Saturday, January 11, 2014

Abu Talib - Pengasuh, Pelindung & Pembela Rasulullah



1. Tema: Ulasan tajuk: Pengasuh sebenar dan Pelindung serta Pembela Rasulullah pada hakikatnya adalah Allah . 

Semenjak kelahiran, ibu menjaga sebentar, kemudian Halimatus Sa‘diyah menyusukan dan menjaga baginda di kampungnya. Kemudian baginda dikembalikan kepada ibu baginda semula (usia 4 tahun – peristiwa pembelahan dada), lalu ibu baginda meninggal dunia (pada usia baginda 6 tahun di Abwa’ – antara Madinah dan Makkah). Maka Datuk baginda pula menjaga baginda kemudian meninggal dunia selang 2 tahun (baginda berusia 8 tahun) dan akhirnya di pelihara Abu Talib.

[Petikan daripada terjemahan Kitab as-Sierah an-Nabawiyah as-Sahiehah: az-Zuhri telah menjelaskan bahawa setelah itu, datuk baginda, ‘Abdul Muttalib, yang membela dan menjaga baginda[1]. al-Waqidiy pula menyebutkan bahawa datuk baginda ketika hampir meninggal dunia – sewaktu berusia 82 tahun – mewasiatkan penjagaan baginda kepada bapa saudara/pakcik/paman baginda, Abu Talib[2] dan usia baginda ketika itu 8 tahun[3]. Tentunya Muhammad merasakan kehilangan datuk baginda, lantaran kasih sayang dan pemeliharaan datuk baginda terhadap diri baginda [4].

Terdapat juga riwayat-riwayat yang memberi gambaran betapa sayang dan kasihnya Abu Talib terhadap baginda [5], yang mana bukti kasih sayang Abu Talib yang mendalam terhadap baginda ialah beliau mengajak baginda di dalam pelayaran beliau ke Syaam. Zahirnya, baginda juga membantu beliau semasa di bawah penjagaannya, mengembala kambing miliknya dan begitu juga disebutkan dalam periwayatan yang tsabit (ketulenannya) bahawa baginda bekerja sebagai gembala kambing untuk Ahli Mekkah dengan mendapat upah berupa Qaraarieth [6]. Kemungkinan kesempitan Abu Talib dari sudut kewangan yang menjadikan baginda bekerja untuk membantu meringankannya.][7]

Justeri itu, baginda tidak pernah diasuh pada usia kecil baginda oleh seseorang manusia atau dalam penjagaan seseorang dengan sepenuhnya, kerana sebagaimana kesimpulan ‘ulama’, agar diasuh pada hakikatnya, oleh Allah.

Sahih al-Bukhariy; Kitab at-Tafsier, Bab ke-16: (Tafsiran ayat Surah at-Taubah: 113) ertinya: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik,” Hadis no: 4675: 
Ketika Abu Talib di ambang maut, Nabi masuk untuk mendampinginya dan ketika itu Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umaiyah ada di sampingnya, maka Nabi pun memujuknya: Wahai pakcik ku, ucapkanlah Laa ilaaha illa Allah – Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, akan aku bela mu di hadapan Allah. 
Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umaiyah pun segera berkata kepadanya: Wahai Abu Talib, apakah engkau akan meninggalkan agama ‘Abdul Muttalib? 
Maka Nabi bersabda: Aku pasti akan memohonkan ampunan untuk mu selama mana aku tidak ditegah, maka turunlah ayat ini: (ertinya) Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bahawa mereka adalah ahli neraka.[8] 

Sahih Muslim; Kitab al-Iman, Bab “وفاة أبي طالب و ما نزل في شأنه – Kematian Abu Talib dan apa yang telah diturunkan (daripada ayat al-Quran) berkenaan dirinya” Hadis no: 39 (Bab ke-9):

[hampir sama dengan riwayat al-Bukhariy, dengan ada tambahan: 
dan Allah juga menurunkan ayat ini berkenaan Abu Talib: 
Ertinya: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (memeluk agama Islam). Surah al-Qasas: 56] [9]

Daripada ‘Aliy :
“Sewaktu Abu Talib meninggal dunia, aku menemui Nabi lalu menyampaikan: Sungguh, bapa saudara mu asy-Syeikh (orang tua) [yang sesat] telah meninggal dunia, [maka siapa yang akan mengebumikannya?] Jawab baginda : Anda pergilah kebumikannya, kemudian usah anda berbicara sesuatu sehingga anda kembali semula menemuiku. [Maka sabda baginda: Beliau mati sebagai seorang musyrik lalu baginda bersabda lagi:Pergilah kebumikannya]…” [10]

Maka jelas, Abu Talib, mati dalam keadaan tidak beriman.

Adapun riwayat Ibn Ishaq, bahawa al-‘Abbas telah melihat Abu Talib menggerakkan bibirnya, maka ia mengatakan kepada Rasulullah: 
Wahai anak saudara ku, demi Allah abang ku telah mengucapkan kalimah/ungkapan (lafaz syahadah) yang engkau suruhnya agar mengucapkannya, lalu Nabi menjawab: Aku tidak mendengarnya” 
Ini adalah riwayat yang tidak benar, tidak sahih.[11]


2. Cinta ada 2 macam dan Hidayah juga ada 2 bentuk;

a. Cinta:

i. Cinta atas dasar iman, cinta yang wajib ada pada sesama kaum muslimien. Dengan cinta ini juga, mereka membenci kekufuran dan kesyirikan jika berlaku di kalangan kaum muslimien. Dengan cinta ini juga, mereka membenci orang kafir kerana “kufur” (kekufuran mereka) dan “syirik” (kesyirikan mereka) bukan “peribadi” mereka. 
Buktinya: 
- Ertinya: Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; (Surah al-Hujuraat: 7) 
- Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka…(Surah al-Mujaadalah: 22) 
- Kaum Muslimin (para Sahabat dan Tabi‘ien) yang berjihad, sebelum menyerang masuk suatu daerah akan kemukakan 3 tawaran; (1) Anuti agama Islam, kamu saudara kami. (2) Tidak mahu anuti Islam, tidak dipaksakan dan kamu terima perundangan Islam yang adil dan mendatangkan kesejahteraan dan kamu bayar jizyah (cukai) (3) Kedua-dua tawaran tadi ditolak, bererti kalian pilih peperangan 
ii. Cinta naluri dan kekerabatan, antara anak dan ibu bapa, adik-beradik, pakcik dan keponakan dan sebagainya. Inilah maksud cintanya Nabi pada Abu Talib (seperti ayat tadi – Surah al-Qasas ayat 56), cinta dan kasih sayang sebatas “kekerabatan” dan bukan cinta seperti cinta dan kasih sayang atas dasar iman. Nabi tetap membencinya pada kekufurannya sebab itu bila ia jelas mati dalam kekufuran, Ali sebut “sesat” dan Nabi menyatakan ia mati sebagai seorang musyrik. 
Cinta atas dasar iman adalah diutamakan ke atas cinta atas dasar kekerabatan (sebagaimana jelas dalam ayat 22 Surah al-Mujaadalah tadi)

b. Hidayah:
i. Hidayah Taufiqiyah – Urusan Allah yang Maha Mengetahui, Maha Adil yang Mengetahui dan dengan Adil menentukan siapa yang layak terima Hidayah/Petunjuk. Abu Talib membela Nabi dan berjasa pada Nabi semata-mata kerana cinta beliau kepada anak saudaranya, bukan didorong iman. 
ii. Hidayah Irsyadiyah – Ini yang diusahakan para Nabi dan para pendakwah sepertimana Nabi berterusan mengajak Abu Talib agar beriman sehingga saat terakhir hayatnya. Menunjuk kepada jalan yang diredhai Allah.

3. Siapa Abu Talib:

a. Nama beliau: ‘Abdu Manaf bin ‘Abdul Muttalib.[12] ‘Abdul Muttalib bin Hasyim mempunyai 15 orang anak. Maka Abu Talib mempunyai 14 adik beradik; (1) al-‘Abbas, (2) Abu Lahab, (3) Hamzah, (4) al-Harits, (5) az-Zubayr, (6) al-Miqwam, (7) ‘Abdullah (bapa Rasulullah), (8) Hujal, (9) Baroh, (10) Arwa, (11) Safiyah, (12) Ummu Hakiem, (13) ‘Atikah, dan (14) Umiemah.

b. Hubungan beliau dengan Rasulullah: Jelas, bahawa beliau adalah bapa saudara/pakcik/paman sebelah bapa (adik-beradik bapa Rasulullah) kepada Rasulullah .

4. Pembelaan dan Jasa beliau terhadap Rasulullah:

Abu Talib adalah seorang yang melindungi Rasulullah ketika baginda mendapat tentangan kaum Quraisy yang kafir, sewaktu berdakwah kepada mereka sejak Tahun ke-3 selepas kenabian, sehinggalah saat kematiannya. Malah beliau menunjukkan kemarahan beliau terhadap sesiapa yang melakukan apa jua penganiayaan terhadap Rasulullah atau menyakiti baginda.[13] Beliau membela Nabi dan mempertahankan hak Rasulullah menyampaikan dakwah selaku seorang ahli anggota masyarakat Quraisy bahkan keturunan mulianya.[14] Dengan kedudukan beliau yang dimuliakan oleh kaum Quraisy, buktinya mereka hadir pada saat kematiannya. Beliau seorang tua yang fikirannya menebal dengan kepercayaan Jahiliyah.

5. Kematian beliau 

Pada Tahun ke-10 selepas kenabian (Fath al-Bari: 7/194), mempunyai kesan yang amat mendalam terhadap Nabi dan dakwah Nabi.


6. Pengajaran:

Di antara pengajaran terpenting:

a. Sikap orang beriman terhadap bukan Islam, biarpun kaum kerabat, tetapi usaha berterusan agar ia menerima Islam dan pada masa yang sama membenci kekufurannya dan kesyirikannya, bukan “peribadi” (orang) nya.

b. Amalan orang kafir tidak bermanfaat baginya kerana syirik pembatal amalan. Dalam kisah Abu Talib mendapat keringanan azab adalah disebabkan Syafa‘at Nabi yang diperkenankan oleh Allah untuk baginda, hanya keringanan azab, tidak pula keluar daripada Neraka (Syarah ‘Aqiedah at-Tahawiyah). 

Maka Syafa‘at adalah hak mutlak Allah, Nabi diberi izin beri syafa‘at dan syafa‘at Nabi hanya boleh diberikan pada orang yang Allah izinkan. ‘Aisyah pernah bertanya Nabi tentang Ibn Jad‘aan seorang yang pada zaman Jahiliyah, suka menyambung silaturrahim dan sentiasa memberi makan kepada orang miskin, apakah segalanya itu menjadi manfaat baginya sedang ia seorang musyrik. Nabi menjawab, itu tidak menjadi apa manfaat pun baginya kerana ia tidak pernah ucapkan: Oh Tuhanku, ampunilah daku pada Hari Kebangkitan (beriman). Sahih Muslim: 214 dab dalil-dalil lain yang banyak. Justeru, usahlah dilakukan perbuatan syirik, meminta syafaat kepada Nabi, malah sepatutnya hanya kepada Allah Syafa‘at dipinta.

Wallahu a‘lam.




[1] Musannaf ‘Abdur Razzaq: 5/318 dpd periwayatan az-Zuhri yang mursal.
[2] Tabaqat Ibn Sa’ad: 1/117-119, sedang Al-Waaqidiy seorang perawi matruuk (tidak diterima periwayatan beliau)
[3] Ibn Ishaaq: As-Siyar wal Maghaazi: 65-66 dengan sanad yang munqati‘ (terputus – sedang di antara syarat riwayat shohih ialah sanad yang bersambung), al-Baihaqiy: Dalailun Nubuwah: 2/21-22, as-Sierah an-Nabawiyah adz-Dzahabi: 25-26 dgn isnaad yang teramat lemah sampai kepada Ibn ‘Abbaas (di antara yang meriwayatkan kononnya dpd Ibn ‘Abbaas adalah para perawi yang tidak terjamin) iaitu ‘Abdullah bin Syubaib Ar-Rab’ie (Miezaanul I’tidaal Adz-Dzahabi: 2/238-239) 
[4] Riwayat-riwayat yang lemah membawa erti demikian sbgmana yang ada di dalam Tabaqat Ibn Sa’ad: 1/112-113, Mustadrak Al-Haakim: 2/603-604 yang menghukumkan riwayat di sisi beliau sahih dan dipersetujui oleh Adz-Dzahabi, tetapi di dalam isnaad ada ‘Abbaas bin ‘Abdir Rahmaan maulaa Bani Haasyim seorang perawi mastuurul haal (halnya dalam periwayatan tidak diketahui) (Taqriebut Tahdzieb: 293)
[5] Ibn Sa’ad: at- Tabaqat: 1/120 dgn isnad-isnad yang mursal (terputus sampai kpd Tabi’een sahaja) tetapi sahih sampai kpd perawi Tabi’een dan mereka adalah ‘Abdullah bin Al-Qibthiyah dan ‘Amr bin Sa’ied Al-Qurasyi. Adapun apa yang disebutkan oleh Ibn Sa’ad mengenai keberkahan yang terdapat pada makanan keluarga Abu Talib, setiap kali Nabi duduk makan bersama mereka, maka ia tidak tsabit dengan jalan periwayatan yang sahih (maka ia tertolak) bahkan kebanyakan jalan periwayatannya adalah dpd Al-Waaqidiy (dan telahpun dijelaskan periwayatan beliau tidak sah) (rujuk apa yg beliau tukil dpdnya di dalam Taariekh Dimasyqi (As-Sierah) Ibn ‘Asaakir: 1/71-72 dan Al-Khoshoa-ish Al-Kubro oleh As-Suyuuthi: 1/83.     
[6] Yakni seekor kambing satu qierath, iaitu nilai sebahagian dari dinar –wang emas- atau dirham – wang perak – (Fath al-Bari: 4/516) – penterjemah. Sahih al-Bukhaariy (Al-Fath: 4/141 dan 6/438) dan Sahih Muslim dgn Syarah Nawawi: 14/5-6.
[7] as-Sierah an-Nabawiyah as-Sahiehah: 1/103-106
[8] Fath al-Bari: 8/433.
[9] Sahih Muslim bi Syarh an-Nawawi: 1/189.
[10] Riwayat Ahmad (no: 807) dan anak beliau (Zawa-id al-Musnad: no: 1074) daripada Abie ‘Abdir Rahman as-Sulamiy. Kata al-Albaniy: Sanadnya Sahih. Diriwayatkan juga oleh Abu Dawud (2/70) dan para Ahli Hadis lainnya.
[11] Sirah Ibn Hisyam: 1/417 – sebuah riwayat yang Da‘ief lemah kerana adanya perawi yang “Mubham” (tidak dikenali), lagi pula mencanggahi apa yang ada dalam Sahih al-Bukhariy dan Sahih Muslim. ‘Abbas pun ketika itu belum memeluk Islam dan yang ada, beliau bertanya kepada Nabi: “Apakah Abu Talib mendapat apa-apa manfaat (yakni dari segala pembelaannya dan jasanya pada baginda)?” Jelas sekiranya ‘Abbas menyaksikan Abu Talib mengucap, tentunya beliau tidak akan tanya samada jasa Abu Talib bermanfaat  -  Fath al-Bari: 7/194
[12] Fath al-Bari: 7/194
[13] Sahih al-Bukhariy; ibid: 7/193
[14] as-Sierah an-Nabawiyah as-Sahiehah: 1/183 – Sahih Muslim: 1/195



 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts