Friday, November 21, 2014

Pahala Bacaan Yang Dihadiahkan Kepada Si Mati & Ucapan Ketika Ziarah Kubur

Ucapan Doa ketika Menziarahi Kubur

Daripada Muhammad bin Qais bin Makhramah bin al-Muttallib bahawasanya beliau pada suatu hari mengatakan:

“Mahukah kamu aku sampaikan sesuatu dari diriku dan dari ibuku?” Maka kami sangka yang beliau maksudkan adalah ibunya yang melahirkannya. “Kata ‘A-isyah: Mahukah kamu aku sampaikan sesuatu dari diriku dan dari Rasulullah? Jawab kami, tentunya. 

Kata beliau selanjutnya: Pada malam giliran ku yang pada masa itu Nabi berada di rumah ku, baginda pulang dan meletakkan selendang baginda, menanggalkan kedua alas kaki baginda, lalu meletakkannya di sisi kedua kaki baginda, menghamparkan hujung kainnya di atas tempat pembaringan ku, lantas berbaring. Tidak lama setelah baginda lihat aku telah berbaring, baginda mengambil selendang baginda perlahan-lahan, memakai kedua alas kakinya juga senyap-senyap dan membuka pintu [pun perlahan-lahan], lalu keluar kemudian menutupnya perlahan-lahan.

Lantas aku pun bertudung, mengenakan kainku dan aku mengekori baginda sampailah baginda ke Perkuburan Al-Baqie’. Baginda berdiri begitu lama, kemudian baginda mengangkat kedua tangan baginda 3 kali, kemudian baginda kembali pulang maka aku pun segera kembali pulang. Baginda berjalan pantas maka aku pun berjalan pantas dan aku mendahuluinya masuk ke rumah dan baru sahaja aku baring, baginda pun masuk sambil bersabda: Kenapa dengan awak, ‘A-isy, pernafasan awak turun naik pantas?

Jawabku: Tiada apa-apa [wahai Rasulullah]. Sabda baginda: Awak mesti beritahu saya atau saya pasti diberitahu oleh Yang Maha Halus lagi Maha Memerhati.

Jawabku: Wahai Rasulullah, aku jadikan ibu dan bapaku sebagai tebusanmu, maka aku pun ceritakan kisahnya.

Sabda baginda: Awaklah benda hitam yang saya lihat tadi di hadapan saya? Jawabku: Ya. Maka baginda menumbuk (tumbukan manja/gurauan) di dadaku dan terasa sedikit sakitnya, lalu bersabda: Apakah awak sangka yang Allah dan RasulNya tidak berlaku adil terhadap mu?! Jawab ku: Biar bagaimanapun manusia berselindung Allah Maha Mengetahui. [Jawab baginda]: Ya.

Sabda baginda seterusnya: Sebabnya, sungguh Jibril datang kepada sewaktu saya melihatnya dan memanggil saya – maka saya rahsiakannya dari awak dan saya sahut panggilannya dan itupun saya rahsiakan dari awak, beliau tidak mahu masuk sebab awak telah meletakkan pakaian awak. Bilamana saya sangka awak telah tidur, saya tidak mahu menggugah awak dan khuatir akan mengejutkan mu – kata Jibriel: sesungguhnya Tuhanmu memerintahkanmu supaya engkau pergi ke Al-Baqie’ untuk memintakan ampunan buat mereka.

Tanya saya: Bagaimanakah saya ucapkan kepada mereka wahai Rasulullah? Ucapkanlah:

السَّلامُ عَلىَ أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْن وَ الْمُسْلِمِيْن ، وَ يَرْحَمُ الله ُالْمُسْتَـقْدِمِيْنَ مِنَّا وَ الْمُسْـتَـأْخِرِيْن ، وَ إِنَّا إِنْ شَـاءَ الله ُبِكُمْ لَلاَحِقُوْن

{Kesejahteraan (dari Allah dipohonkan) ke atas Ahli ad-Diyar (penghuni-penghuni kubur) dari kalangan Mukminin dan Muslimin dan semoga Allah merahmati kita baik yang terdahulu mahupun yang terkemudian dan sesungguhnya kami Insyaa Allah, pasti akan menyusuli kalian.”[1]

Dalam riwayat lain dengan lafaz:

السَّلامُ عَلىَ أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْن وَ الْمُسْلِمِيْن ، وَ إِنَّا إِنْ شَـاءَ الله ُ [ بِكُمْ ] لَلاَحِقُوْن ، [ أَنْـتُمْ لَنَا فَرَطُ ، وَ نَحْنُ لَكُمْ تَبَعٌ ] ، أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَ لَكُمْ الْعَافِيَة

“Kesejahteraan (daripada Allah dipohonkan) ke atas Ahli ad-Diyar (penghuni-penghuni kubur) dari kalangan Mukminin dan Muslimin dan sesungguhnya kami Insya Allah, pasti akan menyusuli [kalian], [kalian telah mendahului kami dan kami mengikut kalian], aku memohon kepada Allah semoga diri kami dan juga kalian dikurnia kesejahteraan.”


Tiada Bacaan al-Quran di sisi Kubur

Adapun perbuatan membaca al-Quran ketika menziarahi kubur, maka ia dari suatu perbuatan yang tiada asalnya di dalam as-Sunnah, malah hadits-hadits yang telah disebutkan tadi di dalam perkara tadi memberikan kesedaran bahawa ia tidak disyari‘atkan, sebab seandainya ia disyari’atkan, tentunya Rasulullahsendiri telah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada para Sahabat, apatah lagi baginda telah ditanya oleh ‘A-isyah – dan beliau adalah di antara orang yang paling baginda cintai – yakni tentang apa yang diucapkan oleh beliau jika beliau menziarahi kubur? Maka baginda mengajarkan beliau agar mengucapkan salam dan berdoa dan tidak pula mengajarkan beliau agar membaca al-Fatihah atau selainnya daripada ayat-ayat al-Quran.

Sekiranya pembacaan al-Quran adalah sesuatu yang disyari‘atkan (ketika ziarah kubur) tidak mungkin baginda menyembunyikan perkara tersebut daripadanya, bagaimana mungkin berlakunya “Tak-khierul Bayaan ‘an waqtil haajah”[2] (menangguhkan penjelasan pada ketika hajat mendesak penjelasan itu diperlukan/mesti diterangkan) dan tidak diharuskan buat baginda, sebagaimana yang menjadi ketetapan di dalam bidang Ilmu Usul, bahkan bagaimana pula dengan perbuatan menyembunyikannya (tidak menerangkannya)?[3] Kalaulah ada baginda ajarkan kepada mereka (para Sahabat) sesuatu darinya (yakni membaca Al-Quran ketika ziarah kubur), pastinya telah disampaikan kepada ummat selepasnya. Maka apabila tiada satu tukilan pun daripada mereka dengan sanad yang tsabit (tulen), justeru itu jelaslah menunjukkan bahawa ia tidak pernah berlaku (tidak dilakukan/diajarkan).

Di antara perkara yang menguatkan lagi kesimpulan bahawa ia tidak disyari’atkan adalah sabda baginda:

لا تَجْعَلوا بُيُوتَكُم مَقَابِرَ ، فَإِنَّ الشَّيْطَان يَفِرُّ مِن البَيتِ الذي يُقْرأُ فِيه سُورَةُ البقرة

“Janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian perkuburan, sebab Syaithon melarikan diri dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah Al-Baqarah.”[4]

Maka baginda memberi petunjuk bahawa kubur bukanlah tempat yang layak di sisi Syara‘ untuk bacaan al-Quran, sebab itulah baginda menggalakkan pembacaan al-Quran di rumah-rumah dan melarang dari menjadikannya seperti perkuburan yang tidak ada apa-apa pembacaan al-Quran padanya, sebagaimana baginda juga memberi isyarat yang sama di dalam hadis yang lain bahawa ia bukanlah tempat yang layak didirikan solat padanya, iaitu sabda baginda:

صلوا في بُيُوتَكُم و لا تتخذوها قبورا

“Solatlah di rumah-rumah kalian dan janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian perkuburan.” [5]

Lantaran itulah, Imam al-Bukhariy menamakan bab tersebut: “Dibenci perbuatan mendirikan solat di perkuburan” maka beliau memberi isyarat bahawa hadis Ibn ‘Umar menunjukkan bahawa solat di perkuburan adalah dibenci maka demikian juga hadis Abi Hurairah menunjukkan dibencinya pembacaan al-Quran di perkuburan dan tiada bezanya. Oleh kerana itulah, mazhab Jumhur (kebanyakan) ulama Salaf seperti Imam-imam Abu Haniefah, Malik dan lainnya, membenci perbuatan membaca al-Quran di sisi kubur dan itulah juga pendapat Imam Ahmad, kata Imam Abu Daud di dalam (Masa-il – pertanyaan beliau kepada Imam Ahmad: mks 158):

“Aku telah mendengar (Imam) Ahmad ditanya tentang (bacaan) al-Quran di sisi kubur? Maka jawab beliau: Tidak/Jangan (dilakukan).”

Kata Syeikul Islam Ibn Taimiyah di dalam Iqtida’ as-Sirat al-Mustaqiem: mks 182:

“Tiada diterima daripada diri Imam asy-Syafi’ee sendiri tentang masalah ini satu riwayat pun daripada kata-kata beliau, sebabnya di sisi beliau ia adalah suatu bid‘ah dan kata Imam Malik: Aku tidak pernah mengetahui[6] adanya seseorang yang melakukannya” [7]

Perhatian:

[Penambahan demi mengelakkan hujjah yang silap yang dipergunakan oleh sebahagian pihak, yang menggalakkan bacaan al-Quran di sisi kubur:

Kata al-Imam an-Nawawi: Kata asy-Syafi‘ie (yakni al-Imam Muhammad bin Idries):

"و يستحب أن يقرأ عنده شيء من القرآن ، و إن ختموا القرآن عنده كان حسنا"

Ertinya: Adalah mustahab untuk membaca sebahagian daripada al-Quran (maksudnya beberapa ayat – penterjemah) di sisinya dan jika mereka mengkhatamkan al-Quran (dengan tilawah 30 juzuk - penterjemah) di sisinya adalah sesuatu yang baik.

Demikian kenyataan yang dinyatakan oleh al-Imam an-Nawawi dengan mengungkapkannya sebagai satu nukilan daripada al-Imam Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie di dalam kitab beliau yang masyhur: Riyad as-Salihin; Bab 161: “Doa buat si mati selepas dikebumikan dan duduk di sisi kuburnya sejenak untuk mendoakannya dan memohonkan ampunan untuknya serta pembacaan ayat suci”:

“باب الدعاء للميت بعد دفنه و القعود عند قبره ساعة للدعاء له و الإستغفار و القراءة”

Selepas beliau mengemukakan hadis‘Amr bin al-‘As. no: 947 riwayat Muslim.

Kata asy-Syeikh Syu‘aib al-Arnaut yang menganalisa Riyad as-Salihin:

“في المجموع: 5/294 هو قول الأصحاب لا قول الشافعي”


Ertinya: “Di dalam (kitab) al-Majmu‘: 5/294 ini adalah pendapat pendokong Madzhab (asy-Syafi‘iyah) bukannya pendapat al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri”.

Asy-Syeikh Saliem bin ‘Ied al-Hilaly telah menjelaskan dengan lebih luas di dalam kitab beliau: “Bahjat an-Nazirien Syarh Riyad as-Salihin”: 2/191: Ini adalah pendapat Ashab asy-Syafi‘ie, sungguh pengarang (an-Nawawi) telah menyatakan di dalam al-Majmu‘: 5/294:

“al-Ashab telah bersepakat (dalam berpendapat demikian), kata mereka: “Adalah mustahab agar dibaca bagi pihaknya (si mati) sesuatu daripada al-Quran dan jika mereka mengkhatam al-Quran maka adalah lebih utama lagi”

“و اتفق عليه الأصحاب و قالوا: و يستحب أن يقرأ عنه شيء من القرآن و إن ختموا القرآن كان أفضل”


Pahala Bacaan tidak sampai kepada si mati - di sisi Imam asy-Syaafi'ie

Dengan ini, menjadi jelas bahawa menisbahkan kata-kata atau pendapat ini kepada diri peribadi al-Imam asy-Syafi‘ie adalah sesuatu yang nyata meragukan, mentelah lagi, Madzhab (pendapat/pegangan) beliau yang menegaskan: Hadiah pahala yang dihadiahkan kepada si mati tidak akan sampai (kepada si mati) sebagaimana yang dinyatakan dengan tegas oleh al-Hafiz Ibn Katsier dalam (kitab) Tafsier al-Qur’an al-‘Aziem ketika (menjelaskan) Firman Allah Ta‘ala:



Ertinya: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan apa yang telah diusahakannya… (Surah an-Najm: 53:39)

Inilah (hadiah pahala bacaan al-Quran kepada si mati tidak akan sampai kepadanya) yang tepat yang menjadi pegangan dan pendapat kebanyakan ‘ulama sebagaimana yang ditukil oleh az-Zabidi di dalam (kitab) “Ithaf as-Sadat al-Muttaqien”: 10/369 daripada Ibn al-Qattan. Maka (perbuatan an-Nawawi) menisbahkan kata-kata ini kepada al-Imam asy-Syafi‘ie adalah suatu kesilapan peribadi pengarang (an-Nawawi).

Demikian penjelasan asy-Syeikh Saliem, tambahan pula, al-Imam an-Nawawi sendiri, di dalam Syarh Sahih Muslim; Kitab al-Iman, Bab 54: Bab Kaun al-Islam yahdimu ma qablahu wa kadza al-Hijrah wa al-Hajj; hadis 192 (121) ketika menjelaskan frasa ini (hadis yang sama dalam Riyad as-Salihin no: 947: “فشنوا علي التراب” beliau menjelaskan:

"استحباب صب التراب في القبر، و أنه لا يقعد على القبر بخلاف ما يفعل في بعض البلاد...استحباب المكث عند القبر بعد الدفن لحظة نحو ما ذكر لما ذكر"
“Adalah mustahab menaburkan tanah ke dalam kubur, begitu juga agar jangan ia duduk di atas kubur berbeza dengan apa yang dilakukan di sebahagian negeri (umat Islam)…Mustahab untuk ia tetap berdiam (tunggu) di sisi kubur selepas selesai pengebumian buat seketika sepertimana yang disebutkan (anggaran waktu menyembelih unta dan selesai membahagikan dagingnya) kerana apa yang beliau (‘Amr bin al-‘As) sebutkan.”

Al-Imam an-Nawawi tidak menyebutkan tentang bacaan al-Quran dan anggaran masa yang disebutkan juga tentunya tidak memadai untuk mengkhatamkan pembacaan al-Quran 30 juzuk.



Adapun mengenai pendapat peribadi al-Imam asy-Syafi‘ie, maka al-Imam al-Baihaqiy telah mengemukakan di dalam kitab “Manaqib asy-Syafi‘ie”; jilid 1/430 – Bab “ما يؤثر عنه فيما يلحق الميت من فعل غيره” – ertinya: “Apa yang diterima riwayatnya daripada beliau (asy-Syafi‘ie) berkenaan apa yang sampai kepada si mati daripada (amalan) perbuatan orang lain”, setelah beliau menyebutkan sanadnya yang sampai kepada al-Imam ar-Rabie‘ (bin Sulaiman – penterjemah) katanya: asy-Syafi‘ie telah berkata:

"و يلحق الميت من فعل غيره و عمله ثلاث: حج يؤدى عنه و مال يتصدق به عنه أو يقضى، و دعاء"

Ertinya: “Sampai kepada si mati daripada perbuatan orang lain dan amalannya 3 perkara: Haji yang ditunaikan bagi pihaknya, harta yang disedeqahkan bagi pihaknya ataupun yang dilunaskan dengannya hutangnya serta doa”

Kemudian al-Imam al-Baihaqiy memperincikan dalil-dalilnya.

Kesimpulannya, jelas bahawa bukannya daripada amalan as-Sunnah untuk membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati secara umumnya, apatah lagi untuk melakukan demikian di sisi kubur dan di antara ‘ulama yang berpendapat pahala bacaan yang dihadiahkan tidak akan sampai kepada si mati dan dikhuatiri menjadi perbuatan sia-sia adalah al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri .]

Persoalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati adalah perkara yang diperselisihkan oleh ‘ulama’, samada ia diperbolehkan dan bermanfaat buat si mati ataupun terlarang dan sia-sia. Namun, perlu difahami bahawa dasar perselisihannya adalah qiyas yang dilakukan; samada layak “bacaan al-Quran” diqiyaskan kepada amalan-amalan yang ada disebutkan di dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah ataupun tiada qiyas dalam persoalan ini.

Golongan ‘ulama’ yang menolak qiyas ini berhujjah bahawa:

i. Soal pahala soal ghaib yang hanya ditentukan dengan Wahyu. Bilamana “pahala bacaan ataupun amalan berupa tilawah al-Quran dan dzikir tiada dalam keterangan Wahyu bahawa ia bermanfaat buat si mati, maka tidak boleh dikatakan ia bermanfaat buat si mati.

ii. Perkara yang berkaitan dengan yang ghaib, tiada ruang untuk Ijtihad. Qiyas pula pada dasarnya adalah ijtihad. Maka dalam perkara ini, tidak selayaknya dilakukan Qiyas.

iii. Seandainya ia sesuatu yang bermanfaat dan baik, tentunya Nabi dan para Sahabat telah melakukannya – “لو كان خيرا لسبقونا إليه”. Bilamana tiada contohnya daripada sebaik-baik manusia dan para pengikut baginda yang paling setia, apakah kita mampu datangkan sesuatu yang lebih baik? Jika ada contohnya daripada mereka, sebagaimana ‘ulama’ menjelaskan: tentunya telah ada banyak riwayat atau sekurang-kurangnya 1 riwayat daripada mereka mengenainya.

Kesimpulannya, jelas bahawa bukannya daripada amalan as-Sunnah untuk membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati secara umumnya, apatah lagi untuk melakukan demikian di sisi kubur dan di antara ‘ulama’ yang berpendapat pahala bacaan yang dihadiahkan tidak akan sampai kepada si mati dan dikhuatiri menjadi perbuatan sia-sia adalah al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri .

_______________________________________________

[1] Riwayat Muslim (3/14), an-Nasa -i (1/286, 2/160, 161) ‘Abdur Razzaq (3/570-571), Ahmad (6/221)

[2] Satu kaedah di dalam ‘Ilmu Usul Fiqh. 

[3] Suatu perkara yang mustahil dilakukan oleh baginda kerana ia bererti perbuatan khianat, tidak menyampaikan.

[4]Diriwayatkan oleh Muslim (2/188), at-Tirmidzi (4/42) dan beliau menghukumkannya sahih, an-Nasa-i (Fada-il al-Qur’an: 76), al-Baihaqiy (Syu’abul Iman: 2/2381), Ahmad (2/284, 337, 378, 388) daripada hadis Abi Hurairah. 
 
[5] Yakni solat sunnat kerana solat fardhu afdal berjemaah di masjid sebagaimana yang sedia diketahui dan begitu pula bahawa hukumnya haram solat di perkuburan (penterjemah). Diriwayatkan oleh Imam Muslim (2/187) dan lainnya dari Ibn ‘Umar dan riwayat al-Bukhariy yang seiras dengannya. 

[6] maknanya tiada suatu riwayat yang diterima daripada orang yang terjamin sejak zaman Sahabat dan Imam-imam besar zaman sebelum beliau. Inilah contoh yang dimaksudkan dengan kaedah Ilmu Usul “al-‘Ilm bi ‘adam ad-Daliel dalielun” Pengetahuan tentang tiada dalil adalah hujjah/dalil yang mu‘tabar jika dinyatakan oleh ahlinya seperti Imam Malik (w:179H) 

[7] Di dalam kitab asal, asy-Syeikh al-Albaniy mendatangkan beberapa contoh daripada beberapa tukilan/riwayat daripada Ibn ‘Umar, Imam asy-Sya‘biy, Imam Ahmad, Imam Ibn al-Qayyim (Kitab Ruh), Imam as-Suyuti (yang zahirnya berpegang dengan pendapat sebaliknya seperti di dalam kitab beliau Syarh as-Sudur namun riwayat-riwayat yang menjadi sandaran beliau adalah lemah belaka) dan beliau mendatangkan pula hujjah-hujjah bernas dan kajian mendalam yang menyangkal segalanya itu. Manakala hadis “Barangsiapa yang lalu di sisi kubur lalu membaca Qul HuwalLaahu ahad 11 kali dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati ia akan mendapat ganjaran beberapa orang yang telah meninggal dunia” maka ia adalah hadis maudu‘ (palsu) sebagaimana yang dapat disimpulkan daripada hukum al-Hafiz Ibn Hajar dan adz-Dzahabi terhadap perawinya serta kemyataan bahawa hadis ini palsu oleh Imam as-Suyuti (Dzail al-Ahadits al-Maudhu’ah) dan Imam Ibn ‘Arraq. – Tukilan daripada Kitab Ahkam al-Jana-iz.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts