Wednesday, July 9, 2014

Puasa 28 Hari Bila Musafir?

Soalan:

Assalaamu ‘alaikum,

Saya harap ada sesiapa yang dapat bertanyakan kepada yang arif berkenaan puasa saya. Saya telah mula berpuasa di Singapura dan menurut jadual akan berhari raya di Taiwan. Masalahnya kaum muslimin di sana mula berpuasa (tahun ini 2012/1433H), pada hari Jumaat (20hb Julai), sehari sebelum umat Singapura berpuasa. Seandainya mereka berhari raya dengan bilangan 29 hari, iaitu Hari Sabtu 18hb, bermakna sewaktu saya di sana nanti, saya telah berpuasa 28 hari sahaja ketika mereka sambut Raya. Apakah saya ikut berhari raya bersama mereka atau saya kena puasa hari itu yang mereka sedang menyambut Raya mereka. Setahu saya, kita dilarang puasa pada Hari Raya. Jika saya tidak berpuasa kerana ikut mereka berhari raya, apakah saya kira dapat “discount” Ramadhan tahun ni, puasa 28 hari sahaja. Terima kasih atas jawapannya.

Yang ingin tahu



Jawapan:

Wa‘alaikumussalaam wa rahmatullah.

Bismillah walhamdulillaah was solaatu was salaam ‘alaa Rasuulillah wa ‘ala aalihi wa sohbihi wa manit taba’a hudaah, wa ba’d,

Saudara “yang ingin tahu” semoga Allah menerima amalan baik kita pada Ramadhan ini. Sungguh, Allah telah kurniakan PetunjukNya dan sekaligus RahmatNya dengan menjadikan anda seorang yang mengambil berat urusan puasanya, mudah-mudahan kita sama-sama tergolong di kalangan mereka yang puasa atas dasar iman dan menghitung amalan, yang dengannya akan mendapatkan Ampunan Allah.

Mengenai berpuasa 28 hari

Mengenai pertanyaan saudara, saya bukan yang arif, “hakim”, tetapi ingin membantu menyampaikan apa yang telah dijelaskan ‘ulama dahulu. Ringkasnya, saudara TIDAK DAPAT “diskaun” yang saudara katakan. Benar, saudara ikut berhari Raya bersama mereka dan saudara perlu menggantikan balik (Qada’) puasa hari ke 29 Ramadhan yang tidak berlaku atau “hilang” pada saudara, sedangkan umat Islam Taiwan dan Singapura, masing-masing berpuasa 29 hari misalnya, ada hari ke 29 Ramadhan mereka.

Adapun perinciannya dengan dalil-dalil adalah seperti berikut:

1. Allah memerintahkan agar menyempurnakan bilangan hari puasa Ramadhan. Menurut Imam al-Qurtubi rahimahullah (wafat: 671H), pemahamannya adalah 29 atau 30 hari kerana 1 bulan itu bilangan harinya 29 atau 30 hari. Beliau kemudian menyebutkan hadis berikut (akhir nukilan). (Tafsir al-Qurtubi ayat 185 Surah al-Baqarah)

2. Hadis; sabda Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam :
“Apabila tiba Ramadhan, berpuasalah 30 (hari) kecuali jika kamu melihat anak bulan sebelum itu (yakni sebelum 30 hari iaitu 29 hari)”
[HR at-Tohawiy (Musykil al-Aatsaar no: 501) Ahmad (4/377) dan at-Tobarani (al-Kabier: 17/171). Hadits ini ada banyak syawaahid (penguat)nya, dan ia Sahih, sila rujuk (al-Irwaa’: 902 dan 903)]

3. Hadis lain; sabda Nabi shallallahu 'alayhi wasallam: 
“Satu bulan itu boleh jadi 29 hari dan boleh jadi 30 hari. Maka jika kamu melihatnya (anak bulan) berpuasalah dan jika kamu melihatnya, berhari Raya-lah dan jika penglihatan kamu diselindungi (awan dan lainnya) maka cukupkanlah bilangannya (menjadi 30 hari).” [Hadis sahih diriwayatkan oleh an-Nasa-i daripada Abu Hurairah – Sahih al-Jami‘: 3744 – lihat juga al-Irwaa’: 902]

4. Kita selaku umat Islam, tidak boleh berpuasa pada ketikanya masyarakat/umat Islam yang kita berada bersama mereka sedang berhari Raya. Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah berpesan dengan sabda baginda : 
“Puasa kamu itu adalah hari yang mana kamu semua berpuasa dan hari sembelihan kamu (Eidul Adha dan Tasyrieq) adalah hari kamu semua melakukan sembelihan” [HR Abu Dawud – Sahih] 
Dengan lafaz lain: 
“Puasa itu adalah bila kamu semua berpuasa dan Hari Raya itu bila kamu semua (berhari Raya) tidak berpuasa…” [Riwayat at-Timidzi – Hasan]. Sila rujuk: al-Irwaa’: 905.

5. Kata Syeikhul Islam rahimahullah (wafat 728H) ketika menerangkan maksud hadis-hadis ini :
“Maka yang baginda larang berpuasa padanya adalah hari yang mana kaum muslimin berbuka tidak berpuasa dan yang mereka melaksanakan sembelihan (binatang korban)…” [Majmuu’ Fataawaa juz 25 mks 202]

6. Perintah Nabi shallallahu 'alayhi wasallam agar semua orang, termasuk anak-anak kecil, kaum wanita mengalami uzur dan hamba sahaya keluar menghadiri Solat Hari Raya meskipun yang uzur tidak melaksanakan Solatnya, tetapi turut mendengarkan khutbah dan bertakbier, berdasarkan hadis sahih riwayat Umm ‘Atiyah – Sahih al-Bukhariy: no: 974 – Kitab al-‘Iedayn. Jika Solat Jumaat digugurkan ke atas kaum wanita dan hamba sahaya dan musafir misalnya, tetapi Solat Hari Raya mesti dihadiri golongan itu semua, ia menunjukkan bezanya hukum Solat Hari Raya berbanding Solat Jumaat yang mana semua orang wajib dan mesti berhari Raya tiada pengecualian termasuk musafir, kaum wanita dan lainnya, kerana mereka orang Islam dan Hari raya adalah Syiar Umat Islam. 

Semoga jelas dengan dalil-dalil itu tadi, bahawa seseorang seperti anda;

a. Musafir ke negeri mana pun, menyambut Hari Raya bersama kaum yang ia berada dengan mereka ketika mereka menyambut Hari Raya, walaupun bilangan puasanya cuma 28 hari.

b. Jemaah Umrah yang tunaikan Umrah akhir Ramadhan juga begitu, mereka meraikan Hari Raya bersama dengan masyarakat Mekkah dan Madinah.

c. Seorang yang bermusafir melintasi IDL (International Date Line) sehingga misalnya ia kehilangan 1 hari, misalnya ia berangkat daripada United States 16 Ogos dan sampai Singapura 18 Ogos (Tarikh 17 Ogos hilang sehingga ia tidak alami hari 17 Ogos itu – yang dengannya puasanya jadi kurang 1 hari, berbanding umat Islam lainnya)

Tambahan mengenai berpuasa 31 hari

Adapun jika telah cukup 30 hari ia berpuasa, sedangkan masyarakat di tempat ia berada masih belum berhari raya, sehingga jadinya jika ia turuti mereka, ia jadi berpuasa hari ke 31, sedangkan mereka berpuasa hari ke 30, maka dalam keadaan ini, ia berbuka dan tidak berpuasa sendirian secara senyap terselindung kerana tiada puasa hari ke 31, berdasarkan hadis no: 2 dan 3 yang disebutkan tadi.

Kata Syeikhul Islam rahimahullah:
“Adapun masalah yang pertama, orang yang sendirian melihat anak bulan Syawal tidak boleh berHari Raya (dan tidak berpuasa) secara terang-terangan dengan kesepakatan ulamaa… Ada pula pendapat yang mengharuskannya berbuka/berHari Raya secara rahsia seperti yang masyhur di dalam Madzhab Abu Haniefah dan Asy-Syaafi’ee. Telah diriwayatkan: Bahawasanya ada 2 orang lelaki pada zaman ‘Umar bin Al-Khatthob telah melihat anak bulan Syawal maka salah seorang daripada mereka pun berbuka/tidak berpuasa sedang seorang lagi tidak. Maka apabila disampaikan perkara itu kepada ‘Umar maka ‘Umar pun berkata kepada yang telah berbuka/berHari Raya, “Kalaulah tidak kerana sahabatmu ini tentu aku sudah sakitkan kamu dengan sebatan” [Majmuu’ Fataawaa juz 25 mks 202].

Sebaliknya jika menurut kiraannya, ia berpuasa hari ke 30nya sedangkan masyarakat tempat ia berada, melakukan puasa hari ke 29 mereka, ia digalakkan berpuasa pada hari 30nya itu bersama-sama mereka (walaupun ia berpuasa satu hari lebih dari masyarakatnya), sebab ia tidak melakukan percanggahan dengan berpuasa bersama-sama masyarakatnya, meskipun pada tahun itu, masyarakatnya berpuasa 29 hari sahaja. 

Kata Syeikhul Islam rahimahullah: 
“…Apakah ia harus berHari Raya (makan dan minum) secara sembunyi-sembunyi, maka ada 2 pendapat ulamaa: Yang lebih tepat: ia tidak berbuka/berHari Raya secara sembunyi-sembunyi dan itulah Madzhab Maalik dan Ahmad di dalam riwayat yang masyhur dalam Madzhab mereka berdua…. Maka barangsiapa (dari kalangan ulamaa) yang menyuruhnya berpuasa hari ke-30 yang menurut “penglihatan anak bulan yang terselindung” bagi bulan Syawwal (sedangkan dengan Rukyahnya, baginya hari itu 1 Syawwal – tapi masyarakatnya mengiranya 30 Ramadhan) dan tidak menyuruhnya berbuka secara sembunyi-sembunyi maka ia boleh berpuasa pada hari itu dan bahkan digalakkan…”

Wallahu a’lam.

Adapun keputusan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Saudi yang lalu, Samahatu asy-Syeikh Ibn Baaz rahimahullaah, yang disokong ‘Ulama negeri tersebut, yang mana pada 1 tahun itu, mereka berpuasa 31 hari, maka ia semata-mata kerana usaha mereka berdasarkan ilmu mereka bahawa itulah caranya mentaati pesanan-pesanan dan ajaran Rasulullah. Berikut di antara sebab dan hujjah mengapa mereka puasa hari ke 31.

1. Kemungkinan kiraan dan penglihatan anak bulan pada bulan-bulan sebelum Ramadhan ada kesilapan.

2. Putera Saudi selaku seorang angkasawan, berada di tempat yang paling terbaik dan mudah untuk dapat melihat anak bulan di angkasa ketika itu, tetapi beliau (seorang angkasawan yang ahli berkenaan cara-cara dan kiraan untuk melihat anak bulan) ketika itu mengkhabarkan bahawa anak bulan masih tidak kelihatan.

3. Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah berpesan: 
“Berpuasalah kalian kerana melihat anak bulan dan berhari Rayalah juga dengan penglihatan anak bulan”. 
Dalam sebahagian lafaz dengan larangan pula:
“Jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan jangan kamu berhari Raya kecuali dengan penglihatannya” 
Dan beberapa dalil yang semakna dengannya.

4. Perbezaan pendapat ‘ulama yang disebutkan oleh Syaikhul Islam tadi.

Dijelaskan yang demikian kerana ada pihak yang mengambil peristiwa ini utuk mempersoal kedudukan Mufti tersebut (bahkan seperti menghina), walaupun beliau seorang alim yang disegani ramai dan disokong begitu ramai ‘ulama (Ramai Pensyarah Universiti bertaraf Professor pun menjadi anak murid beliau). Agak pelik juga bila sebaliknya orang alim Hadramaut mengemukakan sesuatu amalan baru, yang tidak pernah diamalkan oleh Nabi atau para Sahabat, pihak seperti ini mempertahankan dengan tegas menyatakan: “mereka orang alim, lebih alim dan wara’ daripada kita, kita ini siapa untuk mempersoal?” Apakah kerana mereka ‘ulama “Arab”? Tentunya bukan kerana itu, sebab Mufti Saudi pun “Arab” juga. Kerana keturunan Nabi? Berapa ramai teman saya keturunan Nabi tetapi tinggal di negara Barat. Berapa ramai juga yang sempat saya berkenalan dengan mereka yang merupakan warga Saudi yang berketurunan Rasulullah, ada teman sepengajian dan ada pula pensyarah/guru. 

Bagi saya, pokok perkaranya atau dasarnya adalah keterangan daripada al-Quran dan as-Sunnah, dalil Syar‘ie, bukan dalil akal tanpa wahyu, dzouq atau “feeling”. Sesiapa sahaja, baik alim Saudi, Yaman, Jordan, Syria, Mesir, Kuwait, Indonesia dan lainnya, mesti sandarannya adalah ajaran Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabat radhiyallahu 'anhum. 

Seperti kata Imam Malik: 
“Tiada seorang pun selepas Nabi kecuali semestinya diambil atau tertolak pendapatnya melainkan Nabi .”[1] 

Semoga Allah menjadikan kita semua, golongan yang adil dalam mencari kebenaran dan menyebarkannya.

Wallahu Waliyyut Taufieq.

Wallahu a‘lam

________________________

[1] Kata-kata ini dinisbahkan kepada Imam Maalik dan ia masyhur demikian di sisi ulamaa mutakhir (zaman kebelakangan) dan ia telah dijelaskan benar shohih daripada beliau oleh Ibn ‘Abdil Haadi di dalam “Irsyaadus Saalik”: 227/1, Ibn ‘Abdil Barr juga telah meriwayatkannya di dalam Al-Jaami’: 2/91, Ibn Hazm di dalam Usuulul Ahkaam: 6/145, 179 dari kata-kata Al-Hakam bin ‘Utaibah dan Mujaahid serta disebutkan juga oleh Taqiyuddien As-Subki di dalam Al-Fataawaa: 1/148 daripada kata-kata Ibn ‘Abbaas dengan rasa kagum terhadap kandungannya, kemudian beliau berkata: Dan Mujaahid telah mengambil kata-kata ini daripada Ibn ‘Abbaas dan Maalik pula mengambil daripada mereka berdua, semoga Allah meredhai beliau dan menjadi masyhur daripada Maalik. Imam Ahmad mewarisinya daripada mereka semua, sungguh Abu Dawud telah berkata di dalam Masaa-il Al-Imam Ahmad (mks: 276): Aku telah mendengar Ahmad berkata: Tiada seorang pun kecuali pendapatnya diterima atau ditolak selain Nabi.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts