Monday, December 8, 2014

23. Sa’ie dan tatacaranya

Menuju ke Bukit Safa untuk bersa‘ie


[1]Berpandukan lampu hijau petanda Hajar Aswad yang ada di tembok Masjidil Haram bertentangan dengan Hajar Aswad, menuju ke Bukit as-Safa untuk melakukan Sa‘ie.

Tempat melakukan ibadah Sa‘ie berada di luar Masjidil Haram walaupun bangunannya bercantum. Oleh itu, apabila masuk ke kawasan Sa‘ie bacalah doa keluar masjid:

  بِسْمِ اللهِ وَ الصَّلاَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَى  رَسُوْلِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ 
فَضْلِكَ 
        
maksudnya: “Dengan nama Allah, selawat dan salam buat Rasulullah. Ya Allah, aku memohon dari Mu kurniaan Mu yang besar.”


Dengan itu, bererti seorang yang di dalam keadaan junub boleh berada di tempat Sa‘ie, demikian pula tiada solat Tahiyatul Masjid bagi sesiapa yang berada di tempat Sa‘ie yang  belum masuk ke Masjidil Haram.
       
Demikian pula, sesiapa yang telah batal wudu’nya boleh melakukan Sa‘ie kerana ia bukan syarat. Begitu juga wanita yang didatangi haidnya secara tiba-tiba sebaik sampai di tempat Sa‘ie ataupun ketika sedang Sa‘ie, ia dapat meneruskan Sa‘ienya dan dikira sah.[2] Namun, adalah lebih baik berada di dalam keadaan bersuci bagi yang mampu.

Sebaik sahaja sampai di kaki Bukit as-Safa, bacalah sewaktu mendaki:


أَبْـدَأُ بِمَا بَـدَأَ اللهُ بِـهِ 

   maksudnya: “Sesungguhnya (bukit) as-Safa dan al-Marwah adalah di antara Syiar-syiar kebesaran Allah. Maka barangsiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah atau berumrah maka tiada salah atas dirinya untuk bersa’ie di antara keduanya. Dan barangsiapa yang berusaha  melakukan kebaikan maka Allah adalah Maha Bersyukur lagi Maha Mengetahui. Aku mulakan dengan apa yang  dimulakan Allah.”

Ketika berada di atas Bukit as-Safa, dengan niat yang dihadirkan di dalam hati, berniat melaksanakan Sa'ie Umrah, sambil menghadap Kaabah mulakanlah bacaan ini:


بِسْمِ اللهِ ،  اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ  اللهُ وَحْدَهُ لاَ 


شَرِيْكَ لَهُ ، لَهُ الْمُلْكُ، وَ لَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَ يُمِيْتُ  وَ هُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ 


قَدِيْرٌ ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ ،  أَنْجَزَ وَعْدَهُ، وَ نَصَرَ عَبْدَهُ، وَ هَزَمَ 


الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ 


maksudnya: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Maha Esa tiada yang sebanding denganNya. BagiNya segala kerajaan dan segala pujian adalah untukNya, Dia Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Tiada Tuhan yang hak selain Allah yang Esa, Menyempurnakan JanjiNya, Menolong hambaNya, Menewaskan puak-puak Ahzaab Sendirian.”

Ulangi bacaan ini 3 kali, kemudian berdoa dengan apa yang dihajatkan dengan mengangkat kedua belah tangan.

Setelah itu turun dari as-Safa dengan mengambil laluan kanan mengikut arus manusia, menuju ke Bukit Marwah.

Apabila sampai di deretan lampu hijau (di tiang dan bumbung) yang pertama, bagi kaum lelaki sahaja, lakukanlah sa’yi yakni berlari dengan laju dan cergas (tanpa menimbulkan mudharat) sehinggalah sampai ke lampu hijau yang kedua. Setelah itu teruskan dengan berjalan sampai ke Marwah.

Sebahagian ulama mengajarkan kita membaca doa:

 رَبِّ اغْفِرْ وَ ارْحَمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْأَعَزُّ الْأَكْرَمُ 


maksudnya: Tuhan ku, ampunilah dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Agung lagi Maha Pemurah.”
       
sepanjang perlaksanaan sa’ie (bukan ketika berlari) kerana benar ia dari perbuatan Ibn ‘Umar dan Ibn Mas‘ud . Namun, dibolehkan untuk  membaca doa-doa yang lain menurut hajat masing-masing. Boleh juga membaca Al-Quran dan zikir lainnya.

Ketika mendaki Bukit Marwah, jangan membaca:

 <   إن الصفا و المروة ...>   

sekali lagi, kerana ia bukan dari amalan Nabi  atau Sahabat.

Sewaktu berada di Bukit al-Marwah lakukanlah seperti apa yang dilakukan semasa berada di Bukit as-Safa:

بِسْمِ اللهِ ،  اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ  اللهُ وَحْدَهُ لاَ 


شَرِيْكَ لَهُ ، لَهُ الْمُلْكُ، وَ لَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَ يُمِيْتُ ، وَ هُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ 


قَدِيْرٌ ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ ،  أَنْجَزَ وَعْدَهُ، وَ نَصَرَ عَبْدَهُ، وَ هَزَمَ 


الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ 
      
maksudnya: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Maha Esa tiada yang sebanding denganNya. BagiNya segala kerajaan dan segala pujian adalah untukNya, Dia Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Tiada Tuhan yang hak selain Allah yang Esa, Menyempurnakan JanjiNya, Menolong hambaNya, Menewaskan puak-puak Ahzaab Sendirian.”

*Ulangi bacaan ini 3 kali, kemudian berdoa dengan apa yang dihajatkan dengan mengangkat kedua belah tangan.

Dengan itu, satu pusingan dari 7 pusingan telah dilaksanakan. Begitulah seterusnya, bila sampai ke Bukit as-Safa semula dikira sebagai telah menyempurnakan pusingan yang kedua.

Ringkasnya : as-Safa ke al-Marwah = 1, al-Marwah ke as-Safa = 2, as-Safa ke al-Marwah semula = 3, demikian sehingga berakhir di al-Marwah pada pusingan yang ketujuh.

Setelah itu turun dari Bukit Al-Marwah dan berjalan menuju ke Bukit as-Safa. Apabila sampai di deretan lampu hijau (di tiang dan bumbung) yang pertama dari arah al-Marwah pula, bagi kaum lelaki sahaja, lakukanlah sa‘yu sekali lagi sebagaimana sewaktu datang dari arah as-Safa. Cuma kali ini, lampu hijau yang pertama dari arah as-Safa menjadi petanda yang kedua dari arah Al- Marwah. Di situ berhentikan larian. Lalu, teruskan berjalan sampai ke Bukit as-Safa dan lakukan sepertimana yang dilakukan setiap kali sampai di setiap bukit.



[1] Mursyid al-Mu‘tamir wa al-Haj wa az-Za-ir: 94-101
[2]   Sila lihat halaman 24-25 – perkara no: 14 bahagian “c”. 
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts