Tuesday, December 9, 2014

Solat di 3 Masjid Utama; Masjidil Haram, Masjid Nabawi & Masjid al-Aqsa

Apabila seseorang musafir itu berada berdekatan dengan 3 Masjid utama umat Islam iaitu Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa, maka ia digalakkan dan semestinya melaksanakan Solat Fardu 5 waktunya di Masjid-masjid tersebut kerana keutamaannya. [1]

            Yang demikian berdasarkan hadis-hadis mengenai keutamaan ketiga-tiga masjid ini dan fadilat (keutamaan) solat di dalamnya:

Daripada Abie Hurairah katanya: Rasulullah telah bersabda:

, لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ  وَ مَسْجِدِ الْأَقْصَى   -

“Jangan bersusah payah mengadakan perjalanan kecuali ke 3 Masjid ini; Masjidil Haram, Masjid ar-Rasul (Nabawi) dan Masjid al-Aqsa.” [2]


Daripada beliau  juga, bahawasanya Rasulullah telah bersabda:

,  صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِي غَيْرِهِ مِنَ الْمَسَاجِدِ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ   -

“Satu solat di masjid ku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik daripada seribu (1000) solat di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram.”[3]

Ketika menjelaskan berbagai perbahasan berkenaan hadis ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menyebutkan sebahagian riwayat lainnya sebagai penerangan lanjut, kata beliau: al-Bazzar dan at-Tabaraniy meriwayatkan hadis daripada Abi ad-Darda’ yang beliau nyatakan secara marfu‘:

, الصَلَاة فِي المسجد الحرام بمائة ألف صلاة ، و الصلاة في مَسْجِدِي هَذَا بأَلْفِ صَلَاةٍ و الصلاة في بيت المقدس بخمسمائة صلاة -

“Solat di Masjidil Haram (ganjarannya) adalah sebanyak seratus ribu (100,000) solat dan solat di masjid ku ini (Masjid Nabawi) (ganjarannya) adalah sebanyak seribu (1000) solat dan solat di Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) (ganjarannya) sebanyak lima ratus (500) solat.”
Kata al-Bazzar: Isnadnya Hasan. Maka dengan itu, menjadi jelas bahawa pengecualian Masjidil Haram membawa maksud keutamaannya ke atas Masjid Nabawi…[4]
            Akan tetapi, jika seseorang yang berada di Mekkah ataupun di Madinah atau di kawasan Baitul Maqdis, terlepas solat waktu berjemaah bersama imam masjid-masjid tersebut dan ia masih dalam keadaan bermusafir, maka sebaiknya ia menunaikan solatnya secara Qasar sendirian atau bersama jemaah musafir.

Begitu pula jika ia melaksanakan solat-solat sunnat, selain Tahiyatul Masjid, misalnya Solat Qiyam al-Layl, maka lebih afdal ia melakukannya di bilik hotelnya berpandukan hadis-hadis berikut:
Daripada Zayd bin Tsabit  katanya: Rasulullah telah bersabda:

, فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلَاةِ صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ   -

“Solatlah kalian, wahai manusia sekalian, di dalam rumah-rumah kamu kerana sesungguhnya sebaik-baik solat adalah solatnya seseorang itu di rumahnya sendiri kecuali Solat Fardu.”[5]

Di dalam periwayatan di sisi Imam Abu Dawud:

, صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهِ فِي مَسْجِدِي هَذَا إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ   -

“Solatnya seseorang di rumahnya sendiri adalah lebih utama daripada solatnya di masjid ku ini (Masjid Nabawi) melainkan Solat Fardu.” [6]

Kata Imam al-‘Iraqi: Isnadnya Sahih.
Imam Muhammad Syamsul Haq al-‘Aziem Abadi  menyimpulkan: Oleh yang demikian, jika seseorang itu melakukan solat di Masjid (Nabawi di kota) Madinah, baginya (ganjaran) seribu solat, menurut pendapat yang menyatakan solat-solat sunnat terangkum dalam hadis (mengenai keutamaan solat di Masjid Nabawi), maka jika ia solat di rumahnya (di kota Madinah), maka baginya apa yang lebih utama daripada seribu solat. Demikian jugalah hukumnya bagi Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa.[7]     

Demikian juga halnya bagi kaum wanita, solatnya di bilik hotelnya adalah lebih utama daripada solatnya di Masjid-masjid tersebut, seandainya ia meninggalkan berjemaah di masjid-masjid tersebut kerana niatnya menuruti ajaran Rasulullah dan mengelakkan percampuran antara lelaki dan wanita, malah di antara hikmahnya, ia dapat ganjaran besar walaupun tidak berjemaah, biarpun semata-mata kerana menjaga anak kecilnya dengan tidak melupakan pesanan baginda, berdasarkan hadis berikut:
Daripada Ibn ‘Umar katanya: Rasulullah telah bersabda:

,  لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ الْمَسَاجِدَ وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ   -

“Jangan kamu halangi kaum wanita mu (isteri-isteri dan anak-anak perempuan) ke masjid-masjid dan rumah-rumah mereka (sebenarnya) adalah lebih utama buat mereka (solat di dalamnya).” [8]

Kata asy-Syeikh al-Bassam mengulas lebih lanjut mengenai hukum wanita berjemaah di masjid: Sekiranya seseorang wanita meminta izin suaminya ataupun mahramnya untuk pergi ke masjid, tidak layak ia dilarang atau dihalang, tetapi hendaknya dengan mengambil kira beberapa syarat. Sebab adanya riwayat daripada Abi Hurairah bahawasanya Nabi telah bersabda:

,  لَا تَمْنَعُوا إماء الله مَسَاجِدَ الله وَ لْيَخْرُجْنَ تَفِلات   -

“Jangan kamu halangi hamba-hamba Allah daripada kaum wanita ke masjid-masjid Allah dan hendaklah mereka keluar rumah dalam keadaan  mereka “Tafilat”.” [9]

dan sabda bagindaوَ لْيَخْرُجْنَ تَفِلات” iaitu tidak berwangi-wangian dan dirangkumkan dengan “tidak berwangi-wangian” adalah apa sahaja yang mampu menyemarakkan syahwat, seperti berpakaian, menghias diri dan dandanan yang menarik kerana segalanya itu menjadi fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki. Maka jika ada di antara perkara-perkara tersebut yang dilakukannya, dengan sendirinya menjadi haram hukumnya untuk seseorang wanita itu keluar rumah… dan daripada ‘A-isyah katanya memahamkan kaum wanita akan hukum ini:

, لَوْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  رَأَى مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ الْمَسْجِد   -

“Seandainya Rasulullah melihat apa yang diperlakukan oleh kaum wanita sekarang ini, pastinya baginda telah menghalang mereka daripada (mendatangi) masjid.”[10]




[1] Penulis telah berusaha mendapatkan semula penjelasan ini daripada bahan-bahan rujukan yang ada, namun belum menemukannya. Oleh itu, ulasan ini masih perlu dipertimbangkan. Jika benar Alhamdulillah daripada Taufiq Allah dan jika silap, maka penulis beristighfar dan menariknya kembali.
[2] Hadis riwayat Imam al-Bukhariy (K: al-Jumu‘ah, B: Fadli as-Solat fi Masjid Makkah wa al-Madienah: no: 1115). Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim dan lainnya.   
[3] Hadis riwayat Imam al-Bukhariy (K: al-Jumu‘ah, B: Fadli as-Solat fi Masjid Makkah wa al-Madienah: no: 1115). Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim dan lainnya.
[4] Fath al-Bari 3/81.
[5] Hadis riwayat Imam al-Bukhariy (K: al-Adzan: no: 689), Imam Muslim (K: Solat al-Musafirien wa Qasriha no: 1301) dan para Ahli Hadis yang lain.
[6] Hadis riwayat Imam Abu Dawud (K: al-Solah, B: 203 - Solat ar-Rajul at-Tatawwu‘ fie baitihi, no: 1040).
[7] ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abie Dawud: 3/256
[8] Hadis riwayat Imam Abu Dawud (K: as-Solah: no: 480). Diriwayatkan juga oleh para Imam Ahli Hadis lainnya, sebahagian dengan lafaz yang sama dan sebahagiannya (antaranya al-Bukhariy dan Muslim) dengan lafaz yang berbeza namun mengandungi maksud yang seerti.
[9] Hadis riwayat Imam Abu Dawud (K: as-Solah: no: 478), Imam ad-Darimiy (K: as-Solah: no: 1248) dan Imam Ahmad (9270) dan lainnya. Lafaz ini di sisi Imam Ahmad.
[10] Hadis riwayat Imam al-Bukhariy (K: al-Adzan: no: 822), Imam Muslim (K: as-Solah B: Khuruj an-Nisa’ ila al-Masajid no: 676) dan para Ahli Hadis yang lain – Tawdieh al-Ahkam: 2/283


 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts