Tuesday, May 6, 2014

Soalan mengenai Jamaah & Persatuan dan keahliannya

Soalan:

Daripada penjelasan Ustaz kelmarin, ketika Seminar Akidah yang dianjurkan di Masjid ar-Raudhah, Ustaz ada menekankan kita tidak seharusnya mewujudkan “jamaah” atau “kesatuan” baru, selain “Jamaah” Ahlis Sunnah wal “Jamaah”. Mengadakan “jamaah” atau “kesatuan” yang baru bererti kita hanya menimbulkan perpecahan dan bersifat eksklusif, seolah-olah, kita satu kumpulan dan umat Islam lainnya bukan kumpulan kita. Saya inginkan penjelasan lanjut kerana secara peribadi, saya memang tidak selesa menjadi ahli kesatuan atau persatuan atau jamaah, dan lebih suka membuat sumbangan kepada masyarakat dan umat Islam secara bebas, tetapi ada teman-teman saya yang menganggap sikap saya ini salah. Lagi pula, menurut yang Ustaz terangkan itu,  bila saya katakan kepada mereka bahawa ini terlarang dalam Islam, mereka berhujjah pula mengatakan ini bukan soal agama, ini isu “keduniaan” maka tidak terlarang.  Mungkin dengan bantuan Ustaz, menerangkan perkara ini dengan dalil-dalilnya, dapat saya jadikan panduan dan hujjah untuk menolak desakan teman-teman saya.

- Khairdeen



Jawapan:

الحمد لله وحدة و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه
أما بعد

Berikut ini penjelasan daripada ‘ulama’ terbilang yang melarang mengadakan “jemaah”, “kesatuan” atau “persatuan”. Mohon maaf kerana ia dalam Bahasa Inggeris, berupa terjemahan daripada penjelasan mereka dalam Bahasa Arab. Sila lihat:


Antara lain yang disebutkan:

Kata asy-Syeikh al-Fawzaan:
“Splitting and dividing into groups or charity organizations is from that which our religion has prohibited. Our religion has demanded from us that we do not differ nor oppose each other in ideas as because of this differing, the efforts of the dawah go to waste. So it is obligatory upon us to be one group upon the manhaj of Islam and the sunnah of the Messenger (may the Peace and Blessing of Allah be upon him). This is the duty of the Muslims”

Kata Ash-Shaykh Saalih Aali-Shaykh:
“Verily some groups come together under an organization, they use (some of the) statements of Shaykh Islaam and other than him from the people of knowledge as a proof (for it) , while (in reality) they did not understand ( the speech of those scholars) for verily Shaykhul-Islaam, may Allah have mercy upon him, mentioned organizing but however he did not intend an actual organization, because these organizations are newly invented organizations meaning selecting a leader for a party who is obeyed and those who are under him informs him of that which occurs as (it is performed) for the Ruler (of the Muslims) for his obedience. This is with no doubt not permissible and the speech of Shaykhul-Islaam does not indicate ( the permissibility of this) nor does other than him”

Dan ada banyak lagi.

Apa yang mereka (rahimahumullaah wa hafizhohumullaah) perjelaskan, jelas menunjukkan hukum umum dan yang berlaku pada dasarnya. Oleh itu, kita sedaya upaya tidak menubuhkan jemaah, kesatuan, pertubuhan, persekutuan atau organisasi mahupun persatuan demi memelihara kesatuan dan perpaduan umat dan masyarakat.

Berikut ini saya perjelaskan beberapa keburukannya:

1.      Perlantikan “Ketua” dan perebutan kuasa serta jawatan

Lebih-lebih lagi kesatuan yang ada perlantikan “Ketua”, “Yang Dipertua”, “Presiden” atau “Pengerusi” dan seumpamanya, bilamana akan ada “undian” dan persaingan yang lumrahnya mencetus perpecahan dan pertelingkahan penyokong. Sekaligus perpecahan berlaku di kalangan umat dan masyarakat atas dasar “sokongan” bukan atas dasar keterangan al-Quran dan as-Sunnah mahupun ajaran “al-Jamaah”.

2.      Semangat “persatuan”

Dengan semangat kekitaan yang ada pada umumnya “persatuan” mana pun, lebih buruk bila telah menjadi “fanatik”, para ahlinya akan melakukan berbagai kegiatan dan usaha, demi menaikkan dan mengharumkan nama persatuan, bukan lagi sebagai amalan demi agama Allah dan meninggikan Syiar Allah serta penyebaran ajaran berlandaskan tunjukajar dan panduan Ahli Sunnah wal Jamaah.

3.      Keikhlasan lawan/versus Kekitaan

Dengan perkara yang disebutkan tadi, akhirnya apa yang dilakukan oleh kebanyakan ahli-ahli persatuan bukan lagi amalan ikhlas kerana Allah. Keikhlasan adalah intipati ajaran Islam, sehingga kita mengetahui Surah Qul huwa Allah Ahad dinamai Surah al-Ikhlas. Pengalaman ahli Jamaah atau kesatuan telah membuktikan bagaimana keikhlasan kepada Allah terhakis malah lenyap dalam pada kegiatan dan usaha dilakukan kerana akhirnya menjadi ketaatan kepada kepimpinan yang tidak terkait ketaatan kepada Allah dan Rasul.

4.      Eksklusif

Seringkali kita dapati, ahli-ahli persatuan dan jamaah menjadi begitu kuat semangat setiakawan mereka dan dengan adanya “bai‘at” mahupun “janji taat setia” atau “sumpah setia” yang biasanya dituntut agar anggota baru melakukannya, untuk mentaati peraturan persatuan/jamaah serta memberi sokongan, semangat “kekitaan” ini menjadikan mereka eksklusif, sehingga wujud perasaan “kami ahli persatuan sekian dan bangga dengan persatuan kami sedangkan anda bukan daripada golongan kami”. Ini jelas menimbulkan perpecahan dan merosak perpaduan umat dan masyarakat.  Apatah lagi bila di kalangan masyarakat yang bukan ahli persatuan atau jamaah atau kumpulan ini, ada yang memandang ahli-ahli persatuan tersebut sebagai “golongan umat Islam lain”. Mentelah lagi jika mereka ada “uniform” (pakaian seragam, jubah serban hijau misalnya) atau cara pakaian tertentu yang menjadi identiti pengenalan mereka yang khusus. Ataupun amalan tertentu.

5.      Kesalahan ahli menjadi cerminan kesalahan jamaah/persatuan

Apabila masyarakat telah mengenali satu persatuan atau jamaah sekian dan ahlinya yang mewakilinya, kebiasaannya mereka akan melihat seseorang anggota atau ahli persatuan/jamaah itu sebagai mewakili sikap dan sifat serta pendirian malah keperibadian keseluruhan persatuan/jamaah. Lebih-lebih lagi bilamana memang kebanyakan ahlinya mempunyai perilaku yang serupa. Misalnya, jika persatuan itu bergelar “JM”, ahli masyarakat yang bukan anggota persatuan atau jamaah itu mengungkapkan: “Dia ni orang JM (misal bagi nama jamaah/kumpulan/persatuan), itu pasal macam tu perangainya atau cakapnya”. Sehingga timbul keretakan perpaduan masyarakat Islam yang begitu ketara, “Dia ni orang JM” dan “si fulan tidak suka JM atau anti JM” dan sebagainya.

6.      Permasalahan Dana dan Menyimpang dari asal tujuan

Fitnah harta adalah di antara fitnah yang paling berbahaya mengancam umat Islam sehingga Rasulullah mengingatkan tentang bahaya penyakit “al-Wahn” (cinta dunia dan takut dan tidak mahu mati). Telah berlaku begitu banyak penyelewengan pada Dana Persatuan. Inilah juga yang adakalanya menjadi punca pertelagahan dan tuduh-menuduh di antara ahli, malah anggota masyarakat lainnya, baik yang telah memberi sumbangan mahupun tidak. Tumpuan pada usaha mendapatkan Dana juga acapkali menjadi punca kehilangan punca, bertukar haluan dan hala tuju, pendirian dan keperibadian pada ahli-ahli persatuan dan  matlamat persatuan/jamaah itu sendiri. Begitu pula terdedahnya Dana didapatkan daripada sumber yang haram yang disumbangkan individu tertentu tanpa pengetahuan lunas-lunas Syara’. Wasiat, Wakaf, Zakat yang disalah sumbangkan kepada persatuan, yang melampaui batas Syara‘.

7.      Amanah terabai

Jawatan dan kuasa adalah satu amanah. Dengan peralihan kuasa yang adakalanya berlaku, matlamat dan cara kerja serta pendekatan dalam mencapaikan matlamat, terdedah kepada perubahan. Seandainya pucuk pimpinan asal adalah orang-orang yang amanah, mempunyai pendirian dan keperibadian yang baik dari segi keagamaan, tiada jaminan ia akan berkekalan kerana boleh berlakunya peralihan kuasa pada pucuk pimpinan. Ahli-ahli akan berpecah kepada “yang menyokong” dan “yang membantah” malah “yang memberontak”. Dana yang asalnya dikumpulkan untuk kegiatan dan usaha yang bersesuaian Syara‘, dengan kepimpinan baru, mungkin dipergunakan pada yang mencanggahi Syara‘. Justeru itu, pucuk pimpinan asal sebelum pertukaran kepimpinan dikira bertanggungjawab atas segala yang mencanggahi Syara‘, sebab merekalah yang asalnya mengumpulkan dana yang kemudiannya, kerana hilang kuasa digunakan dana itu pada yang terlarang. Maksud saya, tentunya sesiapa yang khuatir tidak akan mencampakkan dirinya pada perkara seperti ini. Sumbangan orang ramai yang memberi sumbangan dengan tujuan menyokong pucuk pimpinan asal, akan jadinya diselewengkan oleh tampuk pimpinan baru.  

8.      Pemaksaan “yuran” dan mengambil harta manusia dengan tanpa keikhlasan dan kerelaan

Biasanya, keanggotaan dan keahlian disertai “yuran”. Ini perlu sentiasa diteliti dan dikaji semula oleh persatuan, kerana Syara‘ tidak mengizinkan pengambilan harta manusia tanpa kerelaan dan yang berupa paksaan, kecuali hak yang ditetapkan Syara‘, seperti zakat. Dikhuatiri ada orang yang tidak mahu lagi menjadi ahli ataupun tercepit kewangannya tetapi dikutip terus yuran yang membebankannya, meskipun jumlah yang dianggap kecil.

9.      Mengenepikan ketetapan Syara‘ demi mendapatkan izin pihak berwenang

Adakalanya, untuk sesebuah persatuan ditubuhkan ataupun untuk dikekalkan kewujudannya, pihak berwenang menetapkan syarat-syarat yang menjadikan mereka terpaksa melanggar batas-batas Syari‘at, apatah lagi jika berhubung perkara Syirik dan Mukhalafah Syara‘. Sekiranya, pucuk pimpinan asal yang merupakan pengasas persatuan dapat “menarik rambut dari tepung” dengan bijak sekalipun kerana mempunyai ilmu yang mantap dan kebijaksanaan serta kelapangan fikiran yang luas, tiada jaminan ini akan terus berkekalan dengan bertambahnya ahli dan berubahnya pucuk pimpinan, sehingga akhirnya persatuan terjebak dalam pelanggaran Syara‘ juga. Jika dengan itu, golongan pengasas akhirnya meninggalkan persatuan itu, mereka tetap dikira bertanggungjawab kerana menubuhkannya sehingga akhirnya berlaku demikian.

10.  Memudahkan pihak lawan dan menjejas yang lain

Begitu juga dengan adanya persatuan/jamaah, dengan keanggotaan dan keahlian semuanya berdaftar, jika berlaku sesuatu kejadian atau perkara yang menjadikan persatuan/jamaah diharamkan, kesemua ahlinya yang tidak terlibat dalam kejadian tersebut, turut dibabitkan kerana dikira satu fahaman atau golongan penyokong. Betapa ramai jamaah sekian dan sekian dicurigai semenjak golongan Jemaah Islamiyah diharamkan? Begitu pula persatuan yang diambil tindakan tegas dan penahanan ahlinya oleh pihak berkuasa, disebabkan keterlibatan sebahagian ahlinya dalam kegiatan yang dipandang membahayakan pihak berkuasa dan masyarakat ataupun yang dipertuduhkan ke atas mereka? 

Malah, golongan yang bukan ahli persatuan pun, yang dilihat ada bekerjasama ataupun seiras seperti ahli-ahli persatuan yang diharamkan (misalnya pada sudut pakaian atau amalan atau dakwah dan pendekatannya), akan turut terbabit dipandang sama merbahaya kepada pihak berkuasa dan masyarakat.  Mungkin mereka juga terpaksa menghadapi tuduhan dan diharamkan melakukan apa jua kegiatan, padahal mereka bukan ahli persatuan/jamaah yang disenaraihitam atau diharamkan itu.  Jika yang kita katakan adalah usaha dakwah yang baik, “disebabkan kerbau membawa lumpur, yang lain terpalit jua”, yakni disebabkan kesilapan persatuan (biarpun adakalanya, tuduhan tidak berasas), golongan lain juga tersekat dan terhalang daripada usaha dakwah yang baik dan murni itu, yang dipandang sama dengan kegiatan persatuan itu.
  
11.  Bukan ajaran Salaf dan sikap tergesa-gesa

Imam Ahmad pada zamannya, malah para Sahabat pada zaman mereka, tidak membentuk jamaah/persatuan seperti ini ketika mereka menghadapi berbagai cabaran daripada pihak berkuasa dan sebahagian masyarakat,  sebagaimana yang dijelaskan oleh sebahagian ‘ulama’. 

Syaikhul Islam juga tidak membentuk satu kesatuan dengan anak-anak murid beliau yang begitu ramai lagi hebat-hebat untuk menangani berbagai masalah dan tantangan yang dihadapi. Sebenarnya, dakwah para Nabi dan Sirah Rasulullah cukup menjadi pengajaran bahawa kita diajar bersabar, terus berusaha menurut kemampuan, usah mengejar impian ingin cepat berjaya dan mendapat kuasa atau suara mahupun kedudukan dan sebaliknya kuatkan bertawakkal kepada Allah dan perkuatkan hubungan terus dengan Allah. Perubahan dan ikutan masyarakat kepada ajaran yang benar, bukan dengan “kuasa” dan “kebebasan bersuara”, tetapi keikhlasan, kecekalan, kesabaran dan sokongan masyarakat yang menerima kebenaran, meskipun tidak ramai…tetapi bantuan Allah tetap pada yang membantu agama Allah atas Jalan Allah tanpa menyelisihi RedhaNya. 

Kata ‘Ulama’: “من تعجل شيئا قبل أوانيه عوقب بنقيض قصده – barangsiapa yang tergesa-gesa mendapatkan sesuatu, sebelum masanya, akan hanya mendapatkan kebalikan daripadanya” Inilah yang diungkapkan Syeikh al-Albaaniy dalam kitab beliau “Fiqhul Waaqi‘” pada bahagian terakhirnya: “Sesiapa yang tergesa-gesa mendapatkan sesuatu padahal belum tiba masanya untuk ia mendapatkannya, ia terhalang daripada mendapatkannya sebagai suatu balasannya” (من تعجل الشيء قبل أوانه : عوقب بحرمانه)[1].  

12.  Dan lain-lain.

Adapun kata-kata teman-teman saudara, yang mengatakan ia adalah urusan keduniaan, saya yakin, telah cukup jelas kepada saudara, betapa buruknya mengadakan persatuan baru dengan segala perkara yang saya sebutkan tadi, yang mungkin tidak mereka sedari atau belum jelas kepada mereka. Apa yang ‘ulama terbilang terangkan seperti yang ada pada “link” tadi, tidak dapat diketepikan dengan dakwaan semudah itu untuk mengecualikannya daripada “agama”. Lagipun agama Islam adalah menyeluruh mencakupi keseluruhan bidang dan sudut kehidupan manusia. Jika persatuan “keduniaan” ini, usaha dan kegiatannya adalah dakwah, kebajikan umat Islam, bermaksud mengetengahkan keprihatinan urusan/perkara keagamaan dengan para ahlinya semua beragama Islam, apakah sudut pengecualiannya daripada “Islam”? Sebab yang saudara sebutkan adalah “sumbangan kepada masyarakat”. Apakah untuk masyarakat bukan Islam? Membantu yang susah tidak dibataskan di dalam Islam pada yang beragama Islam semata. Apakah dengan itu bererti keahlian persatuan yang teman-teman anda maksudkan adalah berbagai agama dan untuk manfaat dan sumbangan kepada semua agama? Saya, secara peribadi, tidak dapat menerima hujjah teman-teman anda yang mendakwanya usaha “keduniaan”, atau masih kurang jelas akan maksud mereka.  

Wallahu a’lam.                    

Namun perlu saya perjelaskan, pengecualian berikut:

Jika Ketetapan Pihak berkuasa sesebuah negara menetapkan “tiada kegiatan keagamaan” apa pun boleh dilakukan atau dianjurkan khususnya yang melibatkan bilangan orang yang ramai, kecuali dengan adanya pertubuhan rasmi. Ini seperti yang berlaku di sebahagian Negara Barat. Tiada Solat boleh dilaksanakan secara berjemaah (apatah lagi Solat Eid – Hari Raya), Ibadah Korban, pengajian agama, tiada masjid dapat dibina dan sebagainya. Dalam hal seperti ini, maka ditubuhkan satu persatuan atau pertubuhan, bukan untuk mencari ahli dan kesibukan pada “kuasa” malah semata-mata sebagai wasilah, perantaraan untuk menyempurnakan yang wajib daripada tuntutan ajaran Islam, maka ia terangkum dalam “ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب – Apa jua kewajipan yang tidak dapat disempurnakan kecuali dengan sesuatu itu maka sesuatu itu menjadi wajib”. 

Namun, di tempat kita ini, telah ada pihak yang berwenang bagi umat Islam, iaitu MUIS, maka kita selaku ahli masyarakat, baik golongan pendakwah mahupun orang kebanyakan yang prihatin terhadap agamanya, hanya perlu secara peribadi mahupun dengan menggembleng tenaga, menyokongnya pada yang ma‘ruf, menasihati dan menyampaikan teguran pada yang munkar yang diketahui ada padanya, dengan cara terbaik yang menuruti dasar-dasar Islam dan hikmah, menurut kemampuan kita dan selebihnya kita serahkan kepada Allah yang Maha Kuasa, yang Maha Mengetahui dan Memerhatikan segalanya. Apa perkara yang mereka tidak lakukan atau tidak terdaya lakukan, kita usahakan melakukannya untuk masyarakat kita, baik dari segi ilmu yang benar, perlaksanaan Syari‘at yang terabai, kerja kebajikan dan kemasyarakatan, bimbingan setiap lapisan masyarakat dengan apa jua cara yang kita mampu, tanpa persatuan serta berusaha menyatupadukan masyarakat atas ajaran asal Rasulullah dan para Sahabat, kerana tiada jalan lain yang dapat menyatupadukan mereka kecuali kembali kepada panduan asal yang satu, yang menjanjikan kejayaan umat, semoga Allah yang Maha Mengetahui, yang menilai amalan dan usaha kita, memberkati usaha kita dan menganugerahkan kepada kita kejayaan dunia Akhirat, bukan dengan ukuran manusia, tetapi ukuran keredhaanNya.

Tiada salahnya kita menubuhkan pusat pengajian, bekerjasama dengan melantik seorang ketua/penasihat untuk usaha dakwah dan kemasyarakatan, membantu golongan fakir miskin, remaja dan lainnya yang memerlukan bantuan kewangan/kemanusiaan dan bimbingan keagamaan tanpa persatuan.

Setelah penjelasan itu semua, sebagai menyempurnakan faedah kepada penjelasan ini, saya jelaskan dengan satu contoh dan kisah benar.

Pada tahun lalu, pada musim Raya, saya telah diziarahi oleh sekumpulan ikhwah yang saya kenali sebagai saudara-saudara Islam yang baik keagamaan mereka, “wa laa uzakki ‘ala Allah ahada”, memberitahu saya bahawa mereka baru sahaja mendapatkan kelulusan menubuhkan persatuan dan telah pun mengasaskannya, siap dengan adanya presiden, exco dan beberapa ahli. Mereka meminta saya memberikan kata-kata nasihat, panduan ataupun perangsang. Maka saya pun perjelaskan secara ringkasnya:

1.      Anda sekalian telah pun menubuhkannya (istilah orang kita, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perkara ini, apakah boleh diundur? – saya tidak gunakan: “nasi dah jadi bubur” di sini) sedangkan sejak tahun 2007, ketika usulan ini pertama kali diusulkan, saya pernah mengajak ikhwah tersebut menilai semula keinginan mereka. Mungkin kerana cara saya yang tidak seperti melarang, mereka teruskan juga. Bilamana ia telah pun ditubuhkan dan yang nyata anda semua, begitu bersemangat waja dalam hal ini, saya hanya dapat berikan panduan apa yang terlintas agar hanya kebaikan sahaja yang lahir daripada usaha ini.

2.      Pertama, usah jadikan persatuan dan keahlian persatuan sebagai satu hadaf/matlamat. Ini selayaknya kekal hanya sebagai wasilah/perantaraan.

3.      Bila demikian (perkara: 2), usahlah diilzamkan/dipaksakan kepada ikhwah yang kita kenali bersama dengan kita pada perkara keagamaan, untuk menganggotai persatuan ini. Biarlah ada yang ingin bergabung menjadi ahli, ada pula yang ingin menyokong tanpa menjadi ahli dan yang membantu bila-bila mampu. Tidak semua orang dan ikhwah kita yang setuju dengan cara mahupun gabungan persatuan.

4.      Peliharalah tujuan asal mencari keredhaan Allah dengan ikhlas dan sentiasa berusaha menuruti ketetapan Syara‘ dan itu yang menjadikan rujukan bila berlaku apa jua perselisihan. Jangan sampai semangat persatuan, menjadikan kita terhakis daripada nilai-nilai tersebut.

5.      Setiap yang mengusahakan persatuan ini dan apa jua kegiatannya, biarlah ambil resmi MacDonalds dalam cara kerjanya, maksud saya, ahli biasa, exco dan ketua semua bekerjasama secara saksama bukan ada yang seperti kuli bagi yang lain.

6.      Dengan perkara 2 dan 3 yang telah saya sebutkan, usahlah persatuan ini menjadi punca perpecahan di antara kita dan ikhwah, yang sebelum munculnya persatuan tidak berpecah-belah. Jika asal tujuan persatuan adalah sebagai wasilah untuk menggembleng tenaga ikhwah, tidak sepatutnya ia menjadi penyebab perpecahan.

7.      Sentiasa ambil kira pandangan ahli mahupun bukan ahli demi kebaikan persatuan agar sentiasa menurut Syara‘.

8.      Usahlah dijadikan seseorang daripada kalangan da‘i atau Asatizah sebagai ahli atau ketua kerana pengaruhnya golongan ini yang boleh menjadikan ahli atau lainnya mengikut kerana patuh atau hormat. Adapun menjadikan mereka sebagai penasihat semata-mata dan rujukan untuk dinilaikan di antara pandangan dan nasihat mereka (golongan Asatizah) maka itulah yang sebaiknya, agar sentiasa persatuan ini sedaya upaya atas landasan Syara‘.     
   
Itulah yang saya ingat. Saya bermohon kepada Allah agar Allah meyatukan hati-hati mereka yang ikhlas mencari keredhaanNya dengan kepelbagaian usaha mereka yang menuruti ketentuan Syara‘ dan ajaran Salafussolih, menyatukan dan memperbaikkan masyarakat dan umat dengan usaha mereka, setelah Taufiq dan Izin Allah. Wallahu a’lam.

Semoga pencerahan ini, menjadi satu panduan buat semua dan memperbaikkan keadaan kita. Allahumma Amien.

و صلى الله على نبينا محمد و آله و سلم
والحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات




[1] Ungkapan yang biasa digunakan dalam bab Fiqh, misalnya dalam permasalahan Fara-id; apabila seorang anak (yang asalnya) berhak mewarisi pusaka bapanya, membunuh bapanya untuk segera mewarisi harta bapanya, ia akan diharamkan daripada perwarisan. Begitu juga perumpamaan dalam kehidupan seharian, orang yang ingin makan buah yang disukainya, tetapi tergesa-gesa mengambilnya sedang ia belum ranum, tentunya tidak dapat memakan buah yang masih mentah dan ia tidak akan menjadi ranum, masih kelat, masam atau pahit bergetah, walLahu a‘lam – penterjemah.     
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts