Thursday, November 27, 2014

04. Doa ketika memasuki sebuah negeri, daerah atau kampung

Doa masuk Tanah Haram Madinah atau Mekkah tiada asalnya daripada ajaran Nabi dan tidak pula para Sahabat. Yang penting, kita insaf ketika memasuki Tanah Haram, bersyukur dan waspada daripada dosa, menghormati Tanah Haram yang dimuliakan oleh Allah. Sebaliknya, baik kita amalkan doa berikut ini, yang benar ada dalam ajaran as-Sunnah, ketika memasuki mana-mana negeri atau kota atau daerah dalam perjalanan kita bermusafir, antaranya ketika ketibaan di Jeddah:


اَللَّهُمَّ رَبَّ  السَّـمَوَاتِ السَّـبْعِ وَ مَا أَظْلَلْنَ ، وَ رَبَّ الْأرَضِـيْنَ السَّـبْعِ 

وَ مَا أَقْلَلْنَ ، وَ رَبَّ الشَّـيَاطِيْنَ وَ مَا أَضْـلَلْنَ ، وَ رَبَّ الرِّيَـاحِ وَ مَا 

ذَرَيْنَ ، أَسْـأَلُكَ خَيْرَ هَذِهِ القـَرْيَـةِ وَ خَيْرَ   أَهْـلِـهَا ، وَ خَيْرَ مَا فِيْهَا  

وَ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَـا وَ شَرِّ أَهْـلِهَا وَ شَرِّ مَا فِيْهَا


maksudnya: “Ya Allah, Tuhan tujuh petala langit dan apa yang dinaunginya, Tuhan bumi dan apa yang dikandunginya, Tuhan yang menguasai segala syaitan dan apa yang disesatkannya, Tuhan yang menguasai angin dan apa yang ditiupnya, aku memohon daripada Mu kebaikan negeri/kampung ini, kebaikan para penduduknya dan kebaikan yang terdapat di dalamnya dan aku berlindung dengan Mu daripada keburukannya, keburukan para penduduknya serta keburukan yang terdapat di dalamnya..” [1]

Peringatan: Adakalanya urusan imigrasi menjadi “ujian” kesabaran jemaah. Bersabarlah dan harapkan ganjaran Allah serta berdoa supaya dipermudahkan segala urusan. Begitu pula, hendaknya diyakini, setiap ujian pasti ada hikmahnya. WalLahu a‘lam. Diharapkan juga agar kita tidak berlengah, supaya tidak kelewatan. Mulai saat para jemaah melepasi imigrasi masuk negara Saudi, paspot akan dipegang oleh pihak agensi/wakilnya. Bermakna, para jemaah hanya bergantung kepada pas pengenalan mereka yang tertera padanya foto, nama, nombor paspot dan juga penginapan mereka di Madinah dan Mekkah. Pas ini perlu sentiasa ada pada mereka setiap masa mereka keluar daripada hotel.



[1] Sahih di sisi al-Hakim dan adz-Dzahabi (2/100). Kata Ibn Hajar: Hadis tersebut berderajat Hasan.- Takhriej al-Adzkar: 5/154)



 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts