaja.

Sabda Rasulullah (maksudnya): Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah di bawah naungan ArasyNya pada hari yang mana tiada naungan selain NaunganNya…seorang yang “ذكر الله خاليا – menyendiri mengingati Allah” sehingga bergenang dan mengalir airmatanya…[Sahih – Riwayat Malik dan at-Tirmidzi (Abu Hurairah dan Abu Sa‘ied), Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim serta an-Nasa-i (Abu Hurairah), Muslim (Abu Hurairah dan Abu Sa‘ied bersamaan)]

Semoga Allah menghimpunkan kita di dalam golongan tersebut. Ia jelas menunjukkan keutamaan Zikir Sendirian daripada berzikir dalam Majlis Zikir, sekalipun yang telah memenuhi syarat ikutan as-Sunnah. 

WalLahu a‘lam.
و الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات




[1] Al-Imam yang bergelar “Sultan al-‘Ulama” ‘Izzud Dien bin ‘Abdis Salam as-Salmi asy-Syafi‘ie. Seorang ahli Hadis, ahli Usul dan ahli Fiqh – lahir tahun 577H wafat pada tahun 660H. - Syadzarat adz-Dzahab: 5/301
[2] Al-Qur’an an-Nahl: 16:89
[3] Bahjat an-Nazirien Syarh Riyad as-Salihin: 2/519-520
[4] Maksudnya: ia ada dalam catatan ‘ulama, terutamanya ‘ulama sejarah yang menyebutkan tentang kitab ini yang telah ditulis oleh Imam tersebut. Akan tetapi, kemungkinan kerana tidak dibuat salinan, maka tiada salinan yang diketemukan ataupun kesemua salinannya setakat ini tidak diketemukan. Sebab itu dalam disiplin Ilmu Kajian Islam, ‘ulama menggunakan istilah dalam rujukan mereka dengan;  Mafqud yakni tidak/belum diketemukan hingga kini, Makhtut ertinya dalam bentuk manuscript-lembaran-lembaran yang belum dicetak dan Matbu‘ yakni yang telah dicetak, diterbitkan dan akan/telah ada dalam pasaran..
[5] Al-Qur’an: al-A‘raf: 7:171
[6] Bida‘ al-Qurra’ al-Qadiemah wa al-Mu‘asirah: 57-58
[7] Hadis yang mengisahkan pada suatu Hari Raya, ‘A-isyah membenarkan 2 gadis kecil bernyanyi di rumah dan bila Rasulullah pulang, baginda membiarkan mereka sambil memalingkan wajah baginda (tidak suka) daripada mereka. Kemudian Abu Bakar masuk dan menegur: Dendangan Syaitan dimasukkan ke rumah Nabi? Rasulullah meminta Abu Bakar membiarkan sahaja mereka. Segera ‘A-isyah menyuruh gadis-gadis itu pergi. Sahih al-Bukhariy, Kitab al-‘Iedayn, Bab al-Hirab wa ad-Daraq yaum al-‘Ied hadis no: 949.
[8] Beliau sebut “mereka menyanyi”, seolah-olah mereka adalah penyanyi padahal mereka mengalunkan suara sahaja dan bukannya ahli dalam nyanyian mereka.
[9] Maksud beliau adalah alunan syair Arab zaman dahulu berupa syair-syair yang lumrahnya berisi perkara tidak baik secara terselindung/kiasan ataupun terang-terangan.
[10] Maksudnya mereka menganggap diri mereka mengusahakan perkara-perkara kebaikan dalam agama dan sebahagian orang pun menganggap mereka demikian berdasarkan penampilan zahir atau lahiriyah mereka.
[11] Golongan az-Zanadiqah – satunya Zindiq yang asal kemunculannya di Iraq, bekas jajahan Parsi yang dibuka umat Islam, maka muncul di kalangan mereka golongan yang membenci Islam dan berusaha menewaskan dan menghancurkan Islam dengan terang-terangan mahupun dengan berselindung. Mereka mengenalkan bermacam-macam fahaman, fikiran dan amalan yang menyimpang dan menyerapkannya masuk ke dalam ajaran Islam yang suci. Boleh diertikan sebagai “orang yang tiada agama”, “orang yang menzahirkan dirinya sebagai seorang Islam dengan menyembunyikan kekufurannya”. Seerti dengan “munafiq”. – Mu‘jam Lughat al-Fuqaha’: hlm.234
[12]سيء” Dengan “ي” ertinya seburuk-buruk keperibadian dan bukan dengan “ن” pada perkataan “سني
[13] Fath al-Bari: 2/513
[14] Al-Qur’an: Surah al-Baqarah: 2:166-167


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts