Monday, December 8, 2014

24. Bercukur atau bergunting - dengannya Bertahallul

Setelah selesai bersa’ie, bercukur atau bergunting dan bercukur adalah lebih utama bagi kaum lelaki kerana Nabi mendoakan 3 kali buat mereka yang bercukur dan hanya 1 kali buat mereka yang bergunting.

Adapun kaum wanita, mereka hanya perlu menggunting hujung- hujung rambut mereka dengan kadar 1 atau 2 inci sahaja.

Dengan perlaksanaan semuanya itu tadi dengan tertib, seseorang itu boleh bertahallul.

 

Perhatian: Tahallul itu ertinya menjadi halal. Maksudnya, orang yang berihram, sebaik sahaja ia berihram, menjadi haram atas dirinya beberapa perkara yang dinamakan pantang larang ihram, seperti halnya Takbiratul Ihram di dalam solat, yang dengan bertakbir itu menjadi haram segala perbuatan luar solat. Maka dengan bergunting, menyempurnakan rukun Umrah yang terakhir, seseorang itu telah berubah daripada keadaan haram melakukan pantang larang ihram kepada halal bebas daripada pantang larang tersebut, sepertimana memberi salam menghalalkan perbuatan luar solat.


     Dijelaskan makna “tahallul” ini kerana timbulnya salah faham bahawa tahallul itu bercukur/bergunting sebab orang yang bergunting sebelum sa’ie tidak bertahallul bahkan berdosa dan dikenakan dam/denda. Begitu pula dalam manasik haji, orang boleh bergunting/bercukur walaupun belum melaksanakan lontar jamrah aqabah atau tawaf rukun (tawaf haji) ataupun menyembelih dam tammattu‘/qirannya, yang mana bergunting atau bercukur itu dilakukannya sebagai salah satu manasik yang dituntut atas dirinya selaku jemaah haji pada 10hb Dzulhijjah. 


Sebagaimana kita perlu (yakni diwajibkan sebagai satu Rukun) melakukan Tawaf, kemudian Sa'ie, maka begitu juga menjadi kewajipan kita bergunting atau bercukur. Maka sebagaimana Niat (Ihram), Tawaf dan Sa'ie, kita melaksanakannya sendiri atau dengan bantuan orang lain ketika tidak mampu (misalnya didorong dengan kerusi roda), maka begitu juga bergunting atau bercukur ini, yang kita wajib lakukannya samada buat sendiri atau dibantu orang lain, sama sahaja dan bukannya melanggar pantang larang ihram. 


Melanggar pantang larang Ihram itu bila "bergunting atau bercukur" sebelum melakukan Tawaf dan Sa'ie.   


WalLahu a’lam.


      Selesai dengan izin Allah

 Semoga Allah menerima ibadah umrah kita sebagai ibadah yang baik di sisiNya, yang menyelamatkan kita di dunia ini dan pada Hari Kiamat kelak. Amiiin.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts