Monday, December 8, 2014

Permasalahan Melafazkan Niat

Penjelasan al-Imam an-Nawawi, berikut ini, diharapkan dapat memberi pencerahan yang sejelasnya kepada perkara yang sering dijadikan bahan perbalahan oleh sebahagian pihak malah cukup untuk meyakinkan setiap pihak yang menjadikan permasalahan “lafaz niat” ini sebagai satu masalah besar.


Nukilan berikut ini daripada kata-kata al-Imam asy-Syirazie:


Kata pengarang (Imam asy-Syierazi (rahimahulLaah) 393-476H): “Kemudian ia berniat dan niat itu adalah salah satu perkara yang fardu dalam solat kerana sabda baginda (sollalLaahu 'alaihi wa sallam): Sesungguhnya amalan-amalan itu akan jadi sah dengan niat-niatnya dan bagi setiap diri apa yang diniatkannya, tambahan pula ia adalah satu bentuk mendekatkan diri (ibadat) yang khusus maka tidak sah tanpa niat, seperti halnya Puasa. Niat itu tempatnya di hati, jika ia berniat dengan hatinya tanpa (melafazkannya) dengan lisannya, cukup dikira sah. Di antara pendokong Madzhab kami (asy-Syafi‘iyah), ada yang mengatakan (berpendapat): Ia berniat dengan hatinya dan melafazkan dengan lisannya, namun tidak perlu dinilai apa-apa, sebab niat itu adalah maksud/tujuan di hati.” (akhir kata-kata asy-Syierazi)

Berikut ini pula ulasan al-Imam an-Nawawi (rahimahulLaah) terhadapnya:
Beliau (Imam an-Nawawi) menjelaskan: … Sekiranya ia berniat di hatinya dan tidak melafazkan dengan lisannya, itu sudah memadai menurut ajaran Madzhab dan al-Jumhur menghukumkan demikian. Ada pula riwayat lain yang disebutkan pengarang dan juga lainnya. Kata pengarang al-Hawi (al-Mawardi): “Ia adalah pendapat Abu ‘Abdillah az-Zubairiy: bahawasanya tidak sah sehingga ia menghimpunkan di antara niat di hati dan lafaz dengan lisan, sebab asy-Syafi‘ie menyatakan berkenaan Haji: Jika ia niatkan Haji atau Umrah, sah meskipun ia tidak melafazkan dan ia tidak sama dengan Solat, tidak sah kecuali dengan penyebutan (melafazkan niat)”. Kata para pendokong Madzhab kami (asy-Syafi‘iyah): Orang yang berpendapat demikian keliru dan silap kerana bukannya maksud asy-Syafi‘ie demikian  (melafazkan niat) dengan “penyebutan” malah yang beliau maksudkan sebenarnya (dengan penyebutan "النطق") adalah Takbier (ucapan Takbierat al-Ihram). Seandainya ia melafazkan dengan lidahnya tanpa ada niat di hati, solatnya tidak akan dinilai sah dengan kesepakatan pendapat ‘ulama terhadapnya. Sekiranya ia niatkan dalam hatinya solat Zohor tapi lisannya menyebutkan Solat Asar, yang dinilai adalah solat Zohor.[1]

Justeru itu, di dalam perlaksanaan Ibadah Manasik Haji dan Umrah, ada banyak amalan-amalan yang semestinya diadakan niat di hati untuk amalan-amalan itu semua agar menjadi sah. Usahlah dipersulitkan dengan berbagai lafaz Niat yang adakalanya sebahagian pembimbing mahupun pegawai (mutawwif) sendiri tidak menghafalnya. Sehinggakan untuk Ihram, Tawaf, Sa'ie, Bergunting atau bercukur, Wuquf di Arafah, Bermalam di Muzdalifah, Melontar setiap Jamrah dan lainnya diadakan "LAFAZ NIAT" untuk setiap satu amalan itu, padahal tiada satu pun berasal daripada Rasulullah ataupun para Sahabat malah bukan ajaran Imam asy-Syafi'ie dan Imam-imam besar Madzhab asy-Syafi'iyah sekalipun. Dalam permasalahan Niat untuk Solat pun hanya Abu 'Abdillah az-Zubairy yang keliru salah faham pernyataan Imam asy-Syafi'ie, sehingga disangkakannya Imam Syafi'ie (rahimahulLaah) yang mewajibkan melafazkan Niat, padahal Imam asy-Syafi'ie maksudkan adalah penyebutan/melafazkan Takbir "AlLaahu akbar" ketika memulakan Solat. Berikut ini nas pernyataan al-Imam Syafi'ie (rahimahulLaah) di dalam al-Umm:








Sungguh telah nyata keburukan perbuatan mewajibkan "Lafaz Niat" ini sehingga betapa ramai yang takut untuk menunaikan Haji dan Umrah kerana alasannya "belum hafal lafaz Niat" malah ada yang tidak pernah berpuasa Ramadhan kerana tidak tahu "melafazkan Niat", Solat Kusuf (Gerhana), Solat Qasar dan Solat Jenazah diabaikan kerana tidak tahu "Lafaz Niat"nya. Laa haulaa wa laa quwwata illaa billaah.  

Wallahu a‘lam.




[1] Al-Majmu‘: 3/232-233, al-Majmu‘ syarh al-Muhadzdzab, an-Nawawi, Abu Zakariya Yahya bin Syaraf (w:676H), Dar al-Fikr, Beirut, Lebanon, 1996/1417H.
 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts