Monday, November 24, 2014

Adat Istiadat Perkahwinan Melayu dalam Penilaian Islam (Bhg.01)

الحمد لله وحده و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه 
أما بعد

Sidang pembaca yang budiman, tulisan bersiri ini bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai perkara yang bersekitar padanya, banyak adat resam Melayu, iaitu Perkahwinan dan segala yang berkaitan dengannya, serta penilaian Islam terhadap semuanya itu.

Telah beberapa kali saya diminta oleh sebahagian teman-teman, terutamanya mereka yang akan melangsungkan perkahwinan, mengakhiri zaman bujang mereka, supaya menerangkan perkara-perkara adat istiadat ini agar dapat mengelakkan segala yang menyelisihi ajaran Islam. Begitu pula, yang mana daripada adat istiadatnya yang dibenarkan Islam.

Selaku seorang muslim, perkara ini perlu diberikan perhatian kerana 2 sudut berikut:

Pertama: Masyarakat setempat, mempunyai adat resam dalam menganjurkan Majlis Perkahwinan, yang terikat dengan Adat Istiadat Melayu. 

Disebabkan bangsa Melayu, umumnya dikenali sebagai beragama Islam, sebahagian Adat ini digabungkan dengan agama sehingga boleh timbul tanggapan, bahawa Islam mengajarkan Adat resam tersebut. Padahal hakikatnya, Islam tidak mengajarkan sebahagian Adat tersebut, malah ada yang mencanggahi Islam atau dilarangnya, meskipun benar, sebahagiannya bersesuaian dengan ajaran Islam. Maka perlu kepada penilaian teliti terhadap setiap satu Adat Resam Perkahwinan Melayu dan penilaiannya dalam Neraca Syari‘at Islam atau penilaian hukum-hukum Islam. Laman sesawang berikut ini membuktikan keberadaan adat resam ini: http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_resam_kahwin_Melayu

Selain itu, cara Majlis Perkahwinan atau Walimatul ‘Urus dianjurkan sekarang, telah berbaur dengan sebahagian Adat Barat, malah beberapa perkara lain yang mencanggahi ajaran Islam.

Kedua: Islam adalah agama yang menyeluruh yang sempurna pada segala sudut keperluan hidup manusia.

Di antara perkara yang diajarkan Islam dan menjadi tuntutan ke atas umat Islam adalah Pernikahan dan segala yang bersekitar padanya. Cukup dengan seseorang menelaah mana-mana Kitab Fiqh yang membahaskan keseluruhan Fiqh Islam (Hukum-hukum atau Perundangan Islam), pasti akan mendapati “Bab Nikah”. Sebagai seorang muslim, kita berkewajipan menjunjung ketentuan Allah dan Rasul sebagai satu amanah yang dilaksanakan. Maka Perkahwinan atau Penikahan yang akan dilangsungkan, perlu menuruti lunas-lunas Islam.

Firman Allah:



Ertinya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”[1]

Maka ayat ini merupakan pernyataan tegas daripada Allah bahawa agama Islam telah sempurna, mencakupi segenap keperluan kehidupan manusia di dunia ini dan balasan baik di Akhirat bagi yang mengikutinya dengan sempurna.

FirmanNya yang lain:



Ertinya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).”[2]

Di dalam ayat tadi, Allah mewajibkan kita selaku kaum Muslimin agar melaksanakan hukum Allah, malah telah Allah tetapkan jalan ugama dan Syari‘at bagi umat ini. Oleh sebab itu, kita tidak dibenarkan mengikuti aturan lain selain aturan agama Allah dalam hal yang disyari‘atkan oleh Allah seperti Pernikahan atau Perkahwinan.

FirmanNya lagi:



Ertinya: “Dan tidak selayaknya bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” [3]

Sebagai hamba Allah yang beriman, kita tiada pilihan dalam menentukan perkara/urusan yang telah Allah tentukan bagi kita, halal adalah halal, haram pula tetap haram, bukannya “biar mati anak asal tidak mati Adat” malah “biar Adat lenyap, demi taati Syari‘at”. Perkara berunsur Syirik, khurafat dan kepercayaan kepada selain yang telah Allah izinkan untuk kita mempercayainya adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Demi memelihara keimanan kita agar ia menjadi iman yang diterima Allah, kita berkewajipan meninggalkan apa jua adat yang menyelisihi ajaran Islam.

Allah telah berfirman:



Ertinya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [4]

_________________________________________

[1] Al-Qur’an; al-Ma-idah: 5:3
[2] Al-Qur’an; al-Ma-idah: 5:48
[3] Al-Qur’an; al-Ahzab: 33:36
[4] Al-Qur’an; an-Nisa’: 4:65
[5] Di antara faktor utama yang menyumbang kepada perubahan dan kurangnya pengamalan adat ini, kemungkinan besar disebabkan “gaya hidup” yang berubah daripada kehidupan suasana kampung dan penerapan nlai-nilai tatasusila dalam kehidupan kejiranan kampung yang umumnya memelihara kesantunan dan tata tertib masyarakat Melayu Islam, yang telah berakar berkurun lamanya, kepada suasana kehidupan bandar yang amat ketara berbeza dengan arus kemodenan yang menghakis nilai-nilai tersebut. Era ini menyaksikan perpindahan daripada kehidupan kampung kepada kehidupan bandar di estet-estet perumahan rumah pangsa, yang menjadikan “kesatuan” masyarakat Islam dan “kejiranan” seagama sukar dipertahankan kerana mereka telah terpisah dan berpencar. Walaupun masih ada pada awalnya, usaha masyarakat untuk meneruskan kegiatan dan pengumpulan maklumat, kerjasama dan bergotong-royong yang menyumbang kepada kesatuan masyarakat Islam. Era tersebut menyaksikan berbagai perubahan ketara baik dalam pengamalan agama, cara berpakaian, bentuk hiburan – misalnya bermulanya kugiran (kumpulan gitar rancak) menjadi popular, kesenangan dalam kehidupan dan kemudahan sara hidup mula meningkat dan sebagainya.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts