Thursday, September 11, 2014

Permasalahan Kesatuan Umat dan Perselisihan Pendapat (Bhg 2)

sambungan daripada: Permasalahan Kesatuan Umat dan Perselisihan Pendapat (Bhg 1)


C. Perselisihan yang berupa Percanggahan dan Perpecahan adalah satu Azab manakala kesatuan adalah Ni‘mat

Sidang pembaca yang budiman, semoga Allah mengurniakan PetunjukNya sentiasa kepada kita, perkara selanjutnya yang perlu ditekankan adalah "Perselisihan" yang berupa percanggahan dan Perpecahan adalah satu Azab manakala "Kesatuan" dan "perpaduan" adalah suatu Ni'mat serta hanya padanya adanya Rahmat Allah. Justeru, bagaimana mungkin kita digalakkan untuk berselisihan apatah lagi berpecah-belah dan mengekalkan perselisihan dan perpecahan di antara kita.

Selayaknya, kita mengadakan usaha berterusan malah bermatian untuk tidak berpecah-belah, malah memelihara perpaduan kita. Oleh yang demikian, apabila kita mendengar slogan atau seruan kepada:
"Biar kita berselisihan, asal sahaja kita saling hormat menghormati perbezaan pandangan kita"
atau:
"Perselisihan di antara kita, umat Islam, adalah satu rahmat, suatu yang baik",
jelas adalah seruan yang mencanggahi dasar ini.
Inilah dasar yang asal dan menyeluruh dalam ajaran Islam. Terutamanya, apabila kita membicarakan persoalan yang merupakan "asal ajaran Islam" dan apa yang mencanggahinya. Adapun perselisihan 'ulama dalam menyimpulkan sebahagian hukum-hukum, maka ia isu berbeza dan akan kita bincangkan kelak kerana yang sedang kita bicarakan sekarang ini adalah yang mencanggahi asal ajaran Islam, al-Qur'an dan as-Sunnah serta pemahaman Salafussolih (para Sahabat dan golongan yang terdekat dengan zaman Rasulullah).sedangkan ‘ulama zaman silam, Salafussolihnya, berselisihan bukan untuk mencanggahi ajaran asal Islam, malah memeliharanya.

Namun mereka yang menyerukan agar “dikekalkan” ikhtilaaf/perselisihan, dengan dakwaan mereka bahawa ia adalah suatu keluasan dan kemudahan buat ummat, seringkali berhujjah dengan hadis ini ketika menegakkan pegangan mereka[1] untuk (kononnya) membidas para pembela as-Sunnah atau ajaran asal Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam:

اخْتِلافُ أُمَّتِي رَحْمَة

“Perselisihan pendapat di kalangan ummatku adalah suatu rahmat.”

Jawapannya dari 2 sudut:

Pertama: 

al-‘Allaamah al-Albaaniy dalam kitab Sifat Solat Nabiy menjelaskan: Bahawasanya hadis tersebut adalah sebuah hadis yang tidak sahih, bahkan ia batil tiada asal-usulnya[2], kata al-‘Allaamah as-Subki:
“Sebuah hadis yang tidak diketahui oleh ulama Hadis dan saya tidak menemui baginya satu sanad yang sahih pun, tidak pula yang da‘ief (lemah) malah tidak pula yang maudhuu‘ (palsu)”

asy-Syeikh Zakariyaa al-Ansari akur dengan kesimpulan as-Subki di dalam analisanya terhadap “Tafsier al-Baidawiy” (manuscript: 92/2).

Mentelah lagi, makna hadis ini diingkari oleh para Muhaqqiq dari kalangan ulama, maka kata al-‘Allaamah Ibn Hazm di dalam “al-Ihkaam fie Usuulil Ahkaam” (5/64) setelah beliau menyebutkan bahawa ia bukannya sebuah hadis:
“Ini adalah di antara kata-kata yang paling buruk dan merosakkan, sebab kalaulah ikhtilaaf (perselisihan) itu suatu rahmah, sudah tentu kesepakatan itu sesuatu yang dibenci dan ini adalah sesuatu yang tidak akan diucapkan oleh seorang Muslim…”

Pada bahagian yang lain beliau berkata: 
“Batil didustakan (yakni tidak boleh dipercayai)…”

Di antara kesan buruk yang timbul kerana hadis (palsu) ini ialah ramai kaum muslimin menerima sahaja perselisihan yang amat ketara yang berlaku di antara 4 madzhab fiqh yang masyhur, tanpa berusaha mengembalikan perselisihan itu di dalam pertimbangan al-Quran dan Sunnah Sahiehah, sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh Imam-imam mereka semoga Allah meredhai mereka, (malah pesanan Allah dalam Surah an-Nisaa’ ayat 59, yang telah disebutkan tadi) bahkan sebaliknya mereka memandang bahawa madzhab-madzhab para Imam tersebut seperti Syari’at-syari’at yang berbeza dan berbagai. (Seperti yang dikatakan oleh al-Munawiy di dalam Faidul Qadier: 1/209)

Kedua: 

Bahawasanya hadis tersebut, selain keadaannya yang lemah (perselisihan ummatku suatu rahmat), bercanggah pula dengan keterangan al-Quran Al-Kariem, sebab ayat-ayat yang bersekitar tentang hal itu – hal larangan berselisihan di dalam agama dan perintah agar bersatu-padu dan bersepakat di dalam agama – terlalu banyak untuk disebutkan, namun tiada salahnya untuk disebutkan sebahagiannya di sini sebagai misal; Firman Allah :

وَ لاَ تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَ تَذْهَبَ رِيْحُكُم

"Dan janganlah kamu bertelagahan maka itu akan menyebabkan kamu jadi goyah gagal dan hilang kekuatan kamu” [3]


وَ لاَ تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ مِنَ الَّذِيْنَ فَرَّقُوا دِيْنَهُمْ وَ كَانُوا شِيَعاً كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

"Dan janganlah kamu termasuk golongan yang menyengutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada mereka.” [4]


وَ لاَ يَزَالُوْنَ مُخْتَلِفِيْنَ إِلاَّ مَن رَّحِمَ رَبُّكَ

"Dan mereka tetap berselisih kecuali orang yang dirahmati Tuhanmu.” [5]

Maka jika orang yang dirahmati Tuhannya tidak berselisih dan yang berselisih adalah Ahli Batil (orang-orang yang berada di atas kebatilan), maka bagaimana mungkin masuk akal ikhtilaaf (perselisihan) itu suatu rahmat?!

Setelah penjelasan ini, apakah layak kita menggalakkan umat beselisihan asal sahaja hormat menghormati antara satu sama lain, tanpa mencari kebenaran, terutamanya pada perkara percanggahan terhadap ajaran asal Islam?

______________________________________

[1] Pegangan mereka tersebut ialah “Wajib bertaqlied pada satu madzhab” padahal tiada satu dalil Al-Quran, Hadis yang sahih, mahupun dari kata-kata para Imam 4 Madzhab yang membawa erti wajib bermadzhab bahkan kita hormati semua imam Ahli Sunnah terutama Salafussolih dan menerima penilaian para imam lain terhadap pendapat-pendapat mereka atas dasar taqwa dan ilmu yang nyata diyakini bukan ikutan sembarangan.

[2] Tiada asal-usulnya (لا أصل له) ertinya sebuah hadis palsu/dusta yang tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi dan tiada riwayat langsung di dalam kitab-kitab hadis yang muktamad.

[3] Al-Qur’an; Surah al-Anfaal: 46

[4] Al-Qur’an; Surah ar-Ruum: 31-32

[5] Al-Qur’an; Surah Huud: 118-119
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts