Thursday, December 4, 2014

14(2). Pantang Larang ketika Ihram

Perhatian: Dengan niat itu, bermulalah seseorang itu berada di dalam keadaan pantang-larang ihram. Perkara-perkara larangan tersebut adalah berikut:[1]


i.  dilarang memotong kuku atau mengopek kulit (terkopek/tanggal sendiri tidak apa-apa)
ii.  dilarang memotong atau mencukur bulu dari manapun bahagian dari seluruh badan termasuk rambut (yang gugur sendiri tidak mengapa)
iii. tidak boleh bagi lelaki untuk memakai pakaian bersarong, atau yang bercantum 2 hujungnya seperti baju, seluar, sarong tangan, stokin dan lainnya. Tidak salah memakai tali pinggang, pouch, jam tangan dan kacamata hitam selama bukan maksud untuk bermegah dan bergaya.
iv. dilarang menutup kepala bagi kaum lelaki dengan serban, topi, songkok dan sebagainya. Demikian juga muka. Tidak boleh memakai kasut tapi sebaiknya pakai selipar atau sandal yang tidak menutup seluruh kaki. Tetapi tidak salah menggunakan payung dan berteduh di bawah bumbung.
            Kaum wanita dilarang memakai sarong tangan dan menutup muka.
v. Dilarang berwangian pada badan, pakaian, makanan dan tempat tidur. Maka sabun, shampoo dan ubat gigi yang wangi juga tidak boleh digunakan. Yang tidak wangi boleh digunakan. Makanan yang asalnya memang wangi seperti limau tidak dilarang.
Demikianlah pula, Hajar Aswad yang wangi, boleh dikucup kerana bukan dimaksudkan dengannya untuk berwangian. Jika terkena pada badan atau pakaian, hendaklah dicuci untuk menghilangkan wanginya dan beristighfar.
vi. Dilarang memburu atau membunuh binatang darat (melata) yang halal dimakan. Antaranya kambing, lembu, unta, rusa, merpati, belalang dan sebagainya. Sekiranya tidak sengaja membunuhnya, gantikan dengan yang sebanding, misalnya rusa dengan kambing. Bagi yang tiada misal sebanding seperti belalang, maka kumpul dan timbanglah beratnya dan keluarkan fidyah. Wallahu a’lam.
vii. Dilarang melakukan sesuatu perkara yang boleh menimbulkan syahwat seperti bercumbuan, mencium, menyentuh, walau melihat sekalipun.
viii.Dilarang (bersetubuh) berjimak dan inilah larangan yang paling berat.
ix.  Dilarang bertunang.
x.  Dilarang bernikah yakni menikahi, dinikahi atau menikahkan walaupun sebagai wakil.

            Selama seseorang itu masih di dalam ihram dan belum bertahallul, ia masih di dalam pantang-larang ini.



[1] Mursyid al-Mu‘tamir wa al-Haj wa az-Za-ir oleh Sa ‘ied bin Wahf al-Qahtaniy.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts