Monday, December 8, 2014

25. Tawaf Wida‘ sebelum berangkat pulang

Tawaf Wida‘

Apabila telah berada beberapa hari di Mekkah, memelihara ibadah Solat 5 waktu di Masjidil Haram, ketika tiba saat untuk pulang ke Tanah air ataupun akan Menziarahi Kota Madinah, kesimpulannya, seseorang akan meninggalkan Mekkah, adalah wajib bagi jemaah Haji mahupun ‘Umrah (ada perselisihan pendapat 'Ulama - ada yang berpendapat, Tawaf Wida‘ hanya wajib dalam Ibadah Haji) untuk melaksanakan Tawaf Wida‘ atau Wada‘ (Tawaf Perpisahan), berdasarkan perintah baginda yang bersifat umum:

"لا يَنْفِرَنَّ أَحدٌ حَتَّى يَكونَ آخِرَ عَهْدِه بالبيت" 

ertinya: “Jangan seseorang pun meninggalkan (Mekkah) sehingga yang terakhir sekali, ia mengelilingi (tawaf) al-bait (Tawaf)” 


sekaligus kisah Safiyyah yang mengalami haid selepas Tawaf Ifadah[1] dan Ibn ‘Abbas menjelaskan bahawa wanita haid dan nifas sahaja yang diberikan keringanan[2] - menjadi dalil bahawa wanita yang berkeuzuran dan jemaah lelaki atau wanita yang sakit sehingga tidak berupaya melakukannya, digugurkan daripada tuntutannya. 

Difahami juga daripada kisah Safiyyah (isteri Rasulullah) ini, sebagaimana penjelasan 'Ulama', bahawa wanita yang masih mengalami haidnya dan telah berihram sejak hari Miqat serta terpaksa berangkat bersama rombongan jemaahnya, melakukan Tawaf 'Umrah - satu-satu Tawaf yang dilakukannya - sudah mencukupi baginya dan tiada  Tawaf Wida‘ yang wajib dilakukannya. Kemudian ia melaksanakan Sa'ie lalu menggunting hujung rambutnya dan dengannya sempurna 'Umrahnya. Seperti yang telah dijelaskan di bawah tajuk ini: 15c. wanita haid/nifas 

Maka dengan niat Tawaf Wada‘, seseorang jemaah Haji atau 'Umrah melakukan 7 pusingan, (siap berpakaian untuk perjalanan pulangnya, tiada Ihram), kemudian solat 2 raka‘at selepas Tawaf, lalu keluar dari masjid untuk pulang ke tanah air, dengan penuh insaf, tanpa melakukan bid‘ah lambaian atau berjalan ke belakang kerana tidak mahu membelakangkan Ka‘bah. 

Itulah perkara terakhir, tiada kegiatan lain lagi kecuali yang darurat (seperti perlu ke tandas dan mengangkut naik barang-barang - tiada beli belah lagi).



[1] HR Muslim: 2/963 (Hadis dan Kisah Safiyyah)
[2] HR al-Bukhariy (al-Fath: 3/585), dan Muslim: 2/963
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts