Wednesday, November 26, 2014

01. Doa Sewaktu Keluar Rumah

بِـسْـمِ اللَّهِ تَـوَكَّـلْـتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَ لَا قُـوَّةَ إِلَّا بِـاللَّـهِ

maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah dan tiada upaya tiada kekuatan kecuali dengan (izin) Allah.” [1]

Perhatian: ‘Solat sunat safar’ digantikan dengan Solat Sunnat Istikharah ataupun Sunnat Wudu’. Sebab yang menurut as-Sunnah, solat safar dilakukan sekembalinya seseorang itu daripada perjalanannya bermusafir. Namun perlaksanaan Solat sebelum berangkat bermusafir yang disebutkan ini (Istikharah ataupun Wudu’), bukannya daripada ketetapan Sunnah Rasulullah, semata-mata bagi mereka yang mahu melakukannya, sebagai gantian kepada "Solat Sunat Safar", dengan niat yang berbeza bukan kerana Safar, tetapi melakukan daripada sesuatu yang ada di dalam as-Sunnah[2]

Perlu diperingatkan: Bagi para jemaah yang akan ke Kota Madinah dahulu sebelum perlaksanaan Manasik Haji atau Umrah, mereka perlu berniat bermusafir untuk ke Madinah, menziarahi Masjid Nabawi dan bukannya niat melaksanakan Manasik, sebab mereka akan hanya memulakan manasik dengan keberangkatan mereka daripada kota Madinah ke Mekkah. Maksud Niat di sini ialah apa yang mereka sematkan berupa azam di dalam hati. Wallahu a‘lam. 

(sila rujuk lampiran: Diperbolehkan untuk Mendahulukan Ziarah sebelum Manasik)



[1] Riwayat at-Tirmidzi (as-Sunan: al-Da‘awat: 3348), Abu Dawud (as-Sunan: al-Adab: 4431) – dihukumkan sahih sebagaimana yang dijelaskan di dalam Sahih Sunan at-Tirmidzi: 3/151 dan Sahih Sunan Abi Dawud: 3/959 
[2] Sebagaimana penjelasan ulama antaranya Imam an-Nawawi (al-Majmu‘: 4/58) yang senaraikan Solat Safar sekembali daripada perjalanan bermusafir dan dalam Adab Musafir beliau sebutkannya mustahab sebab hadis solat Safar sebelum berangkat disangsikan kebenarannya daripada Nabi sebagaimana yang dijelaskan oleh asy-Syeikh al-Albaniy dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy – Silsilat ad-Da‘iefah: no: 372.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts