Thursday, March 13, 2014

Apakah Sahih, Kisah masyhur bagaimana 'Umar radhiyalLaah 'anhu memeluk Islam?

Apakah kisah masyhur bagaimana 'Umar bin al-Khattaab radhiyalLaah 'anhu memeluk Islam, suatu kisah yang Sahih?

Dipetik dari ulasan peribadi terhadap Tafsir asy-Sya'raawi (sebagai satu tugasan ketika menuntut di UKM)



الحمد لله وحده و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه
،أما بعد


Di samping itu, selain riwayat-riwayat Isrā’iliyāt, beliau (Syaikh Mutawalli asy-Sya'raawi) juga kurang menitikberatkan samada sesuatu kisah atau riwayat itu sahih atau tidak, mungkin asalkan ia masyhur sahaja.

Misalnya, pada muka surat 11, beliau mengambil faedah daripada kisah masyhur tentang bagaimana 'Umar bin Al-Khaththāb mula memeluk agama Islam. Bagaimana beliau terkesan dengan pembacaan beberapa ayat daripada Sūrah Thāhā, selepas beliau menampar wajah adik perempuan beliau yang sedang mempelajari Al-Quran bersama suaminya Sa'īd bin Zaid daripada Al-Khabbāb bin Arat, padahal sebelumnya beliau bertekad mahu membunuh Rasulullah (sollalLaah 'alaihi wa sallam) dan ketika sedang dalam perjalanan ke tempat Rasulullah (sollalLaah 'alaihi wa sallam) itulah beliau diberitahu bahawa adiknya dan iparnya telah menganut Islam maka beliau langsung ke rumah adiknya sehingga berlaku kejadian yang disebutkan tadi.

Menurut Al-Shaykh Akram Dhiyā’ Al-'Amri di dalam kitab beliau Al-Sīrah Al-Nabawiyah Al-Shahīhah, tiada periwayatan yang sahih berkenaan kisah atau riwayat ini. Kata beliau (trj.): 
“(Diriwayatkan di dalam) Thabaqāt Ibn Sa'ad 3/267-269, Dalā’il Al-Nubuwah karangan Al-Baihaqi: 2/219 kedua-duanya dengan isnad yang mana padanya ada Al-Qāsim bin 'Uthmān Al-Bashri seorang perawi lemah…”[1]. Mentelah lagi, Sa'īd bin Zaid sendiri menceritakan bahawa 'Umar bin Al-Khaththāb sebelum memeluk Islam selalu menyakiti kaum muslimin dan sering mengikat beliau (Sa'īd bin Zaid), sebagaimana yang ada di dalam kitab Shahīh Al-Bukhārī dengan sharh-nya Fathul Bāri: 7/176. Walaupun kemungkinan bahawa ia benar-benar berlaku dalam sejarah, namun dari sudut penilaian ilmiyah kita tidak dapat mengesahkannya[2]."

Lebih jelas lagi ialah apa yang diulas oleh Al-Ustādh Dr. Ahmad 'Umar Hāshim yang mana beliau telah menyebutkan(trj.): 
“Diriwayatkan oleh Al-Thabrānī di dalam Al-Kabīr dan Abu Nu'aim di dalam Al-Hilyah serta dihukum dha'īf oleh Al-Dāraquthni dan Ibnu Hibbān[3], diriwayatkan oleh 'Abdul Razzaq dengan sanadnya daripada Jābir dan ada disebutkan di dalam kitab Kashfu Al-Khafā’[4], dan seumpamanya."

Cuma sayangnya penulis merasakan bahawa Al-Ustādh Dr. Ahmad 'Umar Hāshim amat kurang sekali menjelaskan samada sesuatu hadis itu lemah atau palsu, sebagaimana yang beliau sebutkan tadi, padahal hadis yang dikatakan daripada Jābir mengenai “Nur Muhammad” adalah sebuah hadis palsu dan memadailah bahawa ia disenaraikan di dalam kitab Kashfu Al-Khafā’ wa Muzīl Al-Ilbās 'ammā ishtahara min al-Ahādīth 'ala Alsinat al-nās, sebuah kitab yang menyenaraikan hadis-hadis palsu.

Walau bagaimanapun masih terdapat banyak hadis-hadis yang sahih yang beliau sebutkan di dalam kitab tafsir ini, namun seharusnya beliau lebih berhati-hati kerana dikhuatiri terjebak di dalam pendustaan atas nama Rasulullah (sollalLaah 'alaihi wa sallam), apatah lagi jika dikenangkan bahawa beliau adalah seorang yang amat berpengaruh di kalangan masyarakat beliau. Wallahu a'lam.

__________________________________________

[1] Al-Sīrah Al-Nabawiyah Al-Shahīhah: 1/180
[2] Ibid: 1/177
[3] Tafsīr Al-Sha'rāwī: Jil 5/2657 dan 2669
[4] Ibid: Jil.5/3026


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts