Saturday, July 19, 2014

Menentukan Laylatul Qadar

MALAM PENUH KEMULIAAN & KEBERKAHAN (LAILATUL QADR) YANG LEBIH BAIK DARI SERIBU BULAN.

Malam yang terbaik dari malam-malam Ramadhan ialah malam Lailatul Qadr berdasarkan Firman Allah:




ertinya: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa yang engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

[Surah al-Qadr: 1-5]

Begitu juga sabda baginda (sollalLaahu 'alaihi wa sallam):
"من قام ليلة القدر ، إيمانا و احتسابا ، غفر له ما تقدم من ذنبه 
ertinya: “Barangsiapa yang menghidupkan Lailatul Qadr, demi keimanan dan perhitungan, diampunkan segala dosanya yang lalu.”

[diriwayatkan oleh Asy-Syeikhan (Al-Bukhaariy dan Muslim) dan Imam-imam lainnya dari Abi Hurairah manakala Imam Ahmad pula meriwayatkannya dari ‘Ubadah bin Ash-Shomit]


Menentukan Lailatul Qadr

Sebahagian ulama berpendapat, sebagaimana pendapat segolongan Sahabat (radhiyalLaahu 'anhum), Lailatul Qadr itu jatuh pada malam 27 Ramadhan secara tetap, setiap tahun dari zaman Nabi (sollalLaahu 'alaihi wa sallam) sehinggalah  Hari Kiamat. Maksud malam 27 Ramadhan ialah malam sebelum kita berpuasa hari yang ke-27.
           
Mereka berpendapat demikian bukan sembarangan tetapi tentunya dengan dalil. Menurut ahli-ahli hadits, terdapat banyak hadits-hadits yang menjelaskan penetapan malam 27 ini. 

Salah satu dari hadits-hadits tersebut ialah hadits yang diriwayatkan oleh Zir bin Hubaisy yang meriwayatkan: 

"Aku telah mendengar Ubaiy bin Ka’ab, ketika beliau diberitakan bahawa Abdullah bin Mas’ud mengajarkan: Barangsiapa yang menghidupkan malam-malamnya dengan ibadat sepanjang tahun ia akan mendapatkan Lailatul Qadr. Maka kata Ubaiy:  
Allah merahmati beliau (Ibnu Mas’ud), tentunya beliau mahukan agar manusia tidak lalai, demi Tuhan yang tiada sekutu bagiNya, sesungguhnya ia jatuh pada bulan Ramadhan dan demi Allah aku tahu malam yang mana satukah ia. Ia adalah malam yang Rasulullah menyuruh kami untuk menghidupkannya, malam (sebelum) pagi (tanggal) 27. Tandanya ialah matahari yang terbit pada pagi itu berwarna putih tiada pancaran padanya."

[maksud hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lainnya - dan ia terdapat di dalam Shohih Sunan Abi Dawud].

Sila lihat gambarannya pada pagi 27 Ramadhan (۲۷ ليلة) seperti dalam gambar (puasa hari ke-27), yang mana semalamnya telah berlaku Laylatul Qadar.


Malam 27 Ramadhan di Masjidil Haram (tahun 2013/1434H).

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts