Monday, December 8, 2014

26. Solat Qasar & Jama' (panduan ringkas Jemaah Haji & Umrah)

Solat Qasar:

Qasar ertinya ringkas.

Adapun solat qasar: Ialah meringkaskan solat-solat fardu yang bilangan asalnya 4 rakaat menjadi 2 rakaat sahaja.

Solat-solat yang boleh dilakukan Qasar: Zohor, Asar dan ‘Isya.


Caranya: Solat sepertimana biasa cuma apabila telah selesaikan 2 rakaat, tahiyat awal menjadi tahiyat akhir lalu diakhiri dengan salam. Tentunya sewaktu permulaannya dimulakan dengan niat di hati akan melakukan solat tersebut secara Qasar. Melafazkan niat adalah tidak wajib dengan kesepakatan Imam 4 Madzhab, maka selama seseorang muslim itu tahu apa yang ingin dilakukannya daripada amalan dan tekad atau azamnya di hati telah ada, ia pun melaksanakannya.

‘Illah (sebab/faktor) solat dilakukan secara Qasar: Safar
            bererti seorang musafir sahaja yang boleh solat Qasar.
     Apabila ia bertukar keadaan menjadi seorang muqim (tetap di negeri destinasinya) atau menjejakkan kakinya ke tanahairnya, ia tidak boleh qasar lagi. Sebaliknya ia mesti melaksanakan solatnya secara tamam (4 rakaat).

Bilakah seseorang itu dinamakan ‘musafir’?
1.         Ia dinamakan musafir sebaik sahaja ia meninggalkan negeri   (tidak semestinya negara), menurut ‘Uruf dan niat.
2.     Perjalanannya daripada tanahairnya hingga ke destinasinya menjangkau jarak 2 marhalah (1 marhalah = 44.352 km) menurut pendapat Jumhur antaranya Imam 4 Madzhab utama kecuali Imam Abu Haniefah yang menetapkan 3 marhalah.

Misalnya:
       S’pura adalah sebuah negeri. Selama seseorang tidak meninggalkan negerinya ia tidak dikira musafir. Oleh itu, ‘despatch rider’ walau telah beribu batu ia pusing seluruh S’pura, lebih daripada 90km, ia tidak boleh lakukan Qasar sebab ia bukan musafir.

Adapun Malaysia adalah sebuah negeri juga. Tetapi ia adalah negeri yang besar yang merangkumi beberapa buah negeri. Oleh itu, jika seorang yang tinggal di Johor bermusafir ke Kelantan atau K.L., ia boleh Qasar kerana telah meninggalkan negeri Johornya ke negeri lain walaupun kedua-duanya di dalam Malaysia dan jaraknya melebihi 90km.

Selain itu, jika seseorang yang tinggal di S’pura ingin ke Melaka, tetapi ia singgah di Angsana Plaza (Johor), ia boleh solat Qasar di Johor kerana ia telah memulakan perjalanannya ke destinasinya yang melepasi jarak 2 marhalah dan ia telah keluar dari negerinya S’pura. Wallahu a’lam.

[Perhatian di sana ada beberapa pendapat di dalam hal-hal ini. Kita mengambil jalan yang pertengahan atas dasar taqwa dan Sunnah. Namun, itu tidak akan menjadikan kita berkeras dengan pendapat sendiri dan menyalahkan pendapat yang lain. Sebab, semuanya berpandukan dalil dan ijtihad para ulama besar]
                  
Bilakah musafir dinamakan muqim di negeri destinasinya.
1.   Maksud ‘negeri destinasinya’ ialah tempat tujuannya yang utama. Misalnya: Seseorang ingin ke Bangkok (destinasinya) dari S’pura (tanahairnya), tetapi ia singgah di K.L. Maka ia masih dikira seorang musafir selama di K.L. sebab ia belum sampai ke destinasinya dan ia sentiasa punya niat meneruskan perjalanan.
2.     Apabila ia telah berada selama 3 hari [72 jam] (menurut Jumhur, di antaranya Mazhab asy-Syafi‘ie) di negeri destinasinya, maka ia telah berubah menjadi muqim dengan niatnya berada tetap di destinasinya, sehinggalah ia memulakan perjalanannya pulang ke tanahairnya maka ia dikira musafir lagi sehingga sampai ke tanahairnya.

Cabang permasalahan :
1. Sekiranya seorang musafir itu solat dengan seorang Imam muqim atau Imam yang tidak melakukan Qasar, maka hendaklah ia melaksanakan solat mengikut Imam tersebut. Yakni ia solat secara tamam (4 rakaat) dan tidak boleh Qasar. Demikianlah sunnah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Abbas.
“Suatu ketika kami bersama Ibn ‘Abbas di Mekkah, maka saya pun tanyakan kepada beliau: Sesungguhnya bilamana kami bersama anda, kami solat 4 raka‘at tetapi apabila kami pulang ke khemah-khemah kami, kami solat 2 raka‘at sahaja. Ibn ‘Abbas menjawab: Demikian itulah (ajaran) Sunnah Abil Qasim .” [1]
2. Lebih utama (afdal) bagi seorang musafir melaksanakan solatnya bersama jemaah musafir yang melakukan solat Qasar. Sebab, Qasar adalah rukhsah (keringanan) hadiah daripada Allah, maka Allah suka hadiahNya diterima oleh hambaNya sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi: Sesungguhnya Allah suka agar didatangi (diambil) rukhsah sebagaimana Dia benci kemaksiatan kepadaNya didatangi (dilakukan)[2].

Oleh itu, selama mampu, usahlah seorang musafir solat berimamkan seorang yang muqim.
        Namun, ada 3 tempat yang dikecualikan; Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa kerana keutamaan 3 masjid ini. Oleh itu, apabila berada di Makkah, Madinah atau Baitul Maqdis, lakukanlah solat bersama Imam masjid-masjid tersebut.

Ringkasannya :
1.       Seseorang tidak akan melakukan Qasar kecuali jika ia bermusafir. Maka tiada Qasar selama ia masih berada di dalam negeri tanahairnya.
2.         Solat yang boleh di Qasarkan ialah yang 4 rakaat sahaja.

Wallahu Ta’ala a’lam.



Solat Jama‘:

Jama’ ertinya menyatukan.

Adapun solat Jama‘: Ialah menyatukan solat-solat fardhu. Melaksanakan 2 waktu solat yang berbeza pada 1 waktu. Misalnya: Zohor dengan Asar pada waktu Zohor.

Solat-solat yang boleh diJama‘kan: Zohor, Asar, Maghrib dan ‘Isya’ sahaja.
                  
Untuk mudah ingat: Solat waktu siang dengan solat waktu siang (Zohor dan Asar), manakala solat waktu malam dengan solat waktu malam (Maghrib dan Isyak).

Bermakna Asar tidak boleh diJama‘kan dengan Maghrib (siang dengan malam).
Solat tengah-tengah di antara waktu siang dan malam (Subuh) tidak boleh diJama‘kan dengan solat waktu lain.

Caranya:
         Iaitu dengan mengerjakan solat-solat Zohor dan Asar pada waktu Zohor (maka tidak perlu solat Asar bila masuk waktu Asar kerana telah di“advance”kan)
           
Atau:  kedua-duanya pada waktu Asar (sedang Zohor tidak dikerjakan pada waktunya sehingga berlalu waktu Zohor – ditundakan dengan niat)
Kesimpulannya ada 2 cara:
1.         Taqdiem (dikedepankan/advanced)
2.         Ta’khier (ditundakan/deferred)

1.         Jama‘ Taqdiem:
            Solat Zohor sepertimana biasa (pada waktu Zohor), selesai salam, bangun untuk solat Asar pula. Apabila masuk waktu Asar nanti, Asarnya kira telah dilaksanakan maka tidak perlu solat Asar lagi.
            Solat Maghrib sepertimana biasa (pada waktu Maghrib), selesai salam, bangun untuk solat Isyak pula. Apabila masuk waktu Isyak nanti, Isyaknya kira telah dilaksanakan maka tidak perlu solat Isyak lagi.

2.         Jama‘ Ta’khier:
           Sewaktu masuk waktu Zohor, solat Zohor tidak dilakukan dengan niat akan melaksanakannya pada waktu Asar nanti. Sehinggalah waktu Zohor berlalu. Setelah masuk waktu Asar, bila-bila sahaja keadaan mengizinkan, lakukan solat Zohor kemudian Solat Asar.
            Sewaktu masuk waktu Maghrib, solat Maghrib tidak dilakukan dengan niat akan melaksanakannya pada waktu Isyak nanti. Sehinggalah waktu Maghrib berlalu. Setelah masuk waktu Isyak, bila-bila sahaja keadaan mengizinkan, lakukan solat Maghrib kemudian Solat Isyak.

‘Illah (sebab) sholat dijama’kan :
        Darurat ataupun Hajat yakni keadaan kesempitan waktu atau kegentingan yang tidak dapat dielakkan, ataupun adanya hajat demi memudahkan urusan sehingga solat tidak mampu dilakukan pada waktunya.
       Keadaan genting tidak semestinya di luar negeri. Seseorang di dalam negeri pun boleh saja menghadapi kesempitan waktu. Namun, untuk menentukan sesuatu itu darurat, kita perlu ingat Allah Maha Mengetahui dan kita akan dipersoalkan akan setiap amalan yang kita kerjakan. Maka darurat ditentukan atas dasar taqwa bukan untuk meremehkan solat. Demikian pula Kaedah-kaedah Fiqh telah menetapkan beberapa kaedah di dalam persoalan darurat; antaranya: “Darurat itu dianggarkan menurut kadarnya” bererti bukan sesukanya sesuatu itu boleh dikatakan darurat. Demikan pula, apabila darurat itu telah lenyap maka segala perkara kembali kepada asalnya sebagaimana sebelum kedatangan darurat itu tadi. 
                  
Perhatian :
        Ramai orang mencampuradukkan di antara Solat Qasar dengan Solat Jama‘. Untuk kita tidak keliru, kita tumpukan pada ‘illahnya (sebab) mengapa solat diQasarkan dan mengapa solat diJama‘kan. Maka adakalanya seseorang itu melakukan Qasar tanpa Jama‘ (sebagaimana halnya orang yang bermusafir ke Bangkok singgah di K.L. dalam keadaan tenang, tidak darurat, maka ia Qasar Zohor jadi 2 rakaat, Asar 2 rakaat, masing-masing pada waktunya – tanpa Jama‘).
           
Demikian pula adakalanya ia lakukan Jama‘ tanpa Qasar sebagaimana halnya orang yang akan berangkat bermusafir, di Airport ia sibuk, darurat, mungkin tidak dapat solat Asar pada waktunya sedang ia akan berlepas pada waktu hampir Maghrib dan perlu meninggalkan rumah pada waktu sebelum Asar. Maka ia lakukan Zohor dan Asar secara Jama‘ di rumahnya tanpa melakukan solat secara Qasar kerana ia belum bermusafir (hanya musafir boleh lakukan Qasar).[3]

[Perlu diketahui yang dimaksudkan dengan Solat Sunnat untuk musafir adalah solat sunnat yang bukan Rawatib (yang mengiringi Solat Fardu – Qabliyah dan Ba‘diyah) kerana yang Rawatib tidak dilakukan oleh Nabi ketika bermusafir melainkan 2 raka‘at sebelum Subuh. Terdapat perbezaan pendapat ‘ulama di dalam “sunnat Rawatib” ketika bermusafir dan Imam an-Nawawi serta segolongan Imam lainnya memandang bahawa ia tetap “sunnat” hukumnya untuk dilakukan. Adapun Imam Ibn al-Qayyim dan segolongan lainnya (antaranya Ibn ‘Umar - Sahabat) berpendapat ia tidak sunnat bahkan bercanggah dengan yang utama untuk dilakukan kerana Nabi sendiri tidak melaksanakannya. Selain itu, dengan penilaian bilamana Solat Fardu menjadi Qasar (keringanan) adalah sesuai Solat Sunnat yang mengiringinya digugurkan tuntutannya. Pendapat Imam Ibn al-Qayyim ternyata lebih kuat. Wallahu a‘lam. – Kitab Zad al-Ma‘ad]

Wallahu Ta‘ala a‘lam.



[1] Hadis riwayat Imam Ahmad (no: 1765). Kata asy-Syeikh al-Albaniy: Hadis Sahih diriwayatkan oleh Ahmad (1/216), as-Siraj (al-Musnad(manuskrip): 1/120, at-Tabaraniy (al-Mu‘jam al-Awsat: 1/278/1 – salinan daripada Universiti Islam Madinah), Abu ‘Awanah (al-Musnad: 2/340)
[2] Riwayat Imam Ahmad (2/108) dan Imam Ibn Hibban (2742) daripada Ibn ‘Umar dengan sanad yang Sahih.
[3] antara dalil dan hujjah kuat yang dikemukakan oleh Imam Ibnul Qayyim ialah tatacara Nabi menunaikan solat ketika perlaksanaan Ibadah Haji. Ibadah Haji itu sendiri, sebahagian manasiknya menimbulkan keadaan yang “sukar” dan ada sebahagiannya pula yang “ringan atau mudah”. Yang nyata di dalam riwayat-riwayat yang sahih mengenai tatacara Nabi solat ketika perlaksanaan Haji (sebagaimana yang boleh didapatkan daripada kitab “Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah fi al-Kitab wa as-Sunnah wa Atsar as-Salaf” – ringakasan daripada kitab: Hijjat an-Nabiy kama rawaha ‘anhu Jabir” – kedua-duanya oleh asy-syeikh al-Albaniy), Rasulullah melaksanakan Solat Qasar tanpa Jama‘ (Zohor-Subuh) pada Hari Tarwiyah (8hb DzulHijjah) di Mina kerana tidak banyak kegiatan ketika itu. Pada Hari ‘Arafah (9hb) baginda tunaikan Solat Zohor dan Asar secara Qasar dan Jama‘ pada waktu Zohor di ‘Arafah. Begitu juga pada malamnya setelah sampai di Muzdalifah, baginda solat Maghrib dan Isya’ secara Qasar dan Jama‘. Pada 10hb, Nabi menunaikan Solat Zohor Qasar di Mekkah setelah selesai Tawaf Ifadah (riwayat lain di Mina) dan begitu juga ‘Asar secara Qasar tanpa Jama‘. Begitulah juga selama 3 hari berada di Mina (11, 12 dan 13hb DzulHijjah). Justeru itu, dalil dan hujjah Imam Ibnul Qayyim masih ada sudut kekuatannya yang tersendiri kerana ia adalah amalan terkahir yang Nabi contohkan hampir dengan saat kewafatan baginda serta perjalanan tersebut mempunyai berbagai keadaan yang  berbeza-beza samada genting atau mudah, tetap di satu tempat atau bergerak dan juga penuh dengan kegiatan atau tidak sibuk. Wallahu a‘lam.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts