Sunday, March 16, 2014

Solat al-Istisqaa' (Minta Hujan)




إِنَّ الْحَمْدَ لله نَحْمَدُهُ وَ نَسْتَعِيْنُهُ وَ نَسْتَغْفِرُهُ ، وَ نَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَ مِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا ، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ ، وَ مَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ ، و أشهد أن لآ إله إلا الله وحده لا شريك له ، و أشهد أن محمدا عبده و رسوله .
أَمَّا بَعْدُ ،

Sejak beberapa hari yang lalu, ada sebahagian teman-teman yang bertanya berkenaan Solat al-Istisqaa' yakni Solat yang dilaksanakan secara berjemaah untuk meminta hujan, disebabkan Musim Kemarau atau setelah tidak turun hujan agak lama yang menyebabkan kekeringan dan kekurangan air yang amat dirasakan oleh manusia dan haiwan serta tumbuh-tumbuhan.

Berikut ini, saya jelaskan seringkasnya, berdasarkan Nota Pengajian Fiqh yang memang telah disiapkan dan disampaikan dalam kelas pengajian, sejak sekian lama. Semoga bermanfaat.

1. Pengertian: Sholat al-Istisqaa adalah Solat "Minta Hujan"

2. Hukum & Waktunya:
Sunnat Muakkadah ketika kemarau. Dilaksanakan di luar waktu-waktu haram solat atau ketika Hari Raya.

3. Tempatnya:
Di padang atau lapangan (bukan di Masjid - namun masih diperbolehkan untuk dilaksanakan di dalam Masjid). Turut disertai wanita dan haiwan (misalnya sebahagian haiwan ternakan dibawa bersama dan ditambat, sebabnya, haiwan juga memerlukan limpahan Rahmat Allah iaitu hujan)

4. Bacaan di dalam Solat:
Jahar (bukan sirr/senyap) atau dilantangkan bacaan Surahnya oleh Imam. Berdasarkan hadis riwayat 'Abdullah bin Zaid (Sahih al-Bukhaariy; al-Fath: 3/167)

5. Khutbah:
i. Tiada - Menurut penjelasan Ibn 'Abbaas: Tiada Khutbah (riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi dan an-Nasaa-i) 
ii. Ada - sebagaimana yang difatwakan oleh ramai 'ulama. Hanyasanya mereka berselisih apakah sebelum Solat atau sesudahnya. Malah ada yang berpendapat, boleh sahaja sebelum atau sesudah yakni ada pilihan.
Wallahu a'lam.

6. Tiada Azan

7. Apakah diulangi Solatnya pada Hari Kedua atau Ketiga jika tidak hujan.
Diperselisihkan. Namun yang Raajih, yakni pendapat lebih kuat dan utama diikuti adalah "tidak diulangi"

8. Cara Perlaksanaan Solatnya:
i. 2 rakaat seperti Solat ‘Eid (Hari Raya) - Kata Ibn ‘Abbaas: “Solat 2 rakaat seperti cara baginda solat ‘Eid (Hari Raya - dengan Takbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua)” (at-Timidzi: Hasan Sahih). 
ii. 2 rakaat seperti biasa - Kata Abdullah bin Zaid: “Nabi solat Istisqaa' 2 rakaat dan baginda menterbalikkan ridaa' (seperti selendang - kain penutup kepala) ” (HR al-Bukhaariy; al-Fath: 3/152)

9. Berdoa dengan Mengangkat tangan sambil menghadap kiblat
Terdapat banyak hadisnya, antaranya, Abdullah bin Zaid meriwayatkan: 
“Nabi beristisqaa' berdoa menghadap kiblat” (HR al-Bukhaariy; al-Fath: 3/152)
Anas pula meriwayatkan: 
“Nabi tidak angkat tangan ketika berdoa kecuali ketika beristisqaa'...mengangkatkan kedua tangan, tinggi hingga kelihatan putihnya ketiak baginda (yang mulia)” (HR al-Bukhaariy; al-Fath: 3/171 dan Muslim hadis no: 895)

10. Apakah Makmum/Sidang Jemaah menterbalikkan selendang juga

Al-Ustadz Sayyid Sabiq menyatakan berikut ketika menjelaskan berkenaan Solat al-Istisqa’, di dalam kitab Fiqh Sunnah:
"فإذا انتهى من الخطبة حول المصلون جميعا أرديتهم...رافعي أيديهم مبالغين في ذلك"

Ertinya: Maka apabila ia (si imam) telah selesai berkhutbah, hendaknya para makmum semuanya, menterbalikkan selendang mereka…mengangkat tinggi kedua tangan mereka dengan berlebihan dalam melakukannya.

Kata asy-Syeikh al-Albaniy di dalam ulasan beliau terhadap kitab Fiqh as-Sunnah: 

Ulasanku: di dalam ungkapan beliau ini ada 2 permasalahan, yang mana penulisnya (Ustaz Sayyid Sabiq) tidak mengemukakan dalilnya:
1. Para makmum menterbalikkan selendang mereka
2. Mereka turut mengangkat tangan

Adapun yang pertama (1) maka dalilnya adalah hadis ‘Abdullah bin Zayd katanya: Aku telah melihat Rasulullah ketika melakukan al-Istisqa’ (meminta hujan) untuk kami, baginda memperpanjangkan doa dan berbanyak-banyak memohon kepada Allah, katanya lagi: kemudian baginda berpusing menghadap kiblat dan memusingkan selendang baginda dengan menterbalikkannya dan orang ramai (para makmum) pun melakukan yang sama bersama-sama baginda.

Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang kuat, tetapi penyebutan kisah “orang ramai pun melakukan yang sama – menterbalikkan selendang” adalah riwayat Syadz [1] (lemah) sebagaimana yang telah saya jelaskan dengan analisa kritis/teliti dalam Silsilah al-Ahadiets ad-Da‘iefah (5629).

Manakala dalil bagi kenyataan kedua (2) pula adalah hadis berikut yang ada dalam kitab ini (Fiqh as-Sunnah) pada no: 2, yang mana disebutkan dalam riwayatnya:
“Maka Rasulullah mengangkat kedua tangan baginda sambil berdoa dan orang ramai pun turut mengangkat tangan mereka berdoa”

Diriwayatkan oleh al-Bukhariy secara mu‘allaq (sanad terputus) dan al-Baihaqi dan lainnya telah meriwayatkannya secara bersambung, namun tiada pada riwayat tersebut bahawa mereka (orang ramai – para makmum) mengangkat tangan mereka. Yang pasti sabit adalah perbuatan Rasulullah sendirian sahaja sebagaimana yang ada dalam hadis ‘A-isyah, yang juga ada di dalam kitab ini serta hadis Anas di dalam as-Sahihayn (al-Bukhariy dan Muslim). Maka menurut penilaian saya, disyari‘atkan hanya kepada imam dan bukannya para makmum, untuk mengangkat tangan dengan berlebihan meninggikannya (tangan).[2]

Wallahu a‘lam.

__________________

[1] Ertinya “ganjil” “yang berbeza daripada kebanyakan”.Istilah: Apa yang diriwayatkan oleh perawi “Maqbul” (yang diterima periwayatannya; merangkumi perawi riwayat Sahih dan Hasan) dan periwayatannya itu ada percanggahan (lafaz/makna) dengan apa yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih utama diterima periwayatannya daripada dirinya (merangkumi; perawi yang lebih mantap hafazan dan lebih tinggi keperibadiannya dan juga bilangan yang lebih ramai)

[2] Tamam al-Minnah fie Ta‘lieq ‘ala Fiqh as-Sunnah: 264-265

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts