Thursday, February 5, 2015

00. Muqaddimah Panduan Pengurusan Jenazah menurut as-Sunnah


الحمد لله وحده و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه

أما بعد

Segala pujian bagi Allah semata-mata, selawat dan salam buat Utusan Terakhir, Nabi Muhammad dan buat Ahli keluarga baginda serta para Sahabat baginda dan setiap yang mengikuti petunjuk baginda.

Adapun selanjutnya,

Sidang pembaca yang budiman, semoga usaha anda sekalian untuk memperdalami ilmu agama Allah, diberkati oleh Allah.

Berikut ini adalah siri Panduan Pengurusan Jenazah menurut as-Sunnah yang sebenarnya merupakan terjemahan dan sedikit tambahan (dinyatakan dengan "penterjemah") kitab yang amat bermanfaat, Talkhies Ahkaam al-Janaa-iz, karangan asy-Syeikh al-Imam Muhammad Naasiruddien al-Albaaniy, yang beliau sendiri ringkaskan daripada karangan asal "Ahkaam al-Janaa-iz".


Semoga ia bermanfaat memberi panduan yang padat, ringkas dan serba lengkap, sebagaimana yang menjadi matlamat pengarang (asy-Syeikh al-Albaaniy) untuk memudahkan seseorang memahami dengan baik Tatacara Pengurusan Jenazah menurut as-Sunnah yang Sahih, terutama sekali ketika berhadapan dengan kematian seseorang yang rapat misalnya kaum kerabat. Semoga Allah memberi manfaatnya kepada pengarang, penterjemah dan sekalian sidang pembaca, dunia Akhirat.

Disertakan selanjutnya, paparan gambar buku asal dalam Bahasa Arab dan terjemahan penulis (saya) yang telah dijadikan Nota pengajian kursus Jenazah, di sebahagian Masjid-masjid di Singapura serta Muqaddimah pengarang (asy-Syeikh al-Albaaniy):


إن الحمد لله ، نحمده و نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و سيئات أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له ، و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، و أشهد أن محمدا عبده و رسوله
أما بعد 

Sesungguhnya, segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya. Kita berlindung dengan Allah daripada keburukan diri kita dan daripada kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang telah dikurniakan petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang disesatkanNya, maka tiada seorang pun pemberi petunjuk kepadanya. Dan aku bersaksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, yang Esa tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.

            Adapun selanjutnya, saya merasakan adanya maslahat untuk saya memudahkan usaha mengulangkaji kitab Ahkam al-Jana-iz dengan meringkaskannya dan menjadikannya senang untuk dijadikan bahan rujukan bagi sesiapa yang berhajat kepada hukum-hukumnya, sehingga si pembaca mampu meraih gambaran yang menyeluruh lagi segera, terutamanya ketika berlakunya keadaan yang genting yang mana ia memerlukannya, seperti kematian kerabat atau orang yang dikasihinya.

Sebab, jelas bukannya sesuatu yang mudah untuk merujuk kitab karangan saya (yang asal) Ahkam al-Jana-iz wa Bida‘uha [Perihal Jenazah dan hukum-hukum serta bid‘ah-bid‘ah yang berkaitan dengannya], apatah lagi untuk membaca seluruh kandungannya lantas mengingati segala hukum-hukum yang berkenaan dalam keadaan genting seperti itu, kecuali bagi segelintir orang sahaja. Oleh kerana itulah, saya berpendapat ada baiknya ia diringkaskan dan saya kemukakan faedah-faedahnya kepada para pembaca secara umumnya. Dengan itu juga, saya telah menyempurnakan hasrat saudara saya yang saya muliakan, yang merupakan antara penyebab utama saya mengarang kitab al-Ahkam (kitab asal) sebagaimana yang telah saya jelaskan di dalam muqaddimahnya (kitab tersebut). Bahkan ia adalah keinginan yang dikongsi sama oleh ramai pencinta As-Sunnah An-Nabawiyah, yang senantiasa berusaha untuk menghidupkan As-Sunnah, di merata dunia, baik yang berbangsa Arab mahupun selain Arab, sehingga ada segolongan yang telah pun meringkaskan kitab itu, tanpa izin daripada diri saya ataupun tanpa kesedaran mereka, mudah-mudahan untuk mendapatkan ganjaran akhirat sahaja, bukannya dengan tujuan keduniaan.[1]

            Ketahuilah wahai pembaca yang budiman, bahawasanya saya tidak mengeluarkan takhriej (bahan atau kitab rujukan sumber hadis-hadis) di dalam “Talkhies” (ringkasan) ini, kerana cukuplah dengan yang ada di dalam kitab asal (iaitu Ahkam al-Jana-iz), memadailah bahawa kami hanya memastikan yang sahih sebagaimana adat dan lumrahnya di dalam setiap karangan kami, walhamdulillah da-iman wa abadan, malah ada juga dari matan-matan hadis yang tidak disebutkan sebahagiannya, begitu juga dengan ulasan-ulasan yang tidak berapa rapat kaitannya dengan tajuk, namun ada pula faedah-faedah ilmiyah tambahan yang disebutkan sedangkan ia tiada di dalam kitab asal (iaitu kitab Ahkam al-Jana-iz).

            Saya mohon kepada Allah agar menjadikannya suatu manfaat bagi kaum muslimin, menjadikannya seperti kitab asalnya begitu juga karangan-karangan yang lain, yang membantu mereka untuk menuruti Al-Quran dan As-Sunnah, agar dapat memulakan kehidupan Islami yang tidak dapat dihayati kecuali dengan berbekalkan ilmu yang bermanfaat dan amalan yang solih, sesungguhnya Dia adalah yang Maha Mendengar lagi Maha Memperkenankan.

Amman, Jordan                                                                                            عمان - الأردن

 13Jamadil Akhir Tahun 1402 Hijriyah


Muhammad Nasiruddien al-Albani                                    محمد ناصر الدين الألباني





[1] Dengan ringkasan.

 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts