Tuesday, March 10, 2015

04. Apa yang diharuskan ketika melawat kematian






18. Adalah diharuskan bagi mereka yang datang melawat jenazah, untuk membuka tutupan dan melihat wajah si mati, serta menciumnya  di antara kedua keningnya (dahi), sebagaimana perbuatan Abu Bakar  terhadap Nabi   sejurus selepas kewafatan baginda . Demikian juga boleh untuk berkabung, menitis airmata (tanpa isakan dan tanpa meraung) selama 3 hari berdasarkan hadis ‘A-isyah , kata beliau: “Abu Bakar datang dengan menaiki kudanya dari rumahnya di as-Sinhu sehinggalah beliau sampai ke masjid, sedang ketika itu ‘Umar sedang berpidato. Maka beliau tidak berbicara dengan seseorang pun, malah langsung masuk ke rumah ‘A-isyah  lantas ke tempat (pembaringan) Rasulullah  yang telah diselubungi kain burdah hibarah, maka beliau pun membuka tutupan pada wajah baginda, lalu menyembamkan muka pada baginda dan mencium baginda di antara kedua mata/kening baginda . Beliau pun menangis sambil mengucapkan: Demi ibu bapa ku yang aku jadikan tebusan wahai Nabi Allah, Allah pasti tidak akan menjadikan mu merasai kematian dua kali. Adapun kematian yang mestinya anda rasakan, maka anda telah merasakannya…(dalam riwayat lain: Anda telah merasakan kematian yang pastinya anda tidak akan rasakan kematian lagi selepasnya) .” 

Begitu juga hadis ‘Abdullah bin Ja‘far :
“Bahawasanya Nabi   menundakan lawatan baginda ke rumah keluarga Ja‘far selama 3 hari, kemudian baginda menziarahi mereka dan bersabda: 
    لا تبكوا على أخي بعد اليوم...   الحديث
Usahlah kalian tangisi saudara ku lagi selepas hari ini.”  

Akan disebutkan juga lafaznya dengan lengkap di bawah tajuk “at-Ta‘ziyah” Insya Allah Ta‘ala. 
Demikian pula hadis Anas  katanya: “Kami masuk melawat Abu Saif bersama Rasulullah , dan beliau (Abu Saif) adalah suami kepada ibu susuannya Ibrahim (anak baginda ), Rasulullah  pun mengambil Ibrahim menciumnya dan menghidu bau kulitnya. Kemudian kami datang menziarahinya lagi sedang pada waktu itu Ibrahim telah meninggal dunia. Maka kedua mata Rasulullah  yang mulia mencucurkan airmata. Maka berkatalah ‘Abdur Rahman bin ‘Auf: Dan anda juga menangis, wahai Rasulullah? Jawab baginda : 
    يا ابن عوف ؟ إنها رحمة   
{Wahai Ibn ‘Auf, ia adalah rahmah (sifat kasih)}”
Kemudian mengalir lagi airmata baginda   maka baginda pun bersabda:
 إن العين تدمع ، و القلب يحزن ، ولا نقول إلا ما نرضي ربنا ، و إنا بفراقك يا إبراهيم لمحزونون  
{Sesungguhnya mata mengalirkan airmata, hati bersedih, namun kami tidak akan mengucapkan kecuali apa yang diredhai Tuhan kami dan sesungguhnya kami amat berduka cita menghadapi perpisahan dengan mu, wahai Ibrahim}. 



 
Copyright 2011 al-jamaah.sg
Template by freethemelayouts