Thursday, December 11, 2014

Adab-adab Musafir (panduan ringkas untuk jemaah Haji & Umrah)

Persiapan Awal & Adab-adab
1. Beristikharah (Memohon Petunjuk Allah)

Seorang hamba yang ingin mendapatkan Rahmat Allah dan didampingi Kasih Sayang dan KeredhaanNya, sentiasa akan memohon kepada Allah yang Maha Kuasa, Maha Pengasih dan Penentu segala sesuatu. Apatah lagi ketikamana ia ingin mendapatkan Rahmat Allah dan AmpunanNya dengan mengerjakan Ibadat yang disukai Allah, ‘Umrah dan Haji.


Lagipun, ia akan bermusafir untuk tujuan itu dan perlu membuat beberapa pilihan seperti tarikh dan perjalanannya bermusafir, teman seperjalanan, pihak pengurusan (agensi haji) dan lainnya. Lumrahnya seseorang itu akan memilih yang termurah, paling selesa, khidmat yang cekap dan seumpamanya. Selayaknya ia memilih yang menghalakannya kepada ketaqwaan, membimbingnya dengan panduan Allah dan RasulNya, menuntunnya ke arah perlaksanaan Haji dan ‘Umrah yang sesempurnanya demi meraih Rahmat dan Ampunan Allah.
Oleh itu, sebelum ia membuat apa-apa tindakan, ia melakukan Istikharah terlebih dahulu[1]. Sayugianya ia beristikharah kepada Allah berkenaan waktunya (tarikh dan masa), kenderaannya, teman perjalanannya, syarikat yang akan menguruskan perjalanannya, serta hala tujunya (itenerary)[2] sekiranya ada berbagai laluan. Sebaiknya ia mendapatkan nasihat daripada orang yang berpengalaman dalam menentukan segalanya itu. Bukannya maksud Istikharah di sini untuk “laksanakan atau tidak laksanakan Haji atau ‘Umrah” sebab Istikharah itu dilakukan pada perkara yang “mubah” bukan yang wajib atau sunnat dan tidak pula yang haram atau makruh.  

Perlu difahami sebenarnya ada 2 tafsiran terhadap maksud Istikharah; [dan Istikharah adalah melakukan solat 2 raka‘at, yang bukan solat fardu[3] kemudian berdoa kepada Allah dengan doa yang warid (yang diajar oleh Rasulullah)]:
i. meminta keputusan daripada Allah dengan melakukan solat 2 raka‘at tersebut beserta doanya lalu menanti dan mengharapkan “jawapan/keputusan”nya daripada Allah. Dikatakan bahawa keputusan/jawapan Allah itu, dapat diketahui melalui mimpi atau tanda-tanda serta kecenderungan hati.
ii.     bertekad dan berazam ingin melakukan sesuatu, lalu membuat keputusan sendiri untuk meneruskannya setelah melakukan usaha-usaha yang menjamin perlaksanaan dan kejayaannya, tetapi masih berserah kepada Allah dengan melakukan Solat Istikharah, agar Allah sentiasa membimbingnya sehingga jika ia kebaikan dan bermanfaat untuk urusan keduniaan dan akhiratnya, Allah memudahkannya dan menjadikannya berhasil, tetapi seandainya sebaliknya, Allah segera palingkannya daripada perkara tersebut dengan usaha-usaha yang gagal dan perjanjian serta perancangan yang terbatal atau aral yang melintanginya.

Perhatian: Istikharah adalah Sunnat muakkadah hukumnya[4] dan ia disyari‘atkan pada perkara yang mubah/harus dan yang baik dan tidak pula pada perkara yang terlarang. Misalnya bermusafir untuk tujuan berjudi, maka ia tidak boleh melakukan Istikharah sebab perkara itu telah jelas haram dan ia mendatangkan keburukan dunia dan akhirat. Begitu juga perkara yang telah jelas hukum makruhnya, tidak perlu kepada Istikharah. Selain itu, perkara yang telah jelas wajib dan sunnat tuntutannya tidak perlu kepada Istikharah untuk melakukannya.

Sebagaimana penjelasan ramai ‘ulama muhaqqiq, maka tafsiran yang kedua, iaitu beristikharah setelah membuat pilihan sendiri dan meminta agar Allah permudahkan jika baik serta palingkan/gagalkan jika tidak baik, adalah lebih tepat berdasarkan lafaz-lafaz yang terkandung di dalam hadis tersebut. Antara para Imam yang berpendapat demikian dan menjelaskan kurang tepatnya pendapat yang menyatakan sebaliknya adalah al-‘Iraqi[5], al-‘Izz bin ‘Abdis Salam[6] dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani[7] dan di kalangan ‘ulama semasa asy-Syeikh Muhammad bin ‘Umar Bazmoul dengan kata beliau (terjemahan): Istikharah itu tidak boleh dilakukan pada saat ragu-ragu, kerana Rasulullah telah bersabda:

, إذا هَمَّ أَحَدُكُم بالأمر ... -

“Sekiranya seseorang di antara kamu telah bertekad melakukan suatu perkara/urusan”
Justeru, jika seseorang muslim masih berasa ragu-ragu dalam satu perkara, maka hendaklah ia memilih satu keputusan dan memohon petunjuk pada perkara pilihannya itu. Setelah beristikharah, ia serahkan segalanya berjalan sesuai dengan pilihan/keputusan tersebut. Jika baik, mudah-mudahan Allah memberikan kemudahan dan keberkahan padanya. Jika sebaliknya, mudah-mudahan Allah memalingkan dirinya daripada perkara tersebut serta memudahkan kepadanya apa yang lebih baik dengan izin Allah*

Hadis yang menjelaskan mengenai Solat Istikharah:
Daripada Jabir bin ‘Abdillah yang meriwayatkan: Rasulullah telah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan sepertimana (caranya) beliau mengajar kami satu surah daripada al-Quran, sabda baginda:
, إذا هَمَّ أَحَدُكُم بالأمر فليركع ركعتين من غير الفريضة، ثم ليقل:
" اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَـخِيْرُكَ بِـعِلْمِكَ ، وَ أَسْتـَقْدِرُكَ بِـقُدْرَتِكَ ، وَ أَسْـأَلُـكَ مِنْ فَضْـلِكَ الْعَظِيْمِ ، فَإِنّـَكَ تَـقْدِرُ وَ لاَ أَقْـدِرُ وَ تَـعْـلَمُ وَ لاَ أَعْـلَمُ ، وَأَنْتَ عَـلَّامُ الْغُـيُوْبِ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْـلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَـيْرٌ لِي فِي دِيْـنِي وَمَـعَـاشِيْ، وَعَـاقِـبَةِ أَمْرِيْ (أو قال: [فِي عَاجِلِ أَمْرِيْ وَآجِــلِهِ] فَاقْـدُِرْهُ[8] لِي ، وَ يَسِّـرْهُ لِي ، ثُمَّ بَـارِكْ لِي فِـيْهِ  وَ إِنْ كُـنْتَ تَـعْـلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَـرٌّ لِي فِي دِيْـنِـي وَ مَعِيشَتِي ْ[مَـعَـاشِيْ]، وَ عَاقِبَةِ أَمْرِيْ فَاصْرِفْـهُ عَـنِّي وَ اصْرِفْـنِيْ عَنْـهُ وَاقْـدُِرْ لِيْ الْخَـيْرَ حَـيْثُ كَانَ ثُـمَّ رَضِّـنِي بِـهِ  و يسمِّي حاجته  ... -
“Sekiranya seseorang di antara kamu telah bertekad melakukan suatu perkara/urusan, maka hendaklah ia ruku‘ (solat) dua raka‘at selain solat fardu, lalu mengucapkan (berdoa): [Doanya di dalam Bahasa Arab] ertinya:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk Mu dengan Ilmu Mu, (dan) aku memohon ketetapan Mu dengan Kekuasaan Mu (Menentukan segala sesuatu), (dan) aku menagih dari Kelebihan Mu yang Agung kerana Engkau yang Maha Menentukan (Berkuasa) sedangkan aku tidak mampu menentukan (tidak berkuasa) dan Engkau Maha Mengetahui, sedang aku tidak mengetahui dan Engkau yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Ya Allah, sekiranya Engkau Maha Mengetahui bahawa perkara ini baik buat ku pada agama ku, hidup ku dan kesudahan urusan ku (atau ia ucapkan: pada masa depanku yang dekat mahupun yang jauh), maka tentukanlah ia untuk ku dan mudahkanlah ia bagi ku, kemudian berkatilah daku dengannya. Seandainya Engkau Yang Maha Mengetahui bahawa perkara ini buruk buat diri ku pada agama ku, hidup ku dan kesudahannya, maka Engkau palingkanlah ia dari ku dan palingkanlah daku darinya serta tentukanlah yang baik bagi ku dengan apa jua (yang baik) dan jadikanlah aku redha dengannya - lalu disebutkan hajatnya itu.”[9]

2.        Menghadirkan niat yang murni, baik dan ikhlas

Ketikamana seseorang yang bakal bermusafir, bersiap untuk keluar rumah, hendaknya ia menghadirkan niat yang baik dan ikhlas di dalam hatinya terhadap matlamat perjalanannya.

Apatah lagi pemergiannya adalah untuk melaksanakan Ibadah Haji atau ‘Umrah, ataupun ziarah Baitul Maqdis yang perlu kepada niat yang ikhlas, semata-mata kerana Allah ia bermusafir. Ia mesti mengelakkan daripada segala bibit “riya’”, “sum‘ah” dan rasa bangga diri agar amalannya dan seluruh perjalanannya bermusafir tidak menjadi amalan sia-sia.
Firman Allah*:
Maksudnya: Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian itu, aku diperintahkan, dan aku (berusaha menjadi di antara) orang yang pertama berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya".[10]
FirmanNya lagi:
Ertinya: …Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan Tuhannya dengan sesiapapun dalam ibadatnya".[11]

Rasulullah  telah bersabda:

" إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الأصغر " فسئل عنه فقال: "الرياء"

 “Sesungguhnya apa yang aku paling takut berlaku pada diri kalian adalah syirik kecil.” Apabila baginda ditanya mengenainya jawab baginda: “Riya’”[12]

3.        Memperlengkapkan diri untuk memenuhi tuntutan agama ketika bermusafir

Demi menjadikan dirinya seorang musafir “rombongan Allah” yang sebenarnya dalam melaksanakan Haji, ‘Umrah dan Ziarahnya, ia perlu memperlengkapkan dirinya dengan ilmu dan peralatan yang dengannya ia dapat memenuhi tuntutan agamanya. Antaranya, Ilmu tentang Toharah (Bersuci) [Kenal air dan bahan pengganti air seperti debu (bedak), batu, tisu, tatacara beristijmar, erti suci pada tubuh, pakaian dan tempat solat, Tatacara berWudu’ dan berTayammum, Mengusap Khuff atau sepatu/stokin, serban dan lainnya beserta peralatannya seperti botol penyembur air (spray) dan sebagainya], Ilmu berkenaan Solat [Syarat-syarat solat; arah kiblat, masuk waktu, Tatacara Solat berdiri dan duduk ataupun berbaring bergantung kepada keadaan, Jama‘ dan Qasar dan seumpamanya serta peralatannya misalnya kompas], Mengetahui perihal Puasa [Mengenali waktu mula puasa (sahur) serta waktu berbuka, Puasa sebulan samada 29 hari atau 30 hari], Pengetahuan yang secukupnya berkenaan Haji dan ‘Umrah.
Sabda Rasulullah

, من يرد الله به خيرا يفقه في الدين -

Ertinya:“Sesiapa yang Allah berkehendakkan kebaikan baginya, pasti Allah menjadikannya berilmu dalam hal keagamaannya” [13]
 
4.        Bertaubat daripada segala dosa

Orang yang bermusafir sedia mengetahui bahawa bermacam perkara, antaranya kemalangan, boleh berlaku semasa di dalam perjalanan.
Meskipun benar tiada insan yang mengetahui ajalnya dan di mana ia akan menghembuskan nafasnya yang terakhir, namun ternyata orang yang bermusafir lebih terdedah kepada kemalangan berbanding orang yang tidak ke mana-mana di dalam negeri. Oleh itu, walaupun secara umumnya kita sayugianya sentiasa bertaubat dan beristighfar, namun adalah lebih utama bagi yang bermusafir untuk melakukannya kerana hakikat bermusafir yang terdedah kepada berbagai risiko. Semoga Allah sentiasa mensejahterakan kita di dalam perjalanan kita bermusafir.

Syarat bertaubat yang sesempurnanya adalah:
i.        Meninggalkan segala perbuatan dosa dan berhenti daripada melakukan maksiat
ii.      Menyesali segala perbuatan dosa dan maksiat tersebut
iii.    Berazam dan bertekad tidak akan mengulanginya dan meminta ampunan Allah
iv.    Sekiranya perbuatan dosa itu melibatkan kezaliman pada manusia lainnya maka hendaklah dimohon kemaafan daripadanya, menjelaskan kesilapan tersebut jika jelas kemaslahatannya dan tiada apa-apa kemudaratan yang akan timbul daripada penjelasan kesilapan tersebut. Namun seandainya daripada penilaiannya ada kemudaratan berkemungkinan timbul dengan sikap berterus terang, misalnya, semakin mengeruhkan hubungan dan menjadi permusuhan maka sebagai gantinya adalah mendoakan untuknya dengan kebaikan dunia dan akhirat. Begitu juga jika pihak tersebut telah meninggal dunia. Adapun jika ada daripada haknya seperti harta yang telah diambil tanpa hak maka hendaklah dikembalikan atau digantikan.

Firman Allah*:
Ertinya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).[14]

Sabda Rasulullah:

,  أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ  -

“Tahukah kamu siapa itu muflis?” Jawab para Sahabat: Orang muflis di kalangan kami adalah orang yang kehabisan dirham (wang) dan tiada barang kepunyaan sesuatu apa pun. Sabda baginda lagi: “Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umat ku adalah yang datang pada Hari Kiamat dengan (amalan pahala) solatnya, puasanya, zakatnya dan pada masa yang sama ia juga datang sedang ia telah mencerca si ini (orang sekian), mentohmah yang lain, memakan harta yang lain tanpa hak, menumpahkan darah (mencederakan atau membunuh tanpa hak) si ini, memukul pula si ini, maka pihak-pihak (yang dizaliminya) tersebut diberikan daripada pahala amalan-amalannya (sebagai ganti rugi) dan jika ia telah kehabisan pahala, dipikulkan ke atas dirinya dosa-dosa pihak-pihak tersebut sehingga ia kemudiannya dihumbankan ke dalam Neraka” [15]

5.        Memohon keampunan kedua orang tua yang masih hidup dan mendapatkan restu mereka

Sebaiknya seseorang yang akan bermusafir, apatah lagi jika pemergiannya adalah untuk jangka masa yang panjang, mendapatkan izin dan restu kedua ibu bapa serta doa mereka, kerana untuk pergi berjihad juga perlu kepada izin kedua orang tua atau sekurang-kurangnya dimaklumkan kepada mereka, inikan pula bermusafir untuk selain jihad. Doa seorang ibu atau bapa untuk anaknya diperkenankan Allah, maka kita akan berasa lebih tenang dan sejahtera dengan adanya doa kedua orang tua mengiringi kita ketika bermusafir. Sabda Rasulullah:

,  ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ  -

Ertinya:“Tiga jenis doa diperkenankan dan tiada keraguan lagi ia mustajab (diperkenankan), doanya seorang yang dianiayai, doa seorang musafir dan doa seorang orang tua (ibu atau bapa[16]) untuk anaknya” [17]

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ رَجُلًا هَاجَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الْيَمَنِ فَقَالَ ,  هَلْ لَكَ أَحَدٌ بِالْيَمَنِ قَالَ أَبَوَايَ قَالَ أَذِنَا لَكَ قَالَ لَا قَالَ ارْجِعْ إِلَيْهِمَا فَاسْتَأْذِنْهُمَا فَإِنْ أَذِنَا لَكَ فَجَاهِدْ وَإِلَّا فَبِرَّهُمَا  -

Daripada Abie Sa‘ied al-Khudriy: Bahawasanya seorang pemuda telah berhijrah menghadap Rasulullah daripada Yaman maka sabda baginda kepadanya: “Apakah anda masih ada ibu bapa di Yaman?” Jawab pemuda itu: Kedua-dua orang tua ku masih ada. “Adakah mereka berdua telah mengizinkan mu?” Tidak. Sabda baginda lagi: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin mereka sekiranya mereka mengizinkan maka pergilah berjihad tetapi jika tidak, maka berbaktilah kepada mereka berdua.”[18]

6.        Memastikan pembiayaan perjalanannya halal

Memastikan ongkos atau pembiayaan yang halal untuk bermusafir adalah perkara yang amat penting agar amalan yang dilakukan, yang kerananya ia bermusafir, misalnya haji dan umrah, diterima Allah. Malah seandainya matlamat ia bermusafir adalah sesuatu yang mubah/harus hukumnya sekalipun, seseorang mukmin akan khuatir jika dirinya tidak dirahmati Allah dan doanya tidak diperkenankan oleh Allah, sebab pemakanan dan pakaiannya haram atau bersumber daripada yang haram. Sabda Rasulullah:

, إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تعالى: { يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ } وَقَالَ { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ } ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ   -

Ertinya: “Sesungguhnya Allah Maha Suci lagi Baik, tidak menerima kecuali yang suci dan baik dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman sama dengan apa yang diperintahkanNya kepada para rasul, maka Allah berfirman: [Wahai para rasul makanlah daripada segala yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang salih/baik kerana sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan] dan Allah juga berfirman: [Wahai orang-orang yang beriman makanlah daripada yang baik-baik apa yang telah Kami kurniakan sebagai rezki kamu] kemudian baginda menyebutkan kisah seorang lelaki yang telah bermusafir dalam satu perjalanan yang jauh, berdebu dan serba tidak rapi keadaannya (kerana terlalu lama bermusafir), ia mengangkat kedua tangannya menadah ke langit memohon: Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, padahal makannya yang haram, minumnya juga yang haram dan pakaiannya juga dari yang haram serta dimasukkan ke perutnya dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya.” [19]
Sabda Rasulullah:
, يأتي على الناس زمان ما يبالي الرجل من أين أصاب المال؟ من حلال أوحرام  -
Ertinya: Akan datang satu zaman, seseorang itu tidak peduli daripada mana ia mendapatkan harta. Apakah daripada yang halal atau yang haram.[20]
Sabda baginda yang lainnya:
,  لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ ُ  -
Ertinya: Tidak akan berganjak kedua kaki seseorang hamba Allah pada Hari Kiamat sehinggalah ia ditanya mengenai umurnya, pada apa ia telah habiskan, tentang ilmunya apa yang telah diperlakukan dengannya, berkenaan hartanya daripada mana ia mendapatkannya dan pada apa pula ia perbelanjakannya dan mengenai tubuhnya pada apa ia telah pergunakan. [21]



[1] Sebahagian ‘ulama berpendapat Salat Istikharah adalah wajib hukumnya ketika berhadapan dengan keadaan membuat pemilihan pada perkara yang mubah hukumnya dengan maksud mengharapkan petunjuk Allah. Namun ramai yang berpendapat ia Sunnat – Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 11/189.
[2] Perancangan perjalanan dan jadualnya ataupun senarai tempat-tempat yang akan dilalui/dikunjungi dalam perjalanan ke destinasi.
[3] Menurut keterangan berdasarkan dalil dan hujjah yang lebih kuat, Istikharah itu boleh dilakukan dengan apa jua solat sunnat 2 raka‘at misalnya Solat Sunnat Rawatib atau Tahiyatul Masjid. Namun, sebaiknya ia berdoa selepas solat (berbeza dengan pendapat Syeikhul Islam dan sebahagian lainnya) dan tiada salahnya jika hanya setelah solat itu ia teringat dan berniat Istikharah lalu memanjatkan doa Istikharah, sebagaimana penjelasan Imam an-Nawawi, al-‘Iraqi dan ramai lagi - Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 11/189 dan Bughyat al-Mutatawwi‘ fi Solat at-Tatawwu‘ (terjemahan): 125-131.
[4] Ada perselisihan pendapat ‘ulama mengenainya dan sunnah muakkadah adalah pilihan kebanyakan para imam meskipun hujjah-hujjah kedua belah pihak (sunnat atau wajib) setaraf darjat kekuatannya.
[5] Al-Imam ‘Abdur Rahiem bin al-Husayn bin ‘Abdir Rahman, Abul Fadl al-Hafiz al-Qari’, yang masyhur dengan gelaran al-Hafiz al-‘Iraqi. Antara karangan beliau Dzayl Mizan al-I‘tidal dan Takhriej Ihya’ ‘Ulum ad-Dien. Lahir pada tahun 725H dan beliau wafat pada tahun 806H – Syadzarat adz-Dzahab: 7/55. Penjelasan beliau tersebut ada di dalam Syarh al-Adzkar Ibn ‘Allan: 3/345.
[6] Al-Imam yang bergelar “Sultan al-‘Ulama” ‘Izzud Dien bin ‘Abdis Salam as-Salmi asy-Syafi‘ie. Seorang ahli Hadis, ahli Usul dan ahli Fiqh – lahir tahun 577H wafat pada tahun 660H. - Syadzarat adz-Dzahab: 5/301 – penerangan beliau di dalam Syarh al-Adzkar Ibn ‘Allan: 3/345. 
[7] al-Hafiz ahli Hadis terkemuka al-Imam Ahmad bin ‘Aliy bin Muhammad al-‘Asqalani, Abul Fadl , Syihab ad-Dien. Dilahirkan pada tahun 773H dan beliau wafat pada tahun 852H. Penjelasan beliau diterangkan di dalam Fathul Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari: 11/187-191.
[8] Boleh dibaca huruf “د” samada dibaca dengan “ـِ” (kasrah) atau “ـُ” (dommah) - al-Fath: 11/187
[9] Hadis riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari: ad-Da‘awat: 80 no: 6382 – al-Fath: 11/187)
[10] Al-Qur’an: Surah al-An‘am: 6:162-163
[11] Al-Qur’an: Surah al-Kahf; 18:110
[12] Hadis riwayat Ahmad (5/428) dan dihukumkan riwayatnya berderajat Hasan oleh al-‘Allamah al-Albaniy di dalam Sahih al-Jami‘ 2/45
[13] Hadis riwayat al-Bukhari (Sahih al-Bukhari: al-‘Ilm: 69, Fard al-Khumus: 2884, al-I‘tisam bi al-Kitab: 6768), Muslim (Sahih Muslim: az-Zakah: 1719, 1721, al-Imarah: 3549) dan ‘ulama hadis lainnya.
[14] Al-Qur’an: Surah Ali-‘Imran: 3:135
[15] Hadis riwayat Muslim (Sahih Muslim: al-Birr wa as-Silah wa al-Adab: Bab Tahrim az-Zulm 4678), at-Tirmidzi (Sunan at-Tirmidzi: Sifat al-Qiyamah wa ar-Raqa-iq wa al-Wara‘: 2342) dan‘ulama hadis yang lain.
[16] Dalam Bahasa Arab “al-Walid”  seerti “parent” (Inggeris)
[17] Riwayat Abu Dawud (Sunan Abie Dawud: as-Solah: 1313), at-Tirmidzi (Sunan at-Tirmidzi: al-Birr wa as-Silah: 1828, ad- Da‘awat: 3370) Ibn Majah (Sunan Ibn Majah: ad-Du‘a’: 3852) dan‘ulama hadis lainnya – dihukumkan sahih oleh al-‘Allamah al-Albaniy di dalam Sahih Abi Dawud: 1/286, Sahih at-Tirmidzi: 3/156 dan Sahih Ibn Majah: 2/331.
[18] Hadis riwayat Abu Dawud (Sunan Abie Dawud: Jihad: 2168) dan Ahmad (al-Musnad: hadis no 11296). Namun menurut ulasan Imam Ibnul Qayyim dan Syamsul Abadi hadis ini Da‘ief disebabkan oleh seorang perawi di dalam sanadnya. Walaubagaimanapun al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa hadis ini diriwayatkan juga oleh Ibn Hibban dan kebanyakan ‘ulama mengambil faedah ataupun hukum yang disebutkan dalam hadis ini (soal minta izin) dan mereka kaitkannya dengan persoalan izin kedua ibu bapa untuk bermusafir – Fath al-Bari: 6/163 hadis no: 3004. Begitu juga al-‘Allamah al-Albaniy tidak menyenaraikannya di dalam Do‘ief Sunan Abi Dawud. WalLahu a‘lam.
[19] Riwayat Muslim (Sahih Muslim: az-Zakah: 1686), at-Tirmidzi (as-Sunan: al-Adab: 2723, Tafsier al-Qur’an: 2915) dan ahli hadis lainnya.
[20] Hadis berderajat Sahih diriwayatkan oleh al-Nasā’i daripada Abu Hurairah, Sahih al-Jāmi‘ al-Saghir, jil. 2, hlm. 1326, hadis no: 8003.
[21] Hadis berderajat Sahih diriwayatkan oleh at-Tirmidzi daripada Abi Barzah dan beliau menghukumkannya Hasan Sahih, Sahih al-Jāmi‘ al-Saghir, jil. 2, hlm. 1221, hadis no: 7300. Diriwayatkan juga oleh ad-Darimi (al-Muqaddimah: hadis no 536, 537, 538)

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts