Thursday, December 4, 2014

15. Niat dan Penjelasan Lanjut (c) Niat bagi wanita "uzur" & apa yang dilakukannya

c. wanita haid/nifas 


Wanita yang berada di dalam keadaan haid/nifas wajib menjatuhkan niat menurut ajaran yang tepat menurut al-Sunnah, berbeza dengan yang disimpulkan oleh sebahagian orang yang mungkin tidak mengetahui apa yang telah dijelaskan di dalam al-Sunnah.


Menurut pendapat yang kurang menepati As-Sunnah:[1]
i. Mereka kaitkan di antara perbuatan “jatuhkan niat” dengan keadaan bersih (tidak haid/nifas) seseorang wanita. Maka wanita yang haid/nifas ketika sampai di miqat, tidak boleh menjatuhkan niat dan segala yang dilaksanakan orang yang menjatuhkan niat seperti mandi, wudu’ dan sebagainya, tidak dilakukannya.
ii.  Bilamana ia tidak menjatuhkan niat, ia juga tidak bertalbiah sepanjang perjalanannya daripada miqat ke Mekkah.
iii. Menurut pendapat ini, wanita tersebut setelah sampai kota Mekkah, ia tunggu sehingga ia bersih, sedangkan jemaah lainnya telah pun menyelesaikan umrah sejak hari ketibaan mereka di Mekkah lagi. Jika seminggu, seminggulah ia tunggu saat bersihnya tanpa melakukan apa-apa.
iv. Sebaik sahaja ia bersih (terhenti haidnya) ia pun mandi junub, berwudu’ dan pergi ke Tan‘im (Masjid ‘A-isyah) atau kawasan luar tanah haram lainnya untuk menjatuhkan niat umrah dan berihram. Lalu masuk ke tanah haram semula untuk menyempurnakan umrahnya; bertawaf dan sebagainya.

Maka menurut pendapat ini, seandainya wanita itu masih mengalami haid berterusan sehingga hari keberangkatannya pulang ke Tanah airnya, ia pulang dengan “tangan kosong” dan hampa, tidak dapat menunaikan umrah. Seolah-olah sekadar berkunjung melihat-lihat kota Madinah dan kota Mekkah sahaja. 


Berbeza dengan pendapat yang menurut ajaran Nabi  berpandukan Sunnah-sunnah baginda:

Pertama:
Tiada kaitan di antara keadaan haid/nifas dengan hukum menjatuhkan niat. Bermakna, wanita haid dan nifas tetap menjatuhkan niat sepertimana jemaah lainnya sebaik ia tiba di miqat.
Ini berdasarkan perintah baginda  yang berbentuk umum:
(maksudnya) “Miqat-miqat tersebut adalah untuk ahli-ahlinya (para penduduk kota-kota tersebut) dan bagi setiap yang mendatanginya/melaluinya (miqat-miqat tersebut) daripada mereka yang bukan daripada ahlinya (para penduduk kota-kota tersebut), bagi setiap yang bermaksud melaksanakan umrah dan haji[2]

Nabi  tidak mengecualikan wanita haid/nifas di dalam hadis ini, bererti ia bersifat umum dan dengan itu, wanita yang berada di dalam keadaan haid/nifas juga wajib niat, berihram di miqat yang didatanginya untuk mengerjakan umrah/haji.

Begitu juga perintah baginda kepada Abu Bakar as-Siddiq  agar menyampaikan kepada isteri beliau, Asma’ binti ‘Umais , yang (nifas kerana) melahirkan Muhammad bin Abu Bakar ketika sampai di miqat (al-Bayda’)…
“Suruh beliau (isteri mu- Asma’) mandi dan kemudian hendaklah beliau niat berihram (dengan melafazkan – seperti tajuk no:13)

(مـرهـا فـلتـغـتـسـل ثـم لـتـهل).”

[Diriwayatkan di dalam Muwatta’ Imam Malik, Musnad Imam Ahmad, Sunan ad-Darimi, Sahih Ibn Khuzaimah, Sunan al-Kubro al- Baihaqiy, Musnad Abi Ya‘la, Mu‘jam al-Kabier at-Tabaraniy. Dihukumkan sahih oleh al-Albaniy dll.] [3]

Hadis ini amat jelas berupa perintah baginda  agar wanita nifas, sekaligus yang sedang mengalami haid, berihram dan “jatuhkan niat” setibanya di miqat. “al-Baidaa” di dalam hadis ini adalah Dzul Hulaifah (Bir ‘Ali) dan itulah miqat Nabi  dan para Sahabat yang datang daripada Madinah menuju ke Mekkah.
  
Rasulullah  juga telah berpesan kepada ‘A-isyah  yang mengalami haid setibanya di Mekkah dengan perintah berikut: “…Lakukanlah segala apa yang dilakukan oleh jemaah lainnya kecuali usah bertawaf keliling Ka‘bah…” [4]

Hadis ini pula menunjukkan hanya Tawaf yang terlarang terhadap wanita haid daripada keseluruhan Manasik Haji. Adapun soal mengapa Tawaf terlarang, maka ada perbahasannya yang tersendiri yang akan dibicarakan kelak.

Perhatian: Inilah juga sebenarnya pendapat al-Imam Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie . Keterangan berikut membuktikannya; kata Imam an-Nawawi (al-Majmu‘: 7/188):

قال الشافعي رضي الله عنه في الأم: "استحب الغسل عند الإحرام للرجل و الصبي و المرأة الحائض و النفساء و كل من أراد الإحرام"...قال: إذا أتت الحائض و النفساء الميقات و عليهما من الزمان ما يمكن فيه طهرهما و أدركهما الحج بلا علة أحببت استئخارهما ليطهرا فيحرما طاهرتين ، و إن أهلتا غير طاهرتين أجزأ عنهما و لا فدية" و قال: و كل عمل الحج تعمله الحائض و غير الطاهر من الرجال إلا الطواف بالبيت و ركعتيه" هذا آخر نصه في الأم 

Maksudnya: Kata al-Imam asy-Syafi‘ie, semoga Allah meredhai beliau, di dalam al-Umm: Aku memandang adalah disukai/digalakkan agar mandi ketika akan berihram untuk lelaki (dewasa), anak kecil dan wanita yang sedang mengalami haid serta wanita yang sedang nifas dan setiap orang yang ingin berihram…Apabila seorang wanita yang sedang haid ataupun nifas mendatangi/sampai miqat dan mereka ada keluasan masa yang membolehkan mereka untuk kembali berkeadaan suci (tamat tempoh haid/nifasnya), sedang haji telah menjadi wajib ke atas mereka tanpa ada apa-apa keuzuran sakit, aku lebih suka jika mereka mampu menundakan permulaan ihram mereka berdua (haid dan nifas) supaya mereka dapat berihram dalam keadaan suci. Jika mereka mula berihram dalam keadaan tidak suci sekalipun, maka ia dikira sah dan mereka telah menunaikan tuntutan dan tiada apa-apa fidyah (denda) yang layak dikenakan ke atas mereka….dan semua amalan (manasik haji) dilakukan oleh seorang wanita yang sedang haid dan juga kaum lelaki yang dalam keadaan tidak suci (berhadas kecil/besar) kecuali Tawaf dan 2 rakaatnya (2 rakaat solat sunnat Tawaf). Demikianlah nas beliau yang terakhir beliau nyatakan di dalam (kitab) al-Umm.

Kedua:
Setelah berihram dengan keadaan haid/nifas, ia boleh bertalbiah selama belum memasuki Masjidil Haram[5] bahkan digalakkan seperti halnya ia mengucapkan niat berihram yang diperintahkan oleh Nabi  di dalam hadis Asma’ itu tadi, yang menyerupai lafaz talbiah. Begitu juga Nabi  tidak melarang ‘A-isyah daripada berzikir dan berdoa di Arafah, Mina dan lain-lain amalan haji ketika dalam keadaan haid.

Ketiga:
Setibanya di kota Mekkah, bagi yang melaksanakan umrah[6], ia nantikan saat ia bersih. Apabila haidnya berhenti, ia mandi hadas dan berwudu’ langsung pergi ke Masjidil Haram dan tidak perlu ke Masjid ‘A-isyah atau luar sempadan Tanah Haram lainnya kerana ia telah sedia berada dalam keadaan ihram. Ia langsung bertawaf dan sebagainya yang menyempurnakan Umrahnya.[7]

Keempat:
Sekiranya ia tetap berterusan di dalam keadaan haid sehingga hari keberangkatannya pulang ke Tanah air, maka pada hari terakhir di Mekkah itu, hendaklah ia mandi membersihkan dirinya kemudian ia pergi ke Masjidil Haram (biarpun masih dalam keadaan haid)[8] dengan memastikan ia tidak mengotori masjid, langsung melakukan Tawaf 7 pusingan yang sempurna. Setelah selesai Tawaf, tentunya ia tidak boleh melakukan Solat sunnat Tawaf kerana solat haram dilakukan oleh seorang yang haid (ijma‘ ulama-tiada perselisihan pendapat di kalangan ulama). Segera ia melaksanakan Sa‘ienya dan selesai Sa‘ie ia bergunting yang dengannya ia bertahallul yakni bebas daripada ihram, kembali seperti keadan biasa sebelum ihram.

Maka wanita haid yang menuruti panduan yang berpandukan hadis-hadis Nabi  yang dijelaskan tadi, masih dapat menunaikan umrahnya dan tidaklah ia pulang tangan kosong. Namun, yang penting bukanlah soal “tangan kosong” tetapi menuruti ajaran yang bertepatan dengan al-Sunnah kerana kecintaan terhadap Rasulullah  dan takut mencanggahi ajaran baginda serta mengharapkan Syafa‘at baginda  pada Hari Kiamat kelak, berpandukan ulasan ‘ulama terkemuka.



[1]  Seandainya seseorang membuat rujukan masalah ini dalam kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhadzdzab Imam Nawawi: 7/188 (Bahasa Arab – cetakan Dar al-Fikr – Beirut, Lebanon – cetakan pertama 1996M/1417H), pasti ia akan menemukan nas al-Imam Muhammad bin Idries asy-Syafi‘ie (wafat 204H) yang ditukil oleh an-Nawawi.
[2]  Riwayat al-Bukhariy dan Muslim.
[3] Perhatian: perlu difahami bahawa ini bukannya bererti adanya “melafazkan niat” untuk segala amalan. Ini tidak dapat dijadikan hujjah bahawa disyari‘atkan atau adanya diajarkan melafazkan niat untuk beramal, kerana di sini Nabi  mengisytiharkan “menyahut seruan Mu ya Allah” sepertimana juga dalam hal sembelihan korban, diisytiharkan bahawa sembelihan itu adalah untuk Allah dan ia juga adalah rezki kurniaan Allah dan ia adalah pengorbanan diri peribadi ataupun merangkumi ahli keluarga sekali. Itulah sebabnya Nabi “mengucapkannya” dengan lantang.

Lafaznya juga bukan: “Nawaitu al-‘Umrata/al-Hajja wa ahramtu biha/bihi” tetapi sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini. Adapun amalan lainnya, seperti solat, puasa, tawaf, sa‘ie dan lainnya, yang penting adalah niat di dalam hati, sebab tiada satu riwayat pun daripada Nabi, para Sahabat dan Imam-imam zaman Salafussolih seperti Imam 4 Madzhab yang masyhur mengajarkan supaya “melafazkan niat”.
[4] Riwayat al-Bukhariy dan Muslim.
[5] Bagi yang menunaikan umrah. Adapun manasik haji maka waktu berhenti talbiah adalah ketika melontar jamrah aqabah pada Hari Raya 10hb Dzulhijjah.
[6] Disebutkan Umrah kerana Manasik Umrah yang utama hanyalah Ihram, Tawaf, Sa‘ie dan bergunting/cukur rambut yang mesti dilakukan dengan tertib urutannya. Setelah berihram, selama belum Tawaf, tidak boleh melakukan Sa‘ie atau lainnya dan ia kekal dalam pantang larang ihram. Berbeza halnya dengan Manasik Haji kerana adanya Wuquf, Mabiet (bermalam) di Muzdalifah dan lain-lain sebelum Tawaf Haji.
[7] Perhatian: Penduduk kota Mekkah yang berada dalam kawasan Tanah Haram dan juga orang-orang yang memasuki Mekkah tanpa menunaikan Umrah (dan tidak berihram), kemudian ia ingin melaksanakan Umrah, dikira hukumnya sama seperti penduduk Tanah Haram Mekkah yang perlu keluar ke Tanah Halal (melepasi sempadan Tanah Haram Mekkah), berihram dan berniat Umrah, lalu masuk semula untuk menyempurnakan ‘Umrahnya dengan Tawaf, Sa‘ie dan bercukur.  

[8] Dengan anggapan bahawa dirinya di dalam keadaan darurat terpaksa tawaf/melintas lalu MasjidilHaram dalam keadaan haidh. Sebab ia tidak mampu untuk duduk tetap di Mekkah tanpa mahram dan tanpa visa/permit kebenaran yang membolehkannya menanti saat bersihnya. Jika tiada darurat maka ia tidak dibolehkan dan orang yang niat melakukan tawaf/berada di dalam masjid sayugianya suci daripada hadas kecil dan hadas besar. Maka ia melakukan segalanya ini kerana darurat.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts