Thursday, December 4, 2014

15. Niat dan penjelasan lanjut (a) Niat untuk anak kecil

a.   anak kecil
Anak kecil belum mumaiyiz (belum dapat memahami hukum – apa yang dibolehkan dan apa yang terlarang, misalnya bayi) maka warisnya (ibu bapa atau penjaga/pembelanya) yang menjatuhkan niat untuknya (yakni di dalam hati ia niatkan, anak itu telah diIhramkan dan mulai melaksanakan Umrahnya). Namun, di dalam perkara pantang larang, anak itu diberi keringanan, sesuai dengan pendapat ulama yang terpilih, kerana mengenakan pantang larang ke atas diri anak kecil demikian adalah sesuatu yang di luar kemampuan warisnya utk memeliharanya.


Berbeza dengan anak kecil yang mumaiyiz, maka warisnya mengajarnya mengikut ucapan yang diucapkan dalam tajuk "no: 13". Kemudian sayugianya warisnya memahamkan anak itu apa yang perlu dielakkannya sebagai memelihara pantang larang semasa berihram. Sekiranya anak itu ada melanggar pantang larang, maka menurut sebahagian ulama, warisnya dikenakan dendanya sebagaimana warisnya juga mendapat pahala perlaksanaan umrah/haji anak kecil tersebut.


Seorang anak yang belum baligh melaksanakan Haji atau ‘Umrah, ia dikira sah, namun ia tetap perlu melaksanakan Hajinya setelah ia baligh.

Yang demikian berpandukan hadis Ibn ‘Abbas: “Seorang wanita telah mengangkat anak kecilnya agar Nabi dapat melihat anaknya itu lalu bertanya: Apakah Haji boleh dilakukan anak ini? Jawab Nabi: Ya dan bagi mu ganjarannya.”[1]

Digandingkan dengan sabda baginda:


"أيما صبي حج ثم بلغ فعليه حجة أخرى وأيما عبد حج ثم عتق فعليه حجة أخرى"

Ertinya: Sesiapa sahaja daripada kalangan anak kecil yang menunaikan haji, kemudian ia baligh, maka wajib atas dirinya perlaksanaan Haji yang lain (sekali lagi) dan mana-mana hamba sahaya yang menunaikan haji, kemudian ia merdeka, maka wajib atas dirinya perlaksanaan Haji sekali lagi. [2]



[1] Riwayat Muslim (2/974)
[2] Riwayat asy Sya-fi‘ie, al-Baihaqiy, al- Hakim dan lainnya. Kata al-Hafiz: Isnadnya Sahih (Fath al-Bari: 4/71)  – sila lihat al-Irwa’: 4/156
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts