Tuesday, November 18, 2014

Fiqh al-Waaqi'_001 (Prolog Penterjemah)




Segala pujian bagi Allah. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad (sollalLaahu 'alaihi wa sallam) serta para Sahabat dan para pengikut baginda.

Buku ini adalah gabungan di antara terjemahan buku Fiqh al-Waqi‘ karangan al-‘Allamah asy-Syeikh Muhammad Nasiruddien al-Albaniy (rahimahulLaah), yang didahului dengan Muqaddimah atau pengantar tulisan Syeikh ‘Aliy bin Hasan al-Halabi dan karya penterjemah berjudul “Gerakan di Balik Tabir”.


Adapun mengenai buku Fiqh al-Waqi‘ tulisan asy-Syeikh, maka ia adalah sebuah karya yang berupaya menjelaskan keadaan semasa umat Islam sedunia dan permasalahannya yang nyata. Pemahaman terhadap erti Fiqh al-Waqi‘ dan sikap yang lahir daripada pemahaman terhadapnya merupakan salah satu permasalahan umat yang perlu difahami dan ditangani secara tuntas.



Melalui kupasan dalil-dalil Syar‘iyah, asy-Syeikh menjelaskan kemelut permasalahan umat dan kedudukan Fiqh al-Waqi‘ di dalam Syari‘at Islam serta huraian terhadap permasalahan tersebut yang menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mengusahakannya iaitu melalui perlaksanaan “at-Tasfiyah dan at-Tarbiyah” (pemurniaan dan pendidikan) Islam yang tulen, asli dan suci sepertimana yang diwariskan oleh Rasulullah (sollalLaahu 'alaihi wa sallam).

Namun sebelum dibaca karya asy-Syeikh al-Albaniy, sayugianya diamati pengantarnya yang telah ditulis oleh murid terkemuka beliau, asy-Syeikh ‘Aliy al-Halabi. Beliau menjelaskan prinsip penting melalui nas al-Quran, yang selayaknya dihayati kaum Mukminien umumnya dan para pendakwah serta ‘ulama’ khususnya iaitu hanya berkata dan mengikuti berdasarkan ilmu. Selanjutnya, kebenaran itu diketahui melalui ilmu, wajib diterima biarpun pahit pada diri peribadi dan meskipun terpaksa menzahirkan kesilapan orang yang dijadikan ikutan ramai.

Seusai pengamatan terhadap tulisan kedua-dua asy-Syeikh yang amat bermanfaat tersebut, penterjemah dengan rendah diri, menempelkan hasil kajian beliau yang serba sederhana yang asalnya merupakan satu tugasan kertas kerja untuk subjek “Dakwah & Ideologi Moden”, ketika menuntut di UKM untuk meraih Ijazah Sarjana, yang diberi judul: “Gerakan di Balik Tabir”.

Penempelan kertas kerja yang telah diolah ke dalam buku Fiqh al-Waqi‘ ini, diharapkan dapat memberikan gambaran lebih jelas terhadap waqi‘ (keadaan semasa) umat manusia sedunia umumnya dan umat Islam khasnya, daripada penilaian peribadi penterjemah. Segala yang dimuatkan adalah hasil tukilan daripada berbagai sumber dan disertakan rumusan peribadi yang ringkas hasil daripada pengumpulan maklumat tersebut. Semoga bermanfaat dan diletakkan oleh Allah, segala usaha kerdil ini; penerbitan buku, pembacaan dan pengambilan manfaatnya, di dalam timbangan amalan baik kita. Amien.

Hamzah @ Ibn Jamak 1 Rejab 1427H/26 Julai 2006
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts