Wednesday, March 11, 2015

ISIS (Islamic State Iraq Syria) - Pendirian Ahli Sunnah Terhadap Mereka


Soalan:

Saya ingin tahu mengenai kumpulan ISIS yang sekarang ini banyak diperkatakan berbagai pihak. Apakah mereka berjihad atas kebenaran? Ada pula pihak yang membuat kenyataan bahawa mereka ini Salafi. Pendek kata macam-macam yang diperkatakan orang. Saya ingin tahu apakah pendirian yang selayaknya ada pada kita dalam menghadapi isu ini?

- Haji Muhammad Ali (Melbourne)

Jawapan:

بسم الله و الحمد لله وحده و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه
أما بعد،

Pertama sekali, saya mengajak kita semua sidang pembaca, bersyukur kepada Allah kerana kita dalam keadaan aman dan dapat meneruskan kehidupan kita seperti biasa bersama keluarga kita, mencari sara hidup, kebanyakan kita cukup makan minum, dapat melakukan ibadah dan dapat menghadiri kelas-kelas pengajian agama dan lain-lain lagi dalam keadaan aman. Walhamdulillah.

Tetapi keadaannya amat berbeza bagi sebahagian saudara-saudara Islam kita di belahan bumi yang lain. Walau bagaimanapun, Allah akan menjadikan kita diperhitungkan terhadap setiap ni‘mat kurniaanNya yang kita kecapi. Begitu pula, ia juga menjadi satu bentuk ujian, apakah dengan kesenangan yang kita ni‘mati kita mengabaikan kesyukuran kita kepadaNya dan jalannya kita membuktikan kesyukuran kita adalah dengan sentiasa mencari keredhaanNya, mengatasi keredhaan sesiapa pun selain keredhaanNya, sedangkan keredhaanNya tidak mungkin dapat kita mencapainya sehingga kita menuruti panduan yang telah diturunkan olehNya yakni al-Qur’an dan tunjukajar RasulNya, Muhammad (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) serta ikutan pedoman para Sahabat baginda, selaku golongan manusia yang telah diredhai Allah dengan pasti.




FirmanNya (‘azza wa jalla):



Ertinya: “Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!” [1]






Ertinya: “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” [2]





Ertinya: “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" (para Sahabat), dan orang-orang yang menuruti (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia telah sediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” [3]



Benar sebagaimana yang Tuan Haji gambarkan, terlalu banyak yang diperkatakan berbagai pihak sehingga kita menjadi kebingungan jika kita mempercayai setiap pihak berkenaan kedudukan kumpulan ini. Apatah lagi kita tidak berada di sana untuk menyaksikan sendiri, hanya mendengarkan khabar dan berita mengenai mereka.


Ikuti GarisPandu Ajaran Ahlis Sunnah

Namun, kita yang ingin mengikuti pedoman dan ajaran Ahlis Sunnah wal Jamaah, Islam yang asal dan tulen sejati, ajaran Rasulullah dan para Sahabat serta para Imam yang diteladani, golongan Salafussolih, segalanya berpandukan panduan yang telah dijelaskan, tidak akan menjadi kebingungan lagi dan mendapatkan jalan terang biar bagaimanapun bercelarunya maklumat yang kita terima. Semuanya kerana demi mencari keredhaan Allah dan mengikuti jalan yang diredhai Allah, kita ada garispanduan dan mempunyai sikap yang tepat, ajaran Ahlis Sunnah yang sebenar. Ia menjadi kayu ukur penentu bagi setiap golongan yang mengaku Islam dan mengatasnamakan apa jua amalan, pendirian, pegangan serta sikap mereka atas nama Islam.

Bilamana perkara-perkara yang disebutkan itu tadi bersesuaian panduan Ahlis Sunnah wal Jama‘ah maka itulah ajaran Islam yang tulen dan asal. Sementara mana-mana sahaja daripadanya yang mencanggahi ajaran Ahlis Sunnah, maka ia adalah penyelewengan semata-mata yang diatasnamakan Islam. Dengannya nama Islam diburukkan oleh umat Islam yang melakukan demikian, malah ajaran Rasulullah yang tulen dicemari dengan penyelewengan tersebut.

Allah Jalla wa ‘Alaa telah mengingatkan kita:



Ertinya: “Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.” [4]

Oleh itu, usahlah sampai kita menghukum salah atau menyeleweng tanpa bukti dan tidak pula menyokong membenarkan kebatilan dan golongannya tanpa keterangan. Semuanya dikembalikan kepada dasar-dasar dan garispanduan ajaran Ahlis Sunnah.

Setelah menjelaskan garispanduan penting itu tadi, kini kita nilaikan kedudukan golongan ini berdasarkan apa yang dikatakan sebagai perbuatan mereka daripada beberapa saksi dan penjelasan sebahagian ‘ulama’ mengenai mereka.


Golongan Yang Memesongkan Maksud Ayat-Ayat al-Qur’an Daripada Maknanya Yang Sebenar

Ahlis Sunnah adalah golongan yang sentiasa kembali kepada penjelasan Allah dan RasulNya, kemudian pedoman para Sahabat dan setelah itu, panduan ‘Ulama’ yang mewarisi tunjukajar para Sahabat.

Maka Tuan Haji yang saya muliakan dan kasihi, begitu juga sidang pembaca yang budiman yang mencari kebenaran, apa yang saya utarakan bukan dari diri peribadi saya yang tidak cukup kelayakan untuk menjawab soalan seperti ini, jika dari pandangan saya secara peribadi, tetapi inilah garispanduan sedia ada berdasarkan penjelasan, pedoman dan panduan itu tadi.

Allah berfirman:



Ertinya: “Dia lah (Allah) yang telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); yang merupakan ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbul-lah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” [5]

Maka pada zaman penuh fitnah dan kekeliruan ini, kita sememangnya perlu sentiasa berdoa agar dikurnia Petunjuk Allah seperti yang Allah ajarkan dalam ayat tadi.

Rasulullah (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) telah memberikan panduan kepada kita, mengenali golongan yang memesongkan maksud ayat-ayat al-Qur’an daripada maknanya yang sebenar.

Al-Imam Ahmad meriwayatkan di dalam Musnadnya, bahawa Ummul Mukminin ‘A-isyah meriwayatkan: Rasulullah (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) membaca ayat ini; “هو الذي أنزل عليك الكتاب...” sehingga “أولوا الألباب” lalu baginda bersabda menerangkan:

“فإذا رأيتم الذين يجادلون فيه، فهم الذين عنى الله فاحذروهم” ertinya: “Apabila kamu melihat golongan yang memperdebat mengenainya maka mereka itulah yang Allah maksudkan maka berwaspadalah terhadap mereka” maksud memperdebat adalah menyalahgunakan ayat-ayat tersebut dan melakukan tafsiran yang menyeleweng, Wallahu a‘lam.

Imam al-Bukhariy juga telah menyebutkan riwayat hadis yang serupa dalam pentafsiran ayat ini (Kitab at-Tafsier dalam kitab Sahih al-Bukhariy) dan begitu juga Imam Muslim dalam kitab “al-Qadar – Taqdir” (dalam kitab Sahih Muslim) dan Imam Abu Dawud juga meriwayatkannya dalam kitab “as-Sunnah” dalam kitab Sunan beliau daripada ‘A-isyah bahawa Rasulullah membaca ayat ini; “هو الذي أنزل عليك الكتاب...” sehingga “أولوا الألباب” lalu bersabda:

“فإذا رأيت الذين يتبعون ما تشابه منه ، فأولئك الذين سمى الله فاحذروهم” ertinya: “Apabila anda melihat golongan yang mencari-cari ayat-ayat yang Mustasyaabih, maka merekalah yang Allah sebutkan maka berwaspadalah terhadap mereka” Ini adalah lafaz periwayatan al-Bukhariy.[6]

Daripada ayat itu tadi digandingkan dengan pentafsiran dan penjelasan baginda (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) terhadapnya, kita telah mendapatkan panduannya, antara lain, golongan yang menyeleweng adalah golongan yang mencari-cari ayat-ayat al-Quran, bukan untuk mendapatkan panduan dan petunjuk, sesuai ajaran Allah, RasulNya dan para Sahabat, tetapi menjadikan ayat-ayat itu, Firman-firman Allah yang Maha Agung, sebagai hujjah untuk menegakkan tafsiran menyeleweng mereka, membela kebatilan mereka, menyokong amalan dan tindakan sesat mereka.


Ciri-Ciri ISIS Serupa al-Khawarij

Kalau kita teliti sabda-sabda Rasulullah (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) berikut, sungguh kita dapati, ia amat bersesuaian dengan ciri-ciri golongan ISIS, ciri-ciri yang sama yang ada pada al-Khawarij[7].


Di antara hadis-hadis tersebut:

“Mereka menjadikan solat kalian tampak serba kekurangan (atau remeh) dengan bandingan solat mereka dan puasa kalian (para Sahabat pun kelihatan tiada apa, dibandingkan) dengan puasa mereka, mereka membaca al-Quran tidak sampai ke kerongkongan mereka, mereka meluncur keluar dari Islam seperti (pantasnya) anak panah meninggalkan busurnya”[8]

Dan dalam satu riwayat yang lain:


“Mereka membunuh (memerangi) Umat Islam dan meninggalkan (tidak memerangi) umat penyembah berhala, mereka meluncur keluar dari Islam seperti (pantasnya) anak panah meninggalkan busurnya”[9]


“Akan muncul pada akhir zaman, kaum muda belaka, orang-orang bodoh berangan-angan tinggi, mengambil slogan mereka dari kata-kata manusia yang terbaik, membaca al-Quran, tidak sampai ke kerongkongan mereka, meluncur keluar dari Islam selaju anak panah daripada busurnya, jika kamu berjumpa mereka, perangilah mereka, kerana pembunuhan mereka bagi kamu ada ganjaran yang besar di sisi Allah pada Hari Kiamat.[10] Di dalam riwayat lain dengan penambahan, sebagaimana yang disebutkan oleh Anas: tanda mereka bercukur kepala”[11]

Kaum ini mula muncul pada zaman Sahabat, mengkufurkan Sahabat, menghalalkan darah muslimin dan mencetuskan bala atas umat. Bilamana baginda (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) menyatakan bahawa mereka muncul pada akhir zaman, maka berulangnya kemunculan mereka yang sama ciri-cirinya dengan kaum al-Khawaarij yang muncul pada zaman Sahabat (sekitar tahun 37Hijriyah), tidak mustahil. Malah itulah yang difahami oleh ‘ulama’.


Rasulullah (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) juga telah bersabda “Kepala kekufuran dari arah Timur…”[12]


Ibn ‘Umar telah menyampaikan: Nabi (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) berdiri di sebelah mimbar menyampaikan: “Fitnah di sini, di mana terbitnya Tanduk Syaitan (atau Tanduk Matahari)”[13]


Ibn ‘Umar juga telah meriwayatkan sabda Nabi: “Ya Allah berkatilah kami di Syam, Ya Allah berkatilah kami di Yaman.” Ya Rasulullah, Najed? “Di sana berlaku banyak gegaran dan Fitnah dan munculnya Tanduk Syaitan” (HR al-Bukhariy)


Kata Imam al-Khattabi rahimahulLaah (wafat: 388H) : Najed dari arah Timur, maka sesiapa yang berada di Madinah, maka Najednya adalah kawasan persisiran Iraq dan sekitarannya, asal makna perkataan Najed adalah dataran tinggi…” (Fath al-Bari: 13/47)

Maka Iraq adalah arah Timur Madinah.

Inilah pemahaman Imam besar Salim bin ‘Abdillah bin ‘Umar bin al-Khattaab (cucu ‘Umar bin al-Khattab) [14]. Ketikamana orang-orang Iraq melakukan Haji datang ke Madinah, beliau berucap menyampaikan kepada mereka: “Wahai Ahli Iraq, aku telah mendengar bapa ku meriwayatkan, Rasulullah (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) bersabda: Sesungguhnya Fitnah itu dari arah ini, mengisyaratkan dengan tangan baginda ke arah Timur, dan kamu sekarang ini berbunuhan sesama sendiri.” (HR Muslim)

Oleh itu, Iraq-lah yang Rasulullah (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) maksudkan dengan Najed, ia suatu sifat daripada sudut bahasa, “dataran tinggi” bukannya Najed yang dikenali sekarang di daerah di Arab Saudi, seperti yang disalahertikan oleh sebahagian umat Islam.

Bilamana telah jelas Iraq (dan dahulu Iraq dan Iran adalah satu daerah keseluruhannya dikenali sebagai Iraq), kemunculan puak ISIS ini di Iraq, menepati satu ciri yang Nabi (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) telah beritakan[15].


Tambahan pula mereka mempunyai ciri-ciri lainnya yang pada al-Khawaarij.


Paparan video ini, yang memuatkan penjelasan seorang Ustaz, yang pernah menjadi tawanan ISIS, beserta “captions” atau ulasan pihak yang memuatnaikkan (upload) video ini, yang saya setujui ulasan-ulasan beliau terhadap “pandangan” Ustaz ini, kerana berbeza dengan Ustaz ini, mereka tidak dapat dikatakan “baik”. Tujuan saya memaparkannya adalah untuk memberikan kita pengenalan kepada ciri-ciri ISIS dan bersesuaiannya ciri-ciri mereka dengan puak Khawaarij, golongan yang menyimpang daripada asal ajaran Rasulullah, mencanggahi ajaran Salafussolih, ajaran agama Islam yang asal dan tulen. Sebagaimana pihak yang memuatnaikkan video ini telah menyatakan, bukan untuk mencemuh Ustaz yang menyampaikan, pada masa yang sama pula menyatakan tidak setuju pada sebahagian yang beliau simpulkan dan lebih bermaksud memberikan gambaran jelas dan keterangan bukti bagi ciri-ciri golongan ISIS.

http://www.youtube.com/watch?v=-ydw4vddrco


ISIS Salafi?

Justeru itu, bagaimana mungkin mereka ini layak digelarkan “Salafi”, jika yang dimaksudkan dengan gelaran itu, mereka adalah pengikut setia Salafussolih? Sebagaimana juga gelaran yang mereka pergunakan “Islamic State” bilamana mereka yang belum berkuasa penuh, telah melakukan berbagai kezaliman yang tiada mencerminkan Daulah Islamiyah sebenar seperti yang ditegakkan Rasulullah, tidak pula yang diperluaskan daerahnya oleh para Sahabat? Apatah lagi pada dasarnya lagi, mereka tiada ‘ulama’, tiada panduan ilmu. Meskipun al-Fadhil Ustaz ada menyebutkan “cintanya ISIS kepada Sunnah”, namun pemahaman yang menyimpang terhadap Sunnah dan mengambil sebahagian sahaja daripada Sunnah adalah amat merbahaya. Penyimpangan mereka adalah bukti nyata, bilamana terkeluar daripada ajaran Ahlis Sunnah. “Sunnahnya” mereka kerana ketiadaan dan kecetekan ilmu, menjadikan mereka sangka diri atas kebenaran dan begitu pula sebahagian umat Islam dan lainnya dikelirukan.

Penggunaan istilah-istilah seperti ini, hanyalah untuk mengelirukan umat Islam sendiri dan yang lainnya. Membina pemahaman yang menyimpang dan menerbitkan salah tanggapan terhadap Islam dan sebahagian umatnya malah terhadap asal ajaran Rasulullah. Tidakkah kita tahu apa yang dilakukan oleh Rasulullah ketika Pembebasan Kota Mekkah – al-Fath – pada Tahun 8 Hijriyah? Dengan merendah diri, memuji dan mengagungkan Allah serta memohon AmpunanNya, baginda (sollalLaahu ‘alaihi wa sallam) memasuki Mekkah tanpa pertumpahan darah dan dengan memaafkan kaum yang telah melakukan berbagai bentuk kezaliman terhadap baginda dan para Sahabat, ketika mereka dahulunya berkuasa.


Ciri-Ciri ISIS Yang Lain


Kembali kita membicarakan mengenai ISIS dan ciri-ciri mereka:

- Menolak ‘ulama’ seolah-olah mereka yang lebih berilmu

Malah diketahui daripada peribadi seperti Osama bin Laden dan lainnya yang menggelarkan ‘ulama’ terbilang yang mulia sebagai “‘Ulama Haidh dan Nifas” yakni mereka tidak “berjihad” dan berbicara tentang hukum-hukum semata-mata antaranya yang berkaitan wanita, ketikamana mereka dinasihati ‘ulama’ tersebut. Atau “‘Ulama pangkat dan keduniaan”. Memperkecil ‘ulama’ dan tidak mengambil nasihat dan teguran daripada mereka kerana sikap mereka yang demikian itu terhadap ‘ulama’. Walhal, di sisi Ahlis Sunnah wal Jama‘ah, sebagaimana yang ada di dalam riwayat yang Sahih, ‘Ulama’ adalah pewaris Anbiyaa’ (para Nabi), iaitu ‘ulama’ yang ajarannya merupakan penegasan dan penyampaian lanjut, apa yang pada dasarnya adalah ajaran Nabi, bukan yang mengada-adakan fahaman dan amalan rekaan baru yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah.

- Mentafsir al-Qur’an menurut fahaman mereka

Begitu juga as-Sunnah, malah keseluruhan ajaran Islam. Maka jika ada yang mereka lakukan yang bersesuaian dengan Sunnah, maka itu tidak menjamin “kebenaran” mereka dan tidak pula, umat Islam lainnya yang mengamalkan Sunnah Nabi, boleh digolongkan dalam kumpulan mereka. Misalnya, pemeliharaan janggut. Apakah dengan mereka menyimpan janggut, jadinya sesiapa daripada umat Islam yang memelihara janggut dianggap bersetuju atau menyokong mereka? Kalau begitu, kalangan Mufti dan Mantan Mufti, Asatizah, para pensyarah Universiti malah ‘ulama’, para Habib, Maulana, Syeikh-syeikh dan sesiapa sahaja dianggap sebagai penyokong mereka atau bersetuju dengan mereka semata-mata kerana memelihara janggut? Apakah jadinya sesiapa sahaja termasuk golongan bukan Islam yang berjanggut berfahaman seperti mereka atau dianggap “pelampau”? Jika asal ada janggut sahaja pelampau maka dengan itu “Confucius” dan golongan cerdik pandai berbangsa Cina zaman silam dan masyarakat sedunia yang menganggap memelihara janggut suatu yang terpuji bagi kaum lelakinya, semuanya “pelampau”. Malah, sebaliknya pula, betapa ramai golongan pelampau yang tidak memelihara janggut? Sila lihat:

http://en.wikipedia.org/wiki/Beard

Maka begitu juga dengan kesungguhan mereka merapatkan saf, cinta mereka kepada Sunnah dan jauh daripada amalan bid‘ah seperti berdzikir bergoyang-goyang (walhal fahaman dan I’tiqad mereka yang banyak persamaan dengan Khawaarij adalah bid‘ah besar yang ada pada mereka) yang Ustaz tersebut sebutkan, tidak dengannya kita jadikan ukuran setiap Muslim pencinta Sunnah adalah sefahaman dengan mereka. Bagi umat Islam, pelampauan diukur dengan pelampauan tidak mengikut batas-batas al-Qur’an dan as-Sunnah serta ajaran para Sahabat. Apa yang mencanggahinya adalah pelampauan di dalam Islam.

Seperti halnya sebahagian umat Islam yang melampau, menjadikan pakaian rasmi kumpulan mereka “berjubah dan berserban” malah guru mereka pula “bertongkat” dengan hujjah, pencinta Sunnah Rasulullah. Pernah berlaku di Nusantara, pelampauan mereka dalam bentuk fanatik kepada guru dan kumpulan mereka, menjadikan mereka suatu ancaman kepada kestabilan dan keamanan negara, Negara Malaysia, iaitu Jemaah al-Arqam. Apakah dengan itu, setiap orang yang serbannya mirip serban mereka, atau jubahnya begitu, dianggap anggota kumpulan mereka? Apakah juga dengan “nama” mereka al-Arqam, Persatuan Darul Arqam yang menguruskan kemasukan saudara baru Islam ke dalam Islam dan kebajikan serta pendidikan mereka, dikira “ada kena mengena” dengan Jemaah tersebut?

Dalam kes ISIS, apakah setiap kereta yang menampal pelekat kalimah “Laa ilaaha Illa Allaah Muhammad Rasulullaah” dikira penyokong mereka? Begitu pula dengan mengibar bendera hitam, apakah mereka layak dianggap tentera al-Mahdi, sedangkan mereka berbuat kezaliman berbeza dengan Imam al-Mahdi yang akan menegakkan keadilan? Sebagaimana peringatan daripada Allah tadi, dalam ayat yang saya sebutkan (Surah al-Israa’ ayat 36) “stereotyping” dan “assumption” yakni “memasukkan dalam sau golongan” atau “membuat kesimpulan berdasarkan sangkaan semata-mata” bukan bukti yang nyata adalah di antara perkara yang tercela.

Begitu juga dengan persoalan gelaran “Salafi” yang Tuan Haji timbulkan, semata-mata kerana dakwaan mereka, padahal jauh panggang dari api, indah khabar dari rupa, jika golongan ISIS menggelarkan diri mereka Salafi, gelaran itu tidak salah malah mulia, hanyasanya orang yang menyalahgunakan gelaran yang memburukkannya, maka jangan sampai kita turut menggunakan istilah dan gelaran yang salah. Sepertimana halnya yang berlaku pada “Islam dan Muslim” dengan sebahagian orang Islam dan kaum Muslim yang melakukan jenayah pengganasan, mencanggahi ajaran Rasulullah, betapa ramai pihak yang membina tanggapan yang amat keliru terhadap Islam dan kaum muslimin, antaranya selepas kemunculan dan gejala bahaya fahaman kumpulan ISIS ini. Begitu juga istilah “Jihad” yang memang ada di dalam ajaran Islam, dalam kitab-kitab Hadis dan Fiqh malah Aqidah pun, namun dicemari pengertian “Jihad” ini oleh segolongan umat Islam sehingga umat Islam lainnya yang menyebut tentang “Jihad” dianggap “Jahat”, seumpama “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”.

- Menghukum salah malah kafir pada sesama Islam

Semata-mata bila tidak bersama mereka apatah lagi jika menentang mereka. Inilah sikap yang ada pada golongan al-Khawaarij. Jika kita dapati di FB, adanya pihak yang dengan mudah tanpa kajian menyeluruh, bahkan setelah didedahkan yang sebenar pun, masih tetap menghukum “kafir” sebahagian ‘ulama’ ataupun kaum muslimin lainnya, kita dapat mengenalpasti bahawa pihak tersebut mempunyai ciri-ciri Khawaarij, meskipun pihak itu menudingkan gelaran Khawaarij pada pihak lain. Namun, bukannya asal ada seseorang muslim apatah lagi ‘alim, yang sentiasa mengingatkan umat supaya kembali kepada ajaran asal Islam yang tulen, dianggap “mencari kesalahan umat”, dituduh “memecahbelahkan umat”, menghukum kafir dan sebagainya bilamana mereka mengingatkan bahaya kekufuran, demi menyelamatkan umat daripada kekufuran, bukan menuduh pihak tertentu, dianggap mempunyai ciri-ciri Khawaarij atau telah menjadi Khawaarij (malah digelar Dajjal) dan sebagainya daripada gelaran buruk yang tidak pantas, sebagai tindakbalas pihak yang ditegur, menganggap ‘alim tersebut “mengkafirkan” pihak lain. Betapa ramai orang awam malah sebahagian guru agama yang keliru, hukum kufurnya sesuatu perbuatan atau amalan tidak semestinya dengannya telah dikenakan hukum “kafir” pada pelakunya.

- Semangat

Mereka adalah golongan yang kebanyakannya muda lagi bersemangat tinggi. Semangat meluap-luap yang tidak didasarkan pada ilmu. Semangat yang tinggi tidak terbendung malah mengikut perasaan tanpa membuat jangkaan kesan daripada tindakan mereka dan akibatnya yang kena pada diri mereka. Khawaarij menghukum para Sahabat, ‘Ali dan Mu‘awiyah (semoga Allah meredhai mereka berdua) dan para Sahabat serta kaum Muslimin yang bersama mereka sebagai orang-orang yang telah kufur, semata-mata kerana di sisi mereka, “tidak berhukum dengan hukum Allah” sehingga akhirnya memerangi dan merompak umat Islam selain mereka. Keadaan ISIS persis seperti mereka daripada apa yang sampai beritanya kepada kita. Berbeza dengan ajaran Rasulullah. Ketika ditawarkan menjadi ketua dan penguasa Mekkah agar meninggalkan dakwah, Rasulullah tidak menerima tawaran itu. Ini berbeza dengan orang yang disibukkan dengan semangatnya ingin melihat segera kemenangan dan mendapatkan kuasa. Apabila Abu ‘Ubaidah mengusulkan kepada Rasulullah agar memberontak menjatuhkan atau mengguling penguasa Quraisy pada zaman Makkah, baginda menolaknya dan menggalakan para Sahabat agar terus bersabar dan menjalin hubungan rapat yang kuat dengan Allah dengan perbanyakkan Solat Malam dan amalan Syar‘ie. Padahal jika dilihat “kekuatan” seperti yang dinilai Abu ‘Ubaidah, para Sahabat yang telah Islam begitu ramai dari kalangan perwira dan panglima Quraisy, seperti diri beliau sendiri, Zubayr bin al-‘Awwaam, ‘Umar bin al-Khattaab, Hamzah bin ‘Abdul Muttalib an ramai lagi (radhiyalLaahu ‘anhum ajma‘ien)[16]


Begitu juga semangat mengikut guru yang dianggap “Khalifah” atau “Wali” tanpa kembali kepada dasar-dasar dan panduan asal ajaran Islam, amat merbahaya. Bila dianggap si guru punya kelebihan, misalnya hanya dengan melemparkan tongkatnya atau menyengetkan songkok atau serbannya akan terbalik lori S.O.C (penggempur rusuhan) kemudian guru seperti ini mengarahkan semua anak muridnya yang fanatik kepadanya memulakan gerakan dan pengganasan, anak-anak murid yang tidak terdidik dengan dasar-dasar ajaran sebenar Islam, meyakini “karomah – kelebihan ajaib” gurunya akan bertindak mengikut semangat tanpa ilmu. Buat masa ini, kita melihat ada di antara mereka yang di FB, mempertahan kebatilan dan guru-guru tertentu bukan atas dasar ilmu tetapi “fanatik” dan ini adalah ciri Khawaarij juga yang amat merbahaya. Wallahul Musta‘aan. Wallaahu a‘lam.


Paparan video berikut ini dapat saya jadikan sebagai penutup penjelasan saya ini, mudah-mudahan Tuan Haji dan umumnya sidang pembaca, mendapatkan penjelasan terang, mengenai pendirian kita. Malah secara peribadi, saya anggap masih tidak mustahil, gejala ISIS ini termasuk daripada perencanaan pihak tertentu untuk menambahkan “masalah” umat Islam dan kekeliruan di kalangan umatnya.

http://www.youtube.com/watch?v=N9SG1oXMks0

Wallahu a‘lam.

Sila lihat juga video ini, yang membuktikan ISIS adalah dalang memburukkan Islam dan seolah-olah bekerjasama dan bergandingan dengan pihak tertentu, yang berusaha mengembangkan pengaruh dan kuasa di bumi Syria dan Iraq serta memburukkan nama Islam dan ajaran Islam yang asal yang dikenali juga sebagai Ajaran Salaf, ajaran Ahli Sunnah wal Jama'ah. Sungguh Salaf amat berbeza dengan ISIS, seperti yang telah dijelaskan, meskipun seandainya ISIS mendakwa diri mereka "Salafi", sebagaimana halnya mereka mendakwa diri mereka "Orang-orang Islam sejati", dakwaan sedemikian adalah semata-mata untuk menjadikan umat menjauhi ajaran sebenar Islam, ajaran Ahli Sunnah, ajaran Salafussolih dan menjadikan orang bukan Islam mempunyai tanggapan salah terhadap ajaran Salaf. Dakwaan seseorang atau sesetengah pihak sebagai "Salafi" dengan ajaran sebenar Salaf, adalah 2 perkara dan hakikat yang berbeza, sebagaimana juga dakwaan kumpulan "Jihad" dan juga orang-orang "Islam/Muslim", dengan ajaran sebenar Islam dan Jihad sebenar juga 2 perkara yang berbeza.
Ketua Jabhah Islamiyah mendedahkan ISIS bukan untuk Umat Islam

Maka sungguh menyedihkan dan amat malang jika ada pihak daripada kalangan umat Islam apatah lagi, golongan guru agama, menyamakan ISIS dengan "Salafi" dengan secara mutlak dan umum, tanpa ciri-cirinya apatah lagi "Ajaran Salaf", kerana hal itu seumpama menyatakan Islam dan Muslim pengganas secara Mutlaq dan Umum. Wallahu a'lam. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada menjadi punca Fitnah pada zaman penuh fitnah ini dan mengurniakan PetunjukNya. 

Sila lihat juga: 
http://www.theguardian.com/commentisfree/2015/dec/22/saudi-arabia-isis-us-terrorists-coalition

Begitu juga baik dfahami dengan mendalam dan baik apa yang telah diperjelaskan oleh Duta Arab Saudi ke US:
Adil Jubeir speech to the UN Council about Mid-East & ISIS

Adel Jubeir response_ISIS not to be associated to Islam

Kerana ada pula sebahagian umat Islam yang telah mempercayai tuduhan seorang pengintip British yang juga berkhidmat untuk Mozzad (Spy Double agent) yang mendakwa telah bergabung usaha dengan Syaikh Imam Muhammad bin 'Abdul Wahhaab untuk memberontak dan menjatuhkan Khilafah 'Utsmaaniyah, yang dengannya layak digelarkan Khawarij dan Wahhaabi, lagi terkait fahaman pengganasan.

Umat Islam seperti mereka ini lebih mempercayai seorang pengkhianat "double agent" yang kafir berbanding pernyataan para Imam, 'ulama sezaman Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhaab, terhadap keperibadian mulia asy-Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhaab.

Sila lihat: Syekh Muhammad bin Abdul Wahab bukan pemberontak.
Siapa Itu Wahabi Dan Apa Dakwahnya?
Muhammad ibn ‘Abd al-Wahhaab – a reformer concerning whom many malicious lies have been told

___________________________

[1] Al-Qur’an; Surah at-Takaatsur: 102: 8

[2] Al-Qur’an; Surah al-Anbiyaa’: 21: 35

[3] Al-Qur’an; Surah at-Taubah: 9: 100

[4] Al-Qur’an; Surah al-Israa’: 17: 36

[5] Al-Qur’an; Surah Al-‘Imran: 3: 7

[6] Tafsier Ibn Katsier pada Surah Al-‘Imran: 3: 7

[7] Al-Khawaarij: mereka adalah setiap orang yang keluar daripada lingkungan ketaatan, mengkufurkan sesiapa sahaja dengan apa jua dosa yang dilakukan dan dengan itu menjadikan halal darah/nyawa dan harta seorang muslim. Pertama kali mereka muncul adalah pada zaman ‘Aliy dan beliau telah memerangi mereka di an-Nahrawaan. Begitu banyak hadis yang menyebutkan tentang mereka, yang menjelaskan bahawa mereka adalah anjing-anjing api neraka dan bahawasanya mereka keluar dari Islam sepertimana anak panah keluar dari busurnya meskipun mereka golongan yang rajin dan banyak ibadat.

[8] Telah disebutkan pada no: 1

[9] HR al-Bukhaariy no: 3344 (K) al-Anbiyaa’, Bab: Firman Allah Ta‘aalaa: “و إلى عاد أخاهم هودا – Dan kepada ‘Aad (diutuskan) saudara mereka Huud”, Muslim no: 1064 – 143 (K) Zakat, Bab Dzikru al-Khawaarij wa Sifaatihim – Mengenai Khawaarij dan sifat-sifat/ciri-ciri mereka daripada Abu Sa‘ied al-Khudriy.

[10] HR al-Bukhariy dan Muslim daripada ‘Aliy bin Abi Talib.

[11] HR Abu Dawud, Ibn Maajah, al-Hakim dan Ahmad –sahih

[12] HR al-Bukhariy, Muslim & Maalik daripada Abu Hurairah

[13] HR al-Bukhariy dan Muslim

[14] Sālim bin ‘Abdillah bin ‘Umar bin al-Khaţţāb al-Qurasyi al-‘Adawi, Abu ‘Umar al-Madani, ahli Fiqh yang handal, ahli dalam berhujjah lagi dijadikan orang sebagai hujjah, yang telah bergurukan sebilangan Sahabat yang ramai Wafat pada tahun 106H. Sila rujuk Tadzkirat al-Huffāz: 1/54

[15] Selain ISIS, Daerah Iraq-Iran yang dahulunya hanya dikenali sebagai Iraq oleh ‘ulama’, daripada kajian sejarah Umat Islam adalah tempat bermulanya berbagai Fitnah; Haruriyah tempat kemunculan al-Khawaarij di Iraq, al-Jahmiyah berleluasa di Iraq, Khalifah yang memaksakan fahaman Mu‘tazilah juga di Iraq, kemasukan Tatar juga dari Iraq, Golongan Zindiq dan Falsafah juga bermula di Iraq, kemunculan ad-Dajjal di Khurasan dan segera diikuti 70,000 Yahudi dari Isfahan dan lainnya.

[16] Sila rujuk Sirah Nabawiyah Sahihah – Dr Akram Dhiyaa’ bahagian zaman Mekkah

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts