Wednesday, December 3, 2014

11. Ketika Menziarahi Masjid Quba' dan Tempat-tempat lainnya di Madinah

Ketika ingin menziarahi Masjid Quba’, adalah disunnatkan:
i.     Berwudu’ dari kediaman/tempat penginapan
ii.    Keluar dengan tujuan ke Masjid Quba’ dengan menaiki kenderaan atau berjalan kaki.
iii.   Masuk ke Masjid Quba’ dengan adab-adabnya (no: 7 dan no: 9)
iv.   Mendirikan 2 rakaat solat (Tahiyatul Masjid/Duha/Mutlaq dll.)



Dengan itu, Insya’ Allah mendapat pahala seperti menunaikan umrah. Yang demikian itu berdasarkan hadis:

من تطهر من بيته ثم أتى مسجد قباء فصلى فيه صلاة كان له كأجر 

عمرة 
maksudnya: Barangsiapa yang bersuci daripada rumahnya kemudian ia mendatangi Masjid Quba’ lalu menunaikan satu solat di dalamnya maka baginya seperti pahala (melaksanakan) ‘umrah.[1]  

Begitu juga benar telah diriwayatkan bahawa Rasulullah  sendiri selalu mendatangi Masjid Quba’, adakalanya berkenderaan dan adakalanya berjalan kaki – daripada rumah baginda – untuk menunaikan solat 2 raka‘at di dalamnya [2]

Perhatian: Tempat-tempat yang sunnat diziarahi selama berada di Madinah adalah 4 tempat berikut sahaja:
i.                 Masjid Rasul @ Masjid Nabawi,
ii.                Masjid Quba’,
iii.              Perkuburan Baqie’ dan
iv.               Perkuburan Syuhada’ Uhud.

Adapun tempat-tempat lain, maka tidak sunnat kita ziarahinya kecuali dengan niat ingin mengambil pengajaran dan meningkatkan iman.
(Biasanya yang diziarahi di Madinah adalah: Masjid Jumu‘ah, Masjid Qiblatain, Sab‘ah Masajid/Masjid al-Fath, Pasar Korma. Ada juga yang menziarahi Istana Ka‘ab bin Asyraf, Gunung Berapi-alBurqan, Wadi al-But-han, Jurf, Bi’run (telaga) Buda‘ah, Mujamma‘ al-Malik Fahd-tempat percetakan al-Quran bahkan Kebun Korma-al-Muntazah dan al-Masbahah (kolam renang di Kebun Korma). Biar apapun, yang utama adalah tujuannya, untuk menambah ilmu dan pengalaman serta i‘tibar dan bukannya bersuka-ria)



[1]  Riwayat Ibn Majah, an-Nasa-i dan dihukumkan sahih oleh al-Albaniy (Sahih Sunan an-Nasa-i: 1/150 dan Sahih Sunan Ibn Majah:1/237)
[2]  Riwayat al-Bukhariy: 3/68 dan Muslim: 2/1016



 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts