Saturday, July 12, 2014

Soalan_Hukum Solat Teraweh Separuh Jalan

Soalan: 

Assalamualaikum Ustaz,

Saya nak tanya tentang: apakah hukum melakukan solat terawih bersama imam tapi kita lakukan 8 rakaat manakala imam melakukan 23 rakaat?

Jazakallah khairan ustaz

Ismail.



Jawapan:

Wa'alaikumussalaam wa rahmatullaah.
Bismillah walhamdulillaah was solaatu was salaam 'alaa Rasuulillaah wa 'alaa aalihi wa ba'd,


Diperbolehkan untuk solat 8 rakaat dan tidak ikut imam sehingga selesai 23 rakaat. 
Malah ikut 23 secara tetap dipertikaikan adanya sunnah daripada sahabat atau tidak/bukan (yakni apakah benar para Sahabat melaksanakan 20 atau 23 rakaat - riwayatnya dipertikaikan). Yang pasti Nabi sendiri, secara peribadi, buat 11 rakaat (dan sebahagian riwayat ada melakukan 13 rakaat). 

Maka jika timbul persoalan lanjutan, maka berikut ini jawapannya.

a. Ada pihak mengatakan: "Yang tidak ikut imam sampai habis tidak akan dapat fadhilat seperti solat sepanjang malam, seperti yang disebutkan dalam hadis berikut:

"Kami telah berpuasa bersama Rasulullah saw pada bulan Ramadhan, maka Nabi r tidak mengimamkan qiyam walau sehari pun sepanjang bulan tersebut sehinggalah hanya tinggal 7 hari (berpuasa), barulah Nabi r mengimamkan kami secara berjemaah sehingga berlalu sepertiga malam. Adapun pada hari ke 6 (tinggal 6 hari berpuasa), maka Nabi saw tidak mengimamkan qiyam. Tapi pada hari ke 5 (tinggal 5 hari sahaja) baginda menjadi imam kami sehingga berlalu separuh malam. Maka aku pun berkata kepada baginda :

Wahai Rasulallah, alangkah baiknya anda mengimamkan kami lagi pada malam ini?

Maka baginda menjawab: "Sesungguhnya sesiapa yang sholat bersama Imam sehingga Imam itu selesai sholat, maka dikirakan baginya sebagai orang yang telah menghidupkan sepanjang malam" 
Pada hari ke- 4 (tinggal 4 hari lagi) baginda r tidak berjemaah bersama kami. Tetapi pada hari ke-3 (tinggal 3 hari sahaja lagi yakni malam 27 Ramadhan) Nabi r mengumpulkan isteri-isteri dan ahli keluarga baginda r serta para Sahabat yang ramai lalu Nabi r berjemaah bersama kami sehingga kami khuatir tidak sempat bersahur..."
[hadits shohih yang diriwayatkan oleh Ash-haabus Sunan; Imam-imam Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasaa'i dan Ibnu Maajah dan lainnya]

Persoalannya:

i. Kalau ikut imam sehingga habis (tidak kira berapa imam itu solat, tetapi solatnya tiada tumakninah/solat kelam kabut apakah masih "afdhal" ke?

ii. Ikut imam sampai habis hanya soal fadhilat, bukan haram terlarang ikut imam separuh jalan atau sebahagian solat. Perkara fadhilat perlu dibandingkan dengan perkara tadi. Sehingga orang yang mengikut imam, beberapa rakaat, mendapati solat imam itu tidak membantunya mendapatkan solat yang khusyu' malah adakalanya solat yang sah, apakah salah ia keluar tidak mengikut imam lagi, untuk ke masjid lain atau sambung solat di rumahnya? Sebab yang ditanyakan ialah soal terlarang tidak selesaikan hingga akhir dan perbandingannya dengan soal afdhal.

iii. Ikut imam yg mana? Maksud saya, bila disebutkan di dalam hadis, secara umum, "imamnya" maka kita dapati di Masjid Nabawi, setiap imam hanya solat 4 rakaat, tukar imam lain. Jadi ikut makna hadis, asal sudah solat mengikuti salah seorang imam misalnya 4 rakaat, seseorang sudah mendapatkan fadhilatnya. Maka usahlah dipersempitkan perkara yang asalnya diberikan keringangan dan galakan malah yang pernah dikhuatiri oleh Nabi bahawa ia akan difardhukan. Maka usahlah ditekankan oleh pihak tertentu berdasarkan hadis "fadhilat itu tadi" sehingga menjadikan orang awam salah faham seolah-olah "wajib" menyelesaikan solat bersama Imam sampai 23 rakaat misalnya. Apatah lagi untuk mencemuh dengan kata-kata: "Yang solat tidak ikut sampai habis, semuanya budak-budak, perbuatan budak-budak" atau cemuhan lainnya "pencetus tengkarah" "fahaman menyimpang" dan sebagainya.

b. Hadis fadhilat ini, jika kita balikkan kepada kisahnya, Nabi telah pun solat 11 rakaat, Abu Dzar minta Nabi sambung solat lagi. Maka Nabi pun fahamkan, jika sudah solat tadi sudah cukup. Menunjukkan Nabi mahukan keringanan tetapi qiyam Ramadhan yang dilakukan atas dasar "imanan wa ihtisaaban" (mengharap pahala dan khuatiri dosa - mengharapkan ampunan). Bukan untuk memberatkan diri dengan banyak rakaat tapi bercelaru. Bagi pihak yang mengambil daripadanya, hadis itu, dengan kesimpulan mesti ikut imam solat seberapa banyak, kesimpulan itu tidak lebih utama daripada kesimpulan bahawa Nabi mahukan keringanan tetapi sempurna dan yang Nabi sendiri lakukan adalah 11 rakaat. Maka amat tidak sesuai untuk ditekankan 23 rakaat sebagai fadhilat yang dimaksudkan daripada hadis itu, sedangkan yang Nabi laksanakan adalah 11 rakaat dan tidak pernah baginda laksanakan 23 rakaat, meskipun benar ramai ulama mengizinkan bilangan rakaat tanpa batas tertentu. Ini telah saya jelaskan di sini: Bilangan Rakaat Qiyam Ramadhan atau nama lainnya, Teraweh

c. Seandainya riwayat para Sahabat pada zaman Umar solat 23 rakaat sahih sekalipun (padahal ia masih dipertikaikan oleh para pakar hadis), Sunnah Sahabat lebih utama ataukah Sunnah Nabi? Umar sendiri tidak ikut berjemaah, apakah Umar tidak tahu fadhilat solat dgn imam sampai selesai? sehingga beliau mengatakan: "yang tidur sekarang ini, melakukan yang afdhal sebab mencari 1/3 mlm terakhir, asal ajaran Nabi. Lagipun yang diamalkan masyarakat kita dengan 23 rakaat, amat berbeza dengan pengalaman di Mekkah, Madinah dan negara Arab, dan belum saya secara peribadi ketemukan yang memuaskan dari sudut cara perlaksanaannya. Wallahua'lam.

d. Mengikuti Nabi pada sudut bilangan (11 rakaat) walaupun tidak dapat ikuti pada sudut cara solatnya baginda iaitu lamanya berdiri dan rukun-rukun lainnya, tentu lebih utama daripada bilangan rakaat mahupun cara solat yang pada sudut kedua-duanya tidak menepati asal Sunnah Rasulullah.

Wallaahua'lam.

Adapun kesimpulan Syeikh Albaaniy, masih ramai ulama yang setuju dengan beliau bahawa Nabi secara peribadi melaksanakan 11 rakaat. Cuma ada di antara mereka yang tidak setuju dengan pembatasan beliau hanya pada 11 atau kurang, kerana bagi mereka "tiada pembatasan rakaat" adalah amalan Salaf. 

Saya menjangkakan bahawa saudara bertanyakan hal ini, kerana timbulnya beberapa tulisan yang seperti menyanggah kesimpulan asy-Syaikh al-Albaaniy rahimahullah. Malah ada yang seolah-olah ingin membuktikan lebih utama melakukan 23 rakaat daripada 11 rakaat.

Maka ini yang perlu saya perjelaskan:

Usahlah kita dipengaruhi tulisan sekian2 terutamanya yg tidak setaraf asy-Syeikh al-Albaaniy dalam bidang hadis, seseorang yang sekadar "Dr" di fakulti hadis ada yang cuba menjadikan isu dan sebagai perantara untuk menjatuhkan atau persalahkan atau "membuktikan" asy-Syeikh sebagai seorang yang "banyak silap" atau alasan untuk mencemuh Syeikh dan sesiapa yang mengikuti beliau seperti fanatik dan bertaqlied buta. 

Ada di antara mereka yang kononnya berdasarkan "kajian ilmiyah" menjadikan kajiannya yang tidak menyeluruh malah adakalanya dengan menyelindungkan banyak fakta, sebagai perantara memburukkan golongan yang ingin kembali kepada ajaran Salaf kerana asy-Syeikh memang terkenal sebagai Tunjang Salaf zaman kita...sebagaimana persaksian Lajnah Daimah (Saudi), Syeikh Ibn Baz secara peribadi, Syeikh 'Abdul Muhsin al-'Abbaad (ahli hadis terkemuka di Madinah) dan begitu ramai murid-murid beliau. Amat menyedihkan dan dikesali jika ada daripada kalangan pencinta Manhaj Salaf yang turut bersekongkol "menjatuhkan" Syeikh dengan berpandukan kajian para Dr dan pensyarah tersebut.

Antara pihak-pihak tersebut adalah Hasan 'Ali as-Saqqaaf - yang baru-baru ini ada orang "uploadkan" video kononnya Syeikh Albaaniy kabur (cabut lari) bila diajak debat padahal daripada video itu diketahui bahawa beliau telah berkali-kali berdebat dan berbincang serta menasihatkan sehingga nyata as-Saqqaaf bukan mahukan kebenaran tetapi berdegil dengan ikutannya, maka sikap asy-Syeikh adalah sama dengan yang diajarkan Salaf umat ini, Imam asy-Syaafi'ie, kata beliau: 
"Aku tidak pernah berbahas dengan orang yang aku kenali sebagai bersikap keras atas bid'ah" 
"ما ناظرت أحدا علمت أنه مقيم على البدعة"
[Manaaqib asy-Syaafi‘ie رحمه الله oleh Imam al-Baihaqiy رحمه الله: Juz 1/175]

Begitu pula golongan "Mutaqaddimien", yang dengan penggunaan gelaran itu mereka namakan diri mereka, cukup menunjukkan tidak sukanya mereka untuk dirangkumkan dengan gelaran pengikut "Salaf".
Sebagai contoh, seorang yang dianggap "Salafy" banyak menulis di FB, telah mungkin tanpa sengaja mengelirukan masyarakat FB, pencinta ilmu, dengan kenyataan ini, berkenaan riwayat-riwayat menggerak-gerakkan jari ketika Tasyahhud:


Sekali membaca, mungkin disangkakan Imam al-Baihaqiy yang menyimpulkan hadis gerak-gerakkan tidak wujud, kesilapan perawi, padahal itu bukan pernyataan Imam al-Baihaqiy. Padahal sila baca semula di sini:
menggerak-gerakkan-jari-ketika-tahiyat

 Yang mana terdapat penjelasan:

قال ثم رفع أصبعه فرأيته يحركها يدعو بها رواه البيهقي بإسناد صحيح . قال البيهقي : يحتمل أن يكون المراد بالتحريك الإشارة بها لا تكرير تحريكها ، فيكون موافقا لرواية ابن الزبير ، وذكر بإسناده الصحيح عن ابن الزبير 

{Kemudian baginda mengangkat jari baginda, maka aku lihat baginda menggerak-gerakkan jari berdoa dengannya} diriwayatkan oleh al-Baihaqiy dengan isnad yang Sahih.


Kata al-Baihaqiy (dalam ulasannya):

{Kemungkinan yang dimaksudkan dengan menggerak-gerakkan adalah semata-mata memberi isyarat (dengan menuding) sahaja dan bukannya berulang-ulang mengerak-gerakkannya, agar ia bersesuaian dengan riwayat Ibn az-Zubayr}, lalu beliau (al-Baihaqiy) menyebutkan dengan isnadnya yang Sahih daripada Ibn az-Zubayr,

Apatah lagi golongan "Sufi" dan pro-Sufi.

Begitu pula golongan yang membela Dr Yusuf al-Qaradhawi dan banyak lagi.
Golongan secara peribadi menaikkan diri mereka dengan "membongkar" kesilapan seorang pakar.

Maka tidak pelik, jika banyak usaha dilakukan berbagai pihak untuk "mencari-cari kesilapan" asy-Syeikh, yang dengannya begitu ramai "pencinta Sunnah" dan yang ingin kembali kepada ajaran "Salafussolih" menjadi keliru. 

Mereka dinasihatkan kurang bercakap dan membuat komentar, atau ikut-kiutan tanpa membuat kajian sebenar, tetapi mencari ilmu, kuasai bahasa Arab dan kaji sendiri kitab-kitab beliau terlebh dahulu, daripada membaca "terjemahan" daripada seseorang yang memang belum sampai pada peringkat 'alim besar yang layak dijadikan panduan.    

Wallahua'lam.


Kita bukan taasub/fanatik tapi sedar diri bukan ahlinya atau tandingan beliau untuk kesan "kesalahan" beliau biarlah ia diserahkan kepada pakar2nya yang sebenar, seperti anak-anak murid asy-Syeikh yang benar-benar terlatih dan telah memperbetulkan beliau semasa hayat beliau lagi.

Orang berkelulusan sebatas saya tidak pantas, tidak layak mengata Syeikh sedangkan kajiannya belum menyeluruh, biarpun kita sangka kita sudah kaji habis-habisan, kerana adanya ulama pakarnya.

Kalau sekadar seorang boleh pegang pisau atau gunting atau "pincers" dengan baik, belum tentu ia seorang ahli bedah walau siap berpakaian "pembedah" dan tahu kedudukan organ-organ dalam tubuh, ia berbeza dengan ahlinya pakar bedah yang sebenar yang dipersaksikan keahliannya oleh begitu ramai pakar.

Apatah lagi bagi pihak yang belum banyak membaca kitab beliau seperti Silsilah Sahihah dan Do'iefah dan bacalah Fiqh al-Waaqi' yang ringkas padat bermanfaat agar kita tidak terjerumus dengan penyakit berkata sedangkan kita tidak layak berkata sebagaimana banyak berlaku hari ini di Facebook dan media social lainnya, berkata seperti pakar sedangkan kita bukan ahlinya, berbeza dengan yang kembali kepada ajaran ulama tanpa taasub dan dengan dasar-dasar yang benar serta sikap dan adab yang tepat.

Yang lebih menyedihkan, orang selalu timbulkan tentang adab dan hormati ulama, tetapi bila berkenaan asy-Syeikh yang memang selayaknya dihormati dan ditunjukkan adab terhadapnya, mereka memperlekehkan.
Lebih buruk, ini dididik pada diri orang awam, mahupun golongan pelajar malah sebahagian Asatizahnya, yang tidak kenali nilai ilmu dan jerih payah ulama dengan sebenar-benar pemahaman, yang tidak menguasai bahasa Arab, tiada ilmu Usul Fiqh dan lainnya yang diperlukan untuk menilai sesuatu dengan tahap penilaian ilmiyah yang diajar 'ulama. Allahul Musta'aan, semoga Allah memberkati ilmu kita yang walaupun tidak mencapai ilmu 'ulama tetapi mempunyai kesedaran tinggi, menilai dengan tepat atas kebenaran yang diredhai Allah, sehingga berjaya dunia akhirat dan tidak tertipu dengan ilmu sendiri. 

Wallahu a'lam.

Sila lihat apa kata Syeikh 'Abdul Muhsin bin Badr al-'Abbaad, ahli hadis terkemuka di Madinah:




 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts