Saturday, November 22, 2014

Hukum Wanita Uzur berada di Masjid dan Tawaf tanpa bersuci

Persoalan: Apakah perbuatan Tawaf dalam keadaan haid mencanggahi ajaran Nabi (sollalLaahu 'alaihi wa sallam) atau Tawafnya tidak sah?

Syaikhul Islam al-Imam Taqiyuddin al-Harrani (rahimahulLaah) (wafat 728H), seorang mahaguru kepada beberapa ulama pada zaman beliau, telah ditanya mengenai Tawaf bagi wanita haid, orang yang dalam keadaan junub dan berhadas (kecil), maka beliau menjawab (ringkasan):

Telah jelas sabit bahawa Nabi telah bersabda:
“Wanita haid menyempurnakan keseluruhan manasik kecuali tawaf” 
Dan sabda baginda kepada ‘A-isyah: 
“Lakukanlah segala apa yang dilakukan oleh jemaah lainnya kecuali jangan tawaf keliling Ka‘bah”.
Begitu juga ketika disampaikan kepada baginda mengenai Safiyah (isteri baginda) bahawa beliau kedatangan haid, baginda bertanya:
“Apakah beliau menghambat (lambatkan) kita?” maka disampaikan kepada baginda: Beliau telah selesai Tawaf Ifadah. 
Jawab baginda: “Jika demikian kita tidak dihambat (dengan kelewatan – yakni tak perlu tunggu beliau bersih daripada haid) [1].”

Begitu juga jelas sahih daripada baginda bahawa ketika baginda mengutuskan Abu Bakar tahun ke-9 Hijriyah untuk memimpin kaum muslimin menunaikan haji, baginda memerintahkan beliau agar mengisytiharkan: Tiada seorang pun dibenarkan tawaf dalam keadaan berbogel. Maka tiada satu riwayat daripada seorang Sahabat pun bahawa Nabi memerintahkan orang yang melakukan tawaf agar berwudu’ dan membersihkan diri daripada najis sepertimana Nabi ajarkan dalam hal solat.

Justeru itu, larangan Nabi terhadap wanita haid melakukan Tawaf adalah samada kerana:

(Pertama:) memelihara kesucian masjid iaitu ia terlarang untuk berada tetap di masjid (misalnya; Duduk di masjid) dan tawaf ada ciri “berada tetap” di masjid. Ataupun secara umumnya ia terlarang daripada memasuki masjid tidak kira samada sekadar melintas lalu atau berada tetap di dalamnya.

(Kedua:) ataupun tawaf itu sendiri terlarang ke atas haid sebagaimana halnya solat dan puasa yang terlarang ke atasnya dengan ijma‘ - kesepakatan ulama - serta larangan menyentuh Al-Quran di sisi kebanyakan ulama. Begitu juga pembacaan Al-Quran di sisi sebahagian ulama…

(Ketiga:) ataupun kerana kedua-duanya sekali (kesucian masjid dan tawaf itu sendiri) secara berasingan (maknanya terlarang kerana salah satu) ataupun secara bergandingan (yakni kerana kedua-duanya secara serentak) yang mana pada keadaan ia tidak bergandingan, ia tidak terlarang.

Seandainya larangan tersebut kerana sebab yang pertama (kesucian masjid) maka ia tidak terlarang ketika darurat kerana keberadaannya di masjid itu semata-mata kerana darurat adalah diharuskan, misalnya khuatir dibunuh jika tidak masuk ke dalam masjid…tiada tempat berteduh kecuali masjid.

Telah jelas sabit daripada Nabi di dalam Sahih Muslim dan lainnya daripada ‘A-isyah katanya: Rasulullah bersabda: Ambilkan khumrah/sejadah ku yang ada di dalam masjid. Jawab ku: Saya sedang haid. Jawab baginda: Haidmu itu bukan ada di tanganmu.

Daripada Maimunah, isteri Nabi , katanya: Adalah sesuatu yang lumrah baginda berbaring meletakkan kepala di riba seseorang kami (isteri-isteri Nabi) sambil membaca Al-Quran sedang isterinya itu dalam keadaan haid dan biasa juga seseorang di antara kami membentangkan sejadah baginda di masjid sedang ia dalam keadaan haid – diriwayatkan oleh an-Nasa-i.

Abu Dawud pula telah meriwayatkan…sabda Nabi
Aku tidak menghalalkan masjid bagi orang junub dan wanita haid.

Diriwayatkan (juga) oleh Ibn Majah daripada hadis Ummu Salamah. Kedua-dua hadis ini (Masjid tidak halal bagi junub…dalam riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah) diperbahaskan oleh ulamaa (sebagai riwayat-riwayat yang lemah).

Kerana itulah kebanyakan ulama seperti Imam asy-Syafi‘ie , Imam Ahmad dan lainnya membezakan di antara melintas lalu dalam masjid dengan berada tetap dalam masjid sebagai penjelasan yang memadankan di antara hadis-hadis tersebut, manakala sebahagian ulama lainnya mengharamkan kedua-duanya ke atas wanita haid, baik berada tetap atau sekadar melintas di dalam masjid seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik

Pendapat Imam Ahmad dan yang lain, (iaitu mengenai) keberadaan di dalam masjid bagi sesiapa (yang junub/haid) yang berwudu’[2]…sebagaimana (yang mereka – para Sahabat - fahami daripada ajaran Nabi) yang mana Nabi memerintahkan agar orang yang junub berwudu’ dahulu (jika belum mahu mandi hadas) sebelum tidur, untuk makan dan minum serta jika mahu mengulangi jima‘. Ini menunjukkan bahawa jika ia berwudu’, junubnya terangkat daripada anggota-anggota wudu’nya, walaupun bahagian tubuhnya yang lain masih junub. Inilah pendapat Jumhur (kebanyakan) Ulama, yakni junub boleh terbahagikan (yakni seluruh tubuh berhadas ataupun sebahagian tubuh sahaja yang masih berhadas kerana telah berwudu’ tanpa mandi hadas)…

Demikian (kemudahan/keringanan yang diberikan) bagi mereka (yakni para Sahabat, untuk berada di dalam masjid dengan hanya berwudu’) yang junubnya bersifat berkala – yakni kaum lelaki, adakalanya mereka junub dan adakalanya tidak – dan ini berbeza dengan keadaan wanita yang haid, yang mana keadaan junubnya bersifat tetap, sehinggalah berhenti tempoh haidnya, maka dengan sendirinya ia layak mendapat keringanan atau dimaafkan/diharuskan untuk tidur, makan di dalam keadaan haid serta begitu pula untuk berada di masjid bilamana ia berhajatkan segalanya itu.

Sebab itulah, pendapat yang nyata lebih tepat adalah pendapat yang tidak melarang wanita haid membaca Al-Quran bila ia berhajatkannya sesuai dengan Madzhab Imam Malik , salah satu pendapat dalam Madzhab asy-Syafi‘ie dan disebutkan satu riwayat daripada Imam Ahmad (bahawa beliau berfatwa) demikian kerana ia berhajatkan kepada pembacaan Al-Quran dan ia tidak mampu untuk bersuci, seperti yang mampu dilakukan oleh orang (lelaki) junub, meskipun hadas (haid)nya bersifat lebih berat daripada hadas orang junub, daripada satu segi iaitu ia dilarang berpuasa…dan dilarang solat…benar demikian, namun, bilamana hukumnya lebih berat maka dengan itu, untuk ia mendapat keringanan ketika darurat adalah lebih utama[3], sebagaimana perkara-perkara yang diharamkan lainnya yang diharuskan sekadar ketika darurat; (seperti) darah, bangkai, daging babi, padahal apa yang kurang berat (yakni lebih ringan) hukum haramnya, (tetap) tidak diharuskan ketika ada hajat kepadanya seperti memakai sutera, minum di dalam bejana emas dan perak dan sebagainya…

Jika seandainya diharuskan bagi orang junub untuk berterusan di dalam keadaan junub ketika ia tidak mampu mandi atau tayammum, maka keadaannya sama seperti wanita haid dari sudut keringanannya, biarpun hal ini jarang-jarang berlaku (junub berterusan tidak mampu mandi).

Nabi juga telah memerintahkan agar wanita haid keluar bersama jemaah yang menunaikan Solat Hari Raya, berdoa dan bertakbir dengan bacaan takbir mereka. Begitu juga wanita haid dan nifas diperintahkan oleh Nabi agar berihram dan bertalbiah, berzikir dan berdoa di Arafah, melontar Jamrah dan lain-lain lagi. Itu semua tidak makruh bahkan ada yang wajib atas diri wanita tersebut. Berbeza dengan hukum makruhnya orang junub untuk melakukan demikian selama ia belum mandi hadas sedang ia ada kemampuan untuk bersuci berbeza dengan wanita haid (disebabkan haidnya yang bersifat tetap sehinggalah berakhir tempoh haidnya).

Maka ini adalah satu kaedah yang penting dalam masalah-masalah seperti ini lagi bermacam ragamnya. Keburukan pada sesuatu yang terlarang perlu dipertimbangkan juga dengan kadar hajat yang menjadikannya diharuskan, atau digalakkan bahkan adakalanya diwajibkan.

Setiap sesuatu yang menjadikan solat haram dilakukan, boleh juga menjadikannya wajib dilakukan jika ada hajat kepadanya dan ia lebih ringan daripada meninggalkan solat. Solat yang dilakukan dengan tayammum sedang ia ada kemampuan menggunakan air adalah haram dan bilamana ia tidak mampu menggunakan air, solat dengan tayammum menjadi wajib…dan sebagainya yang mana asalnya haram solat, tetapi menjadi wajib bila ada hajatnya. Begitu pula makan bangkai, darah dan daging babi adalah haram ke atas yang tidak memerlukannya dan menjadi wajib ketika darurat, di sisi Imam 4 Madzhab dan Jumhur…

Maka sebab wanita dilarang bertawaf adalah kerana kesucian masjid, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian Ulama Madzhab Hanafi kerana Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa Bersuci adalah wajib (untuk bertawaf) bukan fardu atau syarat sah. Alasan ini (kerana kesucian masjid sahaja) bersesuaian dengan pendapat yang menyatakan bahawa Tawaf tidak terlarang ke atas orang yang berhadas dan ia adalah pendapat (Imam-imam) Mansur bin al-Mu‘tamir , Hammad bin Abi Sulaiman yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad : Aku telah bertanya kedua-dua Imam (ini) tentang orang yang tawaf dalam keadaan tidak berwudu’, maka mereka mengatakan tiada salahnya.

Ada riwayat lain daripada Imam Ahmad bahawa beliau lebih suka jika orang berwudu’ untuk bertawaf namun tidak wajib dan bukan syarat dengan mengatakan: Tawaf adalah solat…Namun solat dan tawaf ada perbezaannya iaitu diperbolehkan bercakap-cakap, makan dan minum ketika tawaf, berbeza dengan solat…tawaf hanya boleh dilakukan sekeliling Ka‘bah berbeza dengan solat…kita diperintahkan berhias diri (memakai pakaian yang terbaik) ketika solat, sedang tawaf tidak demikian (adakalanya dalam pakaian ihram)…

Maka bilamana telah difahami demikian yang dijelaskan oleh para ulama tersebut maka tawaf bagi orang yang junub dan haid adalah dibolehkan ketika darurat…

Wallahu a‘lam.

____________________________________________

[1] Di antara pengajaran hadis Safiyah ini adalah; i. Zahirnya, wanita haid tidak boleh tawaf itulah maksud Nabi jika Safiyah haid sebelum sempurnakan Tawaf Haji/Ifadah, maka Nabi tidak dapat berangkat pulang ke Madinah demi menantikan Safiyah bersih daripada haid untuk sempurnakan Tawaf Hajinya ii. Wanita Haid digugurkan daripada tuntutan melaksanakan Tawaf Wida‘ jika telah sempurnakan Tawaf Haji.

[2] berdasarkan riwayat adanya Sahabat yang berada di masjid dalam keadaan junub setelah berwudu’ sahaja tanpa mandi – bermakna masih berhadas besar.

[3] Ilmu Qawa‘id Fiqhiyah dan Usul Fiqh dengan aplikasinya yang tepat dapat memahamkan kita maksud Imam ini.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts