Wednesday, March 12, 2014

Permasalahan Kesatuan Umat dan Perselisihan Pendapat (Bhg 1)

بسم الله و الحمد لله وحده و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه 
أما بعد،

Soalan:

Baru-baru ini, ada pihak yang menyatakan pendapatnya berkenaan perselisihan pendapat dalam agama sebagai satu isu yang semestinya ditangani dengan bijak dan pendekatan yang baik. Sebagai pendahuluannya, ia menyatakan bahawa perselisihan di antara sesama kaum seagama adalah sesuatu yang berlaku pada semua agama, sama sahaja pada mana-mana agama pun. Lalu pihak tersebut menyarankan sebagai penyelesaian kepada “perselisihan agama” bagi umat Islam setempat dengan mengembalikan segalanya kepada “Majlis Fatwa Negara”.


Jawapan:

Daripada soalan ini, saya terpanggil untuk membuat ulasan dan penelitian terhadapnya selaku seorang muslim yang mengambil berat terhadap pemahaman saudara Islamnya dalam permasalahan seperti ini. Pernyataan ini perlu diberi perhatian dan diteliti dengan sebaik-baiknya kerana mengandungi berbagai maksud yang mendalam. Pernyataan bahawa ia mesti ditangani dengan bijak dan baik adalah dialu-alukan. Namun, ada di antara maksud pernyataan ini yang memberikan pengertian menyeleweng terhadap Islam dan kesan yang membawa penyimpangan masyarakat dalam memahami ajaran agama Islam.

Jika ia lahir dari golongan ahli agama, orang yang berkelulusan dalam bidang agama atau berjawatan sebagai ahli rujukan agama, sungguh ia seumpama seorang doktor yang menyarankan pembunuhan setiap orang sakit, bukan rawatan atau usaha penyembuhan, sebagai jalan keluar kepada berkurangan atau tiada lagi pesakit mahupun penyakit. Layakkah jawatannya sebagai “doktor” dikekalkan? Ahli perubatan yang mencanggahi keahlian bidang perubatan dan tujuan pengkajiannya dan maksud pembelajarannya semestinya disifatkan sebagai tidak layak mewakili sekalian ahli bidang itu dan memburukkan dan membahayakan “industri” bidang tersebut. Maka ahli agama yang mencanggahi maksud dan tujuan agama, iaitu ketaatan kepada Allah dan Rasul serta perlaksanaan sedaya upaya segala tuntutan Allah dan Rasul, mahupun memelihara nama baik Islam, tidak layak mewakili umat Islam dan ajaran Islam.

Jika ia seorang “Menteri Agama”, hanya perlu dipersoalkan apakah jawatannya itu disandang kerana keluasan ilmunya yang sukar dicarikan baginya tandingan dalam bidang agama? Ataukah perlantikan melalui suara ramai umat/masyarakat Islam? Ataukah perlantikan pihak berkuasa agar ia mewakili umat Islam dan berbicara seolah-olah sebagai wakil masyarakat atau wakil pihak berkuasa. Begitu pula persoalan asasi, jika ia dilantik pihak berkuasa, bukan masyarakat, apakah untuk kepentingan dan kemaslahatan masyarakat atau kepentingan pihak berkuasa selaku majikannya? Saya hanya mengajak kita menjadi masyarakat Islam yang teliti dalam penilaian dan bijak dalam membuat pilihan dan keputusan serta tindakan yang menyusuli penilaian dan pilihan kita.

Jika ia bukan “ahli agama”, apakah layak diambil kira perkataannya, apatah lagi bilamana ia mencanggahi pernyataan Allah dan RasulNya?

Kini, saya mengajak sidang pembaca kembalikan pernyataan pihak tersebut pada neraca pertimbangan dan penilaian agama Islam agar kita memahami permasalahan “perselisihan” dalam agama ini dengan betul dan tidak dikelirukan. Malah diharapkan, pihak yang mengeluarkan pernyataan itu mendapat pemahaman yang tepat dan dengan ikhlas, tunduk dan patuh kepada ajaran Allah dan rasulNya;

A) Perselisihan Umat Islam tidak boleh disamakan dengan perselisihan golongan lain dari sudut dasarnya; Ajaran Islam yang Asal mengajar kesatuan

Allah telah berfirman:


Ertinya: “…dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik - iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira (berbangga) dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).”[1]
   
Ayat ini jelas menyatakan pernyataan Allah bahawa kita dilarang daripada menyerupai orang-orang musyrik dan ciri mereka adalah berselisihan dalam agama. Justeru, tiada persamaan di antara umat Islam, umat Tauhied jika dibandingkan dengan umat musyrik. Umat Islam menjadi seperti mereka bilamana tidak mentauhidkan Allah dan mereka ini adalah golongan menyimpang di kalangan yang mengaku beragama Islam, yang melakukan atau menyetujui perlakuan syirik yang diatasnamakan Islam. Di antara ciri utama kesatuan Umat Islam adalah Tuhan yang satu, yang disembah dan ditaati sebagaimana pernyataan kita dalam Surah al-Fatihah. Lantaran itu, kesatuan umat diusahakan dengan menyatukan mereka atas Tauhied. Mereka yang mengaku Islam, tetapi tidak mangajak dan memelihara Tauhied, malah mendorong kepada syirik adalah yang menyimpang dari Ajaran Islam dan menyimpangkan diri dari kesatuan umat.

Maka kata-kata pihak tersebut: “perselisihan di antara sesama kaum seagama adalah sesuatu yang berlaku pada semua agama, sama sahaja pada mana-mana agama pun” lahir dari pandangan serong tidak berpengetahuan terhadap Ajaran Islam sebenar. Agama lain dari dasarnya adalah “yang disembah” adalah berbilang atau berbagai dan ada bandingannya, maka sebab itu, tiada kesatuan pada yang disembah dan dijadikan Tuhan. Surah al-Ikhlas, jelas memahamkan bezanya Allah daripada segala sembahan lain dan hanya Dia yang Tunggal, yang berhak disembah.

Ayat-ayat lainnya, Firman Allah:



Ertinya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…”[2]

Di dalam ayat ini, Allah berpesan agar umat Islam bersatu padu disertai larangan agar jangan bercerai-berai serta dijelaskan bahawa kesatuan itu diusahakan dengan berpegang teguh kepada tali Allah, yakni al-Qur’an, as-Sunnah dan ajaran asal Islam.

Setelah ayat berikutnya, Allah menegaskan sekali lagi:



Ertinya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata.” [3]

Punca umat terdahulu, Ahli Kitab, menjadi bercerai-berai dan berselisihan dalam agama adalah dengan tidak kembali kepada keterangan yang telah Allah sediakan bagi mereka. Bagi kita umat Muhammad, akan menjadi seperti mereka, ketikamana tidak kembali kepada keterangan al-Qur’an dan as-Sunnah. Adapun golongan musyrik dan Ahli Kitab, mereka berselisihan kerana tiada panduan jelas dan dasar-dasar mereka yang bercelaru, hasil rekaan manusia dengan perasaan, pemikiran atau hawa nafsu. Maka tiada persamaan di antara punca perselisihan umat Islam dibandingkan dengan perselisihan mereka. Bilamana umat Islam tidak mengikuti pesanan Allah ini, jadilah mereka berpecah-belah dan tiada kesatuan.



Ertinya: “Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dengan (perbuatan) mereka...” [al-An'aam: 159]

Ayat tadi, menjelaskan dengan nyata, ajaran asal Rasulullah, ajaran Islam sebenarnya, tiada terkait dengan apa yang ditimbulkan oleh umat baginda daripada berbagai perselisihan menurut hawa nafsu dan perpecahan. Maka untuk mengusahakan kesatuan umat adalah dengan kembali kepada ajaran asal Rasulullah.

Maka Allah dan RasulNya, tidak mengajarkan kita untuk berselisihan dalam agama, malah menyuruh kita selaku umat Islam agar bersatu padu dan memelihara kesatuan. Berbeza dengan dasar ajaran agama lain yang mustahil dapat menyatu-padukan umat mereka, malah tidak pula dapat menyatu-padukan umat manusia. Islam dengan ajaran asalnya, yang dapat menyatukan umat manusia, salah satu bentuk Rahmah yang dibawa oleh Rasulullah kepada seluruh alam.

Masih ada banyak lagi ayat dan begitu pula pesanan Rasulullah berkenaan permasalahan ini, namun ia akan disebutkan dalam penjelasan yang menyusul.
 

B) Penyelesaian dan Huraian kepada Perselisihan, bukan dikembalikan kepada keputusan manusia atau konteks semata-mata atau Majlis Fatwa tanpa mengembalikan kepada Asal Ajaran Islam

Adapun saranan pihak tersebut: “penyelesaian kepada “perselisihan agama” bagi umat Islam setempat dengan mengembalikan segalanya kepada “Majlis Fatwa Negara”” adalah satu saranan yang baik namun bukan secara mutlak, tanpa keterikatan ketentuan-ketentuan dan syarat-syarat tertentu. Ini perlu dinilaikan terutama sekali jika:
  1. Majlis Fatwa itu bukan dari kalangan yang sebenar-benarnya berkelayakan yang telah mencapai derajat golongan Ahli Ijtihad, ‘ulama’ sebenar seperti halnya ‘ulama’ terdahulu. 
  2. Mereka dilantik oleh pihak yang bukan ‘ulama’ seperti yang disifatkan tadi, malah lebih disangsikan “kelayakan” dan kewibawaan mereka jika dilantik oleh pihak Negara yang tidak menerapkan ajaran Islam apatah lagi jika menolak ajaran Islam. 
  3. Majlis Fatwa tersebut ternyata menentukan hukum-hukum agama bukan berpandukan teks-teks; al-Qur’an dan as-Sunnah, mahupun ajaran Sahabat dan ajaran ‘ulama’ yang ada dalam kitab-kitab yang begitu banyak dalam memahami dan menyimpulkan hukum (membuat kajian dan rujukan menyeluruh atas dasar taqwa), malah lebih kepada konteks semata-mata dengan sebahagian teks-teks yang ditafsirkan menurut yang sesuai konteks, sehingga mencanggahi asal ajaran Islam dan tujuannya. 
Saya katakan “baik”, sebab pihak yang berwenang, memang dapat membantu usaha menyatukan umat dalam banyak perkara. Ajaran asal Islam mengajarkan demikian, iaitu peri pentingnya mentaati orang Islam yang menjadi pihak berkuasa atas umat Islam, misalnya Khalifah dan Qadi, tentunya berbeza dengan yang bukan Islam. Terutama sekali bila kita membicarakan “kemaslahatan” umat Islam. Namun, atas dasar apa dan bagaimana perlaksanaannya?

Berikut adalah ketentuan-ketentuan Allah dan RasulNya:


Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia (huraian perkara yang diperselisihkan itu) kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Jelas tegas di dalam ayat ini, apa jua yang dikeluarkan Majlis Fatwa Negara, untuk menyelesaikan “perselisihan” yang ada di kalangan masyarakat, semestinya berdasarkan ketaatan kepada Allah dan Rasul, dikembalikan kepada keterangan al-Qur’an dan as-Sunnah. Amatilah dengan teliti, perkataan “taatlah” diulang untuk ketaatan pada Allah dan Rasul, ketaatan bersifat mutlak, tetapi ketaatan pada Ulil Amri, pemimpin tidak disertai “taatlah” yang bererti ia ketaatan yang terikat dan bergantung kepada ketaatan kepada Allah dan Rasul, keterangan al-Qur’an dan as-Sunnah. Allah juga menegaskan “minkum – dari kalangan kamu”, perkara yang telah kita sebutkan tadi. Allah yang Maha Tinggi juga menyatakan bahawa ia sebagai syarat keimanan yang sebenar kepada Allah dan Hari Akhirat. Jalannya menurut ketetapan Allah dan Rasul, caranya serta tujuannya juga adalah keredhaan Allah.

Junjungan kita Nabi Muhammad telah bersabda:
“Aku mewasiatkan kepada kalian agar bertaqwa kepada Allah dan dengar serta taat meskipun yang menjadi pemimpin kalian seorang bekas hamba sahaya. Kerana sesungguhnya, barangsiapa di antara kalian yang masih hidup (selepas kewafatan ku), maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh itu menjadi kewajipan kalian berpegang kuat dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafaa Rasyidin yang diberi petunjuk dan gertaplah ia (sunnah-sunnah) tersebut dengan gigi geraham kamu (berpegang kuatlah dengannya) dan berwaspadalah kalian daripada segala rekaan baru (dalam agama ini), kerana setiap rekaan baru adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat dan setiap yang sesat di Neraka” [4]

Maka pesanan Nabi kita juga adalah taat kepada pemimpin dan ia bukan secara mutlak, tetapi dengan bermati-matian berpegang teguh kepada ajaran Rasulullah dan para Sahabat.

Sebaliknya pula, ikutan kepada ketentuan manusia semata-mata, bilamana mencanggahi ketaatan kepada Allah adalah disifatkan oleh Rasulullah sebagai "beribadat kepada selain Allah" yang amat buruk dan tercela lagi mengikuti cara-cara Ahli Kitab yang sesat dan dimurkai Allah.

Malah, ia disifatkan oleh Rasulullah sebagai suatu bentuk kekufuran.

Di dalam Kitab Tafsier Ibn Katsier, ketika mentafsirkan ayat 31 Surah at-Taubah:



ertinya: Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan...,

Beliau (rahimahullaah - wafat 744H) membawakan riwayat berikut:

"...bahawa 'Adiy bin Haatim, datang menghadap Rasulullah untuk memeluk Islam, sedang pada lehernya ada loket emas lambang salib, maka baginda pun bersabda memerintahkan: "Wahai 'Adiy, buanglah berhala ini daripada mu" dan baginda pun membacakan ayat ini kepadanya lalu bersabda:

"Mereka tidaklah menyembah paderi-paderi, pendita-pendita ahli agama mereka itu (dengan beribadah kepada mereka) tetapi mereka (kaum Nasrani) menyembah/beribadah kepada mereka (para ahli agama, 'ulama mereka) dengan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh (ulama') mereka dan apa yang diharamkan oleh (ulama') mereka, mereka ikut haramkan (padahal ia mencanggahi hukum Allah).[5]






Baca sambungannya di Permasalahan Kesatuan Umat dan Perselisihan Pendapat (Bhg 2)



[1] Al-Qur’an; Surah ar-Ruum: 30: 31-32.
[2] Al-Qur’an; Surah aal-‘Imraan: 3: 103.
[3] Al-Qur’an; Surah aal-‘Imraan: 3: 105.
[4] Diriwayatkan daripada ‘Irbad bin Sariyah oleh Imam-imam Abu Dawud, at-Tirmidzi dan menurut at-Tirmidzi: Hasan Sahih dan ia dipersetujui oleh para Ahli Hadis lainnya.
[5] Sahih Sunan at-Tirmidzi: 3095 – Hadis berderajat Hasan
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts