Wednesday, January 8, 2014

Hukum Zikir Goyang Loncat Lompat Menari - Sanggahan Hujjah Batil Pihak yang Memperbolehkannya

Bismillah. Walhamdulillaah wahdah. Wassolaatu was salaam 'alaa man laa nabiya ba'dah, nabiyyinaa Muhammad ibni 'Abdillaah, wa 'alaa aalihi wa sohbihi wa man ittaba'a hudaah,

Amma ba'd,

Sidang pembaca kaum Muslimien, semoga Allah mengurniakan PetunjukNya kepada kita.

Berikut ini adalah sanggahan dan pembetulan terhadap hujjah-hujjah batil, pihak yang memperbolehkan Zikir Bergoyang, malah menari dan berdendangan dalam melakukan Dzikir. Tujuan saya hanyalah untuk meluruskan salah faham yang telah ditimbulkan golongan tersebut dan sebagai suatu pembelaan terhadap para Imam, agar jangan sampai apa yang mereka jelaskan, diputarbelitkan oleh pihak-pihak tersebut.

Hujjah Batil 1:

Hadis: “Zafana - زفن kaum al-Habasyah di Masjid”, iaitu dengan (huruf) “ز”dan“ف”dan“ن”: (ertinya) tarian menjadi dalil yang jelas diperbolehkan tarian di masjid-masjid dengan disertai nyanyian dan alat paluan (berbentuk bulat – gendang dsbgnya)

Di dalam syarahnya terhadap hadis ini, Imam Nawawi menyatakan berikut:

“...حبش يزفنون...: هو بفتح الياء و اسكان الزاي و كسر الفاء و معناه يرقصون.”

– ertinya: “…orang-orang Habsyi يزفنون (yazfinun)…: ia (dieja) dengan huruf Ya’ berbaris fat-hah/atas, dan (huruf) Zaiy bertanda sukun dan huruf Fa’ berbaris kasrah/bawah dan maknanya menari.

Maka Imam Nawawi telah mengertikannya “menari”, maka ini hujjah menunjukkan “tarian” diperbolehkan ketika berdzikir dan di masjid, maka sudah tentu setakat goyang-goyang juga diperbolehkan.

Jawapannya:

1. Nukilan sepenuhnya adalah seperti berikut:

Imam Nawawi (wafat 676H) sebenarnya menyatakan berikut:

“...حبش يزفنون...: هو بفتح الياء و اسكان الزاي و كسر الفاء و معناه يرقصون و حمله العلماء على التوثب بسلاحهم و لعبهم بحرابهم على قريب من هيئة الراقص، لأن معظم الروايات إنما فيها لعبهم بحرابهم فيتأول هذه اللفظة على موافقة سائر الروايات.”

– ertinya: “…orang-orang Habsyi يزفنون (yazfinun)…: ia (dieja) dengan huruf Ya’ berbaris fat-hah/atas, dan (huruf) Zaiy bertanda sukun dan huruf Fa’ berbaris kasrah/bawah dan maknanya menari dan ‘ulama mengertikannya sebagai berloncat melompat dengan senjata-senjata mereka dan bermain dengan tombak-tombak mereka yang dekat dengan gayanya seorang yang menari, sebab kebanyakan riwayat-riwayat hanya menyebutkan mereka bermain dengan lembing-lembing mereka, sehingga (riwayat) yang ini dengan lafaz ini, disesuaikan (maknanya) dengan riwayat-riwayat yang lain”

Syarh Sahih Muslim: 6/163; (K) Salat al-‘Eidayn (B) 4 – ar-Rukhsah fie al-La‘ib, alladzie la ma‘siyah fiehi fie Aiyam al-‘Eid, hadis no: (892);17, 18, 19, 20, 21, 22 (893 – Nabi halang ‘Umar daripada melempar batu ke arah mereka).

Lagipun “Zafanahu” bererti menolaknya, maka dengan penjelasan ini, tiada petunjuk bahawa tarian, samada dalam zikir atau lainnya, ada dibenarkan oleh Rasulullah, kerana lafaz dalam riwayat ini bukan diertikan oleh ‘ulama sebagai tarian, sekadar meloncat melompat dalam permainan lembing dan senjata, latihan kepada Jihad. 

Maka pihak yang mendakwa bahawa Imam Nawawi mentafsirkannya sebagai “tarian” telah membuat kebohongan terhadap peribadi mulia imam ini dan telah melakukan jenayah ilmiyah dengan mengambil kata-kata beliau secara terputus, tergantung, bukan keseluruhannya. 

Ditanyakan kepada pihak seperti ini: 
“Nah, sekarang bila telah jelas tiada dalil, apakah anda akan berhenti menari dan bergoyang, berhayun ke depan ke belakang dalam zikir? Apakah anda akan tetap membuat dusta menggunakan nama Rasulullah bahawa kononnya baginda mengizinkan tarian? Padahal ia perbuatan Syaitan?” 

Kami hanya menyampaikan dan memperbetulkan fakta yang diselewengkan agar umat kembali kepada ajaran sebenar dan selamat daripada penyelewengan dan dusta terhadap ajaran asal Rasulullah, melalui keterangan dalil dan ulasan ‘ulama’. Semoga mereka bertaubat dan kembali ke jalan asal. Semuanya kerana cinta kami kepada Rasulullah dan ajaran baginda serta para pewaris sebenar ilmu baginda dan usaha menyelamatkan saudara-saudara Islam kami yang wajib kami cintai dengan jalan nasihat dan mengajak kepada kebaikan dan kebenaran. Wallahu a‘lam.


2. Penjelasan al-Imam al-Qurtubiy (wafat 671H) yang telah menerangkan kebatilan tafsiran sebahagian pihak terhadap hadis yang ada di dalam Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim, sebagaimana yang telah dinukilkan oleh al-Hafiz al-Haitsami (wafat: 974H): 

Kata al-Azra‘ie: dalam kitab Tawasutnya: Ketahuilah bahawa puak-puak yang sesat kerugian dengan tarian daripada golongan al-mutafaqqirah yakni al-mutasawifah (yang menisbahkan diri kepada Tasawuf), dan lainnya yang mengikuti jalan mereka daripada kalangan al-mutafaqqihah telah keliru bahawa hadis: “Zafana - زفن kaum al-Habasyah di Masjid”, iaitu dengan (huruf) “ز”dan“ف”dan“ن”: (ertinya) tarian menjadi dalil yang jelas diperbolehkan tarian di masjid-masjid dengan disertai nyanyian dan alat paluan (berbentuk bulat – gendang dsbgnya) padahal itu semua adalah salah yang nyata dan kejahilan yang buruk, diketahui melalui penjelasan terhadap (makna sebenar) hadis itu.

Jawapan terhadapnya adalah sebagaimana yang disebutkan dalam penjelasan al-Qurtubiy: Adapun hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang di dalamnya: “Bahawa yang demikian itu (berlaku) pada Hari Raya, orang-orang Sudan bermain dengan perisai (diperbuat daripada kain dan kayu) dan lembing di dalam Masjid (Nabawi), maka Rasulullah bersabda kepada ‘Aisyah: {Awak suka nak lihat?} Jawabnya: {Ya} maka Rasulullah menjadikan saya berdiri di belakang baginda, pipi saya ke pipinya sambil baginda berkata: Teruskan wahai Bani Arfidah (gelaran kaum Habasyah).” Mereka mengambilnya dari sudut yang mana mereka (kaum Habasyah), telah menari-nari di dalam Masjid dan Nabi menyuruh mereka bahkan menggalakkan mereka dengan kata baginda: “Teruskan wahai Bani Arfidah”, kemudian mengizinkan ‘Aisyah melihat mereka, maka menjadi dalil kepada diperbolehkan menari dan tarian.

Jawapannya: Bahawasanya hadis ini tidak termasuk dalam perbincangan yang kita bincangkan (hukum tarian yang kami – al-Qurtubiy dan ‘ulama lainya – hukumkannya haram sementara kamu berhujjah dengan riwayat ini bahawa tarian itu diperbolehkan, tidak haram - penterjemah), sebab tiada pada kaum Habasyah itu apa-apa tarian berserta nyanyian, tidak pula hentakan kaki, tidak pula isyarat dengan goyangan tangan, malah ia adalah permainan dengan senjata, persiapan kepada pertarungan, latihan kepada penggunaan senjata dalam peperangan, mengasah ketajaman dalam melakukan serangan, mengelak, menikam dan memukul.

Justeru, jika inilah perkaranya, maka mana dia (di dalam riwayat ini) kelakuan-kelakuan keperempuanan dan golongan pondan/kedi/banci (bah. Indonesia)/bapok (tarian) berbanding perbuatan-perbuatan keperwiraan dan keberanian (yang dilakukan kaum Habasyah dalam riwayat ini).

Adapun mengenai keizinan (Nabi kepada ‘Aisyah) untuk melihat mereka, maka sebabnya adalah tiada pada kehadiran mereka itu sesuatu kemungkaran yang layak dicemburui dan tidak pula aurat yang terdedah. [1]

Kesimpulannya:

Sidang pembaca yang dimuliakan, yang mencari kebenaran, lihatlah sikap mereka yang hanya mengambil apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka yang telah sedia menari dan berloncat-loncat dalam dzikir. Memperbolehkan apa yang para Imam besar seperti Qurtubiy dan al-Haitsami serta an-Nawawi jelaskan sebagai Haram.Sila lihat juga keterangan lainnya daripada para Imam , ‘ulama’ terbilang umat ini seperti al-Hafiz Ibn Hajar dan lainnya dalam perkara ini. (klik di sini)



Hujjah Batil 2:

Pertama, Firman Allah: ertinya: 

“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring memiring….” (surah aal-‘Imraan: 191) 

Dengan menyimpulkan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa kita boleh berdzikir kepada Allah dengan apa jua cara, duduk, berdiri dan berbaring maka ia menunjukkan diperbolehkan dalam apa keadaan, termasuk bergoyang-goyang dan menari-nari.

Kedua, riwayat yang menyebutkan bahawa Ja‘far bin Abi Talib menari dan berjoget ketika Rasulullah mengatakan tentang dirinya sebagai yang paling mirip dengan perawakan baginda. Lalu disimpulkan, maka riwayat ini menyebutkan adanya Sahabat Nabi yang berjoget menari lagipun ini di hadapan Nabi.

Jawapannya:

Pertama: (Tafsiran terhadap ayat Surah aal-‘Imraan: 191 yang dijadikan hujjah)

i. Ini adalah tafsiran peribadi, sedangkan yang mentafsirkannya belum berkelayakan menjadi ahli Tafsir, sebagaimana syarat-syarat kelayakannya ada disebutkan ‘ulama, antaranya al-Syaikhul Islam IbnTaimiyah (w: 728H) dan Imam as-Suyuti (w: 911H) yang banyak membuat nukilan daripada beliau.

ii. Siapakah di kalangan ‘ulama tafsir yang pernah mentafsirkannya demikian, iaitu “boleh zikir dalam keadaan menari-nari”. Tafsiran ini tidak disandarkan kepada satu kitab tafsir pun.

iii. Imam Ibn Katsier (w: 774H) sebagai pentafsirannya, menyebutkan tentang Solat dalam keadaan berdiri dan jika tidak mampu, duduk dan jika masih tidak mampu, berbaring. Kemudian beliau menyebutkan tentang zikir dengan makna umum iaitu seperti menjaga makan minum dan yang seperti itu dengan berbagai hadis. Tiada kena mengenanya dengan cara yang tiada diajarkan oleh Rasulullah seperti menari dan berjoget. Imam al-Qurtubiy (w: 671H) juga di antara ‘ulama yang tegas mentafsirkannya dengan Solat dan memperincikannya, meskipun ia ada sudut makna zikir yang umum. Namun, memadai bagi kita apa yang telah beliau sifatkan seperti nukilan Ibn Hajar daripada beliau (al-Qurtubiy) (klik di sini), “menari dan berdendangan adalah perbuatan anak kecil dan orang gila”. Malah pada pentafsiran beliau pada penghujung ayat ini, beliau memperjelaskan keburukan golongan Sufi yang mengutamakan “bertafakkur” daripada mengamalkan amalan yang sedia ada dalam Sunnah.

Kedua: Riwayat Ja‘far kononnya berjoget atau menari-nari di hadapan Nabi. Memadai rasanya dinukilkan di sini penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haitsami al-Makki (909-974H) dalam kitab beliau “Kaff ar-Ra‘a‘ ‘an Muharramati al-Lahwi wa as-Sama‘” – Menghentikan Hiruk Pikuk berkenaan Pengharaman Permainan dan Pendengaran (yang berupa hiburan dan kelalaian), kata beliau:

"و تمسكوا أيضا بأنه صلى الله عليه و سلم قال لعلي: "أنت مني و أنا منك" فحجل و فال لزيد:...فحجل و كذلك حجل جعفر لما وصى له بابنة حمزة حين خاصمه فيها علي و زيد .و الحجل: مشي المقيد و هو وثب و اهتزاز و هو الرقص.

و الجواب أن هذه كلها أحاديث منكرة ، و ألفاظ موضوعة مزورة و لو سلمت صحتها لم تتحقق حجتها أي لأن المحرم هو الرقص...و هذا ليس كذلك."

Terjemahannya: “Mereka (golongan Sufi yang menari-nari[2] dalam zikir mereka) juga berpegang (bersandarkan) kepada (riwayat) bahawasanya baginda telah berkata kepada ‘Ali (bin Abi Talib): “Engkau adalah daripada ku dan aku daripada mu” (maksudnya aku pembela mu dan engkau pembela ku, dari pihak yang sama, yang satu) maka beliau (‘Ali) pun terloncat-loncat (kegembiraan) dan baginda berkata kepada Zayd (bin al-Haritsah)…maka beliau (Zayd) pun terlompat-lompat kegirangan dan begitu juga Ja‘far jadi terlompat-lompat keriangan bilamana baginda mewasiatkan anak perempuannya Hamzah (bin ‘Abdul Muttalib) kepada beliau (untuk membelanya), yang mana ‘Ali dan Zayd berebutan dengannya (ingin mendapatkan pemeliharaan anak gadis tersebut). Dan “الحجل” ialah jalan yang tertentu jejaknya iaitu meloncat-loncat dan bergoyang dan itulah ‘joget” atau “tarian”.

Jawapan terhadap hujjah ini: Semuanya ini adalah hadis-hadis yang mungkar (tertolak) dan lafaz-lafaz rekaan dan dusta yang diada-adakan. Seandainya kita terimanya sebagai suatu yang benar sekalipun, ia tidak dapat menjadi sandaran kepada hujjah dan kesimpulan itu tadi, kerana “tarian dan joget” adalah haram…dan ini (apa yang ada dalam riwayat) bukan joget dan tarian sama sekali (hanya loncatan).[3] (akhir nukilan)

Jelas daripada penjelasan al-Hafiz al-Haitsami itu tadi, ia adalah sebuah riwayat dusta, maka tidak pernah berlaku peristiwa ‘Ali atau Ja‘far atau mana-mana Sahabat menari atau berjoget, baik dalam atau luar amalan zikir. Malah al-Hafiz al-Haitsami mengemukakan pada halaman berikutnya nukilan daripada al-Imam al-Qurtubiy, dengan judul permasalahan baru: “Menghadiri Majlis-majlis tarian dan mendengarkan nyanyian”.

Kata beliau: al-Qurtubiy telah menukilkan daripada al-Imam at-Tursusiy, bahawasanya beliau telah ditanya mengenai satu kaum (segolongan manusia) di suatu tempat membaca sebahagian daraipada (ayat-ayat) al-Quran, kemudian seorang tukang deklamasi nasyid, mendeklamasikan (menyanyikan) syair, lalu mereka jadi menari-nari, memukul gendang dan bermain duff (seperti kompang) dan hiburan, apakah kehadiran bersama-sama mereka itu halal atau tidak? Maka beliau menjawab: Madzhab ketua-ketua ahli Tasauf, bahawasanya ini adalah kebatilan dan kesesatan dan Islam itu tiada lain kecuali Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.

Adapun Tarian dan gerakan dan at-Tawajud dzouq (seperti dalam pukauan – kerana terlalu asyik perasaannya pada sesuatu, maka yang pertama mengada-adakannya adalah pengikut dan penyokong as-Samiriy (kaum Nabi Musa – Surah Taha ayat 87), ketikamana ia mengambilkan untuk mereka seekor anak lembu menjadi berjasad lagi bersuara (sebagai sembahan mereka), maka mereka pun datang menari-nari di sekelilingnya dan seperti dalam pukauan kerana melakukannya dengan penuh perasaan – dan ia – yakni tarian adalah (amalan) agama orang-orang kafir dan para penyembah anak lembu.

Adapun Majlis Nabi dan para Sahabat, (keadaan ketenangannya) seolah-olah atas kepala setiap di antara mereka ada burung yang bertenggek kerana sangking tenangnya, maka menjadi kewajipan pihak Sultan (berkuasa dan berwenang) dan para timbalan serta para penolongnya agar menghalang mereka daripada menghadiri (memasukkan kegiatan tarian dan paluan mereka ke) masjid-masjid dan lainnya dan tidak halal bagi sesiapa pun yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk turut hadir bersama mereka dan tidak pula untuk menolong mereka pada kebatilan mereka.

Ini adalah Madzhab al-Imam asy-Syafi‘ie, Malik, Abu Haniefah, Ahmad dan lainnya daripada para Imam kaum Muslimien. Akhir nukilan daripada penjelasan Imam tersebut (at-Tursusiy).[4]

Imam at-Tursusiy wafat pada tahun 595H[5].


Hujjah Batil 3:

Ada pula yang berhujjah dengan riwayat atau hadis berikut:

"سَبَق المفَرِّدون. قالوا: يا رسول الله و من المْفُردون؟ قال: الذين يُهْتَرُون فِي ذِكْرِ الله عز وجل"

Golongan al-Mufarridun telah mendahului. Tanya para Sahabat: Wahai Rasulullah, siapakah al-Mufarridun? Jawab baginda: Mereka yang khusyu‘ dalam mengingati Allah.[6]…hadis ini ada jalan periwayatan lain yang seiras dengannya: …daripada Abu Hurairah: Suatu ketika, Rasulullah sedang berjalan di Mekkah dan melintas lalu di sebelah sebuah bukit bernama Jumdan, lantas baginda bersabda:

"سيروا هذا جمدان سَبَق المفَرِّدون. قالوا: و ما المْفُردون يا رسول الله ؟ قال: الذاكِرون الله كثيرا و الذاكرات "

Kalian laluilah (bukit) Jumdan ini, golongan al-Mufarridun telah mendahului. Tanya para Sahabat: Apakah al-Mufarridun itu, wahai Rasulullah? Jawab baginda: Mereka yang banyak mengingati Allah, baik lelaki mahupun perempuan.[7]

“al-Mufarridun” ertinya adalah “al-Munfaridun” (yang menyendiri) Kata Ibn al-Atsier:

"فرد برأيه ، و أفرد ، و فرّد ، استفرد ، بمعنى انفرد به"

Menyendiri dengan pendapatnya, menyendirikan, menjadikan banyak menyendiri, menjadikannya tersendiri maknanya sendirian tersendiri.

“يُهْتَرُون” maknanya menyukainya dengan sepenuh tumpuan sehingga tidak berbicara dengan perkara lain dan tidak pula melakukan perkara lain.

Jawapannya:

Kata al-‘Allaamah al-Albaaniy: Perhatian: Di antara pendorong untuk saya menyebutkan takhriej hadis ini kerana adanya lafaz ini “يهْتزون” dengan “ز” (ertinya bergoncang) di dalam “asy-Syu‘ab” ( Syu‘ab al-Iemaan kitab karya Imam al-Baihaqiy – penterjemah) , maka saya segera jelaskan takhriejnya dan memperbetulkan penyebutan lafaznya, kerana khuatir golongan Sufi yang berjoget dan menari, bergoncang ke kanan ke kiri, akan mengambil lafaz yang ini dengan kejahilan mereka, tanpa mereka sedari ataupun mereka menyedarinya tapi berpura-pura tidak tahu, bahawa sebenarnya ia adalah “muharraf” (catatan lafaz yang tersilap), lalu berhujjah dengannya sebagai sandaran perbuatan mereka dalam amalan zikir mereka, berupa tarian dan bergoyang-goyang kanan dan kiri. Apatah lagi, bila ada sokongan kepada apa yang mereka mahukan iaitu apa yang ada dalam Syarah an-Nawawi terhadap Sahih Muslim: kata an-Nawawi: di dalam satu riwayat: “mereka adalah golongan yang “يهْتزون” dalam zikirullah” maknanya “bercondong/bermiring dengannya” dan begitu juga yang ada dalam Hasyiyat (Muslim – Istanbul) sebagai tukilan daripada an-Nawawi.

Dengan andaian ia (riwayat dengan lafaz “يهْتزون” dengan “ز”) sahih sekalipun (padahal ia riwayat muharraf – tidak sahih), maka maknanya adalah: Bergembira dan merasa tenang dengan Zikrullah sebagaimana yang dapat diambil daripada kata dasar perkataannya: ““هزز” di dalam an-Nihaayah, maka ia mirip dengan makna sabda Nabi: “أرحنا بها يا بلال” - “Tenangkanlah kami dengannya (solat) wahai Bilal (lakukanlah iqamat)” dan ia amat hampir dengan makna yang dimaksudkan oleh an-Nawawi. Wallahu a‘lam.

Maka pada kesempatan ini, perlu untuk dikemukakan, sebagai suatu nasihat kepada umat, bahawa apa yang dikatakan sebahagian golongan Sufi, daripada ‘Aliy bahawasanya beliau telah menyatakan, ketika menyifatkan para Sahabat:

"كانوا إذا ذكروا الله مادوا كما تميد الشجرة في يوم ريح"

Bila mereka melakukan Zikrullah, mereka bercondongan seperti bercondongannya pokok pada hari yang berangin kuat.

Ketahuilah bahawa hadis ini tidak sahih daripada ‘Aliy. Ia telah disebutkan oleh Abu Nu‘aim di dalam al-Hilyah: 1/76 daripada jalan periwayatan Muhammad bin Yazied Abi Hisyam: al-Muharibi menyampaikan kepada kami daripada Malik bin Mighwal daripada seorang lelaki daripada (Ju‘fiy) daripada as-Suddiy daripada Abie Arakah daripada ‘Aliy.

Hadis ini, isnadnya da‘ief penuh kesamaran.

i. Abu Arakah (Abie Arakah), aku tidak mengenalinya dan tidak aku ketemukan seorang pun daripada para Ahli Hadis yang menyebut riwayat beliau, yang ada hanyalah sebutan ad-Dulabiy di dalam al-Kuna; “Abu Arak” dan beliau daripada tingkatan yang sama, yang mana ad-Dulabiy menyebutkan periwayatan beliau (Abu Arak - bukan Abu Arakah) daripada ‘Abdullah bin ‘Amr (sahabat) dan beliau tidak menyebutkan Jarh (cemuhan yang membawa maksud ada kekurangan pada hafazan/ketelusan) dan tidak pula Ta‘diel (penyaksian terhadap kebaikan periwayatan) sebagaimana kebiasaan beliau.

ii. Perawi “al-Ju‘fie” tidak dinamakan siapa gerangannya sebagaimana anda lihat, maka ia Majhul (tidak diketahui)

iii. Muhammad bin Yazied telah ditolak periwayatannya oleh al-Bukhariy dengan kata beliau: “Aku mengetahui bahawa mereka (para Ahli Hadis) bersepakat menghukum beliau seorang perawi lemah”.[8]

Kesimpulannya, tiada hadis sahih yang dapat dijadikan hujjah atau pegangan bahawa para Sahabat dan as-Salaf ada melakukan “Zikir bergoyang-goyang” apatah lagi yang mirip tarian. Ini telah dinyatakan oleh Imam al-‘Izz dalam keterangan sebelum ini. (sila klik di sini)



[1] Kaff ar-Ra‘a‘ ‘an Muharramati al-Lahwi wa as-Sama‘: hlm.74-75
[2] Kitab beliau ini membahaskan dan menegaskan haramnya bernyanyi dan mendengarkan dendangan para penyanyi serta apa yang direka golongan Sufi daripada zikir dengan paluan, dendangan dan tarian, itulah sebabnya disimpulkan demikian, sebab beliau ketika ini membicarakan tentang sebahagian amalan golongan Sufi yang menyesatkan. Beliau juga membincangkan hukum alat-alat permainan seperti catur, dadu dan seumpamanya dengan penjelasan daripada para Imam terdahulu pada bahagian lainnya dalam kitab beliau ini.
[3] Kaff ar-Ra‘a‘ ‘an Muharramati al-Lahwi wa as-Sama‘: hlm.75
[4] Ibid. hlm.76
[5] Siyar A‘lam an-Nubala’: 5321
[6] Riwayat Ahmad: 2/323, al-Hakim: 1/495-496 dan daripada sanad beliau al-Baihaqiy riwayatkan dalam Syu‘ab al-Iman: 1/314 – India, lalu sanadnya disebutkan…kata al-Hakim: Ia Sahih menurut syarat asy-Syeikhain (al-Bukhariy dan Muslim) sedangkan mereka berdua tidak memuatkannya dalam kitab Sahih mereka. Hukum beliau dipersetujui oleh adz-Dzahabi. Demikian penjelasan al-Albaniy selepas hadis itu tadi dan beliau menambah: Sebenarnya ia hanya menurut syarat Imam Muslim seorang (tidak memenuhi syarat al-Bukhariy) sebab adanya Ibn Ya‘qub dan al-Bukhariy hanya meriwayatkan daripada beliau dalam Juz Qira-ahnya dan al-Bukhariy tidak memuatkan riwayat perawi ini dalam Sahihnya, meskipun beliau tsiqah dan kesemua perawi lainnya dalam riwayat hadis ini adalah adalah para perawi (yang diterima periwayatannya dalam Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim….   
[7] Riwayat Muslim: 8/63 dan al-Baihaqiy: 1/313-314
[8] Silsilah al-Ahadiets as-Sahihah: 3/304-307, hadis no: 1317
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts