Wednesday, July 2, 2014

Ringkasan Zakat Fitrah

Permulaannya: Mula difardukan pada Tahun ke-2H – bersamaan kefarduan puasa.

Tujuannya: Penyucian dosa dan kesalahan ketika berpuasa, memberi makan orang miskin, mencukupkan mereka daripada meminta-minta pada Hari Raya.

Hukumnya: Wajib atas setiap muslim dan muslimah, anak kecil dan orang dewasa, hamba dan merdeka, kaya dan miskin – Riwayat al-Bukhariy: Rasulullah memfardukan Zakat Fitrah sebanyak 1 sa‘ (2kg 172g) tamar atau barley atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan wanita, anak kecil dan orang dewasa daripada kaum muslimin



Syarat Kewajipannya:
i. Islam,
ii. Yang mengeluarkan zakat fitrah semestinya ada kecukupan untuk menampung keperluan diri dan keluarganya pada malam dan siang Hari Raya, melebihi keperluan asasinya

Bila kewajipannya bermula?
i. Syafi‘ie, Ahmad, Ishaq, Malik (riwayat): Dengan terbenamnya matahari masuk malam Hari Raya, sebab ia bertujuan menyucikan orang puasa dan itulah saat berakhir puasa Ramadan. Bayi yang lahir selepas Maghrib saat itu = tidak wajib.

ii. Hanafi, Abu Tsaur, Malik (riwayat): Terbitnya Fajar Hari Raya, sebab ia ibadah terikat dengan Hari Raya maka tidak didahulukan seperti Korban. Lahir sebelum itu = Wajib.

Yang Tidak Berhak Terima Zakat Fitrah: Kafir, Murtad, Fasiq degil, si Kaya, suami, isteri, anak2 sendiri

Yang Berhak Terima:
i. Syafi‘ie: 8 Asnaf

ii. Jumhur: 8 Asnaf atau Faqir sahaja

iii. Maliki, Ahmad (qaul) & Ahli Hadis: Faqir & Miskin sahaja (zahir hadis)

Kata asy-Syeikh al-Albaniy rahimahullah :
Tiada di dalam as-Sunnah yang diamalkan yang menyokong pengagihan ini (kepada 8 Asnaf), bahkan sabda baginda shallallahu 'alayhi wasallam di dalam hadis Ibn ‘Abbas: “…sebagai (bertujuan memberi) makanan kepada orang miskin” yang membawa makna “ketentuan” manakala ayat pengagihan zakat kepada 8 Asnaf dimaksudkan kepada sedeqah Zakat Harta dan bukannya Zakat Fitrah, berpandukan apa yang disebutkan sebelumnya di dalam ayat tersebut: 
Ertinya: Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah" Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, …[1] 
Inilah pendapat Syeikhul Islam Ibn Taimiyah…(al-Fatawa: 2/81-84)…asy-Syaukaniy (as-Sayl al-Jarrar: 2/86-87) dan lantaran itu Ibn al-Qayyim menegaskan di dalam az-Zad: 
“Dan daripada sunnah panduan baginda , pengkhususan golongan miskin bagi sedeqah ini (Zakat Fitrah).”

Kemudian ay-Syeikh membuat ulasan yang mana kesimpulannya:
Tidak pula ada dalil yang mengharuskan pemberiannya kepada Kafir Dzimmi, yang diharuskan adalah sedeqah umum bukan yang wajib seperti Zakat Harta atau Zakat Fitrah, sebagaimana yang sahih bahawa Nabi pernah beri sedeqah kepada keluarga Yahudi. al-Hasan al-Basriy menyatakan: Tiada sesuatu hak pun yang diberikan kepada Ahli Dzimmah daripada yang Wajib, tetapi jika seseorang itu mahu, ia boleh bersedeqah dengan selain itu.[2]

Zakatnya berupa: Makanan asasi masyarakatnya; beras, gandum dsbgnya.

i. Jumhur dan Ahli Hadis, Ahmad, Malik, Syafi‘ie Wajib bahan makanan tidak boleh dengan nilainya

ii. Hanafi: Harus keluarkan nilainya

Masa menunaikannya:

i. (Akhir) Jumhur: sebelum Solat ‘Eid, makruh selepas Solat. Ibn Hazm: Haram lepas Solat. Ijma‘: Haram terbenamnya matahari.

ii. (Awal) Syafi‘ie: Awal Ramadan. Sebahagian Hambali: Pertengahan Ramadan.

iii. Malik, Ahmad dan Ahli Hadis: 1 atau 2 hari sebelum Hari Raya (paling kuat – zahir Atsar Nafi‘: Ibn ‘Umar buat demikian)

Mengeluarkan Zakat di luar negeri. Apakah ada perbezaan Zakat Harta dengan Zakat Fitrah dalam permasalahan ini?

‘Ulama bersepakat diperbolehkan dan diharuskan menyerahkan zakat pada golongan yang memerlukan di negeri lain. Dengan syarat, diutamakan negeri di mana penghasilan harta yang wajib dizakatkan itu terkumpul dan bilamana keperluannya telah dipenuhi. Adapun jika keperluan di dalam negeri belum dipenuhi atau masih ada pihak daripada 8 Asnaf yang memerlukan, maka ada Khilaf di kalangan ‘ulama.

‘Ulama 3 Madzhab utama menghukumnya: Tidak diperbolehkan.
Madzhab Hanafi: Makruh.

Adapun Zakat Fitrah maka ia berbeza kerana Zakat Fitrah diwajibkan ke atas diri mukallaf (orangnya) bukan ke atas harta miliknya. Iaitu di mana ia berada, di situ ia mengeluarkan Zakat Fitrahnya, samada di dalam negeri atau luar negeri.[3]

_________________________

[1] Al-Quran: at-Taubah: 9: 58-60
[2] Tamam al-Minnah: 387-388
[3] Fiqh as-Sunnah: 1/476-477

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts