Monday, December 8, 2014

21. Tawaf dan tatacaranya

Langsung menuju ke Hajar Aswad untuk mengucupnya dan memulakan Tawaf.

Sekiranya keadaan sesak, tidak mengizinkan kita untuk mengucupnya kecuali dengan menyakiti atau mengganggu jemaah yang lain, maka cukup dengan mengusapnya dengan tangan kanan, lalu mengucup tangan tersebut.

Jika tidak dapat mengusap, cukup dengan membuat isyarat dengan tangan kanan sahaja seperti bertakbir waktu solat dengan menghadap ke arah Hajar Aswad dan Kaabah, sambil berniat tawaf umrah dan  mengucapkan:


<   بِسْمِ اللهِ، اَللهُ أَكْبَرُ >
      
maksudnya: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar.”[1]


Berpaling ke kanan mulakan tawaf.
Bagi kaum lelaki secara khusus, disunnatkan melakukan ‘raml’ yakni lari-lari anak dengan langkah yang kecil dan gerak bahu (hanya pada 3 pusingan yang pertama sahaja).

Bacalah apa saja dari ayat-ayat suci Al-Quran yang dihafal, atau membaca zikir dan terutama sekali, banyakkan berdoa. Adapun doa tertentu pada setiap pusingan, maka tiada asalnya dari perbuatan Nabi . Maka doalah dengan doa sendiri kerana kita lebih mengetahui hajat kita masing-masing dan Allah Maha Memahami.[2]

Apabila sampai ke Rukun Yamani yakni rukun terakhir sebelum Hajar Aswad, usaplah rukun tersebut dengan kedua tangan jika mampu. Jika tidak, tidak perlu beri isyarat dengan tangan.

Dari Rukun Yamani sampai ke Rukun Hajar Aswad, bacalah dan ulangilah doa ini:


رَبَّـنَـا آتِـنَـا فِي الدُّنْـيَا حَـسَـنَـةً وَ فِي الْآخِـرَةِ حَـسَـنَةً


وَ قِـنَا عَـذَابَ النَّـارِ 

     maksudnya: “Ya Tuhan Kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia, kebaikan di akhirat dan lindungilah kami dari azab api neraka.”
Demikianlah yang dilakukan pada setiap pusingan.[3]




[1] Ibid., Mursyid al-Mu‘tamir wa al-Haj wa az-Za-ir: hlm.88. Bacaan bismillah adalah riwayat daripada perbuatan Ibn ‘Umar dan tidak dapat dipastikan daripada perbuatan Nabi. 
[2] Mursyid al-Mu‘tamir wa al-Haj wa az-Za-ir: hlm.92.
[3] Ibid; 89-92, Manasik al-Hajj wa ‘Umrah: 20-22
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts