Wednesday, November 19, 2014

Fiqh al-Waaqi'_004 (Muqaddimah Syeikh al-Albaaniy)

الحمد لله رب العالمين ، و الصلاة و السلام على سيد المرسلين ، و على آله و صحبه أجمعين
أما بعد:


Segala pujian untuk Allah Tuhan Pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas Penghulu kesemua para rasul dan juga ke atas ahli keluarga para pengikut baginda serta para Sahabat baginda secara keseluruhannya.
Adapun selanjutnya:

Tulisan ini adalah hasil pengumpulan jawapan saya terhadap soalan yang diutarakan kepada saya, sekitar apa yang digelarkan “Fiqh al-Waqic” (فقه الواقع) dan hukumnya serta sejauh manakah ia diperlukan oleh kaum Muslimien, diiringi dengan penjelasan gambarannya dalam penilaian Syar‘iyah yang betul.

Pada asalnya, ia merupakan jawapan secara penyampaian spontan dalam sebuah majlis ilmu daripada sekian banyak majlis-majlis ilmu yang menghimpunkan – walhamdulillah – ramai pemuda-pemuda Islam yang amat mengambil berat terhadap usaha menimba ilmu yang benar, yang ditimba daripada al-Kitab dan as-Sunnah, yang menuruti Manhaj as-Salaf as-Salih; golongan yang merupakan sebaik-baik umat dan yang paling bersih suci.

Kemudian seorang daripada saudara kita – semoga Allah mengurniakan kepadanya balasan yang baik (جزاه الله خيرا) – yang telah menulis semula (transkrip) jawapan saya yang dirakamkan melalui pita rakaman (kaset audio), lalu mengemukakannya kepada saya, lantas saya pun mengemaskinikan transkripsi tersebut, membuat penambahan dan olahan yang perlu agar sesuai diedarkan dalam bentuk tulisan, yang diharapkan akan dapat lebih memperluaskan penyebaran faedahnya dan penambahan manfaatnya – Insya’ ALlah.

Saudara kita yang mulia al-Fadil ‘Aliy bin Hasan (alHalaby) – semoga Allah mengurniakan petunjukNya kepadanya ke arah keredhaanNya – telah mengusahakan penerbitan dan edarannya, setelah beliau membuat salinannya yang asal dengan tulisan tangan beliau, memastikan segala nas-nasnya serta meletakkan prolog (kata pengantar) di dalamnya, semoga Allah mengurniakan balasan baik kepada beliau.

Maka saya memohon kepada Allah agar dijadikan tulisan ringkas ini bermanfaat kepada pembacanya dan para penimba ilmu akan mendapatkan faedahnya, sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Memperkenankan.

Ditulis oleh:
Muhammad Nasiruddien al-Albaniy
Amman
29hb Syawwal 1412H            

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts