Thursday, December 4, 2014

16. Dalam Perjalanan ke Mekkah

Perhatian: Sewaktu di dalam perjalanan ke Mekkah, sebagai musafir, lakukanlah solat fardu secara jama‘ dan qasar bersama jamaah musafir yang lain. Namun, bagi mereka yang akan ke Masjidil Haram, adalah lebih utama mentakkhirkan (menangguhkan) solat sehingga sampai di Masjidil Haram (100,000 kali lebih utama dari masjid lainnya) selama tidak terlewat Solat daripada waktu pilihan, apatah lagi terlepas Solat pada waktunya, misalnya Solat Isyak selepas tengah malam.


Sebagaimana keterangan hadis-hadis berikut:
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amri  kata beliau meriwayatkan: “Bahawasanya Rasulullah telah bersabda:

, وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرِ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبِ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتِ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنِ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ   -

“Waktu Solat Zohor ialah ketika matahari telah condong (ke Barat) dan (sehingga) bayang-bayang seseorang itu sama panjang dengan tubuhnya iaitu selama belum masuk waktu Asar. Waktu Asar pula selama matahari belum kemerahan (di ufuk Barat – hampir terbenam). Manakala Waktu Maghrib selagi belum hilang mega-mega merah senja dan Waktu ‘Isya’ pula adalah sehingga pertengahan malam sementara Waktu Subuh adalah ketika terbitnya Fajar (Sadiq sehinggalah) matahari terbit. Apabila matahari sedang terbit, maka tahanlah diri kamu daripada solat kerana ia terbit di antara 2 tanduk syaitan” [1]

al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy berkata: al-Bazzar dan at-Tabaraniy meriwayatkan hadis daripada Abi ad-Darda’ yang beliau nyatakan secara marfu‘:

, الصَلَاة فِي المسجد الحرام بمائة ألف صلاة ، و الصلاة في مَسْجِدِي هَذَا بأَلْفِ صَلَاةٍ و الصلاة في بيت المقدس بخمسمائة صلاة -

“Solat di Masjidil Haram (ganjarannya) adalah sebanyak seratus ribu (100,000) solat dan solat di masjid ku ini (Masjid Nabawi) (ganjarannya) adalah sebanyak seribu (1000) solat dan solat di Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) (ganjarannya) sebanyak lima ratus (500) solat.”
Kata al-Bazzar: Isnadnya Hasan. Maka dengan itu, menjadi jelas bahawa pengecualian Masjidil Haram membawa maksud keutamaannya ke atas Masjid Nabawi…[2]


Semasa dalam perjalanan menuju ke Mekkah perbanyakkan Talbiah, zikir, tilawah Al-Quran dan doa kerana waktu ini doa seseorang itu mustajab. Selain itu, setiap kali berada di dataran tinggi ucapkanlah:


 اَللهُ أَكْبَرُ

maksudnya: “Allah Maha Besar.” (Lebih agung dan tinggi dari tempat aku ini)

Adapun sewaktu berada di lembah, dataran yang rendah, ucapkanlah:


 سُبْحَانَ الله 

maksudnya: “Maha suci Allah.” (Maha suci dari segala kerendahan dan kekurangan).

Daripada Jabir bin ‘Abdillah:
      
  كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا وَإِذَا نَزَلْنَا سَبَّحْنَا  

Maksudnya: Kami dahulu (bersama-sama Nabi) apabila kami telah menaiki puncak bukit (sewaktu di dalam perjalanan bermusafir) kami akan bertakbir dan ketika kami telah menuruni (lembah) kami akan bertasbih. [3]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan: …perbuatan Rasulullah bertakbier ketika berada di dataran tinggi adalah sebagai penghayatan dan merasakan serta menijiwai kebesaran Allah dan ketikamana penglihatan mata melihat sendiri kehebatan ciptaan-ciptaanNya kerana sesungguhnya Dia  adalah lebih Besar daripada segala sesuatu, manakala Tasbiehnya baginda sewaktu berada di “perut” lembah-lembah adalah diambil faedahnya daripada kisah Nabi Yunus  kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah * dengan bertasbih ketika berada di dalam perut ikan yang gelap, maka Nabi bertasbih kepada Allah  ketika berada di “perut” lembah agar Allah menyelamatkan baginda keluar daripadanya. Boleh disimpulkan juga bahawa ucapan Tasbieh ketika berada di dataran rendah adalah daripada sudut yang mana Tasbieh itu adalah “pujaan penyucian” Allah daripada segala sifat yang rendah sepertimana bersesuaiannya ucapan Takbier di dataran tinggi (sebagai menyesuaikan Sifat Allah yang Maha Tinggi dan Besar daripada segala yang ada)….[4]

Perhatian: Tiada suatu hadis pun yang menjelaskan adanya doa tertentu, ketika memasuki Tanah Haram Mekkah, maka adalah lebih afdal kita tidak membacanya. Bahkan sebaiknya kita membaca Doa masuk Negeri atau Daerah yang baru kita sampai dalam perjalanan bermusafir, seperti ketika ketibaan di Jeddah dan ketika memasuki Madinah.



[1] Hadis riwayat Imam Muslim (as-Sahih: al-Masajid wa Mawadi‘ as-Solah: 966).
[2] Fath al-Bari 3/81. Namun, riwayat yang lebih kuat menyebutkan kelebihan dan keutamaan Masjidil Aqsa pada 250, bukan 500 kali lebih baik - HR al-Haakim dan dihukumkan Sahih oleh beliau dan disetujui oleh adz-Dzahabi dan juga al-Albaaniy (Silsilah Sahihah: 2902)  
[3] Riwayat al-Bukhari (as-Sahih: al-Jihad: 2771 dan hadis no 2772 pula dengan lafaz yang berbeza tetapi sama maknanya).
[4] Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 6/158 
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts