Saturday, April 5, 2014

Sejauh mana kebenaran kisah Taubat Ibn Taimiyah

Soalan:

Assalaam ‘alaikum ya Ustadz,

Boleh perjelaskan tentang kisah taubat Syeikhul Islam Ibn Taimiyah ini, yang dikemukakan sebagai berikut, sejauh mana kebenarannya? Lalu jika benar Syeikhul Islam telah bertaubat, apakah ia taubat yang sebenarnya di sisi Syara‘ ataukah beliau sebenarnya meninggalkan ajaran yang benar? Baru-baru ini, ada orang yang menghukumkan beliau kafir pada mulanya (2 atau 3 hari yang lalu). Kemudian pihak itu mengatakan sekarang: Kafir sebelum taubatnya, kemudian selepas taubatnya, Ibn Taimiyah telah jadi pengikut fahaman Asy‘ari dan Sufi dan tidak kafir lagi? Malah beliau ada menyalahkan Islamiq.sg, yang biasa menyiarkan sebahagian tulisan Ustaz, sebagai punca beliau menimbulkan tengkarah ini. Beliau juga menyiarkan nama seseorang yang diistilahkannya sebagai “dalang” lengkap dengan alamat rumah. Apa ulasan Ustaz?

Yang inginkan kepastian - Abu Insyirah.


في كتاب (الدرر الكامنة) للحافظ ابن حجر العسقلاني ما نصه: (..ولم يزل ابن تيمية في الجب إلى أن شفع فيه مهنا أمير آل فضل فأخرج في ربيع الأول في الثالث وعشرين منه، وأحضر إلى القلعة، ووقع البحث مع بعض الفقهاء، فكتب عليه محضر بأنه قال: أنا أشعري ثم وجد خطه بما نصه: 
الذي اعتقد أن القرآن معنى قائم بذات الله وهو صفة من صفات ذاته القديمة وهو غير مخلوق وليس بحرف ولا صوت وأن قوله الرحمن على العرش استوى ليس على ظاهره ولا أعلم كنه المراد به بل لا يعلمه إلا الله والقول في النزول كالقول في الاستواء وكتبه أحمد بن تيمية، 
ثم أشهدوا عليه أنه تاب مما ينافي ذلك مختارًا وذلك في خامس عشرى ربيع الأول سنة 707 وشهد عليه بذلك جمع جم من العلماء وغيرهم..)


Terjemahannya: 
Di dalam Kitab “ad-Durar al-Kaaminah - mutiara yang terpendam, yang bernilai tinggi” karya al-Haafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaani nasnya sebagai berikut: …dan Ibn Taimiyah tetap berada dalam lubang tahanan (penjara) sehinggalah beliau diberikan sokongan/syafa‘at antara lain oleh Amier Aali Fadhl maka beliau dikeluarkan pada 23 haribulan Rabie’ al-Awal dan beliau di bawa ke menara benteng/istana, lalu berlakulah perdebatan di antara beliau dan segolongan Fuqahaa’ (ahli fiqh), maka dituliskan untuknya agar ia membuat pengakuan: “Saya (berfahaman) Asy‘ariykemudian diketemukan dengan tulisan tangan beliau dengan catatannya: “yang menjadi I‘tiqadku bahawasanya al-Quran adalah makna yang berdiri sendiri pada Dzat Allah, sebagai satu Sifat daripada Sifat Dzatiyahnya yang Qadiem, bukan makhluq dan bukan pula (terdiri/berupa) huruf dan tidak pula suara dan FirmanNya: ar-Rahman di atas ‘Arasy beristiwa, bukannya dengan maknanya demikian secara zahir dan saya tidak mengetahuinya apa yang dimaksudkan dengannya malah tiada yang mengetahuinya kecuali Allah dan yang sama juga bagi an-Nuzul, seperti yang dinyatakan berkenaan Istiwaa’ dan ini telah ditulis oleh Ahmad ibn Taimiyah, kemudian mereka semua menjadi saksinya bahawa ia telah bertaubat yang mengandung maksud bahawa ia melakukannya dengan pilihannya (bukan dipaksakan) dan yang demikian itu berlaku pada 25hb Rabie’ul Awal tahun 707H dan disaksikan yang demikian itu oleh segolongan yang ramai daripada ‘ulama’ dan lainnya.

Jawapan:

Wa ‘alaikumussalaam wa rahmatullaah,

Bismillah walhamdulillaah was solaatu was salaam ‘alaa Rasuulillaah wa ‘alaa aalihi wa sohbihi wa manittaba’a hudaah,

Wa ba’d.

Adapun soal kisah Taubat Syeikhul Islam (semoga Allah merahmati beliau), maka ia bukanlah sebuah kisah yang dapat dipastikan kebenarannya. Akan saya perincikan kelak. Manakala soal ia dikemukakan sebagaimana yang ada dalam nukilan itu, maka benar, adanya dalam kitab berikut (yang ada dalam Perpustakaan peribadi saya/Personal Library):


Di dalam Kitab “ad-Durar al-Kaaminah”

karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaaniy (semoga Allah merahmati beliau); bermula daripada halaman 144 sehingga 160 daripada Juzu’ yang pertama, daripada kitab 4 jilid beliau ini, begitu banyak dan penuh pujian serta sanjungan begitu ramai ‘ulama’ yang disebutkan oleh al-Hafiz, terhadap Syeikhul Islam Ibn Taimiyah (semoga Allah merahmati beliau), sehingga 16 halaman dan bukannya kutukan atau kritikan, yang mencerminkan keluasan ilmu beliau dalam berbagai bidang, malah disifatkan sebagai hujjah dalam bidang-bidang tersebut. 

Padahal begitu ramai ‘ulama terbilang yang disenaraikan[1]. Ada sebahagian ‘ulama’ yang disebutkan Ibn Hajar sekadar 3 hingga 4 baris mengenai biografi mereka. Lalu kenapa yang panjang lebar diketepikan sehingga 16 halaman, untuk hanya memetik bahagian ini yang kurang satu perenggan, yang disebutkan oleh al-Haafiz sebagai contoh pahit getir yang beliau lalui serta pengorbanan beliau menegakkan kebenaran?

Sila rujuk pada no: 409; Ahmad bin ‘Abdil Haliem…Ibn Taimiyah al-Harraani, benar beliau yakni al-Haafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaaniy ada menyatakan pada Juzu’ 1/148 (5 baris dari atas):


Yang mana kesimpulan kisahnya bahawa Ibn Taimiyah, telah menyatakan bahawa beliau berfahaman Asy‘ariy dan bertaubat daripada ‘Aqidahnya, yang bersgelar ‘Aqidah Salaf lalu dengan taubatnya, beliau mengatakan sesuai fahaman I‘tiqad al-Asyaa‘irah.

Apakah benar perkara Taubatnya beliau dan mengikuti fahaman Asy‘ari ini?

Berikut jawapannya:

1. Kesemua kitab-kitab Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, semoga Allah merahmati beliau, yang begitu banyak, tiada satu pun yang mengandungi perkara ini, iaitu “taubat beliau” mahupun sokongan beliau kepada fahaman al-Asyaa‘irah, malah semuanya dipenuhi dengan pengesahan beliau terhadap Aqidah Salaf yang menjadi pegangan beliau dan itulah juga pegangan Imam 4 Madzhab yang terkemuka dan para pengikut para Imam tersebut.

2. Sekiranya kita andaikan bahawa perkara ini benar-benar terjadi, maka ia seperti pengakuan (taubat) seorang yang dipaksa. Seorang yang dipaksa mengucapkan perkataan kufur sekalipun tidak menjadi kafir dengan ucapannya, sebagaimana yang sedia dimaklumi berkenaan kisah ‘Ammaar bin Yaasir, semoga Allah meredhai beliau, yang telah dijelaskan panjang lebar dalam Tafsir al-Qurtubiy pada ayat 106 Surah an-Nahl.

3. Kitab “ad-Durar al-Kaaminah fie A‘yaan al-Mi-ah ats-Tsaaminah” adalah sebuah kitab sejarah dan biografi, bukannya sebuah kitab yang layak dijadikan sandaran dalam pengisbatan Aqidah. Lagipun Ibn Hajar, semoga Allah merahmati beliau, hanya menukilkan kisah ini sebagaimana orang lain menukilkannya daripada berbagai kisah-kisah dalam menyebutkan biografi dan metodologi beliau dalam kitab beliau ini, tidak sama dengan metodologi beliau dalam – misalnya – Kitab Fath al-Baari, kerana beliau menetapkan syarat-syarat periwayatan apa yang tidak beliau tetapkan bagi kitab “ad-Durar al-Kaaminah” ini. 

Tambahan pula dinyatakan oleh beliau dengan sieghah tamriedh: “ثم وُجِدَ خَطّه بما نَصّه” ertinya: “kemudian diketemukan tulisannya yang berbunyi…” 

Persoalannya: Siapa yang ketemukannya? Siapa pula yang dapat memastikannya dan mengisbatkannya pada diri peribadi Ibn Taimiyah? Dalam ilmu riwayat, apa yang disebutkan dengan bentuk penyebutan sedemikian, tidak diterima pakai sebagai hujjah. Begitu pula kisah Ibn Batutah, kononnya Syeikhul Islam Ibn Taimiyah menyamakan “dirinya” dengan Dzat Allah adalah kisah palsu. Sila lihat: http://www.al-jamaah.sg/2014/04/ibn-taimiyah-and-false-allegations-of.html

4. Manusia yang terdekat dan paling rapat dengan Ibn Taimiyah adalah: Ibn al-Qayyim, Ibn ‘Abdil Haadi dan di kalangan Ahli Sejarah: Ibn Katsier, salah seorang murid Ibn Taimiyah, begitu pula adz-Dzahabi, namun tidak seorang pun di antara mereka yang menyebutkan perkara ini, iaitu tulisan ini, malah tidak pula kisah taubatnya, sebagaimana yang didakwakan.

5. Seandainya kita terima – sebagai suatu andaian semata – bahawa Ibn Taimiyah bertaubat daripada pegangan asalnya, apakah dengan itu akan berubah jadinya ‘Aqidah Ahli Sunnah wal Jama‘ah? Apakah itu bermakna berlaku pertukaran ‘Aqidah yang menjadi pegangan Salafussolih seperti para Sahabat dan yang datang selepas mereka, antaranya Imam 4 Madzhab dan para pengikut mereka yang setia?

Abul Hasan al-Asy‘ari, semoga Allah merahmati beliau, telah menarik balik dan “bertaubat” daripada aliran ‘Aqidahnya, lalu menulis kitab-kitab…tetapi persoalannya: al-Asyaa‘irah ikut bertaubat dengan meninggalkan fahaman lama Imam Abul Hasan al-Asy‘ari dan mengikuti beliau dengan Taubat beliau? Sila lihat Aqidah Salaf dalam perkara di mana Allah? http://www.islamiq.sg/2011/05/uluw-ijma-ulama.html

Perkara Allah di mana yang telah cukup jelas pun ada orang persoalkan, “kalau orang South Pole langitnya dibandingkan dengan orang North Pole, jadi Allah di atas atau di bawah?” Ini tidak perlu kita huraikan di sini kerana sudah ada banyak penjelasannya dengan segala hujjahnya daripada ayat-ayat al-Quran, as-Sunnah dan penjelasan ‘ulama yang jauh lebih ‘alim daripada orang yang hatinya berpenyakit (sila rujuk Tafsiran Surah aal-‘Imraan: 7), cuma kita tanya, simpulan bahasa ini bagaimana dapat difahami; “bagai meludah ke langit” kalau langit itu dipersoalkan langit South Pole, North Pole, China, US dan sebagainya. Apa pula erti peribahasa: “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Maksud saya, jika orang tanya anda: “di mana langit?”, orang seperti ini akan buat orang bingung dengan kekeliruannya, langit di mana pun ia tidak tahu, sehingga ditanya balik: “Awak maksud langit South Pole ke North Pole?” sedangkan orang yang cerdik akan jawab dengan hanya perlu menuding ke langit.

6. Golongan daripada puak al-Asyaa‘irah yang cuba berhujjah terhadap Ahli Sunnah dengan kisah sekadar beberapa baris ini, perumpamaannya adalah seperti orang yang meninggalkan sungai dengan airnya yang segar banyak, lalu menangguk di air yang keruh dan meminumnya. Beratus hasil tulisan Syeikhul Islam, yang jelas tegas mengisbatkan Aqidah Salaf, malah ada yang ditulis sebagai perbandingan kesilapan dan penyelewengan yang ada pada al-Asya‘irah, disertai pembatalan hujjah dan sanggahan serta pematahan dalil-dalil mereka.

Apakah patut ditinggalkan kitab-kitab beliau yang begitu banyak hanya semata-mata kerana “penemuan” nas/pernyataan/tulisan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya pun?

Mengapa tidak dibaca tulisan-tulisan beliau itu semua dan bukan sekadar dikutip kisah-kisah yang tidak dapat dipastikan kebenarannya seperti ini.

Teladanilah pengalaman hidup Syeikh al-Harraas, yang dengan kelulusan beliau ke tahap PhD, beliau mengagumi Syeikhul Islam, walhal sebelum membaca hasil karya Syeikhul Islam, beliau amat memusuhinya. Sila baca dan dengarkan ini: 
-  http://rahmaniyyahpublishing.wordpress.com/2014/03/08/the-repentance-of-shaykh-muhammad-khalil-harras/
http://audio-islam.com/2014/03/11/the-repentance-of-shaykh-mu%e1%b8%a5ammad-khalil-harras/

Sesiapa yang ingin berhujjah berdasarkan kisah taubat ini, maka sebenarnya hujjah telah tertegak atas dirinya sendiri.

Betapa tidak, sebab Abu al-Hasan al-Asy’ariy (semoga Allah merahmati beliau), telah bertaubat meninggalkan Aqidah Asy‘ariyah yang beliau gubal untuk mengikuti Aqidah sebenar Ahli Sunnah wal Jama‘ah yang benar. Kisah dan catatan sejarah berkenaan Taubatnya Imam al-Asy‘ariy begitu masyhur – meskipun golongan al-Asya‘irah menyangsikannya. Jika mereka ingin sangat bersandarkan pada hujjah kisah Taubat Syeikhul Islam ini, semestinya mereka menerima dan ikut bertaubat dengan taubatnya Imam Abul Hasan, kerana “taubatnya” Imam Abul Hasan, jelas dalam kitab-kitab karangan beliau yang terakhir.

Wallahu a‘lam.


Tambahan Maklumat Mengenai “Nasihah Dzahabiyah”

Berikut ini pula penambahan maklumat, sebagaimana yang ada dalam Kitab “ad-Durar al-Kaaminah” ini, yang jelas membuktikan kepalsuan Surat Dzahabiyah yang telah diperjelaskan pada kiriman (posting) yang lalu. (Rujuk: "Keperibadian Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, Ahmad bin 'Abdul Haleem al-Harraani")

Berikut antara nukilan al-Hafiz Ibn Hajar daripada adz-Dzahabi yang menyangkal komentar as-Subki dengan kata-kata yang tidak layak terhadap guru beliau Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, membela Syeikhul Islam selepas kewafatannya – satu lagi bukti kepalsuan dakwaan “Nasihah Dzahabiyah” yang kononnya Imam adz-Dzahabi telah meninggalkan ajaran gurunya, Syeikhul Islam – berikut ini:



Terjemahannya: 
adz-Dzahabi telah menulis kepada as-Subki menegurnya disebabkan kata-katanya (as-Subki) terhadap Ibn Taimiyah, maka adz-Dzahabi menyanggah kata-kata tersebut dan di antara isi sanggahan beliau: Adapun kata-kata Tuan terhadap Syeikh Taqiyuddien…sungguh terbukti kedudukannya amat besar dan keluasan lautan ilmunya dalam ilmu-ilmu naqli (bersumberkan nas al-Quran dan as-Sunnah) dan ‘aqli (ketajaman akal dan penilaian mendalam) dan jangkauan kepintaran beliau dan ijtihadnya dan pencapaian beliau dalam itu semua pada tahap pencapaian yang lebih dari yang dapat disifatkan…dan kedudukannya pada diri ku sendiri adalah lebih besar dari yang demikian itu dan lebih agung digandingkan dengan apa yang Allah himpunkan pada diri beliau daripada kezuhudan, wara‘, kesungguhan memelihara agama dan pembelaan terhadap kebenaran dan sentiasa mengusahakannya tanpa tujuan lain selainNya dan berjalannya beliau atas landasan Sunnah as-Salaf dan pengambilan beliau akan ajaran Salaf dengan pengambilan yang sempurna dan terunggul sehingga sukar dijumpakan seseorang sepertinya pada zaman ini malah pada beberapa zaman yang banyak…

Adapun persoalan anda mengenai:

Baru-baru ini, ada orang yang menghukumkan beliau kafir pada mulanya (2 atau 3 hari yang lalu). Kemudian pihak itu mengatakan sekarang: Kafir sebelum taubatnya, kemudian selepas taubatnya, Ibn Taimiyah telah jadi pengikut fahaman Asy‘ari dan Sufi dan tidak kafir lagi? Malah beliau ada menyalahkan Islamiq.sg, yang biasa menyiarkan sebahagian tulisan Ustaz, sebagai punca beliau menimbulkan tengkarah ini. Apa ulasan Ustaz?

Ulasan saya:

1. Selayaknya pihak tersebut segera bertaubat. Jika perlu, bacalah tulisan Syeikhul Islam Ibn Taimiyah mengenai Taubat. Ramai ‘ulama’ yang memuji hasil karya beliau ini. Perlunya ia bertaubat kerana 2 atau 3 hari lalu telah ia telah menghukum “Kafir” atas alasan belum ketemukan Kisah Taubat Ibn Taimiyah. Hadis Nabi yang Sahih: Orang yang menghukum dan mengatakan saudara Islamnya Kafir, ternyata saudaranya itu tidak kafir maka hukum kufur itu jatuh pada dirinya (HR al-Bukhaariy dan Ahmad). Maka daripada ia sibukkan dirinya membuat dakwaan “Taubat” adalah lebih utama ia sendiri bertaubat.

2. Setelah membuat dakwaan “Taubatnya” Syeikhul Islam, sepatutnya ia berhenti di situ, tetapi malangnya ia membuat satu lagi dakwaan iaitu Syeikhul Islam menjadi Asy‘ari dan Sufi, kali ini tanpa apa-apa bukti, nasihat adz-Dzahabi atau nukilan buku, malah dakwaan semata-mata. Saya mengemukakan usulan ini: Tanyakan pada pihak yang menimbulkan Tengkarah: "Syeikhul Islam Kafir" kemudian "Tidak Kafir lagi selepas Taubatnya", tanyakan: "Apa hukum anda terhadap golongan umat Islam, yang tetap mengikuti pegangan dan ajaran Syeikhul Islam sebelum "Taubat"nya yang anda dakwakan ini. Apakah mereka kafir atau tidak? Anda katakan: "Syeikhul Islam Kafir sebelum Taubatnya". Ahli Sunnah sebenar dan itu yang saya dapati pada Islamiq.sg, tidak sewenangnya menghukum orang kafir apatah lagi 'ulama'.

3. Menyalahkan Islamiq.sg??? Setahu saya, apa yang Islamiq.sg timbulkan hanyalah usaha memperbetulkan dan menyelamatkan masyarakat daripada pengaruh orang-orang luar tertentu, yang diundang ke sini yang telah diketahui ada latarbelakang mengikuti ajaran selain ajaran asal Ahli Sunnah wal Jama‘ah. Misalnya yang mengi’tikadkan mandi di sungai dapat menghapus dosa mirip Ganges. Hanya bila ada pihak telah buat komentar peribadi dengan menyebut “islamiq” barulah dibalas secara peribadi, sebagai menolak tuduhan dan menyangkal dakwaan. Namun setahu saya, tiada tengkarah berlaku seperti perkara “Syeikhul Islam kafir – kemudian taubat jadi tidak kafir lagi, tapi berubah jadi Sufi dan Asy‘ari”. Mengapa setelah membuat kecoh, melempar batu sembunyi tangan, setelah pecahkan tingkap dan barang-barang, kemudian menuding pada orang lain kononnya, orang lain yang bermain lastik? Sedap makan nangka orang lain pula yang hendak dikenakan getahnya.

4. Sejauh pengetahuan saya, apa yang dikirimkan Islamiq tiada yang menyebabkan tengkarah dan kekecohan besar-besaran. Beza dengan perbuatan pihak ini. Cubalah datangkan contoh Islamiq buat tengkarah. Yang ada, ada sebahagian pihak yang tidak mahu menerima penjelasan, kurang senang dengan keterangan yang disandarkan kepada sumber-sumbernya dan dalil-dalilnya. Kalau itu, semua dakwah kepada kebenaran demikian, namun bezanya dengan bukti nyata bukan dakwaan melulu.

5. Mengapa perlu sampai didedahkan dan disiarkan nama orang tertentu. Kiranya sudah “personal attack”. Jika anda “pahlawan hujjah”, apa perlu “berbunga-bunga” dan berbelit-belit dengan perkara seperti ini. Nama pemilik website siapa sahaja boleh dapatkan kerana ia seperti “Residential Phone listing”, tidak perlu dapatkan maklumat “orang dalam”. Kemudian, sejak bila ahli-ahli perbincangan di weblog, FB dan sebagainya menjadi seperti Tailong? Lebih buruk lagi jika daripada kalangan bergelar Asatizah. Apakah bermaksud untuk orang-orang yang tidak berpuashati, menyerang rumah seseorang? Siram cat? Laa haula walaa quwwata illaa billaah! Akhlaq seorang muslim kah ini? Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
berapa banyak website, weblog, FB berbagai pihak sedunia ini, yang mennyiarkan berbagai fahaman dan ideologi, tetapi mengapa anda berlagak seperti polis, ingin menyalahkan weblog tertentu? Weblog dan website serta FB yang lain, mengapa tidak dijadikan tumpuan???
Jika anda yakin pegangan anda benar, begitu juga pihak lain, namun mengapa mempersalahkan sehingga melibatkan dan seperti usaha percubaan mengancam peribadi orang tertentu???
Semoga Allah menjadikan kita golongan umat Islam yang mencari kebenaran dan mengenali kebenaran dengan sandaran-sandaran yang jelas dan ahli-ahlinya yang cerdas.

Wallahu a‘lam.

و صلى الله على نبينا محمد و عل آله و صحبه و سلم و الحمد لله رب العالمين

________________________________________

[1] di antara 700 hingga 800 Hijriyah – biografi ringkas seramai 1343 orang ‘alim, yang beliau kumpulkan daripada catatan dan periwayatan para guru beliau, samada yang beliau ketemui dan hadiri majlis ilmu mereka atau yang beliau dapatkan maklumatnya dengan perantara, sebagaimana yang beliau sebutkan dalam Muqaddimah/Pendahuluan beliau, mengenai ‘ulama terbilang sezaman beliau, yang lahir 773H dan wafat 852H, semoga Allah merahmati beliau dengan rahmatNya yang Maha Luas.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts