Thursday, December 11, 2014

Memelihara Ibadah menuruti as-Sunnah & Bahaya Bid'ah

Pembaca yang budiman, dalam perlaksanaan ibadah Haji dan sekaligus 'Umrah, Allah telah berpesan kepada kita dengan pesanan yang amat penting, ketika kita menjadi “tetamu”Nya. Firman Allah:

Ertinya: (Masa mengerjakan) Haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi.[15] Maka sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) Haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukup kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa; dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal. [16]


Oleh itu, bekalan terpenting yang kita perlu sediakan untuk perlaksanaan Haji kita adalah “Taqwa” dan “Taqwa” adalah pemeliharaan diri, menjaga diri dari apa sahaja yang mengakibatkan siksa, baik dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya[17].
Bermakna, kita memelihara diri kita daripada azab siksaan Allah dengan mentaatiNya pada suruhan dan laranganNya. Namun bagaimana dapat kita patuh kepada Allah jika kita tidak tahu suruhanNya dan laranganNya. Apa yang mendatangkan KeredhaanNya kepada kita dan apa pula yang boleh mengundang KemurkaanNya? Mampukah kita membuat andaian kita sendiri; “perkara ini Allah tentu suka, amalan ini diredhaiNya, manakala perbuatan sekian mengakibatkan kemurkaanNya”.

Pembaca yang dimuliakan, semoga anda dirahmati Allah sentiasa, sebagaimana disebutkan dalam “Pendahuluan”, Allah telah menurunkan PanduanNya untuk kita iaitu al-Qur’an. Firman Allah:
Ertinya: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam)…[18]
Di dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan al-Qur’an adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. [19]

Malah Allah mengutuskan sebaik-baik manusia, Nabi Muhammad, sebagai contoh untuk membimbing umat bagaimana untuk memahami al-Qu’ran  dan menuntun mereka ke jalan yang diredhai Allah dengan pasti. Firman Allah:
Ertinya: …dan kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.[20]
Kemudian Allah menjadikan ikutan contoh Rasulullah sebagai syarat untuk dapat keredhaan dan kecintaanNya, FirmanNya:
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka): "Jika benar kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, pasti Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu.[21]

Justeru itu, untuk kita mendapatkan keredhaan Allah dan kecintaanNya, kita tiada pilihan atau cara mahupun jalan lain, selain yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad. Antaranya adalah perlaksanaan Haji dan ‘Umrah, untuk kita usahakan ibadah kita agar diterima dan diredhai Allah, kita mesti ikuti contoh baginda.

Jemaah Haji dan ‘Umrah, tetamu Allah yang budiman sekalian, setelah kita mempunyai kesedaran betapa pentingnya mengikuti kedua-dua panduan terutama itu tadi, kita tentu tidak mahu kerugian dalam pada kita berpenat lelah, berbelanja besar, mengorbankan berbagai pengorbanan, berpisah dengan ahli keluarga tersayang dan lainnya, iaitu dengan amalan kita menjadi sia-sia, tidak diterima Allah. Sungguh Allah telah peringatkan kita, akan nasib orang yang kerugian pada Hari Pembalasan, FirmanNya*:
Ertinya: Dan Kami tunjukkan kepada mereka apa sahaja amalan yang mereka telah kerjakan (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikannya sia-sia sebagai debu yang berterbangan.[22]

‘Ulama’ menjelaskan sebab utama amalan menjadi sia-sia iaitu Syirik (mempersekutukan Allah dengan sesuatu) dan perlakuan bid‘ah.[23] Kebalikan daripada keduanya bererti amalan kita perlu memenuhi 2 syarat utama:
  1. Ikhlas dan,
  2. Mutaba‘ah – mengikuti contoh Rasulullah
sebagaimana yang mereka jelaskan dalam pentafsiran ayat terakhir Surah al-Kahfi:

Ertinya: …Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan Tuhannya dengan sesiapapun dalam ibadatnya".[24]

Di bawah syarat yang kedua (al-Mutaba‘ah), 6 perkara perlu diperhatikan untuk memastikan amalan itu mengikut petunjuk Nabi ataupun tidak:

1.           Sebab; sebab yang mendorong sesuatu amalan itu dilakukan. Apakah sebabnya itu ada diajarkan oleh Nabi ? Contohnya, orang yang ingin solat Tahajjud semata-mata sebabnya ialah National Day, bukan sebab lain. Kalau tidak disebabkan National Day ia tidak akan Tahajjud. Sebab seperti ini tiada contohnya daripada Nabi dan amalan itu tertolak serta jadi sia-sia.

2.     Jumlah; atau bilangan; jumlah sesuatu amalan itu mesti sesuai dengan panduan Nabi, jika tidak, amalan tersebut akan tertolak. Contohnya, orang yang dengan sengaja solat Zohor 6 rakaat, atau tawaf 8 pusingan, bercanggah dengan ajaran Nabi  biarpun ia bermaksud baik, cari kelebihan ganjaran.

3.       Cara; cara sesuatu amalan itu dilakukan mestilah menurut ajaran Nabi. Orang yang mengambil wudu’ dengan membasuh kaki dahulu kemudian baru sapu kepala, wudu’nya tidak akan diterima di sisi Allah. Begitu juga yang melakukan Sa‘ie sebelum Tawaf, Sa‘ienya bahkan keseluruhan manasiknya menjadi batal kerana tidak menurut “Tertib” atau urutan cara Nabi.

4.       Jenis; jenis sesuatu amalan juga mesti bertepatan dengan jenis yang diajarkan oleh Nabi. Contohnya, orang yang mengorbankan arnab sebagai haiwan korban pada Hari Raya Korban, tidak akan diterima Allah kerana arnab bukan dari jenis haiwan yang boleh dijadikan korban. Tawaf juga ada berbagai jenis; yang sunnat seperti Tawaf Qudum, rukun seperti Tawaf Ifadah, wajib seperti Tawaf Wida‘.

5.           Masa; masa sesuatu amalan itu dilakukan mesti mengikut masa yang ditetapkan oleh Nabi. Seorang yang solat Zohor sedang waktu Zohor belum  menjelang, tidak akan diterima solatnya. Berwuquf selain pada 9hb Dzulhijjah tidak akan sah.

6.    Tempat; tempat sesuatu amalan itu dilaksanakan mestilah menurut panduan yang Nabi ajarkan. Contohnya, orang yang i’tikaf di bilik rumahnya atau tawaf di luar Masjidil Haram, berWuquf di selain bumi Arafah, semuanya itu tidak akan diterima amalannya.  

Dengan demikan, 6 perkara tersebut perlu kita perhatikan untuk memastikan amalan kita mengikut tunjukajar Nabi agar ia diterima, tanpa melupakan syarat keikhlasan kita kepada AllahI. Jika kedua-dua syarat tadi telah sempurna, barulah kita dapat meyakini bahawa kita telah berusaha untuk menjadikan amalan itu diterima di sisi Allah. Setelah itu, kita serahkan kepada Allah dengan rasa khuatir dan mengharap kepadaNya.

Asal segala IBADAH adalah HARAM kecuali jika ADA DALIL yang menjelaskan ia diperintahkan atau dituntut.

  %الأصل   في  العبادة   المنع    حتى   يرد   دليل  على  خلاف   ذلك%
Kita jarang sekali diberitahu bahawa ‘ulama’ telah sepakat di
dalam menetapkan kaedah ini.[25]  Bererti  kita  sebagai  hamba-hamba Allah,  tidak  boleh sujud  sesuka hati  kita  kecuali sujud-sujud yang disyari‘atkan Syara‘, seperti sujud di dalam solat, sujud syukur, sujud tilawah. Adapun untuk kita mengadakan “sujud taubat” atau “sujud doa” bukan di dalam  solat, maka ini terlarang dan haram kerana mengadakan ibadat yang tidak pernah disyari‘atkan oleh Allah. Demikian juga halnya dengan solat, puasa, tawaf dan ibadah lainnya.
                       
Contohnya, jika kita ingin adakan solat setiap kali sebelum ke pasar, atau puasa setiap hari perayaan bukan Islam seperti Hari Kebangsaan atau Hari Natal, sa‘ie sunnat tanpa tawaf  atau manasik lainnya.
Benar, walaupun dapat kita katakan semua perbuatan itu baik secara zahirnya, kerana mencari keredhaan Allah sehingga orang boleh katakan “Eh! Orang hendak solat, suatu perkara baik, setiap kali ingin ke pasar, salah ke? Bukannya dia hendak menzalimi orang lain atau buang ancak?
                       
Namun, malangnya, ia adalah di antara perkara yang paling buruk lagi terkutuk di dalam Syara‘ kerana ia boleh membawa erti (sebagaimana yang dijelaskan oleh segolongan ulama antaranya Imam asy-Syatibi [±720-790H ])[26] bahawa seolah-olah:

i.   Nabi tidak tahu apa yang baik buat kita sebelum ke pasar, sebab itu Nabi hanya mengajarkan doa sebelum masuk ke pasar,
ii. mengambil hak AllahI mensyari’atkan sesuatu yang tidak pernah disyari’atkan oleh AllahI, sedangkan manusia sendiri tidak suka haknya diambil orang,
iii.  menafikan keseluruhan ketentuan/ketetapan Syara‘, kerana kita mampu untuk menentukan sesuatu ibadah dari diri kita sendiri, maka bila-bila sahaja kita boleh adakan ibadat baru tanpa perlu bersandarkan kepada petunjuk wahyu,
iv. tidak perlu kepada keterangan Al-Quran dan tidak pula as-Sunnah, kerana kita mampu tentukan sendiri,
v. meletakkan diri kita setaraf dengan AllahI kerana mampu menentukan apa yang dapat dijadikan sebagai ibadat tanpa panduan dalil dan berbagai lagi keburukan yang bukan dari persoalan yang remeh.

Oleh yang demikian, sama-samalah kita kaji amalan-amalan kita. Usahlah kita hukumkan menurut akal kita atau pembimbing atau guru kita semata-mata, tanpa kembalikan urusan itu kepada AllahU, RasulNya, kemudian ajaran Imam-imam besar seperti Malik, asy-Syafi‘ie, Ahmad dan lainnya, yang telah mewarisi fahaman Sahabat, di dalam menentukan sesuatu amalan itu baik ataupun tidak, sebelum kita kembali berhadapan dengan Allah sedang kita kerugian lagi telah merampas hak Allah I. Wal ‘iyaa dzu billah. Bersamalah kita mengamalkan kaedah ini di dalam hidup kita. Seandainya para Sahabat dan para Imam kita telah menokok tambah, tentu telah ada bermacam-macam perkara yang tidak disyari‘atkan, dimasukkan ke dalam ajaran Islam. Bukan ajaran Islam tapi didakwakan sebagai ajaran Islam. Perhatikanlah sikap mereka dalam riwayat-riwayat berikut:

Pada suatu ketika ‘Abdullah bin ‘Umar mendengar seseorang bersin lalu mengucapkan: “Alhamdulillah was solatu was salam ‘ala Rasulillah” segera beliau menegur:
"مَا هكَذا عَلَّمَنا رَسولُ الله بَلْ قَال: إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُم فَلْيَحْمَدِ اللهَ، وَ لَمْ يَقُلْ: وَ لْيُصَلِّ عَلَى رَسُولِ اللهِ"  
Bukan begitu yang Rasulullah ajarkan kepada kami, tetapi sabda baginda: {Jika seseorang di antara kalian bersin, maka hendaklah ia memuji Allah (mengucapkan: Alhamdulillah)} dan baginda tidak mengatakan: dan berselawatlah atas Rasulullah. [27]

Pembaca budiman, bukankah berselawat itu amalan yang baik lagi hebat? Namun, lihatlah betapa sikap Sahabat Nabi ini yang mengajarkan agar kita tetap mengikut asal ajaran baginda dan bukan pandai-pandai menokok tambah walaupun dengan niat baik dan ucapan atau perbuatan yang dianggap baik, tetapi tiada contohnya daripada Rasulullah.
Pernah seorang lelaki mengucapkan salam kepada ‘AbdulLah ibn ‘Abbas dengan: “Assalamu ‘alaikum wa rahmatulLah wa barakatuh..(kemudian ia menambah dengan yang lain)”. Mendengarkan demikian Ibn ‘Abbas mengatakan:
إن السلام انتهى إلى البركة” ertinya: “Sesungguhnya ucapan Salam itu terhenti pada (ucapan) al-Barakah [28]

Riwayat itu tadi, satu contoh yang nyata, betapa demikian itulah ajaran para Sahabat, sikap mereka bertegas tidak menambah, malah mengikuti ajaran Nabi dengan sebaik-baik ikutan. Seandainya tidak demikian, tentunya orang telah menambah ucapan salam hingga menjadi misalnya: “Assalamu ‘alaikum wa rahmatulLah wa barakatuh, wa ridwanuhu, wa ‘afiyatuh, wa ‘inayatuh,  wa salamatuh, wa maghfiratuh…wa..wa..” bila sampai pada zaman kita ini.

Semua lafaz itu baik maknanya, namun, untung ‘ulama’ daripada zaman Sahabat mengajarkan dasar ini, iaitu “tiada tokok tambah dan olah-mengolah bahkan hanya menuruti ajaran baginda dalam hal seperti ini, apatah lagi hal ibadah”.
Malangnya, ada yang akan menyanggah mengatakan: “kalau semua perkara ikut Nabi, awak tunggang unta jangan pandu kereta”. Sanggahan seperti ini bukan daripada ajaran ‘ulama’ tetapi golongan yang keliru. Kita membicarakan soal “ajaran agama yang asal” dan “memelihara ajaran yang asal” bukan hal keduniaan. AlLahul Musta‘an.                      
Imam Malik (93-179H) pernah mengatakan:
"لَنْ يُصْلِحَ آخِرَ هذه الأُمَّة إِلا مَا أَصْلَحَ أولَّها، فَما لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْناً، لاَ يكونُ الْيومَ دينا"
Ertinya: “Tidak akan dapat diperbaikkan golongan yang terkemudian daripada umat ini, kecuali dengan apa yang telah dapat memperbaikkan golongan pertamanya (para Sahabat), maka apa sahaja yang tidak dianggap ajaran agama Islam pada zaman mereka, tidak dapat dijadikan sebagai ajaran agama Islam pada masa kini.” [29]

Begitu pula sikap mereka dan anak didik mereka, tidak mengagungkan seseorang lebih daripada Rasulullah, tidak pula ajaran seseorang diutamakan daripada ajaran baginda.  

Salim[30] meriwayatkan: “Aku sedang duduk bersama Ibn ‘Umar (bapanya) di dalam Masjid, lalu datang seorang lelaki dari Syam bertanya kepadanya mengenai keharusan lakukan Haji Tamattu‘. Jawab Ibn ‘Umar: baik, bagus. Maka lekaki itu berkata: Tapi bapa anda (‘Umar) dulu melarang perlaksanaannya. Jawab Ibn ‘Umar: Malang sungguh awak! Walau seandainya bapaku melarangnya, sedangkan Nabi melakukannya dan memerintahkannya, anda mengambil pendapat bapaku atau ajaran Rasulullah?Jawabnya: Tentunya ajaran Rasulullah. Kata Ibn ‘Umar: Pergilah kamu dari sisiku! [31] 

Lihatlah sekalipun pendapat ‘Umar bin al-Khattab, manusia berkedudukan tinggi di sisi Allah dengan pasti bagi umat Islam, yang disanjungi dan dihormati, apatah lagi oleh anaknya sendiri, Ibn ‘Umar, tetapi anaknya sendiri mengajarkan, biar bagaimana kedudukan ‘Umar, pendapatnya tetap ditolak meskipun dirinya tetap disanjungi, kerana ketidaksesuaian pendapatnya atau ajarannya dengan asal ajaran Rasulullah. ‘Umar telah berijtihad dan selaku seorang yang layak berijtihad, beliau mendapat 2 pahala bila ijtihadnya betul dan 1 pahala bila tersilap.

Bandingkanlah dengan sesiapa pun yang tidak setinggi derajat ‘Umar, apakah layak diutamakan ajarannya atas ajaran Rasulullah? Apakah ada setelah para Sahabat, manusia yang pendapatnya boleh diutamakan daripada Nabi, sedangkan pendapat Sahabat sehebat ‘Umar masih boleh ditolak pendapatnya? Sikap ini yang diajarkan oleh para Sahabat, malah oleh anak mereka sendiri.

Dalam pada masa yang sama, penolakan pendapatnya tidak dikira cemuhan terhadapnya atau merendahkan martabatnya dan tidak pula dikira sebagai tidak menghormatinya. Demikian bagi para Sahabat dan para imam ahli ijtihad. Adapun orang yang bukan dari kalangan ahli ijtihad, ia hanya mendapat dosa dengan percanggahannya dan sungguh besar pula kesalahan golongan yang mengikutinya, tanpa ilmu dan penilaian. Jelas, para Sahabat mengajarkan kita agar mengutamakan ajaran Rasulullah atas ajaran sesiapa pun. Bilamana ajaran selain Nabi, bersesuaian dengan asal ajaran Nabi, ikutan kita sebenarnya adalah ajaran Rasulullah dan setiap yang menyampaikannya telah berjasa menyampaikan ajaran baginda kepada umat.

Lebih jelas lagi adalah riwayat berikut:
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menyebutkan bahawa Sa‘ied bin Mansur telah meriwayatkan daripada Ibn ‘Uyainah bahawa Salim telah ditanya tentang pendapat ‘Umar (bin al-Khattab – datuk beliau – dan anaknya ‘AbdulLah Ibn ‘Umar – bapa Salim – juga sependapat dengan ‘Umar) yang tidak membenarkan kekalnya kesan wangian pada badan selepas Ihram, walaupun wangian itu dikenakan sebelum berihram, maka Salim menjawabnya dengan beliau menyebutkan hadis ‘A-isyah[32] yang mengajarkan bahawa ajaran Nabi adalah sebaliknya (dibenarkan) dan katanya: “Sunnah Rasulullah lebih berhak/utama untuk diikuti” – “أَحَقُّ أَنْ تُتَّبَعَ سُنَّةُ رَسُولِ اللهِ”.

Rasanya dengan itu, memadai bagi kita untuk menyemai dan menghidupkan sikap berpandukan ajaran para Sahabat, agar sentiasa mengikuti ajaran Rasulullah dan mengutamakannya atas ajaran sesiapapun, bilamana ajaran yang lain itu mencanggahi dan tidak bersesuaian dengan ajaran baginda. Meskipun pada masa yang sama, kita menyanjungi setiap yang telah berjasa menyampaikan ajaran baginda kepada umat seperti para Imam ahli Ijtihad yang agung dan kesilapan mereka tidak menjadikan kita memperkecilkan mereka sedikitpun, walau seorang pun di antara mereka.

Sama-sama kita sentiasa menjadikan yang berikut ini sebagai pegangan kita, Firman Allah:

Ertinya: “Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka ikutilah jalan ini dan jangan kamu ikuti jalan-jalan yang lain, kelak kamu akan berpecah dari jalanNya (yang satu itu)[33]        
Tafsiran ayat ini, yang menunjukkan bahawa perpecahan adalah sesuatu yang dikeji dan buruk, kita dapatkan dari hadis Nabi berikut ini.

Ibn Mas‘ud telah meriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi telah membuat satu garisan lalu bersabda: <Inilah jalan Allah>, kemudian baginda membuat garisan yang banyak di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya (garisan yang satu tadi: jalan Allah) lalu bersabda: <Adapun ini (garisan yang banyak) adalah jalan-jalan lain (selain jalan Allah), pada setiap jalan ini, ada Syaitan yang mengajak kepadanya> dan Nabi pun membacakan ayat:
<Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus… kamu akan berpecah dari jalanNya (yang satu itu)> [34].

Sabda Rasulullah yang bererti: “Umatku akan berpecah kepada 73 golongan semuanya binasa kecuali satu. Para Sahabat bertanya: Siapakah yang satu itu? Jawab baginda: Mereka yang berpegang dengan pegangan ku dan pegangan para Sahabat ku. [35]

Pentingnya ikutan jalan ajaran Sahabat, untuk selamat dari jalan Syaitan. Demi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Malah Rasulullah telah menjelaskan bahawa kita tiada pilihan jalan lain, kecuali jalan ikutan para Sahabat, itulah jalan yang satu, yang diperintahkan agar kita mengikutinya. Manakala jalan-jalan yang lain, selain menuju ke jalan yang satu itu, ada syaitan yang mengajak, perintis kesesatan dan penyelewengan yang menyeru manusia kepadanya.   Semoga Allah memelihara kita dengan RahmatNya yang Maha Luas. WalLahu a‘lam.




[15] bulan Syawwal (bermula sejak 1hari bulannya), bulan Dzulkaedah dan bulanDzulHijjah (hingga hari ke-10nya).
[16] Al-Qur’an: al-Baqarah; 2: 197.
[17] Kitab at-Ta‘riefat hlm. 65 oleh al-Jarjani (ada sebut “Jur” dan “Jir”) dan tafisran ayat tersebut dalam kitab Tafsir Al-Qur’ān al-‘Am yang lebih masyhur digelar Tafsier Ibn Katsier– oleh Imam Ibnu Katsir, Abul Fidā’ Ismāil bin Katsīr  (w.774H).
[18] Al-Qur’an: al-Isra’; 17:9
[19] Al-Qur’an: al-Baqarah; 2:2.
[20] Al-Qur’an: an-Nahl; 16:44
[21] Al-Qur’an: al-‘Imran; 3:31
[22] Al-Qur’an: al-Furqan; 25:23
[23] Tafsier Ibn Katsier pada ayat tersebut.
[24] Al-Qur’an: al-Kahf; 18:110 – sila lihat Tafsier Ibn Katsier.
[25] Sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Imam Ibn Rajab (736-795H)  di dalam kitab beliau; Jami‘ al-‘Ulum  wa al-Hikam: hlm. 96-98, berdasarkan hadis sahih: “Sesiapa mengamalkan amalan yang tiada kami ajarkan, maka ia tertolak” dan asy-Syeikh as-Sa‘diy dalam al-Qawa‘id wa al-Usul  al-Jami‘ah hlm. 26. al-Imam asy-Syatibi juga telah memperincikannya di dalam karangannya al-I‘tisam terutamanya Bab Kelima: (trj.) Hukum-hukum Bid‘ah samada yang Haqiqiyah mahupun yang Idafiyah dan perbezaan di antara keduanya.
[26]  Yang mana kitab beliau; al-I‘tisam, keseluruhan kandungannya membicarakan  tentang bahaya bid‘ah.
[27]  HR al-Imam at-Tirmidzi di dalam Sunannya no: 2378 dengan sanad yang berderajat Hasan.
[28]  HR al-Imam Malik di dalam al-Muwatta’: 2/959 dengan sanad yang Sahih.
[29] Asy-Syifa’ oleh al-Qadi ‘Iyad: 2/88, Ighatsah al-Lahafan oleh Ibn Qayyim: hlm 373 tahqieq al-Halabi 1420H cetakan Dar Ibnul Jauzi.
[30] bin ‘Abdillah ibn ‘Umar bin al-Khattab (cucu ‘Umar dan antara ‘alim ahli fiqh terunggul zamannya di Madinah).
[31] Riwayat al-Imam at-Tahawiy (Syarh Ma‘ani al-Atsar: 1/372) dengan isnad yang jayyid dan para perawinya Tsiqat.
[32] A-isyah meriwayatkan bahawa beliau telah sapukan wangian pada badan Nabi ketika sebelum ihram dan kesannya kekal pada badan baginda selepas itu, ketika baginda dalam keadaan ihram – menunjukkan perkara itu dibenarkan, berbeza dengan pendapat ‘Umar dan Ibn ‘Umar – riwayat ini dan jawapan Salim disebutkan oleh al-Hafiz (Fath al-Bari: 3/501) pada syarah hadis ‘A-isyah no:1539 Sahih al-Bukhariy.
[33] Al-Qur’an: Surah al-An‘am: 6:153
[34] Diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad (6/89), ad-Darimiy (1/67),  al-Hakim (2/318) dan (2/239) dan beliau menghukumkannya Sahih serta disetujui oleh adz-Dzahabi, Ahmad Syakir dan lainnya.
[35] HR at-Tirmidzi (5/26), al-Hakim (1/129) daripada ‘Abdullah bin Umar - tapi sanad periwayatannya Da‘ief. Namun ada periwayatan lain, yang Sahih dan banyak, bagi hadis ini sebagaimana ulasan Imam at-Tirmidzi antaranya yang beliau riwayatkan  daripada Abi Hurairah (5/25),  Abu Dawud  (2/259) daripada Abi Hurairah dan  Mu‘awiyah yang berderajat Hasan. Ibnu Majah (2/1321) daripada Abi Hurairah dan ‘Auf bin Malikkesimpulannya hadis ini dapat dijadikan pegangan.



 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts