Wednesday, November 19, 2014

Fiqh al-Waaqi'_003 (Kata Pengantar - Syeikh 'Ali Halabi)

Kata Pengantar


إن الحمد لله نحمده و نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و من سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له 

و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له.

و أشهد أن محمدا عبده و رسوله.

أما بعد:

Sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya dan kita berlindung dengan Allah daripada keburukan diri kita dan kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang dikurnia petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkanNya maka tiada yang mampu memberi petunjuk kepadanya.

Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.

Adapun selanjutnya:

Sungguh daripada prinsip-prinsip ilmu, amalan dan tarbiyah (pendidikan) adalah Firman Allah 'Azza wa Jalla:


Ertinya: Dan janganlah engkau mengikut/mengatakan apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan. [1]

Sebab ayat ini menerangkan dasar pendirian yang tepat, lagi berlandaskan Syari‘at, bagi seseorang muslim pada apa jua yang didengarnya, yang dilihatnya dan yang dii‘tiqadkannya (yang menjadi pegangan kepercayaannya); dan segalanya itu  - dengan segala yang terhasil darinya – mesti didirikan atas dasar ilmu dan bukan selainnya…

            Makna ayat tersebut: Janganlah anda mengikuti apa yang anda tiada pengetahuan mengenainya, maka anda tidak akan mengikuti, samada dengan kata-kata atau perbuatan mahupun hati, perkara yang anda tiada pengetahuan tentangnya. Maka Allah melarang kita daripada mengi‘tiqadkan apa-apa pun, melainkan apa yang didapatkan daripada ilmu, tidak pula kita melakukan apa jua amalan, kecuali yang merupakan hasil daripada ilmu, malah tidak pula mengatakan sesuatu tanpa ilmu, bahkan semestinya yang kita katakan adalah apa yang diraih daripada ilmu.

            Justeru, setiap apa yang kita dengarkan, segala yang kita lihat yang mempengaruhi kepercayaan di hati kita, maka hendaknya kita menelitinya, menilaikannya dan bilamana kita telah mengetahuinya dengan bukti keterangannya, barulah kita mengi‘tiqadkannya, mempercayainya. Jika tidak, maka kita tinggalkannya sahaja dalam lingkungan perkara-perkara yang diragui dan disangsikan, kekeliruan ataupun prasangkaan yang tidak diambil kira (di dalam Syari‘at), tidak dinilai dan tidak dii‘tiraf. [2]

            Kesimpulannya, tujuan ayat mulia itu adalah mewasiatkan agar: Jangan mengata manusia atau mengenai susuk peribadi mereka; apa yang anda tidak berpengetahuan mengenainya, sehingga dengannya (mengata tanpa ilmu), anda melemparkan tohmahan yang batil terhadap mereka, mendatangkan persaksian terhadap mereka dengan sesuatu yang tidak benar. [3]

             Betapa indahnya ungkapan Imam yang diteladani, Bakar bin ‘Abdillah al-Muzaniy : Berwaspadalah kamu daripada kata-kata, yang mana, jika kata-kata kamu itu betul, kamu tidak mendapat apa-apa pahala dan seandainya kamu tersilap, kamu akan mendapat dosa; itulah prasangka buruk terhadap saudara seagama mu [4].

            Maka saya katakan: Betapa perlunya kaum Muslimien – hari ini – sedang mereka mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi perkara yang amat besar lagi hebat, untuk mengamati dengan teliti, semua maksud ungkapan yang mulia itu tadi, menetapkannya dalam akal dan hati mereka, segala hukum-hukumnya, baik yang berupa perintah mahupun larangan, pada ilmu dan amalan mereka, bukan sekadar ucapan di bibir sahaja yang dijadikan bahan dendangan (mempermainkannya sahaja) dan yang diulang-ulang sahaja, tanpa ada perlaksanaan berlandaskan kesedaran dan tidak pula mempraktikkannya menurut hak ketentuannya dan kewajipannya!

            Demi perlaksanaan prinsip ajaran al-Quran yang amat penting ini dan sebagai “فقها للواقع” yakni suatu kefahaman yang mendalam terhadap permasalahan semasa (contemporary issues), yang dewasa ini dihadapi kaum Muslimien secara ‘amnya dalam kehidupan mereka dan “para Pendakwah” secara khasnya: Perlu disebutkan gambaran-gambaran (scenario) yang “واقعية” berlaku pada kenyataan hidup yang kita hidup dengannya dan telah menjadi sebahagian hidup kita seharian; yang membuktikan dengan nyata, betapa bercanggahnya di antara perintah al-Quran tersebut dengan apa yang dilaksanakan oleh manusia, supaya kita sama-sama dapat menjauhinya pada diri kita sendiri dan memberi amaran kepada saudara-saudara dan teman-teman serta mereka yang punya hak tanggungannya atas diri kita agar mereka berwaspada, maka saya perjelaskan:

            Seringkali kita mendengar daripada kalangan “para Pendakwah” dan juga “para Pemuda”, mereka yang mengulang-ulangi ungkapan: ...ilmu…. bersangka baik (terhadap sesama Islam) …berlembut dan berlunak … persaudaraan (Islam)…tunduk dengan penuh kepatuhan kepada kebenaran…menjauhi sikap fanatik/ta‘asub…berwala’ (sikap membela) sesama Mukminien…sedia mendengarkan nasihat…menerima dalil…akan tetapi…pada ujian pertama lagi (pada pengamalan dan tindakan) diketahui – dengan sebenar-benarnya – segala ungkapan-ungkapan itu, untuk dijadikan neraca pertimbangan – samada benar – segala seruan dan dakwaan tersebut; anda dapati kebalikan daripada pemahaman (terhadap ungkapan-ungkapan itu tadi) …dengan pertimbangan yang telah berubah malah yang terhasil adalah:

Ilmu yang diserukan ternyata kejahilan…
Bersangka baik berubah kepada lemparan tohmahan
Berlunak bertenang menjadi kekerasan dan tergesa-gesa…
Persaudaraan yang dilaungkan namun hasilnya permusuhan…
Tunduk pada kebenaran dislogankan tapi jadinya penolakan dan bantahan…
Menjauhi fanatik dilaungkan namun praktiknya pelampauan dan keta‘asuban…
Pembelaan Mukminien dihebahkan tapi kebencian dan perseteruan yang diamalkan…
Mendengarkan nasihat digembar-gemburkan tetapi sikap tidak peduli yang dihidupkan
Penerimaan dalil yang dilantangkan tetapi ikutan membuta tuli yang dijadikan pegangan…

…Bagaimana yang demikian itu berlaku! Sedang pada masa yang sama, mereka mendakwa bahawa mereka amat memeliharanya, mempraktikkannya serta lunak dalam bicara dan tindakan!!

…SubhanalLah (Maha Suci Allah)! Segalanya itu berlaku…tanpa ada hujjah yang disebutkan…tanpa dalil yang dijadikan bukti…

            Setiap seseorang yang mengamati “waqi”‘ (keadaan semasa) kaum Muslimien hari ini – bahkan sejak beribu hari yang lalu – akan mendapati bahawa “kebanyakan” daripada mereka amat jauh sejauh-jauhnya daripada apa yang mereka serukan dan dakwakan, keseluruhannya amat menyimpang daripada apa yang mereka dakwakan!

            Daripada perkara yang kena pada tempatnya untuk disebutkan pada kesempatan ini adalah contoh-contoh sebahagian daripada “al-Waqi‘” (kemelut dan keadaan ini – dakwaan/seruan yang tidak dibuktikan dengan perlaksanaan) yang menyedihkan dan pahit ini; meskipun ia terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu luas untuk dibataskan:

Kita perhatikan misalnya – seorang pemuda – ataupun segolongan belia, diperjelaskan kepada mereka sesuatu daripada permasalahan fikrah (fahaman) atau permasalahan dakwah oleh seorang penimba ilmu (pelajar berilmu/pendakwah) …maka jika penjelasan itu bersesuaian dengan apa yang mereka telah “difahamkan secara ikut-ikutan”…secocok dengan keadaan kehidupan yang mereka telah terbiasa dengannya…dan penjelasan itu seperti menyahut kecenderungan mereka yang telah sebati dalam diri mereka dan telah menjadi kebiasaan mereka: maka penimba ilmu/pendakwah tersebut dianggap sebagai seorang saudara sejati yang dihormati, yang ikhlas dan benar dalam kasih sayangnya kepada mereka…

Sekiranya penjelasan anda bercanggahan dengan fikrah (cara pemikiran dan fahaman mereka) ataupun daripada mana-mana sudut perspektif mereka…mereka mula melontarkan ke susuk peribadi mu kata-kata buruk yang paling tercela…melancarkan berbagai serangan berupa tohmahan dengan segera dan bersepadu terhadap diri mu!! Malah kamu akan mendapati bahawa mereka menyebarkannya – tanpa usul periksa – dengan penuh rasa tenang (tidak bersalah)!!!

Contoh lainnya yang “Waqi‘i” (yang benar-benar berlaku) juga:
Sesiapa yang telah ditempatkan – daripada kalangan para Pendakwah atau lainnya – pada fikiran mereka bahawa ia (pendakwah dll) adalah teladan, ikutan dan contoh yang dapat dicontohi serta diambil dan diterima pakai segala kata-katanya; jadilah ia, di dalam akal fikiran golongan yang bersemangat itu, sebagai cahaya penerang di jiwa para penyokong yang beremosi tinggi itu: sebagai petunjuk kepada kebenaran, pada dirinya sendiri (susuk peribadi orangnya sahaja tanpa perlu ada apa-apa bukti, hujjah atau sandaran dalil) dan kata-katanya menjadi dalil kepada segala apa yang semestinya benar dan betul (di sisi mereka)…
 Ini jelas merupakan suatu penyimpangan yang besar tanpa ada keraguan lagi…

Kata mereka – dengan perbuatan mereka (beza dengan slogan/dakwaan mereka) -: Kami “menghormati” “para Pendakwah”… iaitu (pendakwah) yang mereka jadikan ikutan!!  Jangan kalian cuba dekati mereka…dan awas, usah kalian menyanggahi mereka atau membuat teguran terhadap mereka!!      
 
            Ini adalah suatu yang amat pelik…apakah ada seseorang manusia yang bebas daripada sanggahan dan bantahan, selain para nabi صلوات الله عليهم و سلامه !? 

            Seandainya “sebahagian” di antara mereka itu menggantikan – pada keadaan mereka yang amat memilukan itu[5]  – huruf “ra’” dengan huruf “sien” pada perkataan “تقديرهم”: penghormatan (dengan itu menjadi “تقديسـهم” ertinya pendewaan - menggambarkan betapa “penghormatan” yang mereka dakwakan itu sebenarnya adalah “pendewaan”), tentunya itulah sebutan (yakni pendewaan) yang lebih tepat dan bersesuaian dengan keadaan (dan sikap) mereka…[6]

            Betapa tidak, kerana sekadar sanggahan/teguran sahaja terhadap seseorang di antara mereka… walaupun dengan penyampaian yang lunak…tanpa kekerasan… teguran/sanggahan itu – di sisi mereka – adalah satu jenayah yang nyata…perbuatan yang batil yang tidak dapat diterima! 

         Teguran berupa isyarat, kiasan atau bayangan kata…meskipun dengan susunan kata-kata yang lembut…dianggap mereka sebagai pernyataan serangan atau permusuhan yang terang-terangan…dan perlakuan buruk…

            Perbuatan dan pembelaan yang merosak ini diiringi…yang tumbuh daripada keta‘asuban/fanatisme yang keras:  Ombak tohmahan yang datang bertalu terhadap golongan yang tidak bersalah, gelombang demi gelombang peringatan agar berwaspada daripada golongan yang sebenarnya berniat suci malah memutuskan hubungan dengan orang-orang yang dikenali berjiwa bersih dan memiliki ketaqwaan!!

            Saya tegaskan lagi: Inilah kenyataan daripada salah satu sudut al-Waqi‘ (kemelut semasa) yang mencengkam kehidupan – tanpa disedari – ramai daripada kalangan para pemuda yang naif (mentah-naïve-innocent), namun tinggi semangat dan emosi, yang sebenarnya mencintai agama Allah… sewajibnya mereka mengetahui yang sebaliknya…memahami hakikat-hakikatnya demi penyucian jiwa mereka dan kelurusan tindakan mereka, sehingga ikatan kesatuan mereka adalah bermatlamatkan kebenaran, terikat dengannya dan dibina di atas dasar kebenaran juga!  

            Tiadalah tumbuh (dan berkembangnya) segala gejala keburukan itu tadi di kalangan mereka, melainkan disebabkan oleh kekurangan ilmu mereka dan perspektif atau sudut pandangan yang menjurus ke satu arah sahaja (yakni sempit)!!

            Sungguh mereka, saudara-saudara kita yang dikasihi lagi mempunyai kesungguhan yang tinggi itu, jahil ataupun berpura-pura tidak tahu – bahawasanya sanggahan tidak semestinya bermaksud mengecilkan atau menjatuhkan…tidak pula semestinya disertai kebencian ataupun tujuan yang serong dan mengancam…tidak daripada pihak yang membuat sanggahan/teguran/bantahan pada ketika ia menyampaikan sanggahannya dan tidak pula ada pada peribadinya, sifat demikian, hasil daripada tegurannya itu!!

            Ada pula orang yang berdebat dan berbahas ataupun
Bertujuan menyingkap suatu perkara kecil yang belum nyata
            Mereka mengecamnya pada agamanya dan menjadikan
Maruah keperibadiannya sebagai sasaran panahan mata-mata pedang [7]

            Penerangan hakikat Manhaj ‘Ilmiy (prinsip Ilmiyah) yang jitu ini dalam hal penolakan dan penerimaan serta sahutan terhadapnya didirikan atas 2 dasar:

Pertama: Bahawasanya yang menjadi kewajipan setiap muslim adalah ia perlu memiliki “persediaan yang bersifat tetap dan sentiasa untuk mengakui dan memaafkan segala kesilapan dan memperbetulkannya…dan ini tidak dapat disempurnakan kecuali dalam keadaan sekitaran yang gembira dan bersukacita terhadap teguran pembetulan yang benar (terhadap apa jua yang bercanggah dengan kebenaran) dan pada masa yang sama, meninggalkan segala sanjungan/pengagungan yang tidak berbatas terhadap ucapan-ucapan dan tindakan-tindakan (atau perilaku) orang-orang dan jemaah-jemaah tertentu serta senantiasa berusaha gigih untuk meluruskan segala Manhaj (metodologi/prinsip) dan ketentuan pra-syarat gerakan agar bertepatan menurut al-Haq (kebenaran) yang digariskan oleh Syari‘at Allah dan berdasarkan nas daripada al-Quran dan as-Sunnah” [8].

Kedua: “Menganjurkan dan menegah adalah sesuatu yang daruri (amat penting) dalam kehidupan manusia, maka setiap insan di atas muka bumi ini, perlu kepada anjuran dan tegahan, mesti diperintah/disuruh dan ditegah/dilarang; meskipun ia seorang diri sahaja, pastinya ia ada memerintahkan dan menegah dirinya sendiri: samada dengan yang ma‘ruf (kebaikan) ataupun dengan suatu kemungkaran (keburukan)” [9].

Maka tiada seorang pun manusia yang bebas terlepas daripada teguran, bersifat kebal daripada sanggahan dan kalis pembetulan…tiada pula yang mengatasi batas kebenaran…(maka tiada yang above the law of Syari‘ah/untouchable daripada sudut ketentuan Syari‘at - penterjemah).

Inilah Manhaj Keimanan yang benar yang sayugianya menjadi cahaya penerang perjalanan di kalangan saudara-saudara kita (dengan ikatan persaudaraan Islam) dan juga mereka yang mempunyai kesungguhan yang kuat. Begitu juga sehingga terang bersinar di akal dan hati mereka; “Adapun golongan Munafiq pula; maka mereka itu bersatu atas sesuatu yang tidak wujud untuk menyatukan mereka, tidak pula tegak di atas suatu Manhaj yang jelas, malah atas ikutan membuta tuli dan ikutan orang-orang tertentu, sehingga menjadi tidak keharuan keperibadian mereka dan bercelaru, justeru, mereka tidak saling menganjurkan kebajikan dan tidak pula menegah di antara satu sama lain daripada perkara kemungkaran dan tidak pula nasihat-menasihati untuk Allah” [10].

Ini semuanya, baik sekecil-kecilnya mahupun sebesar-besarnya: adalah daripada perkara yang kita tidak restuinya, baik keberadaannya hampir mahupun jauh, pada diri saudara – atau sekalian saudara – umat Islam; yang merangkum kita dan mereka dalam rumpunnya yang umum, apatah lagi, yang secara khusus berpegang dengan fahaman ‘Aqiedah Ahli Sunnah wal Jama‘ah

Selain itu, jika kita perhatikan diri kita – atau saudara-saudara kita – di antara yang menolak/menyanggah dan yang ditolak/disanggah: kita dapati bahawa setiap yang menyanggah daripada pihak ini disanggah pula di pihak itu dan begitulah sebaliknya!!

Maka mengapakah yang ini (ketua/pendakwah pihak A misalnya - penterjemah) tidak diperlakukan seperti yang itu (pendakwah pihak B)?! Mengapa pula yang ini dilayan sedemikian cara, sedang yang itu pula tidak dilayan dengan layanan yang sama?!

Tidakkah Firaq (puak-puak atau jemaah-jemaah) yang dihasilkan oleh “sifat Hizbiyah (berpuak-puak) yang sempit yang telah memecah-belahkan kaum Muslimien kepada kumpulan-kumpulan yang banyak[11]?!  Biarpun ia bersifat perseorangan (seorang diri tapi berpegang dengan pendirian tersendiri yang tidak berlandaskan Syara‘ - penterjemah)!! 

Apakah haram ke atas burung-burung bulbul (nightingale) berhinggap di pepohon yang besar
Padahal halal pula bagi setiap burung dari jenis lainnya!

Teguran dan sanggahan adalah sesuatu yang lumrah bersifat tabi‘i di sisi setiap yang mempunyai pertimbangan yang adil, yang mengetahui kebenaran dengan keterangannya dan kesuciannya…bukan dengan (kedudukan atau pengaruh ataupun pangkat) orang-orang perseorangannya…sebab ia adalah perlaksanaan amalan yang hakiki terhadap kaedah yang mulia yang terang benderang menerangi jalan, yang seringkali kami ungkapkan… dan diulang-ulangi laungannya oleh mereka juga: “Tiada seorang pun, selain Nabi, kecuali pasti kata-katanya diterima ataupun ditinggalkan melainkan Nabi (kata-kata baginda wajib diterima dan tidak boleh ditolak) [12]

Adapun apa yang disalahfahami – atau sengaja disalahertikan – oleh sebahagian pihak bahawa dengan sendirinya, terdapat pada teguran atau sanggahan itu suatu cemuhan dan umpatan[13]!  Sungguh Syeikhul Islam telah menyanggah kekeliruan ini dengan mendedahkan segala kebatilannya – di dalam al-Fatawa: 28/236 -, ketikamana beliau membuat ulasan terhadap perbahasan (bertajuk) sanggahan dan teguran pembetulan adalah daripada ketentuan Syara‘:

“Perkara ini tidak bercanggahan dengan sabda baginda:
Mengumpat itu ialah anda menyebut tentang saudara (Islam) anda, apa yang dibenci atau tidak disukainya”; sebab saudara yang dimaksudkan (di dalam hadis ini) adalah “yang beriman” (mukmin) dan mukmin jika benar-benar telus dalam keimanannya, tentunya tidak akan membenci apa yang anda katakan daripada perkara kebenaran yang dicintai Allah dan RasulNya – meskipun padanya terdapat persaksian terhadap dirinya (dengan sesuatu yang jelek) ataupun kerabatnya -, bahkan ia berkewajipan untuk bersikap adil, dan sekaligus menjadi saksi bagi Allah, walaupun ia terkena pada susuk peribadinya sendiri ataupun kedua ibu bapanya ataupun kerabatnya, maka bilamana sahaja ia (saudara itu) benci kepada kebenaran ini (apa yang diperkatakan daripada persaksian yang benar), maka ia adalah seorang yang lemah imannya atau pada imannya ada kekurangan, sekaligus mengurangkan ikatan persaudaraan menurut kadar iman yang kurang tersebut, maka kebenciannya atau tidak sukanya itu, tidak diambil kira daripada sudut yang mana ia merupakan kekurangan pada keimanannya. Sebab kebenciannya itu, bilamana tidak dicintai oleh Allah dan RasulNya, maka semestinya, didahulukan apa yang dicintai Allah dan RasulNya (daripada apa yang dicintai oleh saudara itu dan malah jika ia membencinya sekalipun), sebagaimana Firman Allah:

Ertinya: …padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya…. [14]
      
            Buku ini – wahai saudara ku, pembaca budiman yang dikasihi – dikemukakan pada waktu ini untuk membantu umat mengetahui suatu hakikat yang terselindung, yang mana mereka telah menyibukkan diri pada perkara lainnya dan malah telah berpaling daripadanya kepada perkara-perkara lain yang kurang penting daripadanya!!

            Yang demikian itu akan menjadi jelas dengan penonjolan 3 dasar utama yang amat penting:

Pertama: Pengetahuan tentang hakikat atau kedudukan sebenar “Fiqh al-Waqi‘” dan sejauh mana ia diperlukan pada hal-ehwal semasa yang kita hadapi pada masa ini, kebaikan dan keburukannya serta bagaimana ia harus diperlakukan? Bagaimana pula kita meraih faedah daripadanya?

Kedua: Penerangan mengenai Manhaj yang wajib diikuti oleh para cendekiawan Islam, ‘Ulama’nya dan barisan para pemudanya serta para Pendakwah; tidak lain dan tidak bukan iaitu Manhaj at-Tasfiyah (Pemurniaan) dan at-Tarbiyah (Pendidikan), yang didirikan atas Ilmu al-Quran dan as-Sunnah berteraskan Manhaj Salaf al-Ummah, mengamalkan segala hukum-hukum yang terhasil daripadanya, yang ditegakkan dengan tenang, bertahap-tahap tidak tergesa-gesa, yang dibina atas persaudaraan yang luhur tulus, jauh daripada semangat kekitaan dalam berpuak-puak atau berkumpulan (atau berjemaah) yang menghasilkan kebencian, permusuhan dan jauh pula daripada sikap fanatik yang membunuh!

Ketiga: Kepentingan perlaksanaan peneguran, sanggahan dan pembetulan, dengan menjelaskan bahawa ia adalah suatu perkara yang lumrah malah dituntut dan diperlukan, akan tetapi hendaknya dengan cara dan tujuan yang baik yang meluruskan!! Betapa tidak, “kerana menjadi kewajipan sesiapa sahaja daripada kalangan muslimien, yang mendapati kesilapan salah seorang ‘ulama’ ataupun Golongan Pendakwah: menegurnya, mengingatkannya dan menasihatinya” [15] tanpa membenci atau membalas dengan yang tidak baik terhadap pihak yang membuat peneguran/sanggahan tidak kira siapa sahaja!! Maka diambil daripada peneguran itu segala kebenaran dan ditinggalkan apa yang bercanggahan dengan kebenaran, sebab Kebenaran itu diketahui dan dikenali dengan segala Dalil-dalilnya, bukan semata-mata Orangnya, siapa yang berkata! Yang demikian tidak mungkin akan berlaku kecuali dengan “melucutkan diri daripada segala sesuatu selain Allah, bersih daripada ikutan hawa nafsu dan berdisplin pada Manhaj” [16]

Adapun kebalikan daripada segalanya itu tadi adalah “Adat kebiasaan Golongan yang lemah akal; mengenali kebenaran dengan orang-orangnya (dilihat siapa yang berkata – penterjemah) dan bukannya mengenali orang-orang berdasarkan kebenarannya” [17] (dikenali berkata benar, kuat hafazan, telus dan tinggi keperibadiannya serta sikap mementingkan keredhaan dan kecintaan Allah dalam penyampaian dan pegangannya daripada apa jua perkara lainnya - penterjemah).

Semoga Allah merahmati Syeikhul Islam Ibn Taimiyah yang telah mengatakan: “Seorang mukmin kepada seorang mukmin lainnya adalah umpama kedua belah tangan; yang satu mencuci bersih yang satu lagi dan adakalanya kotoran tidak dapat dihilangkan kecuali dengan menggosoknya dengan kuat, kasar dan keras, namun itu yang menjadikannya bersih dan licin halus, maka kita pun memujinya atas kekasaran dan kekerasan itu tadi. [18]

Perlu saya bicarakan pada ketika ini; kerana hubungannya dengan suatu permasalahan “Waqi‘iyah” (benar-benar berlaku) daripada berbagai permasalahan dakwah pada jalan Allah, maka saya katakan:
Sungguh saya telah menulis 2 risalah (artikel) [19], beberapa bulan yang lalu dalam Bab Fiqh Dakwah[20] – menurut pandangan ku – kedua-duanya teramat penting – kedua-duanya tidak terkeluar daripada sempadannya yang bersifat umum (tidak dimaksudkan terhadap pihak tertentu) yang berhubungkait dengan kata-kata Syeikh kami -:

Pertama: Berkenaan asas “Fiqh al-Waqi‘” dan penjelasan mengenai kepentingan dan keperluan yang berkait rapat dengannya

Kedua: Perbandingan beberapa “Manhaj Dakwah” semasa dengan Manhaj as-Salaf dengan segala asal ketulenannya dan pemahamannya yang mendalam.

            Sungguh sebahagian di antara Manhaj itu telah ke kiri dan ada pula ke kanan – simpang siur – dengan berbagai dakwaan yang jauh daripada kebenaran…tiada kelurusan lagi tidak berpanduan!!

            Bukannya maksud saya untuk membela diri ataupun mempertahan apa yang telah saya tulis ataupun menonjol-nonjolkan apa yang baik pada kedua-dua tulisan saya itu, akan tetapi memadai di sini untuk saya katakan:

Demi Allah…apa yang saya tulis – apa yang memusykil dan menggugat sebahagian pihak lalu mereka memperbesarkannya – adalah semata-mata sebagai suatu peringatan dan teguran kewaspadaan:

            Peringatan kepada orang-orang yang dikasihi kerana Allah, sebab saya khuatir ke atas mereka bahawa mereka akan mengulangi kesilapan besar yang memalitkan sama yang lainnya (yang belum menyertai mereka), yang mana golongan seperti mereka yang terdahulunya telah terjerumus ke dalamnya serta angkatan yang lalu juga telah tenggelam lemas di dalamnya…yang dengannya terhasil pada diri mereka – kesemuanya – segala sesuatu yang setiap orang yang mengerti, dapat mengetahuinya…dan “orang yang bergembira dengan (kejayaan dan kesejahteraan) adalah orang yang menerima peringatan/nasihat orang lain [21] wahai kaum yang beriman!!       

            Begitu pula sebagai suatu teguran kewaspadaan (agar berhati-hati) daripada orang yang melakukan tipu daya yang secara tahap demi tahap ia memperdayakan – yang tidak dapat dikeluarkan (golongan yang terjerat) daripadanya (lingkaran tipu dayanya itu) dengan setakat penulisan surat/artikel bersifat peribadi (kepada yang membuat tipu daya) ataupun nasihat khusus kepadanya secara perseorangan ataupun percakapan melalui telefon -; yang mana kita tertarik kepadanya tanpa kita sedari, sehingga kita terikut sama dalam keburukan dan sifat keangkuhannya yang degil tanpa kita ketahui…

            Semoga keterangan ini memadai untuk menjadi satu alasan yang dapat diterima daripada diri saya, terhadap apa yang dianggap sebagai kekasaran dan kekerasan (yang ada pada tulisan saya tersebut) lantaran duduk perkaranya yang penting, yang memerlukan demikian…dan (dengan mengambil kira) betapa besarnya bahayanya!!

            …Seandainya saya tidak menemukan seseorang pun yang dapat menerima alasan saya itu – namun tentunya, Insya’ AlLah, ada yang dapat menerimanya – maka Tuhanku Maha Mengetahui apa yang ada pada diriku, Maha Meneliti apa yang tersemat dalam hati ku ini…

Ertinya: Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk? [22]

            Saya mengulangi sekali lagi bahawa apa yang saya tulis di dalam tulisan lainnya[23] …. saya mengulanginya agar difahami dengan sedalam-dalamnya…bukan sekadar bacaan sepintas lalu tanpa pengamatan dan perlaksanaan:

Sebagai tambahan terhadap apa yang telah dikatakan, saya menegaskan – di sini – bahawasanya semua pihak yang kami memperkatakannya ataupun yang kami sebut secara isyarat mahupun tudingan…mereka adalah saudara-saudara kami…dan orang-orang yang kami kasihi…mereka punya hak atas diri kami dan kami juga punya hak ke atas mereka…maka usahlah dipersempitkan dada…dan jangan pula disebarkan prasangka.

…dan hati terbuka untuk menerima nasihat…telinga juga menantikan pedoman…dan Allah Maha Mengurnia Petunjuk ke jalan yang Lurus

            Sekiranya sebahagian di antara mereka enggan menerima dan mengikuti kecuali percakapan orang (bukan dalil-dalil)…tetap meneruskan lemparan anak-anak panah tohmahan, maka saya mengukuhkan pendirian saya bersama mereka yang seperti diri saya dengan ungkapan yang telah diucapkan seseorang pada zaman yang terdahulu:

Lakukanlah amalan yang baik buat diri mu dan usah meraikan
(Dengan) timbulnya bual kosong di kalangan manusia
Kerana tidak dapat diharapkan penyatuan hati-hati manusia,
Pastinya ada sahaja yang memuji mu dan ada yang mengata

            Adapun mereka yang menanti-nanti…mereka yang memangsa di air kotor (menangguk di air yang keruh - penterjemah) meletakkan yang benar bukan pada tempatnya yang selayaknya, mengambil kesempatan bukan pada ruangannya yang betul – seperti golongan sekularisme dan ekor-ekor (para pengikut) siasah perencana yang licik -, maka mereka terlalu kerdil untuk dimasukkan dalam lingkungan yang sama, sekalipun dengan isyarat!! Lantaran tujuan mereka yang terlalu hina dan busuk jijiknya keinginan mereka!!

            Maka tipu daya perencanaan dan ajakan mereka, tidak akan menjadikan kita menolak kaedah/prinsip berpesan-pesan di atas kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran, dalam lingkungan persaudaraan Islam yang telus dan aqiedah yang suci, meskipun adakalanya diselitkan – demi kepentingan yang utama – suatu bentuk kekasaran dan kekerasan! Namun ia masih dikira, di kalangan mereka yang bersaudara dengan persaudaraan aqiedah, “kekasaran seorang yang mencintai dan kekerasan seorang yang menyayangi” [24].

            Kami – walhamdulillah segala pujian bagi Allah – dalam pada kami melaksanakan Kaedah/Prinsip pembetulan yang terang-terangan “Kami tidak fanatik kepada seseorang pun; sebab kami beri‘tiqad bahawa kesemuanya adalah saudara-saudara kami dan kami mencintai mereka kerana Allah dengan menurut kadar pengamalan dan keikhlasan serta kefahaman mereka masing-masing terhadap agama ini; dan ketikamana kami menegur memperbetulkan satu-satu Maslak (ketentuan pra-syarat jalan dakwah/gerakan/jemaah) yang ada pada sebahagian di antara mereka, maka itu tidak bererti bahawa kami berfanatik/berta‘asub kepada apa yang bertentangan dengannya, ataupun untuk mengorbankannya demi meninggikan yang lainnya, ataupun kerana membencinya…Ma‘adzalLah (memohon perlindungan Allah daripadanya); bahkan kami melakukannya kerana Ia adalah hak saudara Islam kami yang menjadi tanggungan kami, bilamana kami dapati ia berhajatkan kepada nasihat dan pembetulan, pelurusan. Kalaulah tidak kerana kami mahukan baginya kebaikan, yang betul dan kejayaan, pastinya kami tidak menasihatinya dan Allah adalah Saksinya dan Dia Sahaja yang Maha Mengetahui segala apa yang ada di dalam dada” [25], “Perselisihan pendapat tidak seharusnya menjadi kutukan dan kemarahan” [26]

            Sungguh, demi Allah, walau seorang pun daripada saudara-saudara kami kalangan para Pendakwah atau golongan Penimba Ilmu apatah lagi Syeikh-syeikh kami daripada kalangan ‘ulama’ – meski apa yang telah tercetus di antara mereka daripada perselisihan dan percanggahan pendapat – ia (seorang saudara) adalah lebih bernilai tinggi di sisi kami daripada golongan yang meyimpang dengan segala penyimpangan mereka!!
Ertinya: Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. [27] 

               …Kini beralih ke tulisan Syeikh kami ini, agar kita dapat minum daripada keluasan ilmu beliau, meraih faedah daripada kedalaman pengalaman beliau dan mengambil manfaat daripada cahaya padangan beliau. WalLahu al-Musta‘an (kepada Allah kita mengharapkan Pertolongan).

Ditulis oleh:
[28] Abu al-Harits al-Halabi al-Atsari  -  أبو الحارث الحلبي الأثري
Isnin, 1 Dzulkaedah 1412H.



[1]  Al-Qur’an; Surah al-‘Isra’: 17:36.
[2]  Usul al-Hidayah: hlm. 97 karangan Ibn BaDies – dengan analisa dan ulasan saya terhadapnya – asy-Syeikh ‘Aliy al-Halabi
[3]  Tafsir at-Tabari: 15/87.
[4]  Riwayat Ibn Sa‘ad (at-Tabaqat: 7/210) dan Abu Nu‘aim (al-Hilyah: 2/226).
[5]  Iaitu sikap mereka yang membela pendakwah atau ketua/mursyid ikutan mereka serta membela para ketua/mursyid itu seolah-olah mereka tidak ada kesilapan dan tidak layak disanggahi atau dibantah atau ditegur.
[6]  Demikianlah hakikatnya yang tidak dapat dinafikan oleh setiap yang berkecimpung dalam “gerakan” haraki dakwah atau jemaah-jemaah. Mereka mempunyai hierachy/tingkatan pangkat dan amalan bai‘at kepada ketua mereka, sehinggakan mereka menyerahkan ikutan dan kepatuhan mutlaq kepada tanziem dan tadbier golongan qiyadah (yang berkelayakan membuat keputusan dan berwenang menentukan hala tuju gerakan dakwah/jemaah), tanpa mereka diberikan ruang untuk “mempersoal” atau “bertanya” samada segala ketentuan itu bersesuaian dengan Syari‘at ataupun tidak. Inikan pula untuk selain anggota jemaah/gerakan, biarpun seorang ‘alim yang terkenal dengan ilmu dan wara‘nya, untuk membuat peneguran atau sanggahan terhadap ketua atau maulana/mursyid ‘am/amir/naqib mereka. Padahal menurut tatasusila dan tanziem mereka: persaudaraan Islam, pembelaan sesama mukmin, mencari kebenaran dan menjayakannya…seringkali diungkapkan dan ditekankan pada ahli-ahli jemaah/gerakan dakwah mereka. Sama halnya dengan golongan yang menganggap “guru mursyid” atau Ayatollah sebagai sumber Syari‘at hukum dan I’tiqad. Tingkatan pangkat atau hierachy mereka ini lebih mirip menyerupai tingkatan “degrees” yang diamalkan Freemasonry jika dibandingkan dengan ajaran Islam – penterjemah.
[7] (Penterjemah: Beberapa baris Sya‘ir nukilan daripada) Al-Badru at-Tali‘: 1/136 karangan asy-Syaukaniy.
[8] Min Wasa-il Daf‘i al-Ghurbah: hlm. 66-67 karangan al-Akh Salman al-‘Audah
[9] Ibid. hlm. 75 (yakni buku: Min Wasa-il Daf‘i al-Ghurbah: hlm. 75 karangan al-Akh Salman al-‘Audah
[10] Ibid. hlm. 78
[11] Luhum al-‘Ulama’ Masmumah: hlm. 23 karangan al-Akh Nasir al-‘Umar
[12] Jami‘ Bayan al-‘Ilmi wa Fadlihi: 2/91 karangan Ibn ‘Abdil Barr.
[13] Sebahagian mereka pula mengatakan: “Golongan Sekularisme telah terselamat! Namun kaum Mukminien tidak terselamat!!”… dan ia adalah kata-kata yang kosong isinya!!! Memadai untuk kita menyanggah pemikiran Sekularisme dengan segala kepincangan Demokrasi Semasa!! Tidak perlu saya perpanjangkan bicara!
[14]  Al-Qur’an; Surah at-Taubah: 9:62.
[15] Nukilan daripada kata-kata asy-Syeikh (Syeikh al-Albaniy – penterjemah hlm. 88) di dalam tulisan ini.
[16]  Imtihan al-Qulub: hlm.50 - al-Akh Nasir al-‘Umar.
[17]  Luhum al-‘Ulama’ Masmumah: hlm. 24.
[18]  Majmu‘ al-Fatawa: 28/53.
[19] Lebih kurang 2 bulan selepas penulisan muqaddimah ini dan pada ketika musim haji tahun 1412H, saya dengar daripada beberapa orang pemuda yang mengatakan bahawa saya telah tarik balik apa yang saya nyatakan dalam kedua-dua risalah tsb!! Sungguh ini adalah suatu yang pelik lagi aneh, tiada satu bahagian apa pun yang benar (daripada desas-desus itu)!!
[20] Kedua-duanya adalah buku kecil yang menyentuh secara umum, tidak pada pihak tertentu ataupun peribadi-peribadi orang tertentu, maka barangsiapa yang keliru punya prasangka yang sedemikian itu, ia telah jauh daripada apa yang benar!
[21]  Imtihan al-Qulub: hlm.50 oleh al-Akh Nasir al-‘Umar.
[22]  Al-Qur’an; Surah al-‘Ankabut: 29:10.
[23]  Buku berjudul: Ru’yah Waqi‘iyah fie al-Manahij ad-Da‘awiyah: hlm. 98.
[24] Ru’yah Waqi‘iyah fi al-Manahij ad-Da‘awiyah: hlm. 28.
[25] Da‘watun ila at-Tafkier al-Manhaji: hlm. 9 tulisan ar-Ruhailiy
[26] Adab al-Khilaf: hlm. 7 – karya asy-Syeikh Salih bin Humayd.
[27] Al-Qur’an; Surah ar-Ra‘d: 13:17.
[28] Beliau adalah di antara anak murid terkemuka asy-Syeikh al-Albaaniy dengan persaksian asy-Syeikh al-Albaaniy sendiri dan murid-murid terkemuka beliau yang lain.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts