Thursday, December 4, 2014

12. Persiapan Ke Kota Mekkah – Berkenaan Ihram

Sewaktu akan berangkat untuk ke Mekkah, memulakan amalan Umrah lakukanlah yang berikut:




i.    memotong kuku kedua kaki dan kuku kedua tangan.
ii.   mencukur bulu pada bahagian yang disunatkan kita mencukurnya iaitu bulu ketiak dan yang di bawah pusat.
iii.  Mandi sunnat ihram dengan niatnya (sebelum mengenakan pakaian ihram). Hadis:

   أن النبي تجرد لإهلاله و اغتسل 

Bahawasanya Nabi  menanggalkan pakaian untuk mula berihram lalu baginda pun mandi.[1]
iv.  mengenakan wangian pada badan sahaja (usah kenakan pada pakaian ihram)[2]
v.   memakai pakaian ihram;
a)      lelaki: 2 helai kain putih yang  tidak berjahit, tidak bersarong dan tidak pula bercantum 2 hujungnya. Hanya itu sahaja yang boleh dipakainya. Antara yang tidak boleh dipakainya ialah ‘pakaian dalam’.
b)      wanita: pakaiannya sepertimana biasa yang menutupi auratnya dengan sempurna lagi sopan.  Sebaiknya yang disediakan oleh pihak agensi berupa telekong dan kain, yang tidak menarik, tidak jarang dan tidak ketat.

Perhatian: orang yang telah memakai ihram tidak bermakna ia telah niat ihram. Maka selama ia belum niat, ia belum dikenakan pantang-larang ihram.

Mengenai solat sunnat ihram pula, maka solat itu sebenarnya tiada asalnya dari amalan Nabi  dan para Sahabat , malah semata-mata ajaran atau fatwa sebahagian 'Ulama', dengan sangkaan bahawa Solat yang Nabi laksanakan adalah bersebabkan Ihram. Yang lebih tepat, ialah kita lakukan solat sunnat wudu’ atau jika berihram di Miqat, solat Tahiyatul Masjid di Masjid Miqat. Ataupun solat Fardu jika kebetulan ketika itu masuk waktu solat fardu tertentu sebab apabila Solat Fardu telah ditunaikan, ia dikira cukup sebagai pengganti kepada Tahiyatul Masjid. Dijelaskan "Tiadanya Solat Sunnat Ihram" kerana "sebab"nya Rasulullah tunaikan Solat di Lembah 'Aqieq yang diberkati, bukan kerana Ihram, malah kerana kemuliaan tempat itu, yang kini tersergam padanya Masjid DzilHulaifah.  Wallahu a’lam.[3] 

   Sekiranya ke Masjid Mieqaat (ZilHulaifah - itu nama yang lebih baik baginya berbanding Bir Ali sebab i'tiqad sebahagian orang kononnya 'Ali bin Abi Talib membunuh Jin di sebuah perigi di situ, padahal kisahnya adalah suatu dusta) yakni Masjid Miqat (dikenali juga sebagai Masjid asy-Syajarah - Pokok - dan Mu'arras/Dzil Hulaifah/Wadi 'Aqieq) maka lakukanlah solat sunnat Tahiyatul Masjid (kerana pada zaman Nabi lagi telah dibina Masjid Syajarah ini, maka tidak perlu niat Solat di Lembah yang diberkati) di dalamnya dan berdoalah agar Allah menerima umrah yang bakal dilaksanakan. [4]

Miqat adalah tempat yang telah ditentukan oleh Nabi untuk berniat dan berihram.



[1] Sahih Sunan at-Tirmidzi: 1/250.
[2] Riwayat al-Bukhariy: 10/366 dan Muslim: 2/848 – Majmu‘ Fatawa Ibn Baz fi al-Haj wa al-‘Umrah: 5/96
[3] Mansak Syaikh al-Islam; Majmu‘ Fatawa: 26/109, Kitab al-Hajj, Bughyat al-Mutatawwi‘ fi Solat at-Tatawwu‘ (terjemahan) Syaikh ‘Umar Bazmool: 194-197. Ibn al-Qayyim; Zad al-Ma‘ad: 2/107. al-Imam an-Nawawi juga tidak menyebutkannya sebagai satu solat yang khusus kerana Ihram, di dalam al-Majmu‘ baik dalam Bab Solat-solat Tatawwu‘, mahupun Bab al-Ihram: 4/58-61 dan 7/186.
[4] Tariekh al-Madeenah al-Munawwarah - Syaikh Safiur Rahmaan al-Mubaarakpuri, Manasik al-Hajj wal 'Umrah Syaikh al-Albaaniy.


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts