Tuesday, June 10, 2014

Haji & Umrah: Mendahulukan Ziarah Madinah sebelum Manasik menepati Sunnah

Soalan:

Bolehkah seseorang menziarahi Kota Madinah dahulu dengan niat menziarahi Masjid Nabawi sebelum melaksanakan ‘Umrah atau Hajinya (Manasik) ataukah Wajib ia dahulukan Manasik sebelum Ziarah? Sekiranya ia ke Madinah dahulu daripada tanah airnya, apakah ia perlu berihram dan dikenakan hukum bermiqat ke atasnya dan jika tidak, ia dikira telah melalui Miqat tanpa Ihram dan wajib membayar Dam?



Jawapan:

Sekitar tahun 2003, saya telah diajukan soalan ini. Jawapan saya ketika itu: 
“Setahu saya, dengan ilmu cetek saya (daripada berbagai kitab/fatwa yang pernah dibaca), seseorang yang tidak berniat Manasik, misalnya menziarahi saudaranya di Jeddah atau Mekkah sekalipun atau yang berurusniaga semata-mata atau bertugas, tidak dikenakan kewajipan berihram dan berMiqat dan tidak pula Dam. Hukum ini adalah sama bagi orang yang tiba di Jeddah tetapi ingin Menziarahi Masjid Nabawi di kota Madinah terlebih dahulu. Hanya setelah menziarahi Madinah beberapa hari, baru ia bertolak ke Mekkah, maka ia bermiqat di DzilHulaifah. Tiada salahnya ia mendahulukan Ziarah Madinah sebelum perlaksanaan Manasiknya di Mekkah, kecuali bagi ibadah Haji bilamana ia datang lewat ketika suntuk telah hampir waktu Wuquf di ‘Arafah. Adapun ‘Umrah, maka tiada apa-apa salahnya ia tundakan Manasiknya, apatah lagi jika ada maslahah dan keperluannya …Wallahu a‘lam”.
Saya menjelaskannya berpandukan dalil-dalil dan pemahaman berikut:


1.      Hadis Nabi:
“Miqat-miqat tersebut adalah untuk ahli-ahlinya (para penduduk kota-kota tersebut) dan bagi setiap yang mendatanginya/melaluinya (miqat-miqat tersebut) daripada mereka yang bukan daripada ahlinya (bukan penduduk kota-kota tersebut), bagi setiap yang bermaksud melaksanakan umrah dan haji [1]

2.    Pemahamannya: 
      Nabi menetapkan Miqat-miqat dengan “syarat” iaitu hukum miqat berlaku ke atas bagi setiap yang bermaksud melaksanakan umrah dan haji sahaja. Jika orang itu berniat Ziarah atau lainnya, ia tidak berkewajipan bermiqat, tidak pula wajib membayar Dam kerana melalui Miqat tanpa Ihram. Yang demikian berpandukan:

i.   Penduduk kota Mekkah yang berada dalam kawasan Tanah Haram dan juga orang-orang yang memasuki Mekkah tanpa menunaikan Umrah (dan tidak berihram), kemudian ia ingin melaksanakan Umrah, dikira hukumnya sama seperti penduduk Tanah Haram Mekkah yang perlu keluar ke Tanah Halal (melepasi sempadan Tanah Haram Mekkah), berihram dan berniat Umrah, lalu masuk semula untuk menyempurnakan ‘Umrahnya dengan Tawaf, Sa‘ie dan bercukur. Beza dengan orang yang datang dari luar Mekkah, perlu berihram dari miqat-miqat yang telah ditetapkan oleh Nabi. Namun, jika ia tidak bermaksud menunaikan Umrah/Haji ketika itu, meskipun ia melintasi Miqat, ia tidak berkewajipan berihram. Ihram hanya untuk mereka yang memulai Manasik Ibadah Umrah atau Haji, bukan asal sahaja seseorang itu melintasi Miqat. 

ii.    Perbuatan Nabi sendiri memahamkan yang demikian itu, sebab baginda masuk Mekkah pada Fath Makkah (Hari Pembebasan Kota Mekkah) tanpa Ihram dan baginda datang daripada Madinah (melalui Miqat Dzil Hulaifah), sebab baginda tidak berniat Manasik tetapi Pembebasan Mekkah.

iii.   Penjelasan Syeikhul Islam juga membawa pemahaman yang sama: 
     
     "Bilamana penduduk Mekkah (Kuffar Quraisy ketika itu) mencerobohi perjanjian mereka dengan umat Islam pada tahun 8H, Nabi memimpin umat Islam (dalam 1 gerakan ofensif) datang dengan bala tentera lebih kurang 10 ribu perajurit, ke Mekkah (mengepungnya), Perang Fath Mekkah pada bulan Ramadan, memasuki Mekkah dalam keadaan “halal” (tanpa ihram) dengan bertutup kepala (serban dan pakaian askar). 

    Baginda berTawaf keliling Ka‘bah, tetap berada di Mekkah 17 malam dan tidak sekali pun baginda melakukan ‘Umrah waktu masuk ke Mekkah pada kali ini (Fath Mekkah). Kemudian baginda menerima berita bahawa Hawazin telah mengumpul kekuatan mereka, maka Rasulullah memimpin tentera ke Hunain dan mengepung Ta-if setelah itu, namun tidak menaklukinya dan membahagikan harta rampasan perang Hunain di Ji‘ranah dan ketika itulah baginda memulakan ‘Umrah di Ji‘ranah, sedang baginda bertujuan mendatangi Mekkah ketika itu dan bukannya keluar daripada Tanah Haram ke Ji‘ranah. Maka demikian hukumnya setiap orang yang memulakan ibadah Haji atau ‘Umrah sedang ia berada di suatu tempat yang belum melepasi batas Miqat (di dalam zon Miqat dan bukan luar zonnya - penterjemah) maka ia berihram daripada tempatnya itu. 

     Sebagaimana yang ada dalam kedua-dua Kitab Sahih (al-Bukhariy dan Muslim): daripada Ibn ‘Abbas katanya:

وقت رسول الله لأهل المدينة ذي الحليفة و لأهل الشام الجحفة و لأهل نجد قرن النازل و لأهل اليمن يلملم هن لهن و لمن أتى عليهن من غير أهلهن ممن كان يريد الحج و العمرة و من كان دونهن فَمُهَلُّه من أهله و كذلك أهل مكة يُهِلُّون منها 

      Ertinya: Rasulullah  telah menetapkan Miqat Penduduk Madinah Dzul Hulaifah, orang-orang Syam pula, miqatnya al-Juhfah, Penduduk Najed miqatnya Qarn al-Manazil, miqat ahli Yemen adalah Yalamlam.  Miqat-miqat tersebut adalah untuk ahli-ahlinya (para penduduk kota-kota tersebut) dan bagi setiap yang mendatanginya/melaluinya (miqat-miqat tersebut) daripada mereka yang bukan daripada ahlinya (para penduduk kota-kota tersebut), bagi setiap yang bermaksud melaksanakan umrah dan haji dan sesiapa yang tinggal dalam kawasan tersebut (lebih dekat ke Mekkah daripada batas Miqat) maka tempat ia berihram adalah daripada tempat tinggalnya dan begitu pula penduduk Mekkah memulakannya (Haji/’Umrahnya) daripadanya (kota Mekkah).

      Maka Nabi hanya memulakan ‘Umrah daripada Ji‘ranah setelah baginda pergi berperang dan bukannya ke Ji‘ranah dengan maksud atau tujuan semata-mata untuk melakukan ‘Umrah."

3.   ‘Ulama’ di Saudi mengizinkan yang demikian “Ziarah (Madinah) dahulu sebelum Haji” atau “Haji dahulu kemudian Ziarah”, sehingga mereka (Kementerian Urusan Haji) mengaturkan mereka yang ke Madinah dahulu, akan hanya dibenarkan masuk Mekkah bermula tanggal 4 atau 5hb Dzulhijjah dan amalan ini berterusan sekian lama. Lagipun ia membantu meringankan kesesakan di Mekkah sebelum bermulanya “Hari-hari Manasik” yang terpenting. Menghukumkan tidak boleh Ziarah sebelum Manasik perlu kepada dalil dan perlu pula kita bandingkan “keluasan ilmu” pihak yang melarang dengan keluasan ilmu ‘Ulama’ Saudi yang begitu ramai. Saya tidak pernah mengetahui ada di antara mereka yang melarang, malah yang saya tahu mereka mengizinkannya.

4.    Ziarah Madinah sebenarnya tidak wajib dan Nabi hanya menggalakkan Ziarah ke Masjid Nabawi untuk solat di dalamnya dan tidak mewajibkannya. Ia juga tiada keterikatan dengan Ibadah ‘Umrah atau Haji, malah satu galakan umum yang tersendiri. Namun bilamana seseorang muslim telah berada di Mekkah, tentunya setelah mendapatkan solat di Masjidil Haram, adalah baik ia mendapatkan solat di Masjid Nabawi pula yang boleh dikira “berdekatan” dengan Mekkah (jika dibandingkan dengan tanah airnya), iaitu lebih kurang 450km jaraknya. Maka bilamana demikian hukumnya, tiada salah untuk ia ke Madinah dahulu atau ke Mekkah, bilamana kedua-duanya tiada ketentuan waktu, kecuali apa yang disebutkan tadi, jika telah suntuk dekat waktu Wuquf. Namun penjelasan ini adalah sampingan, penjelasan 1-3 tadi telah memadai Insya Allah.

5.   Niat jika disalahertikan boleh menghasilkan kesimpulan hukum yang silap. Maksud saya, jika ada orang bertanya kepada anda, Dengar khabar tahun ini awak hendak tunaikan ‘Umrah, betul?” Tentu kita jawab misalanya: Ya, Insya Allah pada bulan Jun nanti. Bukankah itu bererti kita telah ada niat, sedangkan misalnya orang itu tanya kita pada awal tahun tersebut? Tetapi apakah itu Niat Umum atau “Niat – asy-Syuru‘ fi ada-i al-“ibadah” yakni “Niat memulakan perlaksanaan Ibadah”? Sama halnya jika jiran bertanya sewaktu anda keluar rumah untuk ke Masjid tunaikan Solat Maghrib berjemaah, Nak ke mana ni?” anda jawab: Nak ke masjid, Insya Allah solat Maghrib berjemaah. Bukankah itu Niat nak solat? Tetapi apakah dengan “niat umum” itu anda dikira telah mulakan Solat? Tentunya bila berada di dalam saf, bertakbiartul Ihram, anda dikira niat memulakan Ibadah Solat.

     Maka sama halnya dalam hal niat ini. Anda niat tunaikan ‘Umrah bulan Jun, tapi orang tanya pada bulan Januari, anda sudah ada niat umum. Sehinggakan saat keluar rumah untuk ke Airport pada hari keberangkatan menunaikan ‘Umrah, anda tarik beg musafir (travellers’ luggage bag), jiran yang tidak tahu anda nak ke mana bertanya: Pergi bercuti holiday ke?, untuk berterus terang bukan riya, anda menjawab:Pergi ‘Umrah Insya Allahmemang anda ada niat umum itu. Tetapi bilamana anda telah mendengar Taklimat, bahawa anda akan ke Madinah dahulu, tentunya anda jelas mengetahui anda niat Umrah tapi belum mulakannya dengan keluar rumah atau sampai Jeddah, malah akan ziarah Madinah dahulu. Hanya setelah beberapa hari di Madinah, anda akan “mulakan amalan Manasik ‘Umrah dengan bermiqat” di Miqatnya penduduk Madinah, iaitu Dzul Hulaifah atau nama lainnya Bir/Abyar ‘Aliy.  Di situ baru berlaku “niat asy-Syuru‘ fil ‘Ibadah”, anda “jatuhkan niat” melaksanakan ‘Umrah.

Jika ada yang katakan “masuk kota Mekkah dahulu ada kelebihannya, kerana kota Mekkah lebih utama” maka jawapan saya: kota Mekkah atau Madinah lebih utama adalah perkara perselisihan ‘ulama’ sebagaimana penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari [2], meskipun jelas Masjidil Haram lebih utama. Namun memasuki Madinah dahulu ada sudut kelebihannya. Di antara kelebihannya, anda akan melalui perjalanan Nabi ke Mekkah dari Madinah dan bersinggah di Dzul Hulaifah. Anda mengikuti perjalanan Manasik Rasulullah, walaupun bezanya anda keluar dari hotel sedangkan baginda keluar dari rumah baginda
     
6.      Adanya Maslahat untuk ke Madinah dahulu, terutamanya ‘Umrah. Ini adalah suatu perkara daripada “pengalaman”. Bilamana kita datang dari tanah air, misalnya Singapura, kita telah menempuhi perjalanan bermusafir dalam pesawat selama 8-10jam. Jika langsung ke Mekkah, kita akan menempuhi perjalanan menaiki bas pula dari Jeddah ke Mekkah selama 1 jam lebih atau 2 jam, setelah urusan imigrasi dan bagasi di Airport Jeddah yang adakalanya memakan masa. Jika kita setelah itu langsung dan bersegera melaksanakan ibadah ‘Umrah (dengan keadaan kita telah berpakaian Ihram sebelum tiba di Jeddah), kerana tidak tahu Sunnahnya bahawa Nabi berehat 1 malam setibanya baginda di Mekkah sebelum memulakan amalan manasik, tentunya kita dalam keadaan amat letih dan kepenatan dalam melaksanakan Ibadah. Bagi jemaah yang masih “belum jelas” mengenai manasik pula tiada kesempatan membuat ulang kaji. Dalam perjalanan pulang pula, bilamana kita akan ke Madinah setelah beberapa hari di Mekkah, kita akan mulakan perjalanan pulang dari Madinah, menaiki bas 4-6 jam ke Jeddah, kemudian “sibuk” dengan urusan “check-in” dan setelah itu berlepas pulang untuk perjalanan 9-10 jam dalam pesawat.
      
Segalanya itu berbeza dengan keadaan jemaah yang ke Madinah dahulu.

Oleh itu, usahlah kita membebankan diri kita, menyusahkan jemaah pula dengan hukum-hukum yang “tiada keterangannya” yang jelas, malah dikhuatiri daripada kesimpulan ilmu cetek sebahagian pembimbing haji atau orang awam. Jika benar ia adalah satu tuntutan Syara‘ dengan dalil-dalilnya serta ulasan ‘ulama terbilang, “mesti ke Mekkah atau tunai Manasik dahulu sebelum Ziarah dan dikenakan Dam jika tidak melakukan demikian” maka kita berkewajipan menurutinya. Jika tidak, maka usahlah kita menyusahkan diri kita dan orang lain di dunia ini dan lebih kita khuatiri di Akhirat kelak. Allahul Musta‘an.

Demikian itu antara jawapan dan hujjah saya beserta beberapa dalil bila ditanyakan soalan tersebut. Berikut ini adalah penjelasan lanjut yang akan menjelaskan lagi perkara ini dengan ulasan ‘ulama terbilang dulu dan sekarang,

7. Kata Syaikhul Islam Imam Taqiyuddin al-Harrani (w: 728H):

فَصْلٌ وَإِذَا دَخَلَ الْمَدِينَةَ قَبْلَ الْحَجِّ أَوْ بَعْدَهُ : فَإِنَّهُ يَأْتِي مَسْجِدَ النَّبِيِّ  وَيُصَلِّي فِيهِ وَالصَّلَاةُ فِيهِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ وَلَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إلَّا إلَيْهِ وَإِلَى الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ  وَالْمَسْجِدِ الْأَقْصَى هَكَذَا ثَبَتَ فِي الصَّحِيحَيْنِ مِنْ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ وَأَبِي سَعِيدٍ وَهُوَ مَرْوِيٌّ مِنْ طُرُقٍ أُخَرَ . وَمَسْجِدُهُ كَانَ أَصْغَرَ مِمَّا هُوَ الْيَوْمَ وَكَذَلِكَ الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ لَكِنْ زَادَ فِيهِمَا الْخُلَفَاءُ الرَّاشِدُونَ وَمَنْ بَعْدَهُمْ وَحُكْمُ الزِّيَادَةِ حُكْمُ الْمَزِيدِ فِي جَمِيعِ الْأَحْكَامِ . ثُمَّ يُسَلِّمُ عَلَى النَّبِيِّ  وَصَاحِبَيْه...ِ

Seandainya seseorang itu memasuki Madinah selepas Haji atau sebelumnya, maka hendaknya ia mendatangi Masjid Nabi dan melaksanakan solat di dalamnya kerana solat di dalamnya lebih baik daripada 1000 solat di tenpat lain kecuali Masjidil Haram…Tiada bersusah payah bermusafir kecuali ke 3 Masjid…kemudian memberi salam kepada Nabi (menziarahi kubur baginda) dan kedua Sahabat baginda…[3]

8. Kata asy-Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Utsaimien:

"فيسن للحاج و غيره زيارة مسجد النبي و الصلاة فيه قبل الحج أو بعده ، و ليست هذه الزيارة من شروط الحج و لا أركانه و لا واجباته و لا تعلق لها به"


“Disunnatkan bagi orang yang telah melaksanakan Haji dan lainnya untuk menziarahi Masjid Nabi dan melaksanakan solat di dalamnya samada sebelum perlaksanaan Haji atau selepasnya dan ziarah ini bukannya daripada syarat-syarat (sah) haji, bukan pula daripada rukun-rukunnya atau wajib-wajibnya bahkan tiada kaitan langsung dengannya…” [4]

9. Ada pihak yang mengatakan, ia adalah ajaran asy-Syeikh al-Albaniy, mesti keluar rumah dalam keadaan Ihram dan langsung tuju ke Mekkah dahulu.

Jawapan saya: Apakah benar asy-Syeikh al-‘Allamah secara peribadi menyatakan demikian ataukah ia difahami dan disimpulkan daripada penjelasan beliau ataukah mungkin adanya kesilapan dalam terjemahan jika yang dirujuk buku terjemahan dan bukan tulisan asal beliau dalam Bahasa Arab. Seringkali berlaku dakwaan seperti ini yang dengannya seseorang dikira, bagi penilaian saya, telah berdusta atas nama asy-Syeikh, mendakwa dengan dakwaan yang batil bahawa sekian-sekian ajaran beliau atau fatwa beliau. Wallahu a‘lam. Untuk itu ada baiknya kita teliti kata-kata beliau dalam karangan beliau yang asal (Bahasa Arab):

٤ – و له أن يلبس الإحرام قبل الميقات و لو في بيته كما فعله رسول الله و أصحابه. و في هذا تيسير على الذين يحجون بالطائرة و لا يمكنهم لبس الإحرام عند الميقات، فيجوز لهم أن يصعدوا الطائرة في لباس الإحرام و لكنهم لا يحرمون إلا قبل الميقات بيسير حتى لا يفوتهم الميقات و هم غير محرمين


Diperbolehkan baginya untuk memakai pakaian Ihram sebelum Miqat, walaupun (dikenakan pakaian Ihram itu) di rumahnya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para Sahabat baginda, yang mana padanya (berpakaian Ihram sebelum samapai Miqat) suatu kemudahan bagi mereka yang mendatangi Haji dengan menaiki pesawat yang mana tidak dapat mereka memakai pakaian Ihram di Miqat (dalam pesawat) maka diperbolehkan bagi mereka untuk menaiki pesawat dalam keadaan berpakaian Ihram akan tetapi mereka tidak berniat (jatuh niat) Ihram kecuali sejurus sebelum sampai Miqat agar mereka tidak melepasi miqat dalam keadaan tanpa Ihram.[5]

Begitu yang dijelaskan oleh beliau dan tiada padanya “kewajipan” bilamana beliau menggunakan ungkapan “wa lahu –  و له dan bukannya “wa ‘alaihi - و عليه ”. Orang yang tidak mengetahui permasalahan khilaf dan fiqh, akan terselindung daripada pemahaman bahawa yang asy-Syeikh ingin tekankan di sini adalah “usah dihukumkan terlarang atau makruh, keluar rumah dalam keadaan berpakaian ihram, yang makruh adalah berniat di rumah dan bukan di Miqat”. Itulah sebabnya, sering dikatakan ‘ulama’: ungkapan ‘ulama’ padat dan terkandung padanya isi dan manfaat yang banyak…sayangnya bila “orang yang tiada kunci, pecah masuk gedung ilmu” maksudnya, tidak dididik dan diajar untuk memahami “ungkapan ‘ulama’ lalu menyimpulkan dengan “pandai-pandai” kesimpulan yang membawa makna yang menyeleweng. Untuk lebih jelas lagi kita lihat penjelasan beliau lainnya:

بدع الزيارة في المدينة المنورةهذا و لما كان من السنة شد الرحال إلى زيارة المسجد النبوي الكريم و المسجد الأقصى _ أعاده الله إلى المسلمين قريبا - لما ورد في ذلك من الفضل و الأجر و كان الناس عادة يزورونهما قبل الحج و بعده ، و كان الكثير منهم يرتكبون في سبسل ذلك العديد من المحدثات و البدع المعروفة عند أهل العلم ، رأيت من تمام الفائدة....
Bid‘ah ketika Ziarah di Kota MadinahYang demikian bilamana daripada ajaran as-Sunnah, untuk mengadakan perjalanan biarpun bersusah payah untuk menziarahi Masjid Nabawi yang mulia dan Masjid al-Aqsa – semoga Allah segera kembalikannya kepada kaum Muslimien – kerana adanya riwayat berkenaan keutamaan dan ganjarannya, mentelah lagi menjadi adat kebiasaan manusia menziarahi kedua-duanya (Masjid) itu sebelum perlaksanaan Haji ataupun selepasnya, dan betapa ramai pula di kalangan mereka yang melakukan berbagai-bagai bid‘ah dan rekaan baru dalam pada itu (berziarah) yang dketahui oleh ‘ulama’, saya berpendapat sebagai menyempurnakan lagi faedah…. [6]  

Jelas menunjukkan beliau tidak mengingkari perbuatan menziarahi Madinah dahulu sebelum Manasik atau sebaliknya.

Syeikh Ibn Baz pula telah menjelaskan seperti penjelasan no:4 – Fatawa al-Haj wa al-‘Umrah wa az-Ziyarah: hlm.142

Sila lihat juga:
Melalui Miqat ke Jeddah tanpa niat Umrah, kemudian baru ia berniat Umrah, tiada dam. Ini sama halnya dengan orang yang tidak berniat Manasik ketika tiba di Jeddah, malah tujuannya ke Madinah dahulu, menziarahi Masjid Nabawi sebagaimana aturcara perjalanan. Malah seandainya ada penerbangan langsung ke Madinah, ia telah mengambilnya.

Lihat juga:
Ini berbeza dengan yang berikut ini:
Terlarang dan dikenakan dam, orang yg sengaja duduk di Jeddah, beberapa hari, tanpa berihram daripada Miqat (sebelum mendarat Jeddah) sedangkan ia bermaksud mendatangi Mekkah menunaikan Haji atau Umrah

Semoga dengan penjelasan ini, tiada pihak yang sembarangan membuat dakwaan bahawa orang yang ke Madinah dahulu, tanpa Ihram ketika mendarat di Jeddah, untuk meneruskan perjalanan Menziarahi Masjid Nabawi dahulu, kemudian daripada Madinah, bermiqat di Dzil Hulaifah untuk ke Mekkah, untuk Umrahnya, dikatakan mencanggahi Sunnah Nabi dan berkewajipan Dam.

Fatwa sedemikian hanya lahir daripada orang yang tidak menyeluruh kajiannya terhadap permasalahan Haji dan Umrah dan tidak menelaah secukupnya, fatwa-fatwa 'Ulama terbilang. Malah entah fatwa siapa yang diikutinya ataukah ia menyangka telah sampai derajat layak berijtihad dan mengeluarkan fatwa sembarangan? Orang yang ikhlas, bila tersilap akan menarik balik dan merubah kesilapannya, apatah lagi jika menjadi punca menuduh saudara Islamnya menyeleweng. Adapun orang yang angkuh dan tidak mencari dan mengikuti kebenaran, hanya kepada Allah kita serahkan urusannya.
Semoga Allah mengurnia Petunjuk kepada setiap yang ikhlas.

Wallahu a‘lam.




[1]  Riwayat al-Bukhariy dan Muslim.
[2] Sahih al-Bukhariy (K: al-Jumu‘ah, B: Fadli as-Solat fi Masjid Makkah wa al-Madienah: no: 1115)
[3] Majmu' Fatawa: Fasal: Ziarat al-Madinah qabla al-Hajj au Ba‘dahu (Menziarahi Madinah Sebelum atau Selepas Perlaksanaan Haji); Juz 26 hlm 146 -148.
[4] Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah wa al-Masyru‘ fie az-Ziyarah hlm. 119
[5] Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah fie al-Kitab wa as-Sunnah wa Atsar as-Salaf.. hlm. 12
[6] Ibid.; hlm.60
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts